2 Video Ini Cukup Untuk Menerangkan Mengapa Berlaku Pepecahan di Dalam PAS Sekarang Ini

Sejak 2008, sudah ada usaha dari Majlis Syura Ulama (MSU) sendiri yang mahu melaksanakan agenda untuk mewujudkan kerajaan perpaduan (UG) di antara PAS-UMNO di Perak dan Selangor, dan mengkhianati kemenangan yang telah dicapai oleh gabungan PAS-DAP-PKR (pada ketika itu nama Pakatan Rakyat belum wujud). Malangnya ramai yang tidak mengetahui kerana usaha itu berjaya di rahsiakan oleh kepimpinan tertinggi PAS, iaitu di peringkat Presiden dan MSU. Perkara ini berjaya di sembunyikan sehinggakan Tok Guru Nik Aziz sendiri sebagai pengerusi MSU tidak tahu menahu mengenai hal ini. Siapakah di dalam MSU yang terlibat di dalam agenda Kerajaan Perpaduan (UG) selain dari Nasaruddin Mat Isa yang diarahkan untuk menjadi orang tengahnya? Tonton 2 video di bawah:

 

Perkara ini lah yang menjadi punca perbalahan di dalam PAS sehingga mewujudkan apa yang dipanggil Golongan Ulama dan Profesional atau sekarang lebih di kenali sebagai Kumpulan Konservatif dan Kumpulan Progresif di dalam PAS. Bukan kerana di dalam kedua-dua kumpulan ini tiada golongan ulama atau golongan profesional yang menyokong mereka, tetapi kerana perbezaan aliran pemikiran inilah yang menyebabkan berlakunya perpecahan di dalam PAS terutamanya kerana keengganan kumpulan progresif untuk bersama membentuk kerjasama politik dengan UMNO dan mengkhianati majoriti aspirasi rakyat yang mahu menumbangkan UMNO Barisan Nasional melalui Pakatan Rakyat.

Di dalam video di atas juga di paparkan bagaimana kumpulan progresif ini digelar dengan pelbagai gelaran contohnya Anwarinas (yang turut di popularkan oleh Utusan Malaysia), Parasit, Jebon dan sebagainya. Seterusnya bagaimana perancangan telah di buat untuk menyingkirkan kesemua pimpinan kumpulan progresif di dalam PAS dan digantikan dengan kumpulan konservatif yang mesra UMNO. Sehingga ketahap ini UMNO telah berjaya di dalam usaha mereka untuk memerangkap PAS dan memecah-belahkan sesama ahli mereka dan seterusnya memecah-belahkan perpaduan di dalam Pakatan Rakyat.

Hasil dari itu wujudlah gerakan harapan baru sekarang ini yang tujuan asalnya adalah untuk meneruskan semula perjuangan asal PAS yang dibawa oleh arwah Ust. Haji Fadzil Mohd Noor dan Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang mahukan mengekalkan perpaduan di kalangan ahli-ahli PAS yang mahu menumbangkan UMNO BN dan mengekalkan serta memperkuatkan perpaduan di kalangan kesemua parti utama di dalam Pakatan Rakyat. Ini adalah kerana sehingga kini adalah dirasakan bahawa inilah platform terbaik yang ada untuk merealisasikan cita-cita tersebut.

Sumber: Artikel Asal Admin Kejar.Org.

Tujuh dalil mengapa Pakatan Rakyat tiada masa depan jika Hadi terus menerajui Pas.

Oleh Zairil Khir Johari

image

Persoalan masa depan Pakatan Rakyat kian menjadi perbincangan hangat berikutan tindakan Dewan Undangan Negeri Kelantan untuk meluluskan pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 pada 19 Mac lalu.

Tindakan secara unilateral itu bukan sahaja bercanggah dengan Dasar Bersama Pakatan Rakyat, malah tidak menghormati keputusan mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pada 8 Februari 2015 yang dihadiri Presiden Pas Dato’ Seri Abdul Hadi Awang sendiri.

Susulan daripada pindaan enakmen hudud yang diluluskan di Kelantan, Hadi sendiri melakukan tindakan yang lebih mengejutkan, iaitu dengan menghantar pemberitahuan kepada Setiausaha Dewan Rakyat untuk membentangkan rang undang-undang persendirian yang bertujuan untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 bagi membenarkan pelaksanaan enakmen hudud di Kelantan.

Justeru, tindakan Presiden Pas untuk mengemukakan rang undang-undang persendirian ini boleh dianggap sebagai satu pengkhianatan muafakat Pakatan Rakyat, lantas menimbulkan persoalan sama ada gabungan politik tiga parti ini boleh terus berkekalan.

Pada saya, jawapannya amat mudah. Tidak mungkin Pakatan Rakyat mempunyai masa depan sekiranya pucuk pimpinan Pas terus diterajui oleh Dato’ Seri Hadi Awang. Saya mengambil pendirian ini bukan hanya berdasarkan tindak tanduk Presiden Pas baru-baru ini, tetapi juga atas tujuh bukti atau dalil yang disenaraikan di bawah:

■ Parlimen Labuan

■ DUN Sungai Acheh (Pulau Pinang)

■ DUN Kota Damansara (Selangor)

■ DUN Panti (Johor)

■ DUN Kota Putera (Terengganu)

■ DUN Bukit Besi (Terengganu)

■ DUN Seberang Takir (Terengganu)

Di atas merupakan tujuh kerusi (enam DUN dan satu Parlimen) yang telah melihat pertandingan tiga-penjuru dalam Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu. Dalam ketujuh-tujuh kawasan tersebut, Pas telah meletakkan calon pada saat terakhir melalui watikah yang ditandatangani oleh presidennya.

Mengikut tatacara lazim, calon-calon Pas akan menerima watikah yang ditandatangani oleh Dato’ Mustafa Ali selaku Setiausaha Agung parti. Demikianlah bagi semua calon Pas yang bertanding dalam kerusi-kerusi yang telah dipersetujui dalam perbincangan dalaman Pakatan Rakyat.

Oleh itu, tindakan Pas untuk bertanding di tujuh kerusi yang sepatutnya ditandingi PKR itu merupakan khianat yang nyata dilakukan dengan restu Hadi sebagai presiden parti. Akhirnya, Barisan Nasional telah memenangi kesemua tujuh kerusi tersebut.

Justeru, mangsa pengkhianatan bukan sekadar PKR dan Pakatan Rakyat, tetapi semua rakyat Malaysia yang mahukan perubahan besar dalam politik negara.

Kemenangan undi popular dalam PRU13 jelas menunjukkan bahawa rakyat Malaysia menginginkan Pakatan Rakyat untuk mengambil alih tampuk kepimpinan negara. Saya yakin, pilihan rakyat telah dibuat setelah melihat kerjasama yang erat antara ketiga-tiga parti dalam pentadbiran kerajaan-kerajaan negeri seperti Pulau Pinang dan Selangor yang berjaya mencatat prestasi ekonomi yang cemerlang sambil memeliharakan kebajikan rakyat.

Saya percaya kebanyakan akar umbi Pas, sepertimana juga akar umbi DAP dan PKR, menginginkan perpaduan dan kerjasama yang berterusan di bawah payung Pakatan Rakyat. Oleh itu, saya melihat pengkhianatan yang dilakukan oleh sesetengah pimpinan Pas sejak PRU13 lagi sebagai agenda rakus dan jumud oleh puak tertentu yang ingin memecahbelahkan Pakatan Rakyat bagi kepentingan politik mereka.

Pada pendapat saya, selagi dalang-dalang pengkhianatan ini masih kekal berkuasa dalam Pas, tiadalah masa depan bagi Pakatan Rakyat.

Zairil Khir Johari
– Ahli Parlimen Bukit Bendera
– Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP
22 Mac 2015

Kopi Susu yang sudah di keluarkan susu sudah jadi Kopi O, begitu juga dengan PR

PAS-PKR-DAP-cracked-L-600x360

Oleh: Khalid Samad

Polemik semasa adalah samada Pakatan Rakyat masih wujud atau sebaliknya. DAP dengan tegas menyatakan Pakatan Rakyat sudah terkubur. PKR melalui kenyataan Presidennya, DSWA, telah menyatakan kekecewaannya terhadap usul muktamar PAS dan kenyataan DAP sambil menyebut bahawa “Pakatan Rakyat tidak lagi berfungsi secara formalnya”.

PAS melalui kenyataan yang dibuat oleh Datuk Mustapha Ali, Pengarah Pilihanraya PAS Pusat yang baharu, menyatakan bahawa Pakatan Rakyat masih wujud tetapi ‘pengsan’. Pada pagi semalam, 20 Jun 2015, TGHH pula menyebut bahawa Pakatan itu tetap wujud selagimana ada dua parti yang terlibat.

Kesemua kenyataan yang ini, walaupun dilihat bercanggah, ada kebenarannya dan oleh itu tidak hairanlah apabila sebahagian besar masyarakat menganggap ianya mengelirukan. Ia menyebabkan persoalan asal, samada Pakatan Rakyat masih wujud kelihatan seolah-olah masih tidak dijawab!

KOPI SUSU

Untuk menjelaskan keadaan yang sedang wujud, biar saya berikan contoh yang mudah difahamai semua, iaitu contoh ‘Kopi Susu’.

Kopi susu adalah ‘Kopi susu’, selagimana campuran bahannya adalah kopi, susu dan gula. Apabila dikeluarkan susu, maka ianya menjadi Kopi ‘O’. Kalau dikeluarkan gula selepas itu, maka ia menjadi Kopi ‘O’ kosong. Walaupun ianya masih Kopi, tetapi 3 jenis Kopi itu tidak sama malah jauh berbeza. Hanya yang tidak berapa ‘betul’ akan cuba mengatakan bahawa ‘Kopi susu’ adalah sama sahaja dengan Kopi ‘O’!

Maka begitu jugalah dengan Pakatan Rakyat. Ianya gabungan 3 parti iaitu PAS, PKR dan DAP. Apabila salah satu parti dari tiga parti itu keluar, maka walaupun ianya masih lagi ‘Pakatan’, sepertimana yang ditegaskan oleh TGHH, pokoknya ianya bukan lagi ‘Pakatan Rakyat’. Sekiranya ianya di antara PAS dan PKR sahaja, ianya sudah menjadi satu Pakatan Baharu yang boleh dinamakan sebagai Pakatan PKR-PAS. Boleh juga diwujudkan Pakatan lain sekiranya PKR ‘menduakan’ PAS dengan mewujudkan ‘Pakatan PKR-DAP’.

PAKATAN RAKYAT SUDAH TIADA

Pokoknya, setiap parti sudah bebas dari ikatan Pakatan Rakyat apabila salah satu parti komponen mengisytiharkan Pakatan Rakyat tidak lagi wujud. Dengan erti kata lain, parti tersebut telah keluar dan dengan itu yang tinggal tidak lagi dinamakan sebagai Pakatan Rakyat. Maka dalam suasana itu, setiap parti bebas bergerak mengikut kehedaknya sendiri. Tiada lagi sebarang ikatan antara mereka kerana Pakatan Rakyat sudah tiada.

Dalam kenyataan Presiden PKR, beliau telah menyatakan bahawa PKR menyokong kerajaan Kelantan yang dipimpini PAS dan menyokong juga kerajaan Penang yang diketuai DAP. Ini merupakan pendirian PKR terhadap kerajaan PAS di Kelantan dan terhadap kerajaan Penang di bawah kepimpinan DAP.

Kenyataan ini perlu dibuat kerana pendirian DAP terhadap kerajaan Kelantan dan PAS terhadap kerajaan Penang adalah berbeza. DAP sudah tidak bersama PAS dan dengan itu tidak menyokong kerajaan Kelantan di bawah PAS. PAS pula, kecuali ingin melakukan U-turn, telah memutuskan hubungan dengan DAP dan dengan itu tidak lagi menyokong kerajaan Penang di bawah DAP.

Saya rasa tidak mungkin PAS melakukan U-turn dan kenyataan TGHH yang menyebut bahawa “dua parti memadai untuk mewujudkan Pakatan” adalah konsisten dengan keyakinan saya ini.

PAKATAN DI SELANGOR

Presiden PKR turut menyebut harapan beliau bahawa PAS dan DAP akan terus menyokong kerajaan Selangor di bawah kepimpinan YAB Azmin Ali. Walau apa sekalipun yang diputuskan oleh PAS dan DAP berhubung Selangor, yang nyata adalah Pakatan Rakyat sepertimana kita kenali selama ini sudah tidak wujud.

Yang boleh diwujudkan sekarang di Selangor adalah samada ‘Pakatan PKR-PAS’ dan ‘Pakatan PKR-DAP’ atau kedua-duanya secara serentak. Pakatan PKR-PAS boleh diwujudkan di Kelantan, atau sebaliknya PAS boleh bersendirian di situ. Pakatan PKR-DAP pula boleh diwujudkan untuk Pulau Pinang. Pakatan PKR-PAS dan Pakatan PKR-DAP boleh pula diwujudkan secara serentak di Selangor.

Mungkin untuk Selangor kewujudan Pakatan antara PAS, PKR dan DAP boleh dirundingkan kembali. Namun ianya merupakan sesuatu yang sukar apabila hubungan dan kerjasama antara PAS dan DAP diputuskan sepertimana yang dituntut dan didesak melalui usul DUPP. Oleh itu pendekatan dua Pakatan serentak untuk Selangor kelihatan sebagai satu-satunya pendekatan yang boleh diguna-pakai. Asas kedua-dua Pakatan perlu dirundingkan antara PKR dan PAS dan juga PKR dan DAP.

Namun bagaimana masalah ini ingin diurus perlu diserahkan kepada saff pimpinan untuk menyelesaikannya. Mereka telah berkerja keras untuk menjadi pimpinan, maka adalah diharapkan bahawa mereka akan mampu menanganinya dengan baik.

SIFAT PAKATAN RAKYAT

Pakatan Rakyat turut mempunyai sifatnya tersendiri dengan dasar ‘common policy framework’atau ‘kerangka dasar bersama’ yang bertujuan untuk menyelaras ketiga-tiga parti apabila mereka bergerak sebagai satu Pakatan.

Ia mempunyai mekanisme penggubalan dasar tersendiri iaitu ‘government by consensus’ atau ‘mentadbir berdasarkan persetujuan bersama’ yang telah turut merupakan salah satu ciri utama Pakatan Rakyat.

Ia turut mempunyai kaedah untuk menangani perbezaan yang disedari kewujudannya dari sejak asal, iaitu kaedah ‘agree to disagree’ atau ‘bersetuju untuk tidak bersetuju’.

Samada dasar-dasar itu akan terus dipegang oleh ketiga-tiga parti yang terlibat dan samada ianya akan diserapkan di dalam Pakatan PKR-PAS atau Pakatan PKR-DAP terpulang kepada perundingan yang bakal dilakukan. Sudah pasti Pakatan PKR-PAS tanpa adanya DAP akan berbeza berbanding Pakatan PKR-DAP tanpa PAS.

Dikhuatiri akhirnya akan didapati sama sahaja.

KESIMPULAN

Bagi saya kedudukan Pakatan Rakyat adalah jelas dan nyata. Pakatan Rakyat tidak lagi wujud. Istilah ‘pengsan’ atau komatose, tidak berfungsi secara formal atau sebagainya adalah hanya istilah-istilah yang mengaburi hakikat sebenar. Lebih awal diakui keadaan yang sebenar, maka adalah lebih mudah untuk mengusahakan pembaik-pulihan dan pembetulan sekiranya perlu. Tiada manafaat menipu diri dengan mengatakan kesemuanya baik dan OK sedangkan pada hakikatnya ianya sebaliknya.

Ada yang berkata bahawa seseorang itu hanya akan menghargai sesuatu apabila sudah kehilangannya. Mana tahu secara tiba-tiba selepas tiadanya Pakatan Rakyat, yang kuat menghentam Pakatan Rakyat siang malam tiba-tiba berubah dan mula menghargainya! Mungkin tiba-tiba akan disebut bahawa diperlukan Pakatan Rakyat untuk menjatuhkan BN yang sedang tenat.

Sekiranya itu berlaku; persoalannya, adakah ianya boleh dipercayai?

WaLlahu ‘Alam
KHALID SAMAD

Pakatan belum mati, hanya PAS yang tandatangani sijil matinya

Pengarang: Mariam Mokhtar

SEKILAS PANDANG: Sejak Muktamar PAS, di mana golongan ulama menemui kejayaan, penjaja berita buruk dan pemutarbelit telah mengisytiharkan kematian Pakatan, dan ‘talkin’ telah dibacakan di seluruh Malaysia dan luar negara. Tenang semua!

Malah Lim Kit Siang, supremo DAP, telah turut mengisytiharkan kematian Pakatan. Mengapakah semua orang begitu negatif? Apa yang berlaku kepada keyakinan dan kepercayaan diri? Apa yang berlaku kepada semangat berbilang budaya Tunku? Adakah impian beliau dan kita, sebagai sebuah negara sekular pelbagai budaya yang bersatu telah mati, hanya kerana Abdul Hadi Awang, dan rakan baik barunya, Najib Abdul Razak, telah mengambil keputusan untuk berpakat?

Adakah rakyat Malaysia sedar bahawa sebuah Pakatan yang lebih kukuh akan muncul, dan meneruskan perjuangan tanpa PAS? Pakatan tidak mati. Sebaliknya, PAS yang telah menandatangani sijil matinya sendiri.

Serampang Kajang mendedahkan warna sebenar Hadi. Beliau berbohong. Beliau bercakap dengan lidah bercabang dan tidak membenarkan wanita memainkan peranan yang penting dalam politik.

Ingat cara Hadi menyusun bahasa beliau, seolah-olah menjanjikan syurga kepada orang Melayu, jika mereka menolak Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar Selangor?

Sudah tentu, mereka yang sinis akan mengatakan bahawa DAP adalah berteraskan kaum Cina dan jika ia memerintah, ia akan “menjual” Malaysia kepada orang Cina Singapura.

Jika ada sesiapa yang akan “menjual” Malaysia, ia adalah kerajaan Umno Baru. Sejumlah besar tanah, hartanah dan perniagaan telah dimiliki oleh Republik Rakyat China (PRC). Pasir kita dijual dan diseludup, ke Singapura, supaya rakyat Singapura boleh menambak tanah, yang merugikan kita. Tentera laut PRC telah melakukan latihan di atas beberapa pulau-pulau berbatu, 60 km dari pantai Sarawak tetapi ketua Angkatan Tentera Malaysia memberitahu kita supaya tidak bimbang.

Ahli-ahli politik dalam PKR, sebuah lagi komponen pakatan pembangkang itu, harus menangkis persepsi bahawa mereka merupakan sisa Umno Baru.

DAP sedang cuba menangkis imej mereka sebagai sebuah parti yang dikuasai kaum Cina, dengan ramai kaum muda Melayu. Apa yang UMNO Baru, sebuah parti yang berasaskan kaum semata-mata, sedang lakukan mengenai imejnya sebagai sebuah parti yang berkubang dalam rasuah, nepotisme, kronisme dan penyalahgunaan kuasa? Pertengkaran dalaman mengenai kontrak dan kawasan, memberi kesan kepada rakyat, memusnahkan keyakinan pelabur, dan ekonomi kita.

Kini terdapat peluang untuk membina semula Pakatan, menerusi dua buah parti komponen, dan bukannya dibebani dengan PAS, yang mana pemimpinnya menumpukan terhadap seks, hudud, seks luar nikah, hukuman ke atas orang-orang yang tidak menghadiri solat Jumaat, alam barzakh, daripada membincangkan rasuah, pembaziran BR1M, skandal 1MDB, kebajikan golongan miskin, pembalakan haram di Kelantan, yang hanya boleh berlaku disebabkan kerjasama pemimpin-pemimpin negeri.

Sebagai peserta dalam pakatan itu, PAS tidak memahami cara-caranya. Ketuanya memberi tumpuan terhadap usaha menjatuhkan parti-parti komponen lain. Hadi boleh membawa PAS menyertai Umno Baru, jika dia boleh nyenyak tidur malam lagi selepas melakukannya.

Sekarang sudah abad ke-21, di mana lelaki dan wanita sama taraf, di mana pelbagai kaum perlu hidup bersama-sama, di mana Internet menjadikan dunia semakin kecil, di mana begitu jelas sekali bahawa aspirasi golongan muda, terutamanya orang Melayu, tidak boleh dipenuhi di bawah pemerintahan PAS yang konservatif. Hidup Pakatan baru. Tinggalkan sahaja yang lapuk!

Sumber: http://bm.theantdaily.com/Terkini/Pakatan-belum-mati-hanya-PAS-yang-tandatangani-sijil-matinya#sthash.DxPA8I5x.dpuf

Golongan sederhana PAS khuatir krisis lama berulang

Press Conference PAS
Gambar Hiasan, Press Conference PAS

Golongan sederhana dalam PAS sekarang sangat bimbang dengan krisis berat yang melanda parti itu. Mereka sangat prihatin dengan keadaan PAS yang menyebabkan masa depannya dalam keadaan yang tidak menentu.

Dua tokoh pemikir PAS – Dulkifly Ahmad dan Datuk Mujahid Yusuf Rawa – sentiasa memberikan pandangan mengenai masa depan PAS yang sangat membimbangkan.

Krisis dalam PAS ini dilihat antara golongan konservatif dan golongan progresif, atau golongan sederhana dan ekstrem.

Dulkifly dan Mujahid serta tokoh golongan sederhana yang lain seperti Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaludin, Khalid Abdul Samad dan Mohamed Hanipa Maidin merasakan kebimbangan yang amat sangat perkembangan di dalam PAS yang dilihat menuju ke arah parti yang tertutup, undur ke belakang 30 tahun.

Sedangkan pemimpin PAS – sejak zaman Allahyarham Yusuf Rawa, Allahyarham Datuk Fadhil Mohd Noor membawa kepada Allahyarham Datuk Seri Nik Abd Aziz – berusaha sungguh-sungguh mengetengahkan PAS menjadi sebuah parti yang terbuka.

Mereka ini berusaha melakukan gabungan dengan pelbagai pihak di luar PAS. Hasilnya sungguh cemerlang di mana PAS diterima sebagai parti politik Islam kontemporari yang mampu berinteraksi dengan dunia di luar PAS.

Puncak kejayaan itu seperti yang dilihat di dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 dan 2013 di mana sokongan kalangan bukan Islam terhadap PAS sangat luar biasa.

Dalam PRU 2008 dan 2013, ramai orang Cina dan India mengibarkan bendera PAS, malah ada yang menyelimutkan badan mereka dengan bendera bulan, tanda sokongan mereka terhadap PAS.

Tetapi dalam keadaan sekarang ini, saya fikir, situasi yang begitu sukar berulang kembali, kecuali jika berlaku perubahan pimpinan yang bersikap terbuka dan dapat diterima oleh rakyat pelbagai kaum dan agama.

Oleh itu, adalah wajar diberi perhatian akan kebimbangan tokoh progresif seperti Dulkifly dan Mujahid serta para tokoh golongan prograsif yang lain itu.

Krisis dalaman PAS ini bukan krisis biasa dan tidak boleh dinafikan atau dipandang remeh. Tidak boleh disamakan dengan krisis PAS pada masa lalu. Ini kerana krisis yang berlaku sekarang ini menikam jantung hati dan uraf saraf parti yang boleh melumpuhkan seluruh kekuatan parti.

PAS hanya boleh survive, jika ia kembali sebagai parti yang terbuka, meneruskan hubungan dengan pelbagai pihak di luar PAS.

Benar, PAS bukan sekadar parti politik, tetapi juga sebagai gerakan Islam dengan segala ciri dakwahnya wajar berinteraksi dengan pelbagai pihak. Ini sudah difahami oleh pendukung PAS sejak puluhan tahun yang lalu.

Krisis ini, kata Dr. Mujahid, tidak meninggalkan kita banyak pilihan iaitu hanya dua iaitu antara PAS undur ke belakang atau PAS maju ke depan.

Pencapaian PAS dalam memecahkan tembok perkauman dipermudahkan dengan adanya Pakatan Rakyat (PR) di mana terbukti di tempat yang kerusi campuran PAS berjaya menembusi dengan sokongan pengundi Cina dan India, kata Mujahid.

Menurutnya, sentimen pengundi Cina dan India banyak dipengaruhi oleh asakan Pakatan dan manisfesto yang dibawa. PAS berjaya memanfaatkan sokongan ini apabila ia bersama PR dan berjaya mendapat sokongan pengundi bukan Melayu.

Adakah kecemerlangan ini akan berulang lagi dalam PRU akan datang? Ini menjadi tanda tanya besar.
Di sini Mujahid menyeru secara ikhlas serta dengan mendapat petunjuk Allah untuk berfikir sejenak, kegilaan apakah yang menimpa PAS hari ini.

“Ulama, wala’ dan dasar parti cuba dipertaruhkan bagi tujuan kelompok kecil yang bekerja untuk tuan-tuan besar di luar PAS yang mahu melihat PAS lemah dan kemuncaknya hancur,’’ katanya.

Ketahuilah, kata Mujahid, bahawa ia bukan soal ada “Anwarinas”, “liberal”, “anti hudud”, “broker dan barua” dalam PAS seperti yang cuba dimomok-momokkan, tetapi ia adalah mengenai satu konspirasi jahat dan para konspirator ada di kalangan ahli PAS dan pimpinan PAS sendiri di semua sektor parti.

Beliau memberi contoh, cadangan untuk bersedia bertanding bersendirian atau keluar daripada Pakatan atau menyuruh sesetengah ahli dan kepimpinan untuk keluar parti, adalah tidak perlu dilayani atau disokong.

Pimpinan yang matang dan tidak gelojoh serta ‘ekstrem’ tahu akan erti ‘mengurus ikhtilaf’ atau perbezaan dan kepelbagaian, dalam sebuah organisasi dan koalisi yang semakin kompleks.

Sementara itu, Dzulkifly pula berkata, dalam mengurus isu hudud pula, seteru tradisi PAS sedang menggoda dengan pelbagai cara. Musuh tetap musuh, meskipun tampak ‘ikhlas’.

Perlu diingatkan, katanya, tuntutan Allah supaya kita berwaspada dan pesanan Nabi bagi mengelak dipatuk ular dua kali dari lubang yang sama. Nik Aziz dan Fadzil Noor acap kali mengingatkan kita.

Menurut Dzulkifly, seandainya PAS terus terjerumus akibat kehilangan jalan ceritanya atau “losing the plot again” sekali lagi, maka kita akan bakal mengulangi nasib yang sama seperti pengalaman PRU ke-11 pada 2004.

PAS dikhuatiri akan kehilangan sokongan barunya di kalangan Melayu-Islam di bandar dan pinggir bandar, dan tentunya tidak dapat bertahan mengekalkan kepercayaan pengundi bukan Melayu dan bukan Islamnya. Seteru PAS sangat mahukan natijah ini bagi menggagalkan PAS.

“Setiap kali PAS berasakan parti dan jenteranya ‘kuat’, Allah mengajar kita dengan keputusan yang menginsafkan kita. Di samping pengalaman 2004, pengalaman PRU ke-7 (1986) juga menyedarkan kita.

“PAS hanya tinggal kerusi tunggalnya, Pengkalan Chepa, di parlimen dalam pilihan raya yang menyaksikan PAS meletakkan seramai 98 calon, paling tinggi dalam sejarahnya (jumlah kerusi di parlimen 177),” kata Dzulkifly lagi.

Beliau bertanya, apakah kepimpinan PAS di peringkat Pusat serta di peringkat akar-umbi, khasnya di ambang Muktamar ke-61 ini, akan mengizinkan PAS mengundang nasib buruk ini sekali lagi?

Mampukah PAS kini, mengelakkan kesilapan lamanya? Berjayakah PAS mengawal suara emosi (‘atifi) supaya jangan mengatasi suara ilmu, kekuatan informasi dan paduan pengalaman (tajribah)?

Semua yang berlaku di dalam PAS ini sangat absud menyebabkan ramai bertanya apa yang telah terjadi kepada PAS? – 28 April, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

– See more at: http://www.themalaysianinsider.com/opinion/a-shukur-harun/article/golongan-sederhana-pas-khuatir-krisis-lama-berulang#sthash.RxaNMbnk.dpuf

PAS dan Pakatan Rakyat – Satu Penilaian

PAS & PROleh Abdul Latiff Mohd Ibrahim

Pakatan Rakyat lahir selepas pilihanraya umum ke 12 pada tahun 2008. Kelahirannya terjadi secara kebetulan kerana parti-parti Pembangkang berjaya untuk kali pertamanya menembusi “Tembok BN” yang sudah terbina sekian lama. Parti-parti Pambangkang pada pilihanraya tersebut walaupun bertanding secara bersendirian berhasil memenangi kerusi Parlimen yang mencukupi untuk menafikan penguasaan dua pertiga kerusi bagi BN di Parlimen. Sekaligus keadaan ini mendesak ketiga-tiga parti terbesar di pihak Pembangkang – Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) menjalin kerjasama politik yang membawa kepada penubuhan Pakatan Rakyat.

Di pihak rakyat, perkembangan ini dilihat sebagai sesuatu yang positif kerana kini mula wujud dua parti besar mewakili aspirasi mereka sama ada gabungan asal, Barisan Nasional (BN) mahupun gabungan baru, Pakatan Rakyat (PR). Malaysia mula memasuki era politik demokratik yang lebih bermakna dengan kehadiran PR. Bukan sahaja pilihanraya umum ke 12 itu membuka peluang kepada terbentuknya gabungan parti politik Pembangkang, ia turut membolehkan penubuhan kerajaan di peringkat negeri yang tidak mungkin terjadi sekiranya parti-parti Pembangkang tidak sepakat atas gagasan baru itu. Aspirasi masyarakat sivil nampaknya semakin tercapai dengan perkembangan terbaru ini di samping menyumbang kepada sedikit pengukuhan kepada amalan demokrasi dalam Negara.

Hasil penggabungan dalam PR juga membuka jalan kepada terbentuknya kerajaan Selangor di samping kerajaan Perak. Walaupun kerajaan PR Perak hanya bertahan setahun akibat gerakan politik licik BN yang berjaya menarik tiga wakil rakyat PR kepadanya sekaligus memindahkan kuasa kembali kepada BN, PR masih menjadi “force” yang kuat yang berkuasa di empat negeri yang dimenanginya – Pulau Pinang, Kelantan, Selangor dan Kedah di samping menafikan penguasaan dua pertiga dalam dewan perundangan Negeri Sembilan dan juga Perak.

PR dilihat sebagai satu keperluan politik bagi ketiga-tiga komponennya dan dengan berketuakan Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya mengharungi pelbagai tekanan dan masalah untuk terus maju ke hadapan.

Muafakat yang sering diuji

Kerjasama politik antara ketiga-tiga parti dalam PR terus bertahan tetapi kerana perbezaan ideology yang agak ketara antara dua parti – PAS dan DAP – bibit-bibit krisis mula kelihatan sejak awal lagi. Krisis antara PAS dan DAP terjadi secara bermusim, biasanya apabila isu kaum atau agama diungkitkan. Pemuafakatan PR lebih berfokus kepada kerjasama politik dalam menghadapi musuh politik yang sama iaitu BN. Ia bukan suatu gagasan kerjasama yang benar-benar mantap berasaskan pendirian bersama yang diterima oleh ketiga-tiga parti yang mana ini dapat diterjemahkan dalam pembentukan sebuah kerajaan yang mantap dan adil sekiranya PR berjaya mengambil alih Putrajaya. Jurang antara PAS dan DAP agak ketara manakala antara DAP dan PKR tidaklah begitu menonjol.

Usaha merapatkan ketiga-tiga parti sering dilakukan terutama di peringkat awal penubuhan sehingga melahirkan prinsip-prinsip kerjasama yang memungkinkan gabungan ini terus menjalankan kegiatan-kegiatannya terutama apabila menghadapi pilihanraya. Prinsip yang dipersetujui ini menekankan bahawa perjalanan PR dan aktivitinya berbeza daripada perjalanan parti-parti komponennya; asas kefahaman ialah ketiga-tiga parti mempunyai dasar atau ideology yang berbeza dan berhak untuk memperjuangkannya. Parti-parti ini juga menerima prinsip-prinsip bersama untuk menuju kepada sebuah kerajaan yang adil dan pemerintahan yang baik (practicing good governance). Namun persetujuan bersama seperti ini tidak menjadi kekuatan sebenar PR dan seperti mana dilihat dalam perkembangan-perkembangan seterusnya prinsip ‘setiap parti setuju untuk berbeza dari segi asas perjuangannya’ walaupun sepatutnya menjadikan keterikatan dalam PR mengatasi prinsip tersebut namun apa yang berlaku adalah sebaliknya. Ketiga-tiga parti sukar untuk mencapai kata sepakat dalam isu-isu besar yang sering diungkitkan kerana prinsip ‘bebas untuk berbeza’ ini.

Isu MB Selangor dan kemelut berpanjangan

Walaupun PR berjaya meraih sokongan yang lebih tinggi dalam pilihanraya berikutnya pada Mei 2013, isu-isu prinsip antara parti komponennya terus menghantui gabungan parti politik ini. ‘Perbalahan’ terbuka antara PAS dan DAP semakin menjadi tetapi isu yang benar-benar menggoncang PR ialah isu pertukaran Menteri Besar Selangor pada 2014. Bermula daripada “Kajang Move” (Langkah Kajang) kepada siri tindakan yang membawa kepada ‘penyingkiran’ Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar pada Ogos 2014 telah mempamerkan kerapuhan prinsip untuk bekerja menjatuhkan BN itu.

Sepanjang krisis itu yang memuncak pada bulan Ogos – September 2014, PAS telah dilihat oleh masyarakat sivil sebagai parti yang tidak bersedia untuk mendokong cita-cita besar menggantikan kerajaan BN sedia ada. Malah presiden PAS telah dipersalahkan oleh kalangan pemerhati termasuk anggota masyarakat sivil dan NGO sebagai punca kepada kemelut yang menyusul ekoran keputusan PR menggantikan Tan Sri Khalid. Andaikata dua orang ahli PAS yang juga anggota Dewan Undangan Negeri Selangor tidak memihak kepada keputusan PR yang mahu Khalid diganti dengan calon lain yang telah dipersetujui besar kemungkinan kerajaan PR Selangor tumbang dan kuasa akan kembali kepada BN. Mereka berdua telah mengingkari ‘arahan’ parti mereka untuk tidak mengundi calon baru yang dicadangkan.

Kemelut berpanjangan antara PAS dan dua lagi rakan pakatannya dalam PR bukan sahaja berkisar kepada soal-soal politik dan kuasa tetapi yang lebih parah lagi melibatkan isu agama. PAS bertegas hendak bertindak bersendirian apabila sesuatu perkara berkait dengan agama ditimbulkan. Ini dibuat atas dasar ‘berhak untuk membawa prinsip perjuangan masing-masing’ dalam PR. Akhirnya, terdengar suara-suara di kedua-dua belah pihak agar PAS disingkir/keluar daripada PR. Di pihak pendokong tegar PR dan juga penyokong PKR dan DAP, mereka mahu PAS dibuang daripada PR kerana gagal menghayati prinsip bersama yang utama dalam PR. Di pihak PAS pula sebahagian kepimpinan dan ahli yang dikenali sebagai golongan konservatif mula mendesak supaya PAS keluar daripada PR kerana tidak bersetuju dengan pendirian PKR dan DAP yang dikatakan sering menghalang cita-cita parti itu untuk melaksanakan undang-undang syariah dalam Negara ini.

Makalah ini tidak berutjuan untuk membincangkan pro dan kontra isu pelaksanaan undang-undang syariah di sini. Memadai untuk dikatakan bahawa isu yang sebesar ini dan yang mengandungi sensitiviti yang begitu tinggi sepatutnya dibincangkan dan dihalusi dengan teliti dalam PR terutama dalam kalangan kepimpinan dan ahli strategisnya supaya ia tidak menjadi masalah kepada kelangsungan pakatan tersebut. Malangnya kerana ini tidak dilakukan isu tersebut kini menjadi bakal penyebab kepada pecahnya PR yang memungkinkan tertubuhnya satu gagasan parti baru menggantikan PR dan yang tidak menerima golongan konservatif PAS sebagai sebahagian komponennya .

Di sebalik perkembangan mutakhir ini terdapat banyak pengajaran bagi semua parti politik di Malaysia lebih-lebih lagi di pihak Pembangkang. Aspirasi rakyat yang semakin celik politik hasil peranan media sosial dan media baru secara umumnya semestinya ditangani dengan betul oleh pihak yang mahukan sokongan politik untuk menuju ke Putrajaya. Sebuah parti politik dalam sistem demokrasi semestinya menerima sepenuhnya bahawa kewujudannya adalah untuk mendapatkan kuasa melalui pilihanraya walaupun mempunyai agenda ideologinya. Ideologi adalah garis panduan umum dalam konteks politik pilihanraya (electoral politics), bukan menjadi fakta yang mesti dipertahankan dalm semua keadaan sehingga membawa kepada terputusnya kerjasama politik yang dijalin sebelum itu dengan pihak-pihak lain.

Tidak salah bagi sebuah parti yang mempunyai ideologi yang masih belum diterima oleh majoriti pengundi/rakyat untuk menjadikan ideologi tersebut sebagai landasan utama meraih sokongan politik. Namun ini seharusnya dibuat secara bersendirian tanpa membabitkan rakan politik daripada kumpulan atau parti lain yang berbeza ideologi dengannya atau dengan kata lain parti ini memasuki pilihanraya tanpa kerjasama atau berpakat dengan parti-parti lain. Apabila wujud sekumpulan parti yang mahu mmbentuk satu pakatan atau gabungan, ideologi setiap parti tidak boleh dijadikan dasar atau pegangan (kerana ia juga mustahil); yang harus diarusperdanakan ialah ‘ideologi’ baru parti gabungan/pakatan tersebut yang diterima oleh semua anggotanya. Perlu ada sifat ‘berkorban’ untuk matlamat yang lebih besar. Dan ini pun kerana mengambil pendekatan untuk menyertai politik pilihanraya.

Oleh itu timbul beberapa persoalan di sini. Apakah gagasan politik yang dikenali sebagai PR dapat bertahan sehingga pilihanraya umum akan datang? Apakah sekiranya PR yang kini berada dalam keadaan kurang stabil ekoran kemelut PAS dengan ‘rakan-rakan’ pakatannya mampu kembali kepada kedudukan asal malah lebih hebat daripada sebelumnya? Mungkinkah fasa yang sedang dilalui oleh PR sebenarnya satu rahmat yang mematangkannya lagi dalam mengharungi politik negara yang semakin bergolak kini dengan persaingan antara politik lama dan politik baru? Dan apakah masih ada harapan untuk PAS terus berada di dalam PR andaikata dalam pemilihan kepimpinan tertinggi parti yang akan datang golongan konservatif dapat menewaskan golongan progresifnya?

Ini akan dilihat dalam perbincangan seterusnya.

(Penulis adalah seorang Profesor Madya di UTM Perdana School for STI Policy, Universiti Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur)

Sumber: Artikel asal dari http://Kejar.Org.

Bersyukur dan Manfaatkan Pakatan Rakyat Sebagai Pertolongan Allah

Ramai sahabat-sahabat yang menyatakan perasaan kecewa dan sedih mereka kepada saya, melihat gelagat beberapa pimpinan PAS yang menunjukkan sikap tidak menghargai dan bersyukur atas kewujudan Pakatan Rakyat.

Samaada mereka mempunyai wawasan masa depan politik yang begitu terbantut atau agenda tersendiri yang masih belum didedahkan hanya Allah yang Mengetahui.

Kata-kata seperti “PAS mampu bersendirian”, “Putrajaya bukan matlamat kami”, “Sokongan bukan Islam tak penting” dan sebagainya adalah sangat-sangat bercanggah dengan wawasan pimpinan terdahulu.

Kenangan zaman dahulu

Saya masih ingat pada tahun-tahun 80an semasa PAS mempunyai kekuatan hanya di pantai Timur, khususnya di Kelantan dan Terengganu, pada ketika itu, semua pimpinan berusaha memikirkan kaedah untuk memperluaskan pengaruh PAS supaya melangkaui kawasan pantai timur ini.

Pada ketika itu PAS sebagai parti yang tersisih dari politik arus perdana negara dan dianggap parti yang mempunyai sokongan hanya di kawasan Pantai Timur dan kawasan terhad di Kedah dan Perak. Maka pimpinan dan keseluruhan ahli-ahli PAS berusaha sambil berdoa agar ruang pengaruh PAS dapat diperluaskan.

Didoakan semoga Allah bantu PAS supaya dapat maju ke depan, memperluaskan ruang pengaruh dan sokongannya, bukan sekadar di Pantai Timur sahaja tetapi juga di Pantai Barat. Begitu juga, bukan sekdar di kampung-kampung tetapi juga di bandar raya dan bukan sekadar di kalangan orang Islam sahaja tetapi juga di kalangan yang bukan Islam.

Pada ketika itu, pimpinan di semua peringkat bertungkus lumus berusaha mengatasi prejudis dan gambaran negatif yang tersebar luas terhadap PAS di kalangan masyarakat, khususnya yang bukan Islam. Maka diusahakan pembentukan “Chinese Consultative Council” atau “CCC”.

Nak cari orang Cina yang sanggup hadir program PAS pada ketika itu cukup sukar walau pun bersama CCC. Pada masa itu beberapa orang suadara baru dari kaum Cina ikut mendekatkan PAS dengan masyarakat Cina. Di antara mereka yang saya masih ingat ialah Kamal Koh, Ridzuan Daniel Onn dan Ali Abdullah.

Kemudian semasa PAS menubuhkan lajnah antara kaum pada tahun 90an seorang saudara baru yang sangat kuat membantu saya di Perak semasa menjadi PJ ialah Faizal Tan(Allahyarham) dan kemudian datang lagi seorang saudara baru membantu saya di pusat semasa saya menjadi ketua penerangan ialah saudara Ann Wang Seng Abdullah.

Datangnya pertolongan Allah?

Saya yakin, dengan doa dan usaha ahli dan pimpinan, yang merupakan gandingan ulama, profesional dan aktivis, Allah hasilkan perpecahan Umno pada 1987 dan Semangat 46 terbentuk. Pimpinan PAS bertindak bijaksana, menyedari ianya bantuan dari Allah, mengadakan Tahaluf dengan S46 dalam Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dan pada pilihan raya 1990, Kelantan dimenangi kembali selepas 14 tahun di bawah Barisan Nasional.

Sepuluh tahun kemudian, pada 1998 Allah memberi pertolongan kepada  PAS sekali lagi dengan perpecahan Umno buat kali kedua. Barisan Alternatif (BA ) terbentuk dan Terengganu pula dimenangi PAS sambil Kelantan tetap berjaya dipertahankan pada PRU 1999. Pada ketika itu, imej PAS yang bekerjasama rapat dengan DAP dan Keadilan mula berjaya diperbaiki di kalangan “mayarakat selain dari ahli PAS”. PAS dilihat adil membela semua golongan yang dizalimi.

Malangnya pada 2004, atas sebab Umno/BN bersatu kembali melalui kepimpinan barunya ia itu Tun Abdullah Ahmad Badawi dan DAP meninggalkan BA maka Terengganu terlepas kembali kepada BN dan PAS hilang kembali kerusi-kerusi yang dimenangi di Selangor dan Perak. PAS pun dapat bertahan di Kelantan dengan majoriti kerusi yang minima. Namun, kemenangan cemerlang Umno/BN yang dicapai pada 2004 hanya sementara.

Perpecahan Umno diteruskan

Hasil perpecahan Umno yang berterusan, dan pendekatan serta strategi bijaksana PAS, dengan diperkenalkan cogan-kata “PAS for all”, dan kegagalan Pak Lah untuk melaksanakan apa yang dijanjikannya melalui slogan Islam Hadharinya maka PAS, PKR dan DAP terus mara di arena politik tanah air. PR terbentuk selepas PRU 2008 hasil pencapaian cemerlang dalam pilihan raya tersebut dan Kedah, Selangor, Perak, Pulau Pinang dapat dirampas dari BN sambil Kelantan terus berjaya dipertahankan dengan cemerlangnya.

Kejayaan demi kejayaan yang diperolehi PAS, melalui pilihan raya yang disertainya selama ini, adalah hasil dari doa dan usaha gigih pimpinan dan ahlinya, serta kemampuan mereka untuk mengenali dan memanfaatkan bantuan yang Allah berikan sepanjang perjuangan mereka.

Maka PAS mencapai apa yang diinginkan dan diusahakan selama ini. PAS menjadi sebuah parti politik yang dilihat releven semua kaum, berada di tengah-tengah arus perdana politik negara, membicarakan masalah rakyat dan ummah sambil membela semua yang teraniaya, samada Islam atau bukan Islam.

PAS menjadi parti yang punyai daya penarik terhadap seluruh rakyat dan tidak lagi dilihat sebagai parti terpencil dan tidak releven. Kebersamaan PAS dengan rakyat dalam usaha menangani masalah rakyat semakin menonjol tanpa mengabaikan persoalan-persoalan Islam dan ummah yang menjadi dasar perjuangannya.

Justeru itu, bagi saya, pembentukan PR adalah sebenarnya satu pertolongan dari Allah yang jelas dan nyata. Ianya terhasil dari perpecahan yang Allah cetuskan di kalangan pimpinan Umno dan BN. Ianya satu gabungan yang suatu ketika dahulu dianggap tidak masuk akal tetapi tetap dijayakan Allah juga hasil kebijaksanaan dan usaha gigih serta doa pimpinan dan ahli-ahli PAS. Ianya juga hasil dari doa rakyat jelata yang ingin terlepas dari kesempitan yang dihasilkan kezaliman Umno.

Perubahan sikap secara mengejut

Malangnya secara tiba-tiba saya dan ramai pendokong PAS melihat ada pihak yang tidak menghargai dan mensyukuri pertolongan yang Allah berikan ini walaupun kebaikannya dizahirkan Allah melalui keputusan PRU, penerimaan orang bukan Islam terhadap PAS, pembentukan dan pengukuhan DHPP, pembentukan kerajaan PR di beberapa negeri dan bermacam-macam lagi.

Mereka bagaikan tidak mengenalinya sebagai pertolongan dari Allah dan sebaliknya mendakwa ianya pengkhianatan terhadap perjuangan Islam! Segala pencapaian yang disasarkan dan dicapai melalui PR tiba-tiba dilihat sebagai tidak berharga dan bernilai dan dianggap sebagai kelemahan yang membawa kerosakan aqidah.

Perlu wahyu mengesahkan?

Tiada wahyu yang akan turun untuk menyelamatkan PAS dari kesimpulan yang negatif ini sepertimana turunnya wahyu membetulkan sikap beberapa sahabat selepas ditanda-tangani perjanjian Hudaibiyyah. Dan sebenarnya wahyu baru tidak diperlukan lagi kerana Al-Quran lengkap dan sempurna.

Hanya yang diperlukan adalah untuk dibuka mata untuk melihat dan dibuka minda untuk berfikir dan dibuka hati untuk bersikap adil dan ikhlas. Jangan ada di antara kita yang menjadi seperti golongan Bani Israel yang diturunkan Al-manna was-Salwa kepada mereka tetapi mereka meminta pula diberikan kepada mereka tumbuhan-tumbuhan dari bumi seperti bawang, gandum, sayur-sayuran dan sebagainya!

Jangan kita bersikap seperti kaum Bani Israel yang Allah kisahkan itu yang inginkan bantuan dalam bentuk yang mereka inginkan sahaja, sambil kufur dan engkar terhadap cara yang Allah berikan.

Amat meleset sekali kalau kita bersikap, PR adalah satu kesilapan dan penyelewengan dari dasar PAS. Ini membawa erti kita menafikan usaha-usaha serta ijtihad pimpinan terdahulu. Sambil itu kita tidak bersyukur ke atas pertolongan yang Allah berikan sehingga PAS mencapai status sepertimana yang tercapai hari ini. Sebaliknya kita wajar teruskan dan bina di atas apa yang dibina mereka yang terdahulu dari kita.

PAS mula diterima semua

Kepercayaan rakyat jelata termasuk yang bukan Islam terhadap PAS bertambah tahun demi tahun sejak 1998 dan memuncak pada 2012. Imej almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai pemimpin untuk seluruh rakyat semakin kukuh dan beliau dipuji semua kecuali BN (yang hanya memberi pujian setelah beliau kembali mengadap Allah). Adakah ianya kerana TGNA “tunduk pada DAP”? Sudah pasti tidak!

Pada masa yang sama, hubungan di antara PAS dan DAP menjadi begitu rapat sehingga DAP sanggup menggunakan lambang PAS sekiranya perlu pada PRU 2013 ia itu sekiranya parti DAP digantung atau dibatalkan pendaftarannya sebelum PRU ke 13.

Ke mana perginya hubungan yang sebegitu rapat pada masa ini? Adakah PAS pernah menggugurkan dasar perjuangannya demi mencapai hubungan sebegitu akrab? Sudah pasti tidak pernah! Namun kepercayaan dan hubungan itu dibina dengan pendekatan yang berhemah dan bijaksana pimpinan terdahulu.

Retak menunggu belah

Tiada siapa yang menjangka, dalam tempoh hanya 2 tahun hubungan PAS dan DAP menjadi bagaikan “retak menunggu belah”. Lebih-lebih lagi setelah mencapai keputusan yang agak cemerlang semasa PRU 13. Keputusan cemerlang ini sepatutnya mengukuhkan lagi hubungan ini dan bukan sebaliknya. Tetapi anehnya, sekarang PR seperti berada di ambang perpecahan dan berantakkan. Di mana silapnya?

Imej PAS turut tercalar, menyebabkan kepercayaan bukan Islam terhadapnya semakin terhakis. Dituduh khianat dan tidak amanah rakan segabungannya. Dilihat PAS membawa perjuangan yang eksklusif hanya untuk orang Islam sambil bagaikan kurang berminat terhadap penderitaan rakyat.

Isu 1MDB, GST dan pemenjaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan lain-lainnya seolah-olah tenggelam di bawah perbahasan mengenai perlaksanaan Enakman Kanun Jenayah Syariah II (EKJS) yang di kenal dengan Undang-Undang Hudud negeri Kelantan.

Saya melihat isu hudud ini menjadi besar setelah ianya diwar-warkan kerajaan pusat yang di ketuai Umno memberi sokongan untuk melaksanakan undang-undang hudud negeri Kelantan dengan syarat ianya dibawa ke Parlimen untuk di luluskan.

Namun apa yang sebenarnya yang terkandung dalam Rang Undang-undang Persendirian yang di bawa TGHH (MP Marang) adalah hanya mengenai Pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah(Bidangkuasa Jenayah 1965) yang dikenali dengan Akta 355 .

Pindaan itu bertujuan bagi menaikkan kadar hukuman yang boleh dijatuhkan Mahkamah Syariah dalam kes-kes jenayah dalam bidangkuasa Mahkamah Syariah iaitu kesalahan zina, minum arak, menuduh zina yang selama ini hukuman sebatan hanya boleh dilaksanakan sebanyak tidak lebih dari enam sebatan sahaja. Maka dengan kelulusan Rang Undang-undang Persendirian itu Mahkamah Syariah bolehlah melaksanakan hukuman sebatan mengikut yang dituntut syariah.

Ada pun hukuman rejam sampai mati, hukuman potong tangan, hukuman potong tangan dan kaki dan hukuman bunuh atas jenayah murtad dan jenayah qisas seperti yang terkandung dalam EKJS Kelantan itu tidak dapat dilaksanakan kerana tidak termasuk dalam Pindaan Akta 355.

Perkara seperti ini tidak difahami masyarakat umum termasuk sebahagian pimpinan PAS sendiri. Sebagai contoh ketika menulis artikel ini saya terbaca kenyataan PJ Perak yang dengan tegas menyebutkan, Private Bill yang dibawa PAS ke Parliman ialah EKJS yang diluluskan DUN Kelantan baru-baru ini. Hal ini bertambah menjadi perbahasan apabila digambarkan, PAS amat bergatung dengan pihak Umno yang diwar-warkan bersetuju dengan perlaksanaan undang-undang hudud Kelantan.

Perkara ini bertambah merancakkan perbahasan apabila ada beberapa pemimpin PAS Kelantan membangkitkan kononya TGNA (Allahyarham) memberi amanat supaya berbaik-baik dengan Umno bagi melaksanakan undang-undang hudud.

Campur tangan Umno?

Sedih, namun itulah keadaan yang berjaya diwujudkan sekarang ini. Semestinya mereka yang terlibat dalam merencanakan perkembangan ini amat di sukai Umno/BN. Sudah pasti ini semua terhasil bukan secara kebetulan tetapi diusahakan pihak-pihak tertentu mengikut perancangan mereka.

Melalui berbagai usaha, termasuk permainan Umno yang menggunakan isu hudud sebagai wasilah mereka yang berjaya menghasilkan suasana ini. PAS dan DAP lebih sibuk bergaduh sesama sendiri dari menyentuh Umno. Malahan ada di kalangan ahli PAS yang beranggapan, menyerang DAP dan PKR adalah “lebih afdhal” dari menyerang Umno. Dan itulah yang golongan ini lakukan sejak tahun-tahun kebelakangan ini.

Kesimpulan

Keadaan ini semua adalah hasil kepimpinan yang dilihat kurang berkesan dengan wawasan yang bercelaru. Sebelah kakinya di dalam perahu PR dan sebelah lagi bagaikan di luar perahu . Walaupun disebut berkali-kali “kukuhkan PR”, “PAS terus bersama PR”, “PAS tidak akan keluar PR”, namun tindakan bercanggah dengan kata-kata. Tambahan pula terdapat golongan ulama pelapis muda yang baru dapat amanat kepimpinan sering membuat kenyataan, PAS lebih senang berjuang bersendirian.

Sudah tiba masanya kita kembalikan PAS kepada landasan yang dipersetujui dan diputuskan bersama, dengan kepimpinan yang jelas wawasan serta manhaj dan uslubnya. Sama sama kita kembalikan keyakinan rakyat, yang Islam dan bukan Islam, terhadap PAS.

Kita ingin ke Putrajaya dengan PR dan tidak redha Umno/BN terus bertakhta lebih lama. PRU 14 tumpuan kita, dengan gandingan yang kukuh dan mantap bersama PR. PAS sebagai rakan setia yang jujur dan boleh diyakini kata-kata dan janji nya. – 9 April, 2015.

Pengarang: Ust Ahmad Awang

Penulis ialah bekas pesuruhjaya PAS Perak.

Sumber: http://www.themalaysianinsider.com/rencana/article/bersyukur-menfaatkan-pakatan-sebagai-pertolongan-allah-ahmad-awang