Tuan, berundurlah demi kebaikan PAS

Hadi-1Tuan surat saya bahagian yang ke-4 ini adalah surat panjang Ramadhan terakhir buat Tuan. Sebagai mengakhiri surat ini saya dengan sukacita dan penuh insaf setelah meneliti dan mengkaji segala perkembangan mutakhir dalam PAS, mencadangkan agar Tuan berundur daripada memimpin PAS. Usah prejudis dengan cadangan dan gesaan ini. Ia dibuat untuk kemaslahatan semua.

Saya jamin Tuan kalau Tuan mengambil tanggungjawab dan amanah ini Tuan tidak akan dipaluti dosa bahkan Tuan akan dialu-alu dan disanjung tinggi.

Sesuatu yang Tuan kena sedar dan insaf kemenangan besar yang diraih dalam muktmar lalu bukan lesen untuk Tuan terus berada di situ. Megah untuk jadi presiden. Kemenangan itu bukan segala-galanya. Tuan pun tahu kemenangan itu bukan dibuat seccara adil dan tepat berdasarkan pencapaian dan keupayaan (prestasi) Tuan sebagai presiden PAS selama ini. Dalam erti kata lain kemenangan itu bukan suatu pengikhtirafan tulen atas kemampuan Tuan.

Pengangkatan Tuan ialah kerana rasa taksub dan takjub ahli kepada Tuan oleh ahli yang sudah diternak dengan diberi makanan dan umpan subur bernama Islam yang Tuan tafsirkan. Tuan sendiri tanpa disedari telah dijadikan modal dan alat oleh golongan yang ingin menguasai PAS, membawa PAS kepada hala tersendiri yang telah dirancangkan demikian rupa.

Sebenarnya Tuan telah dijadikan bahan komoditi oleh sebahagian mereka dengan tujuan-tujuan tertentu. Ia dibuat bukan secara iklas dan diukur dengan kemampuan sebenar jauh sekali untuk menghidupkan PAS yang sudah berjaya membentuk identitinya sendiri dalam persada politik negara di mata rakyat Malaysia dan diyakini menjadi parti masa depan.

Tuan juga terulik dengan pujian yang sama sekali bukan tidak sepatutnya Tuan terima. Sebagai contohnya, penyanjungan Tuan yang dilantik sebagai Naib Presiden Ulama sedunia, hanyalah sebuah nyanyian sahaja. Saya yakin mereka yang tulus dalam membuat penilaian ini dapat mengukur bandingkan Tuan dengan mereka yang lain. Jadi perlantikan itu bukan berdasarkan wibawa Tuan, tetapi kerana wibawa organisasi yang Tuan kepalai, iaitu PAS. Ia adalah dua perkara berbeza.

Hakikat yang ada bukan seperti apa yang digemakan. Tuan hanyalah tin kosong yang kuat dibunyikan tetapi di dalamnya, tidak ada apa-apa. Bolehkah Tuan lena dengan dodoian dan lagu ulik mayang atau puteri beradu seperti mana dinyanyikan sang ibu kepada anak untuk menidurkan si anak. Tahukah Tuan bahawa sang ibu mendendangkan lagu-lagu tradisi itu untuk anak lena agar mereka (ibubapa) boleh melakukan kerja lain yang asyik?

Begitu jugalah dengan Tuan dalam PAS telah dijadikan perkakas dan didodoikan sedemikian merdu dan mendayu agar Tuan lali, tertidur dan lupa kepada hakikat diri selaku khalifah sebenar yang dituntut Allah. Khalifah memimpin manusia dan meletasrikan alamnya bukan memecah mecil dan mengkhianti alam yang indah ini. Tuan juga banyak dituba dengan ratib puji-pujian oleh orang-orang yang ingin menumpangkan Tuan yang ada kepada Tuan untuk kepentingan diri sendiri. Silapnya Tuan disini Tuan tidak memerhati serta memahami perangkap samar itu.

Permintaan saya ini bukan wewenang. Saya ada asas kenapa meminta Tuan berundur scara terhormat. Tuan harus menginsafi beberapa kerosakan besar PAS muasir ini berlaku gara-gara Tuan. Bukan maksud saya sengaja mahu memburuk-burukkan Tuan, tetapi perubahan pegangan dan pendekatan politik Tuan yang tidak konsisten menjadi penyebabnya. Tuhan menganjurkan ahli beristiqamah dengan perjuangan Tuan sendiri tidak istiqamah dengan kata-kata Tuan sendiri.

Tuan juga terlalu sombong dan “agah” dengan pandangan sendiri dan tidak menghormati idea orang lain. Perasaan keagamaan yang tinggi yang ada kepada Tuan menyebabkan Tuan mudah berasakan orang lain jahil. Sikap inilah merupakan satu kesilapan dan dosa besar kepada kesejahtraan PAS lantaran Tuan. Tuan perlu sedar Tuan sudah menjadi liabiliti kepada PAS.

Ternatijah dari itu menyebabkan Tuan sudah hilang aura yang besar dalam PAS. Tuan sudah hilang kepercayaan oleh sebahagian ahli yang lain walaupun Tuan dipuja dan dikultuskan sebagai wali oleh yang sebahagian yang lain. Malang lagi Tuan dicemuh dan dikutuk oleh umum. Tuan kena sedar, Tuan tidak boleh mengakui memiliki sebutir nyiur kalau hanya sebelah sahaja ditangan Tuan dan sebelah lagi ditangan orang lain. Nyiur sebutir itu dikatakan nyiur apabila ia sempurna dalam kebulatannya.

Apa yang berlaku sekarang ini dimana hampir separuh bekas pimpinan PAS menentang Tuan dan memprotes dengan bercadang untuk menubuhkan parti baharu. Kemusnahan perpaduan PAS ini Tuan kena bertanggungjawab, dan bukan boleh menolak dengan anggapan ia adalah takdir dan membuat perumpamaan-perumpamaan Pandir. Rasa tanggungjawab Tuan sebagai pemimpin perlu ada. Kalau sebelum ini Tuan meminta anggota kerajaan bertanggungjawab atas sesuatu yang berlaku, nah kini desakan itu harus ada dalam diri Tuan sendiri, Tuan perlu mendesak Tuan sendiri agar bertanggungjawab ke atas nasib yang menimpa PAS.

Untuk ini Tuan harus bertindak lebih bijak dan tidak mengikut “erel” ahli yang kecewa itu. Di sinilah peranan pemimpin berusaha mengembalikan perpaduan dan keharmonian. Di sinilah perlu pentingnya ilmu diplomasi dan ilmu hubungan kemanusiaan (PR) dalam bertindak. Seorang pemimpin itu jaya atau tidak akan dilihat kepada keupayaan untuk menguatkan parti bukan mencaing-caingkan. Dalam konteks agama pula sejauh mana ia mampu menjadikan wadah yang dipanggungnya membawa Rahamtanlialamin.

Dalam pada itu untuk adil saya memberi kata dua (ultimate) kepada Tuan untuk dijadikan alasan Tuan berundur. Pertama ialah sekiranya Tuan gagal untuk merealisasikan hasrat Tuan menyatukan PAS dengan UMNO. Kedua ialah, sekiranya parti baharu terbentuk selepas raya ini.

Tuan tidak boleh sembunyikan hasrat dan keinginan Tuan untuk menyatukan PAS dengan UMNO atas alasan untuk survive Melayu dan Islam itu. Tuan tidak boleh menafikan hal ini. Kenyataan dan tindak tanduk Tuan membawa ke arah itu. Ia semacam dibuat sebagai penebusan dosa Tuan selama ini yang mengkafirkan UMNO.

Tidak menjadi kesalahan pun kalau Tuan ada fikiran ke arah itu. Ini juga merupakan satu upaya dan kuasa yang ada kepada seorang presiden. Tuan kena buktikan dan laksanakan secepat mungkin. Bukankah Tuan sudah menanam terlalu dalam benih kerjasama itu dalam jiwa Tuan. UG? Tuan tidak perlu berdolak dalik.

Sekiranya hasrat ini gagal dan menemui kehancuran maka wajarlah Tuan berundur sebagai mengambil tanggungjawab. Jadi presiden bukan sekadar untuk dipanggil presiden tetapi yang penting menunjukkan karismatiknya.

Begitu juga sekiranya wujud parti baharu yang sedang diura-urakan ini, Tuan harus bertanggungjawsab. Kewujudan itu kerana kegagalan Tuan memulihkan kembali semangat ukhwah Islamiyah dalam PAS selepas bermuktamar. Kebijaksanaan Tuan diuji dalam hal ini. Tuan sekali lagi tidak boleh berkata, ia adalah takdir. Takdir itu sendiri boleh diterima setelah kita berusaha mengatasinya. Apakah Tuan telah berusaha?

Sekiranya kewujudan parti baharu itu menjadi kenyataan tidak ada helah bagi Tuan melainkan kena berundur. Jadi di sini dua alasan saya kemukakan untuk Tuan berundur.

Saya melihat PAS masih ada waktu tersisa untuk dipulihkan seterus menjadi sebuah parti yang dihormati kalau Tuan berundur. Dan orang yang boleh diserahkan tanggungjawab ini tidak lain dan tidak bukan timbalan presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man. Melihat kepada gaya, perwatakan dan pendekatan politik diambil Tuan Ibrahim, (menerusi kenyataan dan seruan akhbar) menunjukkan beliau ada daya untuk memulihkan PAS berbanding dengan Tuan.

Pendekatan Tuan Ibrahim dilihat lemah lembut dalam tindakannya walaupun dia nampak tipis dengan pengalaman politik dan sesetengah kenyataan politiknya tawar. Tetapi perwatakan dan sikap sedikit terbukanya menjadi modal untuk dia memimpin PAS.  Sekiranya dia dipandu dengan cara teratur dan diberikan peluang Tuan Ibrahim boleh membentukan arca dalam serpihan cermin diri bapa saudaranya Tokguru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Tuan tidak perlu menyesal dan rasa terhina kalau mengambil tanggungjawab itu. Bahkan Tuan akan disanjung dan dipuja lebih hebat dari itu sebagai seorang pemimpin yang meletakkan parti mendahului daripada ego diri. Tuan akan dicatat sebagai rekod seorang lagi bekas presiden PAS seperti Yusuf Rawa, yang melepaskan jawatan kepada Fadzil Noor. Segeralah lepas jawatan.

Akhirnya, saya mengucapkan selamat hari raya Aidifitri kepada Tuan semoga Tuan dan kita semua berada dalam keredhaan Allah s.w.t., mesikpun tanpa berkerjasama dengan UMNO.

Salam hormat,
MOHD SAYUTI OMAR.
Wangsa Melawati,
Kuala Lumpur.
Ramadhan 21.

Umno tidak seburuk ‘Firaun’, kata presiden PAS

Oleh: Hasbullah Awang Chik

Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini menyelar pihak tertentu yang memandang negatif pertemuan yang diadakan PAS bersama Umno kerana katanya, pandangan serupa itu tidak menjadi pendekatan parti Islam itu.

Presiden PAS itu berkata, walaupun ada pihak yang mencemburui pertemuan di antara dua parti itu, beliau menegaskan, parti Melayu itu tidaklah seburuk Firaun yang digambarkan dalam Al-Quran.

“Malangnya ada yang cemburu. Macam isteri yang tak benarkan suaminya ke pasar, tak boleh berjumpa dengan perempuan. Asal jumpa dengan Umno tak boleh, diharamkan. Itu bukan pendekatan kita.
“Dengan bahasa yang dinasihati Allah, berhubunglah, pergi bercakap, walaupun dengan Firaun. Tak kan kita nak cakap Umno setaraf dengan Firaun yang disebut dalam Al-Quran.

“Jangan sampai begitu. Tak boleh bertindak melebihi ajaran Al-Quran. Kita menganggap kaum kita ditenggelam oleh kejahilan, yang memerlukan kita menyelamatkannya,” katanya.

Hadi berkata demikian dalam ucapan penangguhannya pada hari terakhir Muktamar Tahunan PAS ke-61 di Kuala Selangor hari ini.

Katanya, dalam menjalinkan kerjasama politik bersama Pakatan Rakyat (PR), PAS adalah parti yang berdisiplin dan beradab berbanding parti lain yang membawa pelbagai kerenah.

Katanya, senario itu terbukti apabila ada parti dalam PR yang cuba mempersoalkan pendirian PAS, malah ada yang cuba ‘mencuri’ wakil rakyat parti Islam itu.

“Kita mengamalkan tahaluf ini sejak PAS ditubuhkan. Kita menghadapi liku-liku yang mencabar, tahaluf terkini dalam sejarahnya.

“Alhamdulillah PAS menunjukkan ia parti yang berdisiplin dalam bertahaluf. PAS beradab kerana tahaluf sefahaman dalam titik persamaan.

“Masing-masing walau berbeza ideologi tidak ganggu akidah,” katanya.

Sebaliknya, katanya, rakan dalam PR ada yang menyentuh perkara yang berkaitan akidah, disiplin, pelaksanaan syariat, isu kepimpinan parti.

“Ini urusan dalam PAS, kita tak kempen pemilihan parti lain, orang tolong kempen pemilihan kita,” kata Hadi.

DAP pada hujung bulan lalu berkata, ia tidak akan berhenti menyoal Hadi walaupun PAS akan melalui pemilihan, sambil menegaskan parti itu tidak pernah masuk campur pemilihan mana-mana parti politik.

Setiausaha agungnya Lim Guan Eng berkata, DAP tidak akan dibisukan oleh pemilihan PAS itu daripada memperkatakan kebenaran.

Katanya, walaupun Hadi mengumumkan beliau “masih bersama PR”, pemimpin nombor satu PAS itu perlu menjawab beberapa soalan berhubung tindakannya sepanjang setahun yang lalu.

“Kenapa Hadi memungkiri komitmen PAS kepada Dasar Bersama PR dan jaminan peribadinya kepada pimpinan PR?

“Kenapa Hadi menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di tengah kemelut skandal RM42 bilion 1Malaysia Development Berhad (1MDB)?

“Kenapa Hadi mahu mewujudkan ‘kerajaan perpaduan’ bersama Umno?” soal Lim dalam kenyataannya sebelum ini. – 6 Jun, 2015.

Sumber: https://www.youtube.com/watch?v=wplchMqrWL0