Klu Klux Klan dan “Asabiyah” Islam

Oleh: Rozhan Othman

human-rights1aSejarah perjuangan hak asasi manusia di Amerika Syarikat banyak diwarnai oleh ancaman dari kumpulan perkauman Klu Klux Klan (KKK). Kumpulan ini mula ditubuhkan selepas Perang Saudara di Amerika. KKK terkenal kerana keganasannya terhadap penduduk kulit hitam di Amerika, khususnya di selatan Amerika Syarikat. Selain dari menjaja kebencian, KKK turut terlibat mengusir dan membunuh orang-orang kulit hitam.

Satu perkara yang dapat dilihat pada KKK ialah usaha kumpulan ini menggunakan ajaran Kristian sebagai justifikasi untuk perjuangan dan tindak-tanduknya. Pemimpin KKK ketika ini ialah Pastor Thomas Robb. KKK mempromosikan perjuangan ketuanan kulit putihnya sebagai berteraskan ajaran Kristian. Pakaian seragam mereka turut disertakan salib untuk menumpang identiti Kristian. Namun, aliran-aliran utama Kristian di Amerika menolak ajaran KKK. Sentimen yang digunakan KKK ialah bahawa golongan majoriti kulit putih kini terancam. Cara hidup masyarakat kulit putih kini dihakis oleh golongan-golongan lain. Sentimen perkauman di selatan Amerika sememangnya menebal sehingga kini. Untuk satu ketika yang lama, pengasingan diamalkan. Orang-orang kulit hitam tidak dibenarkan belajar di sekolah yang sama dengan orang-orang kulit putih. Mereka juga dipaksa duduk hanya di bahagian belakang bas. Bahagian depan dikhususkan untuk orang kulit putih. Ada gereja-gereja yang turut mengamalkan pengasingan ini.

Pengaruh kumpulan seperti KKK menjadi kuat kerana ia turut disokong oleh pemimpin-pemimpin politik kulit putih dan anggota pasukan-pasukan polis dan sheriff. Keganasan-keganasan yang dilakukan KKK, termasuk pembunuhan, tidak disiasat atau mereka yang melakukan angkara tidak dikenakan tindakan. Pada tahun 1961, Pesuruhjaya Polis Birmingham, Alabama telah memberi masa 15 minit untuk ahli-ahli KKK menyerang sekumpulan pejuang hak asasi manusia sebelum polis datang menyuraikan pergaduhan yang berlaku. Turut mengambil pendirian anti-kulit hitam ialah governor Alabama sendiri, George Wallace.

Akibat dari ini, orang kulit hitam merasa terasing dan tersisih dari masyarakat kulit putih. Dalam keadaan ini, ada di antara mereka yang mencari jalan lain. Di antara penemuan mereka ialah Islam sebagai agama yang menekankan persamaan antara sesama manusia. Ini telah membuka laluan kepada penubuhan kumpulan-kumpulan Islam di kalangan orang-orang kulit hitam. Ini termasuklah pertubuhan-pertubuhan seperti Nation of Islam, Bilalian Movement dan American Muslim Mission. Orang-orang kulit hitam melihat Islam sebagai lebih adil dan tidak mendiskriminasi terhadap mereka.

Maju ke hadapan ke alaf baru di Malaysia, kita dapati keadaan yang hampir sama mula muncul di Malaysia. Bezanya, jika di selatan Amerika, KKK menggunakan ajaran Krisitian dan sentimen paranoia mereka terhadap bangsa lain untuk menjaja kebencian, di Malaysia muncul penjaja-penjaja kebencian yang menggunakan Islam untuk dan sentimen paranoia untuk menyemai permusuhan. Mereka ini terdiri dari NGO-NGO tertentu dan segolongan ahli parti-parti politik tertentu. Walau pun di Malaysia tindak-tanduk golongan-golongan ini belum sampai ke tahap membunuh golongan lain, sentimen dan logik tindak-tanduk mereka hampir sama dengan KKK. Mereka sama-sama didorong oleh kebencian dan ingin mengusir bangsa-bangsa lain. Walau pun mereka sering menggunakan agama untuk menjustifikasikan tindak-tanduk mereka, namun mereka sebenarnya terpesong dari Islam. Mereka cuba mengemukakan konsep asabiyyah Islam walau pun asabiyyah itu satu konsep yang dikutuk Islam. Jika KKK kini dipimpin seorang pastor, ada di antara NGO penjaja kebencian ini dipimpin golongan ustaz. Seperti di selatan Amerika, tindak-tanduk golongan-golongan penjaja kebencian di Malaysia umumnya jarang dikenakan tindakan pihak berkuasa. Mereka boleh menghasut kebencian dan ancaman tanpa dikenakan tindakan. Tidaklah salah jika ada yang membuat kesimpulan suasana di Malaysia semakin mula menyerupai keadaan di selatan Amerika Syarikat pada tahun 1950han-1960han.

Jika di Amerika sentimen anti-kulit hitam menyebabkan orang kulit hitam berpaling kepada Islam, tidak mustahil keadaan yang sama berlaku di Malaysia. Orang bukan Islam akan merasa tersisih dan membentuk pandangan negatif terhadap Islam. Inilah akibatnya bila Islam dinodai oleh perjuangan perkauman. Seorang pendakwah Islam berbangsa Cina baru-baru ini mengeluh dengan keadaan ini. Barangkali ada sesuatu yang dia ketahui… .

Penulis ialah seorang Professor di sebuah universiti.