Mengapa tiba-tiba PAS berubah sikap sokong Anwar & PKR?

Oleh: VETERAN PAS

image

Memang pelik dengan sikap dan pendirian pemimpin PAS, terutama kumpulan konservatif yang menang besar baru-baru ini. Semasa krisis MB Selangor dulu, apa yang mereka tak kata pada Anwar Ibrahim dan Wan Azizah. Pelbagai tohmahan di lemparkan kepada Anwar dan Azizah sehingga ada di kalangan orang PAS yang sanggup mengatakan Anwar sejak dari MCKK lagi telah melakukan kerja maksiat liwat itu, tuduhan yang langsung tidak bertanggungjawab tanpa sebarang bukti dan berniat jahat.

Wibawa Azizah diperlekehkan secara terbuka. Anwar digelar Ketum, dengan nada menghina. Presiden Pas, Haji Hadi Awang di depan umum mempersoalkan keupayaan Azizah, yang dicadang Pakatan Rakyat menggantikan Khalid Ibrahim.

Khalid Ibrahim disokong dan disanjung seolah-olah PKR tidak tahu menguruskan hal dalaman parti mereka sendiri. Apabila mereka menjatuhkan hukuman kepada Khalid Ibrahim sudah tentulah mereka mempunyai sebab musabab yang sahih jika tidak mengapa mahu bersusah payah mahu tukar MB? Jika mereka boleh begitu bertegas dalam isu lembu Shahrizat mengapa pula dalam isu Khalid Ibrahim mereka hendak tutup mata?

Juak-juak Presiden Pas, khususnya Dr Zuhdi Marzuki sudah tidak ada rasa hormat lagi dengan Anwar. Direka pelbagai teori karut-marut, terutama berkaitan survival bangsa Melayu, untuk menjahanamkan reputasi Anwar dan PKR.

Anwar dipaparkan seolah-olah pengkhianat umat Melayu dan perosak agama Islam. Hanya Pas yang suci dan bersih, itupun pemimpin yang dikira bersama Haji Hadi dan geng ulamak sahaja.

Jika diukur dari segi pengorbanan terhadap agama dan negara, pengorbanan Anwar adalah jauh lebih besar. Beliau sanggup mengorbankan kedudukan sebagai bakal Perdana Menteri dan sanggup memilih untuk meringkuk dalam penjara atas kesalahan yang tidak dilakukan demi menjaga perjuangan. Apakah pimpinan PAS yang ada sekarang pernah mengalami cabaran seperti itu dan boleh mengharunginya seperti Anwar?

Ramai yang dengar cerita bagaimana layanan buruk Haji Hadi kepada Anwar, yang datang ke Rusila untuk membincangkan hal MB Selangor. Anwar sebagai tetamu yang datang dari jauh langsung tidak dirai. Hilang nilai sebuah persahabatan.

Bila Anwar ditimpa malang buat kali kedua, dan dihantar ke penjara, cuba kita kenang balik, bagaimana reaksi pemimpin PAS geng ulamak ini. Mereka sanggup berbuat seperti sekarang sedangkan sahabat lama mereka itu sedang dipenjarakan sekali lagi dan kini berada di dalam kesihatan yang membimbangkan.

Cuba kita lihat keadaan hari ini bila PAS sudah putuskan hubungan dengan DAP. Pakatan Rakyat sudah musnah, ahli-ahli PAS berantakan sesama sendiri dan Haji Hadi hanya membiarkan perkara itu berlaku tanpa melakukan apa-apa tindakan pencegahan sehingga wakil Dewan Himpunan Penyokong PAS yang merupakan seorang India menegur kepimpinan ulama PAS dengan bertanyakan kepada mereka inikah Islam? Suatu aib yang tidak di rasakan apa-apa barangkali oleh puak ekstremis PAS ini.

Sepanjang berpakat di dalam Pakatan Rakyat, PAS adalah parti yang paling banyak membawa masalah, PAS is the ‘bad boy’. Bermula dari tahun 2008 mereka mahu mewujudkan Unity Government dengan UMNO, mencuri bertanding di tujuh kawasan PKR dan DAP pada PRU13, isu Langkah Kajang, isu hudud dan sekarang isu usul muktamar perwakilan chai PAS pula. Begitu samsengnya PAS yang kononnya nak jadi abang sulung yang tak mahu dibuli PKR dan DAP.

PAS nak tunjuk lagak dia juga ada siku dan lutut, bukan jadi kuda tunggangan DAP dan budak suruhan Anwar. Mahu tunjuk ego sebagai ketua, seperti Umno ke atas BN, walaupun kerusinya di Parlimen adalah yang paling sedikit.

Namun sekarang apabila Dewan Ulama sudah meluluskan usul tanpa bahas di muktamar dan mereka mula merasakan kepentingan pemimpin-pemimpin mereka mulai tergugat, terutama di Selangor, PAS mula berubah sikap dengan PKR. Parti yang selalu dikutuknya dulu, kini menjadi taruhan untuk terus berkuasa… PAS mendakwa Pakatan masih ada kerana PKR belum keluar. Harapan hanya dengan PKR dan Anwar, pihak yang dibelasah habis-habisan dulu. Tak tahu malu!

Adaptasi dari: http://muktamarpas61.blogspot.com/2015/06/kenapa-pas-berubah-sikap-terhadap-anwar.html?m=1

Pakatan sebenarnya boleh berpecah lebih awal jika menang PRU13 dengan sikap Hadi

image

Pakatan Rakyat mungkin berpecah lebih awal jika gabungan pembangkang itu menang dalam pilihan raya umum ke-13, kata tokoh parlimen DAP Lim Kit Siang.

Dalam kenyataannya, beliau berkata ini kerana Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak pernah menyokong Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri.

“Krisis Pakatan mungkin berlaku lebih awal jika Pakatan Rakyat berjaya menguasai majoriti kerusi parlimen dalam pilihan raya umum ke-13 dua tahun lalu, kerana Hadi tidak pernah menerima Anwar sebagai calon Pakatan menjadi perdana menteri,” kata Lim.

Tahun lalu, Setiausaha Agung Rafizi Ramli mendedahkan bawa PAS bawah Hadi menolak pencalonan Anwar sebagai perdana menteri sebaliknya menyebelahi pemimpin veteran Umno Kelantan Tengku Razaleigh Hamzah.

Minggu lepas DAP mengumumkan bahawa Pakatan Rakyat sudah tidak wujud lagi, manakala PAS masih bertegas Pakatan masih lagi kekal.

Bagaimanapun, Lim berkata gabungan pembangkang itu sebenarnya telah mati sekurang-kurangnya setahun yang lalu, dan hanya wujud sekadar pada nama sahaja.

“Sejak setahun lalu Pakatan wujud hanya pada nama, bukan secara hakikatnya disebabkan Hadi melanggar dua prinsip asas Pakatan, rangka kerjasa dasar bersama Pakatan.

“(Hadi juga melanggar) prinsip konsensus operasi bahawa persetujuan ketiga-tiga parti komponen Pakatan diperlukan bagi melaksanakan mana-mana cadangan Pakatan,” kata Lim lagi.

Sumber: https://mmy.malaysiakini.com/news/302566

Pemikiran pemimpin PAS bahaya kepada parti, negara, kata Mat Sabu

Oleh: LOOI SUE-CHERN

image

Bekas timbalan presiden PAS Muhamad Sabu ketika ditemu ramah The Malaysian Insider di Butterworth, Pulau Pinang pada 17 Jun, 2015. – Gambar The Malaysian Insider oleh Hasnoor Hussain, 20 Jun, 2015.
Bekas timbalan presiden PAS Muhamad Sabu ketika ditemu ramah The Malaysian Insider di Butterworth, Pulau Pinang pada 17 Jun, 2015. – Gambar The Malaysian Insider oleh Hasnoor Hussain, 20 Jun, 2015.

Dalam bahagian terakhir temu bual kami dengan Mohamad Sabu, seorang pemimpin PAS popular, beliau memberitahu The Malaysian Insider mengenai kebimbangannya terhadap pemikiran pemimpin dalam parti Islam itu, dan memberi amaran ia boleh membahayakan negara.

PAS kini mula mengikut trend “bahaya” di mana fokus diberikan kepada menghukum mereka yang tidak bersetuju dengan kepimpinan Islamik, kata Mohamad Sabu, salah seorang pemimpin “progresif” dalam parti itu yang digulingkan.

Bekas timbalan presiden parti popular itu dikenali sebagai Mat Sabu, yang kalah dalam pemilihan baru-baru ini berkata, kecenderungan itu dalam amalan Islam hari ini bermula di Timur Tengah, dan PAS menyertai gerakan “takfiri” itu (umat Islam menuduh saudara Islam lain murtad) ketika berdepan dengan mereka yang tidak bersetuju dengan mereka.

“Kamu tidak bersetuju dengan kami, maka kamu tidak bersama kami. Kamu kafir, liberal, munafik.

“Ini berlaku di Syria, Iraq, Mesir, Somalia, Algeria dan Pakistan. Ia sangat bahaya dan pelajar yang melanjutkan pelajaran di Timur Tengah, membawanya pulang bersama mereka,” katanya ketika ditemu bual The Malaysian Insider.

Mat Sabu turut memberi gambaran kesan lebih besar kepada Malaysia jika cara pemikiran seumpama itu berterusan.

“Apa yang sedang berlaku berbahaya kepada parti dan pada masa depan, ia juga akan membahayakan negara.

“Persaingan di Timur Tengah mungkin akan ambil masa lebih panjang daripada 20 atau 30 tahun untuk berakhir. Di Malaysia, ia belum bermula lagi, tetapi benihnya sudah mula ditanam dan kuntumnya tidak lama lagi akan berbunga,” katanya.

Kesannya ialah beberapa pemimpin dan ahli PAS jadi lebih fokus terhadap sama ada seseorang itu berada di pihak mereka atau tidak, bukannya bergantung pada rekod kecemerlangan seseorang dalam berkhidmat kepada parti, katanya.

Merujuk kisahnya sendiri, Mat Sabu berkata, tidak kisahlah jika beliau pernah dipenjarakan 2 kali mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri, dan keluar masuk balai polis mempertahankan perjuangan PAS dan isu berkaitan rakyat Malaysia.

“Apa yang mereka bincang hanyalah sama ada Abang Mat berada di pihak mereka atau tidak. Mereka tidak peduli selama ini kamu berpenat lelah untuk parti dan hanya balik rumah beberapa hari saja dalam sebulan.

“Mereka lihat Hanipa dan label dia liberal dan kata dia mesti ditolak. Tidak peduli berapa hebat dia berbahas di Dewan Rakyat atau mahkamah, mempertahankan rakyat. Kerjanya tidak ada nilai kerana dia dilabel liberal,” katanya merujuk kepada peguam Mohamed Hanipa Maidin, yang turut gagal mempertahankan jawatannya dalam Jawatankuasa PAS Pusat.

“Inilah aliran pemikiran dunia Islam hari ini… dan PAS pun sedang berdepan penyakit ini,” kata Mat Sabu.

Beliau dan Hanipa adalah antara bekas pemimpin parti yang dikatakan progresif kerana pendirian mereka yang lebih terbuka terhadap bukan Islam dan mereka percaya perjanjian persefahaman di bawah Pakatan Rakyat (PR) yang kini tidak berfungsi lagi, sepatutnya dihormati.

Mereka juga bersifat kritis terhadap kepimpinan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berikutan beliau sering mengingkari keputusan sebulat suara yang dibuat kepimpinan PR berhubung beberapa isu.

Mat Sabu, ahli PAS selama 37 tahun dan pernah menjadi ahli Parlimen selama 3 penggal di bawah tiket parti itu berkata, patah hatinya melihat PAS berubah hala tuju, walaupun beliau tidak berkata akan keluar parti.

“Sudah tentu saya kecewa. Ini parti saya, darah daging saya… terlalu banyak yang diusahakan untuk parti. Bukan mudah untuk meninggalkan parti, walaupun ini satu keadaan yang ganjil,” katanya.

Pengakhiran PR bermula dengan usul yang diterima dalam muktamar tahunan PAS awal bulan ini, yang hasilnya memutuskan hubungan dengan DAP, pihak yang bertelingkah dengan Hadi dan beberapa pemimpin konservatif lain.

Kini ada kemungkinan pemimpin progresif PAS yang digulingkan membentuk parti mereka sendiri, tetapi Mat Sabu berkata masih terlalu awal untuk bercakap lebih banyak mengenai idea itu.

“Kita perlu berbincang lagi sama ada kita akan perlukan parti baharu atau kita boleh cari cara untuk memulihkan ahli PAS… baik pulih semuanya.

“Walau apa pun, parti itu perlu berasaskan Islam kerana hanya dengan itu kita boleh menarik umat Islam untuk menyokongnya,” katanya, sambil menambah, parti dengan asas Islam tidak akan ditolak bukan Islam.

Ini kerana PAS berjaya menawan sokongan bukan Islam dengan slogan “PAS untuk semua” yang digunakan pada pilihan raya umum 2013. Konsep negara berkebajikan juga menerima sokongan daripada bukan Islam, kata Mohamad.

“PAS diterima masyarakat Cina. Kita pernah nampak orang Cina pakai kemeja T dengan logo PAS pada masa itu.

“Islam bukan masalah. Masalahnya ialah cara pemikiran pemimpin (PAS),” katanya.

Jika satu parti baharu dibentuk barisan pemimpin sepertinya yang tersingkir daripada kepimpinan PAS, Mat Sabu berkata ia akan meneruskan cita-cita yang kini diabaikan parti Islam itu.

Cita-cita itu ialah untuk memperjuangkan nilai seperti keharmonian pelbagai bangsa, tadbir urus yang baik dan kerajaan yang bersih.

“Lihat ahli Parlimen di Dewan Rakyat. Mereka yang bercakap mengenai rasuah, tadbir urus kerajaan yang baik dan nilai adalah orang seperti (Ahli Parlimen Parit Buntar) Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, (Ahli Parlimen Shah Alam) Khalid Samad, (Ahli Parlimen Sepang) Hanipa dan beberapa lagi yang seperti mereka,” katanya.

Semua nama disebutkan itu turut kalah dalam pemilihan parti.

“Tadbir urus kerajaan yang baik, memerangi rasuah, menepati masa, memastikan bandar kita bersih, semua itu Islamik. Tetapi mereka yang kononnya ulama kelihatan lemah dalam mengendalikan perkara seumpama itu.

“Nilai dan amalan itu bukan keutamaan pemimpin PAS sekarang. Semua itu menggambarkan cara pemikiran mereka,” katanya. – 20 Jun, 2015.

Umno tidak seburuk ‘Firaun’, kata presiden PAS

Oleh: Hasbullah Awang Chik

Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini menyelar pihak tertentu yang memandang negatif pertemuan yang diadakan PAS bersama Umno kerana katanya, pandangan serupa itu tidak menjadi pendekatan parti Islam itu.

Presiden PAS itu berkata, walaupun ada pihak yang mencemburui pertemuan di antara dua parti itu, beliau menegaskan, parti Melayu itu tidaklah seburuk Firaun yang digambarkan dalam Al-Quran.

“Malangnya ada yang cemburu. Macam isteri yang tak benarkan suaminya ke pasar, tak boleh berjumpa dengan perempuan. Asal jumpa dengan Umno tak boleh, diharamkan. Itu bukan pendekatan kita.
“Dengan bahasa yang dinasihati Allah, berhubunglah, pergi bercakap, walaupun dengan Firaun. Tak kan kita nak cakap Umno setaraf dengan Firaun yang disebut dalam Al-Quran.

“Jangan sampai begitu. Tak boleh bertindak melebihi ajaran Al-Quran. Kita menganggap kaum kita ditenggelam oleh kejahilan, yang memerlukan kita menyelamatkannya,” katanya.

Hadi berkata demikian dalam ucapan penangguhannya pada hari terakhir Muktamar Tahunan PAS ke-61 di Kuala Selangor hari ini.

Katanya, dalam menjalinkan kerjasama politik bersama Pakatan Rakyat (PR), PAS adalah parti yang berdisiplin dan beradab berbanding parti lain yang membawa pelbagai kerenah.

Katanya, senario itu terbukti apabila ada parti dalam PR yang cuba mempersoalkan pendirian PAS, malah ada yang cuba ‘mencuri’ wakil rakyat parti Islam itu.

“Kita mengamalkan tahaluf ini sejak PAS ditubuhkan. Kita menghadapi liku-liku yang mencabar, tahaluf terkini dalam sejarahnya.

“Alhamdulillah PAS menunjukkan ia parti yang berdisiplin dalam bertahaluf. PAS beradab kerana tahaluf sefahaman dalam titik persamaan.

“Masing-masing walau berbeza ideologi tidak ganggu akidah,” katanya.

Sebaliknya, katanya, rakan dalam PR ada yang menyentuh perkara yang berkaitan akidah, disiplin, pelaksanaan syariat, isu kepimpinan parti.

“Ini urusan dalam PAS, kita tak kempen pemilihan parti lain, orang tolong kempen pemilihan kita,” kata Hadi.

DAP pada hujung bulan lalu berkata, ia tidak akan berhenti menyoal Hadi walaupun PAS akan melalui pemilihan, sambil menegaskan parti itu tidak pernah masuk campur pemilihan mana-mana parti politik.

Setiausaha agungnya Lim Guan Eng berkata, DAP tidak akan dibisukan oleh pemilihan PAS itu daripada memperkatakan kebenaran.

Katanya, walaupun Hadi mengumumkan beliau “masih bersama PR”, pemimpin nombor satu PAS itu perlu menjawab beberapa soalan berhubung tindakannya sepanjang setahun yang lalu.

“Kenapa Hadi memungkiri komitmen PAS kepada Dasar Bersama PR dan jaminan peribadinya kepada pimpinan PR?

“Kenapa Hadi menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di tengah kemelut skandal RM42 bilion 1Malaysia Development Berhad (1MDB)?

“Kenapa Hadi mahu mewujudkan ‘kerajaan perpaduan’ bersama Umno?” soal Lim dalam kenyataannya sebelum ini. – 6 Jun, 2015.

Sumber: https://www.youtube.com/watch?v=wplchMqrWL0

Message for Malaysians

message-tmjOf late, I just voiced out my opinion and a reminder that people who has been entrusted with the responsibility to not blame the people for losing trust and confidence in them, but think of why the people no longer have the confidence and trust in them. Apparently my gentle reminder has been met with a rather hostile response from a minister. If I got such a reply, then what chances does the rest of the rakyat have?

You are a minister, not a God from the heavens who lord above everybody. Do not think the people of this country exist to provide you with position and wealth, but the position exists for you to serve the people. When I voice out, I do it as the leader of my rakyat, on behalf of Johoreans and Malaysians. All I did is to remind the leaders of the country that they have a responsibility to serve the people, and for this, I am attacked.

In the new world order, I envision a future that every person has a right to voice their opinions. However, that is not the case in Malaysia today, where ministers think they are untouchable. I am willing to be cursed for standing up for what is right, rather than be loved for defending what is wrong.

I am not a politician. I am only answerable to Allah, my Sultan and the people of Johor. I do not do the bidding of some puppet-master who pulls the strings. Johor only has place for those who want to serve the people, not for those who want to garner votes for their own interests.

There will come a time, when the Johorean people must decide what is best for us and our future generations. Decide and unite we will, as Bangsa Johor, to forge our future. United we stand strong, divided we fall. I stand for my rakyat, not to joust for power, not to topple the government, but to ensure the well-being of my people.

I never told anybody to step down or resign, only to remind politicians of their roles and responsibilities. If you cannot deal with that, it just shows your arrogance to the people. Alhamdulillah, I have been blessed with a comfortable life, and I can just live my own life and be oblivious to the worries of my people, but here I am, standing firm by their side. So for those wanting to tarnish my image and make me public enemy number one, the people are smarter than that, and they can think for themselves.

Do not use me to divert the attention from national issues. This country needs politicians who are clean and transparent, who carry out their duties with sincerity and integrity.

-HRH Brigadier General Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, The Crown Prince of Johor.

Source: http://johorsoutherntigers.com.my/2015/06/message-for-malaysians/

Himpunan Jasa Mu Di Kenang

Rakyat Malaysia keseluruhannya di jemput untuk hadir beramai-ramai ke majlis berikut:

Program Himpunan JasaMu DiKenang buat mantan pimpinan PAS pasca muktamar ke-61

Tarikh: 16 Jun 2015, Jam 8.30 malam

Tempat: Markaz PAS Bakri, Kg. Jeram, Muar, Johor.

Himpunan JasaMu DiKenang

Muktamar PAS mengecewakan, Malaysia perlukan parti Islam demokrat yang baru

Oleh: Yasmin Ramlan

image

Ahli akademik Dr Maszlee Malik bercakap pada forum ‘Pasca Muktamar, ke Mana Hala Tuju PAS’ di Kuala Lumpur, malam tadi. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 12 Jun, 2015.

Demi menyelamatkan politik di negara ini, Malaysia memerlukan parti Islam demokrat yang menumpukan kepada hak rakyat dan bukannya berasaskan Melayu Islam, kata seorang ahli akademik.

Dr Maszlee Malik berkata rakyat tidak mahukan politik yang berbaur perkauman dan lebih berminat kepada politik yang ke depan dengan membincangkan isu berkaitan urus tadbir, pendidikan, perumahan dan alam sekitar, seperti yang dilakukan DAP.

“Seperti DAP contohnya, membicarakan tentang pengurusan buangan sisa pepejal. Parti Islam tidak membincangkan perkara itu. Itu kita kena ubah.

“Kalau Islam demokrat yang akan datang ini, mereka perlu keluar daripada membicarakan isu perkauman, tetapi membincangkan isu berkaitan masyarakat,” kata pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu.

Beliau berkata demikian sebagai salah seorang ahli panel pada forum “Pasca Muktamar, ke Mana Hala Tuju PAS” yang diadakan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor malam tadi.

Maszlee juga mengkritik keputusan muktamar PAS baru-baru ini yang majoritinya dimenangi golongan konservatif.

Beliau mendakwa, golongan konservatif terutamanya “ustaz muda” bakal meletakkan PAS di takuk lama seperti sebelum ini.

“Mereka akan pastikan tidak ada ruang untuk PAS kembali kepada pasca 2008. PAS akan terus menjadi konservatif,” katanya sambil meramalkan kemungkinan besar parti Islam tersebut bakal menjadi seperti Parti Sosialis Malaysia (PSM) atau Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa).

Beliau juga menyarankan golongan profesional PAS menubuhkan satu parti baharu sebagai jalan terbaik dan tidak menyertai Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) kerana mereka akan dilihat sebagai sekumpulan yang kecundang atau “serpihan” PAS.

“Kena tubuhkan satu parti yang segar, baharu. Anak-anak muda, NGO Islam, orang Islam yang lebih Islamis dan demokrat, untuk maju ke depan.

“Dalam pilihan raya terdekat, tidak dapat kerusi pun tak apa,” katanya. Aktivis Hishamuddin Rais bersetuju Malaysia perlu ada parti Islam demokrat baharu. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 12 Jun, 2015.
Aktivis Hishamuddin Rais bersetuju Malaysia perlu ada parti Islam demokrat baharu. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 12 Jun, 2015.

Katanya, dalam masa 20 atau 30 tahun akan datang, PAS tidak lagi relevan dan masyarakat ketika itu akan memerlukan parti Islam yang lebih realistik.

“Waktu itu PAS tidak lagi relevan. Waktu itu kita perlukan parti Islamis demokrat yang lebih realistik, dan boleh beri harapan baru menuju ke depan.

“Mereka perlu ke depan. Ini bukan untuk generasi kita tapi untuk anak cucu kita,” katanya dan pendapat itu turut dikongsi ahli panel lain.

Aktivis Hishamuddin Rais bersetuju dengan Maszlee, mengatakan Malaysia perlu satu parti Muslim demokrat yang tidak berasaskan perkauman kerana menganggap PAS kini “produk yang rosak”.

“Pengajaran yang penting sekali daripada muktamar ini ialah Dewan Ulama meluluskan untuk putus hubungan dengan DAP.

“Tiba-tiba mereka sedar, terdapat 5,000 hingga 6,000 ahli PAS yang hidup makannya bergantung kepada kesepakatan DAP dan PKR.

“Ini bukan soal agama, tetapi soal ekonomi,” katanya pada forum itu.

Ahli Panel forum Fathi Aris mencadangkan PAS keluar daripada Pakatan Rakyat kerana mereka tidak memberi sumbangan kepada gabungan itu. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 12 Jun, 2015.
Ahli Panel forum Fathi Aris mencadangkan PAS keluar daripada Pakatan Rakyat kerana mereka tidak memberi sumbangan kepada gabungan itu. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 12 Jun, 2015.

Susulan keputusan muktamar itu, seorang lagi ahli panel forum, Fathi Aris Omar mencadangkan agar PAS keluar daripada Pakatan Rakyat (PR).

“PAS yang ada sekarang ini bukan saja tidak meneruskan usaha reformasi, saya cadangkan supaya PAS keluar PR, kerana mereka tidak menyumbang.

“Mereka menjadi duri dan nanah dalam daging PR. Meletakkan 2 parti (DAP dan PKR) dalam dilema,” kata bekas ketua pengarang portal berita Malaysiakini itu. – 12 Jun, 2015.

Sumber: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/malaysia-perlu-parti-islam-demokrat-baharu-lepas-muktamar-pas-mengecewakan#sthash.xnCPgGnS.dpbs

Muktamar PAS membangkitkan krisis Perlembagaan

Pengarang: Faiz Fadzil

Sejarah krisis Perlembagaan di Selangor pada tahun 2014 yang menyaksikan isu penukaran Menteri Besar daripada Tan Sri Khalid Ibrahim kepada Azmin Ali berlarutan beberapa bulan setelah PAS gagal memberikan persetujuan kepada calon PKR Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail. Bantahan PAS bertitik tolak daripada ketidakpuashatian beberapa pemimpin tertinggi terhadap langkah Kajang walaupun ia adalah strategi politik yang bijak. Muktamar Pas yang ke-60 secara majority tanpa usul dan undian mendesak PAS supaya tidak campurtangan dalam isu penukaran Menteri Besar. DYMM Tuanku Sultan Selangor dengan menggunakan kebijaksanaan dan kuasa budibicara baginda di bawah Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 (Perlembagaan Selangor) telah melantik Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor.

2015 menyaksikan sekali lagi kelicikan pemimpin baru PAS membangkitkan krisis Perlembagaan di Selangor apabila Muktamar ke 61 meluluskan usul menamatkan hubungan politik dengan DAP tetapi kekal bersama PKR dalam Pakatan Rakyat diterima tanpa bahas. Walaupun terdapat perwakilan mendesak untuk dibahaskan usul tersebut, ia adalah satu tuntutan yang sia-sia kerana keputusan telah dibuat oleh pimpinan tertinggi. Di sinilah letaknya kelemahan apabila kuasa dipusatkan kepada pemimpin dan bukan jemaah samaada Presiden atau Mursyidul Am, sedangkan Allah mengarahkan bermesyuarat bagi menyelesaikan sesuatu perkara dan bertanya kepada yang pakar. Apatah lagi Muktamar adalah badan tertinggi dalam PAS, sudah pasti keputusan penerimaan usul tersebut tanpa bahas dan undian tidak boleh diubah dan telah menafikan hak ahli melalui perwakilan. Inilah yang boleh berlaku sekiranya Perlembagaan party sendiri gagal difahami dan diamalkan oleh pimpinan tertinggi.Keadaan menjadi celaru apabila usul aneh tersebut kini cuba diubah dengan penolakan perletakan jawatan ahli di dalam Kerajaan Pulau Pinang.

Tiada pertikaian tentang Perlembagaa Pas kerana ia adalah syarie kerana dasar PAS adalah Islam dan 4 sumber hukum utama iaitu al-Quran, As-Sunnah, Ijma dan Qias juga adalah hukum tertinggi party. Maka setiap peruntukan Perlembagaan PAS pasti memenuhi hukum syara’. Oleh itu, ahli dan pemimpin PAS seharusnya menghormati dan mematuhi usul tersebut. Jadi, PAS sendiri berhadapan krisis Perlembagaan party.

Akibat usul tersebut, DAP telah mendesak PKR memilih samada DAP atau PAS untuk bersama yang menunjukkan hubungan politik PAS-DAP telah putus. Permuafakatan PAS, DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat adalah longgar kerana Pakatan Rakyat tidak berdaftar dan tiada apa-apa Perjanjian Bertulis dibuat. Pulau Pinang adalah negeri Pakatan Rakyat 2 party iaitu PKR dan DAP, sedangkan Selangor melibatkan ketiga-tiga party. Dengan usul tersebut, maka secara konstruktifnya, Pakatan Rakyat di Selangor telah terbubar, namun tidak di Pulau Pinang.

Menurut Perlembagaan Selangor yang berasaskan konsep westminster constitutional system, sesebuah kerajaan dibentuk berasaskan prinsip kepercayaan dan majority. Asas pembentukan kerajaan di Selangor adalah dengan perlantikan Menteri Besar yang pada pendapat DYMM Tuanku Sultan mendapat kepercayaan atau sokongan majority ADUN Selangor. Peruntukan relevan Perlembagaan Selangor adalah pada:
LIII(2)(a)” Duli Yang Maha Mulia hendaklah pertamanya melantik menjadi Menteri Besar, untuk mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan, seorang ahli Dewan Negeri yang pada pendapat Baginda mungkin mendapat kepercayaan majority ahli Dewan itu”.

Dengan terputusnya hubungan politik PAS-DAP, secara konstruktifnya kerajaan Pakatan Rakyat tidak lagi mendapat sokongan kedua-dua party kerana Pakatan Rakyat hanyalah persefahaman politik tidak berdaftar dan bergerak secara convention. Tidak mungkin Pakatan Rakyat bertahan apabila 2 party dalam pakatan tiada lagi hubungan politik. Mengeruhkan lagi keadaan apabila DAP menggesa PKR memilih salah satu party.

Menteri Besar Selangor secara konstruktif juga dilihat telah hilang kepercayaan majority ADUN kerana perlantikan beliau adalah berpremiskan permuafakatan party-party Pakatan Rakyat. Sebarang keputusan yang perlu dibuat melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) juga mustahil dicapai kerana pertembungan 2 party wujud dalam mesyuarat EXCO. Perjalanan pentadbiran kerajaan negeri yang berpusatkan kepada EXCO pasti menjadi sukar kerana secara convention, seseorang EXCO adalah lantikan party.  Kepercayaan rakyat pula diberikan kepada Pakatan Rakyat melalui agenda ABU (anything but UMNO). Perpecahan hubungan politik PAS-DAP pasti menghilangkan kepercayaan rakyat kepada Pakatan Rakyat. Pakatan Rakyat umpama kapal Titanic yang terbelah dua menunggu karam.

Berdasarkan kepada keadaan politik dan kedudukan undang-undang, krisis kepercayaan kerajaan yang diplih melalui demokrasi mungkin lebih baik diselesaikan dengan pembubaran DUN Selangor dan pilihanraya diadakan. Menteri Besar menurut peruntukan LIII(6) Perlembagaan Persekutuan boleh memohon perkenan DYMM Tuanku Sultan bagi membubarkan DUN “Jika Menteri Besar tidak lagi mendapat kepercayaan majority ahli Dewan Negeri, maka beliau hendaklah meletakkan jawatan Majlis Mesyuarat Kerajaan melainkan jika, atas permintaannya, Dewan Negeri dibubarkan oleh Duli Yang Maha Mulia”.

Komposisi party politik di dalam DUN Selangor adalah PAS:15, DAP:15, PKR:13, UMNO:12 dn Bebas:1. Kedudukan Menteri Besar Selangor Pakatan Rakyat sekarang daripada PKR perlulah mendapat sokongan salah satu party samaada PAS atau DAP. Dengan PKR mempunyai jumlah ADUN yang paling kecil, maka Menteri Besar sudah tiada kepercayaan majority ADUN kerana perpecahan politik PAS-DAP. Di samping itu, DYMM Tuanku Sultan menurut peruntukan LXX(2) Perlembagaan Selangor “Duli Yang Maha Mulia boleh memprorog atau membubarkan Dewan Negeri’.

Maka, jika keadaan krisis politik Pakatan Rakyat ini berterusan sehingga menjejaskan pentadbiran kerajaan negeri, kerajaan negeri tidak lagi menjadi stabil. Dengan itu, sewajarnya kuasa yang diperolehi oleh Pakatan Rakyat daripada rakyat kini dikembalikan kepada rakyat untuk rakyat diberikan hak memberikan mandat baru. Usah jadikan kepentingan politik mengatasi kepentingan rakyat. Tegakkan demokrasi dengan adil.

Elakkan krisis Perlembagaan yang menyaksikan agenda penyingkiran Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Stephen Kalong Ningkan dan Menteri Besar Kelantan Datuk Muhammad Nasir berulang menjadi sejarah hitam negara.

11 Jun 2015

Analisis Strategik Mengenai PAS Selepas Muktamar Ke-61

Pengarang: Minda Jentayu

Muktamar PAS Ke-61, Kuala Selangor, Selangor
Muktamar PAS Ke-61, Kuala Selangor, Selangor

Jika kita menggunakan istilah “Leadership of the Clergy” untuk merujuk kepada amalan kepimpinan PAS,  ia mungkin akan dirasakan janggal. Bunyinya seolah-olah satu konsep yang diambil dari agama lain di mana wujudnya pembahagian diantara golongan “clergy” dan golongan “lay” atau orang-orang biasa. Namun, itulah hakikat konsep kepimpinan ulama.  Ia sangat asing pada Islam dan sebenarnya lebih hampir pada fahaman sekular yang membahagikan di antara urusan agama dan duniawi. Ia seolah satu langkah ke belakang atau “rollback’ yang akan memundurkan PAS.

Namun, implikasi dari perkembangan yang berlaku pada Muktamar PAS ke 61 bukan sekadar satu perubahan semantik semata-mata. Ia juga mempunyai implikasi strategik yang  amat ketara.  Malahan, ia merupakan kemuncak strategi membina kembali  “containment” pengaruh PAS dan melemahkan Pakatan Rakyat.

Sebelum PRU 1999, pengaruh PAS dilhat sebagai terbatas. Prestasi pemimpin-pemimpin PAS di luar Kelantan amat tidak menentu. Adakalanya menang dan adakalanya kalah dalam pilihanraya.  Bagi UMNO, PAS diterima sebagai “necessary evil”. Dengan adanya PAS, UMNO dapat memaparkan dirinya sebagai golongan sederhana.  Dalam konteks hubungan antarabangsa, PAS boleh digunakan sebagai jembalang untuk mengingatkan pengkritik bahawa sekiranya UMNO lemah Malaysia akan jatuh kepada golongan fundamentalis agama.  Oleh itu, pendekatan strategik  yang digunakan dalam menanggani PAS ialah pendekatan “containment”. Biarkan PAS bertapak di kawasan-kawasan tertentu, khususnya di negeri-negeri Pantai Timur. Biarlah PAS wujud dalam  “sphere of influence” yang terbatas dan terbendong ini.

Prestasi ulama PAS pula tidaklah begitu memberansangkan. Walau pun mampu memberi ceramah dan pidato berapi-api serta mengistiharkan berbagai hukum, mereka umumnya tidak berkesan dalam Parlimen dan Dewan Undangan Negeri. Kebanyakan mereka tidak mampu membahaskan isu-isu dasar dengan berkesan. Kalau ada pun, sekadar membuat saranan umum memgenai perlu kembali kepada Islam, perlu ikut sistem ekonomi dan pendidikan Islam tetapi tidak melebihi dari itu. Dalam isu-isu berkaitan dasar fiskal, mengenai strategi merubah ekonomi Malaysia dari ekonomi yang dipacu pelaburan kepada ekonomi yang dipacu inovasi dan bagaimana meningkatkan pelaburan, golongan ulama umumnya mati punca. Demikian juga, apabila muncul skandal-skandal mega golongan ini juga kelihatan ibarat rusa sesat di tengah pekan. Sama ada skandal BMF, Maminco, Perwaja atau skandal spekulasi matawang Bank Negara yang berlaku 20-30 tahun dahulu mahupun skandal-skandal yang mutakhir seperti skandal PKZ, MAS, 1MDB dan NFC, golongan ulama nyata tidak dapat menguasai isu-isu semasa ini.  Mereka lebih selesa membisu dalam isu-isu sebegini.

Oleh itu, UMNO menganggap adalah memadai dengan pendekatan “containment” terhadap PAS. Ini telah berlarutan sehinggalah dua perkembangan yang membimbangkan UMNO. Pertama ialah perkembangan politik selepas pemecatan Anwar Ibrahim dari kerajaan pada tahun 1998. Ia telah menyaksikan lonjakan aktivitisma politik di kalangan rakyat Malaysia. Oleh kerana PKR masih belum wujud, ramai di antara aktivis Melayu menyertai PAS. Ini termasuklah golongan professional.  Penyertaaan mereka ini membawa beberapa perubahan penting kepada PAS. Golongan ini lebih canggih dari segi pemikiran politik dan keupayaan menanggani isu-isu semasa.  Mereka dapat mengolah isu dan idea dalam bahasa dan gaya yang mempunyai daya tarikan kepada golongan kelas pertengahan Melayu. Golongan ini juga selesa menjalinkan hubungan  dengan golongan bukan Islam, sama ada dengan DAP atau NGO-NGO yang turut disertai oleh bukan Islam. Golongan ulama sebaliknya lebih bersikap “insular”.  Mereka jarang sekali menyertai program-program bersama yang diwujudkan parti-parti Pakatan Rakyat. Dari segi aktivisma, golongan ulama lebih selesa dengan program-program dalaman. Sebaliknya, golongan professional lebih aktif dalam ruang lingkup kegiatan-kegiatan yang lebih luas. Ini termasuklah dalam isu-isu seperti reformasi pilihanraya dan hak asasi manusia. Inilah sebabnya pemimpin-pemimpin PAS dari golongan professional lebih ramai menghadapi dugaan ditangkap dan dipenjarakan. Golongan ulama lebih selesa berjuang di medan ceramah sedangkan golongan professional yang selalu berada di barisan hadapan dan menghadapi berbagai ujian dan ibtilak. Sekiranya perjuangan para anbiya dipenuhi dengan dugaan dan ujian, tidak sukar untuk melihat siapakah yang lebih hampir pada perjuangan para anbiya.

Perkembangan kedua ialah PRU pada 2008.  Akibat dari jalinan hubungan dengan golongan bukan Islam, PAS mula diterima oleh masyarakat bukan Melayu dan bukan Islam.  Semakin ramai pengundi bukan Melayu yang memberi undi kepada PAS dan membolehkan PAS menang kerusi-kerusi di luar Pantai Timur dan khususnya di kawasan-kawasan bandar.  Hasil PRU 2008 dan 2013 menunjukkan  tembok “containment” yang wujud sebelum ini telah roboh.  Perkembangan ini juga turut dirasakan DAP. Pengundi-pengundi Melayu, terutama golongan kelas pertengahan dan generasi muda,  mula memberi sokongan kepada DAP. Dengan robohnya tembok “containment” ini, berlakulah tsunami yang merungkaikan penguasaan dua pertiga Parlimen oleh BN dan menafikannya sokongan majoriti pada PRU ke 13.

Untuk menghadapi realiti baru ini, UMNO memerlukan satu strategi baru untuk menggantikan strategi “containment”.  Strategi ini mestilah mampu memusnahkan sumber-sumber kekuatan yang membolehkan PAS keluar dari tembok “containment” ini.  Bagi UMNO, ancaman sebenar kepada pengaruhnya bukanlah ulama PAS. Golongan ulama telah lama wujud di dalam PAS dan telah dapat di “contain” dengan mudah. Sebaliknya, ancaman utama kepada UMNO ialah golongan professional. Mereka inilah yang telah berjaya merobohkan tembok “containment”. Oleh itu, adalah perlu kekuatan ini dimusnahkan.

Strategi melemahkan PAS dan PR bolehlah diistilahkan sebagai strategi “rollback”. Tujuan strategi “rollback” ialah menolak kembali PAS ke ruang “containment” yang wujud sebelum 1998.  Ini akan dicapai bila kepercayaan di kalangan golongan kelas pertengahan, khususnya di Pantai Barat, dan di kalangan pengundi bukan Melayu terhadap PAS dapat dilunturkan.  Untuk tujuan ini, umpan hudud dan sentimen perpaduan Melayu digunakan. Pada ketika yang sama, langkah untuk melemahkan PR dan PKR turut diambil. Ini adalah dengan mewujudkan fitnah liwat terhadap  Anwar Ibrahim dan memenjarakan beliau.

Di antara langkah yang diambil untuk menawan hati beberapa ulama PAS ialah program-program “taklimat” tertutup yang diberikan oleh sebuah agensi perang saraf kerajaan. Dua perkara utama cuba dicapai dari program-program ini. Pertama, memberi gambaran bahawa kedudukan orang Melayu dan Islam akan  terjejas jika PR memerintah. Ini kerana golongan MP bukan Islam dikatakan lebih ramai dari golongan Islam dalam sebuah kerajaan PR. Ini dikatakan boleh menjejaskan kedudukan Melayu dan Islam. Kedua, usaha dilakukan untuk meyakinkan golongan ulama ini bahawa Anwar Ibrahim ialah seorang peliwat dan membawa kefahaman liberal.  Di antara perkara yang dilakukan dalam program-program “taklimat” tertutup ini ialah “pengakuan” dua orang bekas pemimpin ABIM dan seorang tokoh korporat yang rapat dengan PAS bahawa mereka yakin bahawa Anwar memang seorang peliwat. Salah seorang dari ulama ini di bawa ke sebuah kilang di Thailand yang dimiliki tokoh korporat ini. Ketika di sana dia diberi sanjungan dan layanan istimewa. Sebelum ini, pendekatan yang hampir sama turut digunakan ke atas pemimpin-pemimpin reformasi yang ditahan di bawah ISA. Mereka diberi maklumat terpilih mengenai “salahlaku” Anwar Ibrahim. Mereka dilayan seolah-oleh mereka golongan istimewa dan diberi maklumat yang tidak didedahkan kepada orang lain. Namun, muslihat ini gagal mengubah pandangan tahanan-tahanan ISA ini.

Kedua-dua bekas pemimpin ABIM ini dan tokoh korporat ini menggunakan pendekatan emosi dalam meyakinkan ulama PAS ini bahawa Anwar adalah peliwat, satu ancaman kepada Islam dan harus dihalang dari menjadi Perdana Menteri.  Namun, “taklimat-taklimat” ini tidak pula pernah menyebut mengenai bagaimana kepentingan Melayu dan Islam dikhianati  oleh elit Melayu melalui pembaziran dan amalan rasuah.  Peranan J Lo serta kroni-kroni lain elit Melayu tidak pernah disebut. Demikian juga, penglibatan seorang warga Israel sebagai penasihat komunikasi  juga tidak dibincangkan.  Sesi-sesi taklimat ini berjaya menambat hidung ulama PAS.  Muslihat yang gagal digunakan ke atas tahanan ISA mengena pada ulama PAS ini. Ini membuka jalan untuk membolehkan strategi “rollback” dilaksanakan sepenuhnya.

Pergolakan MB Selangor telah berjaya digunakan untuk mencetuskan ketegangan di dalam PR dan PAS sendiri. Walau pun pendirian presiden PAS bercanggahan dengan keputusan yang dibuat JK Pusat PAS, yang dipersalahkan ialah golongan professional. Maka berbagai istilah pahit seperti barua, jebon, budak suruhan DAP, perosak dan pengkhianat digunakan untuk melabel golongan ini. Ketika para sahabat Rasulullah tidak menyetujui dengan perjanjian Hudhaibiah dan pada mulanya enggan membuka pakairan ihram mereka, Rasulullah tidak pula mempersoalkan wala mereka atau menggunakan bai`ah yang mereka berikan untuk memaksa mereka akur dengan keputusan baginda. Jauh sekali melabel mereka sebagai pengkhianat atau perosak. Tetapi ulama PAS bertindak sebaliknya dan membiarkan suasana memfitnah, mencaci dan mengecam berterusan seolah-olah inilah sibghah Islam yang mereka bawa. Mungkin ulama PAS tidak mempelajari tafsir surah Al Hujurat, wallahu `alam.

Budaya taat tanpa menyoal dalam PAS turut memudahkan proses memecahbelahkan PAS dilakukan. Muhasabah bukanlah suatu yang mudah dilakukan dalam PAS, terutama apabila ia melibatkan ulama. Sebagai contoh, seorang pemimpin ulama ketika PAS memerintah Terengganu telah memiliki sehingga enam buah kereta rasmi. Ini kerana kedudukannya dalam Exco negeri dan beberapa jawatan dalam lembaga GLC negeri Terengganu. Namun, amalan yang keterlaluan ini tidak pula ditegur oleh sesiapa.  Ini semata-mata kerana pemimpin ini digelar ulama. Demikian juga, pemimpin yang sama membiarkan diri dipanggil dengan gelaran doktor sejak tahun 1980han walau dia tidak melengkapkan pengajian PhDnya.

Nyata sekali semua asas-asas strategi “rollback” telah ditegakkan. Golongan professional dalam PAS yang merupakan ancaman utama kepada UMNO telah dinyahkan. Inilah sebabnya pemimpin UMNO dan media yang dikawal UMNO begitu teruja dengan monopoli “leadership of the clergy” dalam PAS.  Inilah sebabnya pemimpin-pemimpin UMNO menunjukkan kegembiraan mereka dan cepat mengucapkan tahniah kepada ulama PAS. Mereka tahu strategi mereka telah berjaya. Kain kafan telah diikat, hanya tunggu untuk memasukkan PAS ke dalam liang lahad. Dengan ini berjayalah strategi “rollback” mereka dan pengaruh PAS akan kembali terbendung dalam ruang “containment” yang wujud sebelum 1998.

Pada PRU ke 14 nanti, kemerosotan sokongan kepada PAS akan menyebabkan PAS kalah dibanyak kerusi yang dipegangnya ketika ini.  Tidak mungkin UMNO akan membiarkan PAS mengambil kerusi-kerusi yang kini dipegangnya. Apabila ini berlaku, nilai PAS kepada UMNO sudah tidak wujud lagi. Malahan, lebih baik UMNO bekerjasama dengan PKR pada ketika itu.  Akan jelaslah ketika itu siapa sebenarnya yang merosakkan dan mengkhianati PAS.  Pada ketika itu, para ulama PAS bolehlah menggunakan lutut dan siku yang terdapat di bawah jubah mereka untuk bergocoh sesama sendiri.

Sumber: Artikel asal terbitan Kejar.Org

Pakatan belum mati, hanya PAS yang tandatangani sijil matinya

Pengarang: Mariam Mokhtar

SEKILAS PANDANG: Sejak Muktamar PAS, di mana golongan ulama menemui kejayaan, penjaja berita buruk dan pemutarbelit telah mengisytiharkan kematian Pakatan, dan ‘talkin’ telah dibacakan di seluruh Malaysia dan luar negara. Tenang semua!

Malah Lim Kit Siang, supremo DAP, telah turut mengisytiharkan kematian Pakatan. Mengapakah semua orang begitu negatif? Apa yang berlaku kepada keyakinan dan kepercayaan diri? Apa yang berlaku kepada semangat berbilang budaya Tunku? Adakah impian beliau dan kita, sebagai sebuah negara sekular pelbagai budaya yang bersatu telah mati, hanya kerana Abdul Hadi Awang, dan rakan baik barunya, Najib Abdul Razak, telah mengambil keputusan untuk berpakat?

Adakah rakyat Malaysia sedar bahawa sebuah Pakatan yang lebih kukuh akan muncul, dan meneruskan perjuangan tanpa PAS? Pakatan tidak mati. Sebaliknya, PAS yang telah menandatangani sijil matinya sendiri.

Serampang Kajang mendedahkan warna sebenar Hadi. Beliau berbohong. Beliau bercakap dengan lidah bercabang dan tidak membenarkan wanita memainkan peranan yang penting dalam politik.

Ingat cara Hadi menyusun bahasa beliau, seolah-olah menjanjikan syurga kepada orang Melayu, jika mereka menolak Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar Selangor?

Sudah tentu, mereka yang sinis akan mengatakan bahawa DAP adalah berteraskan kaum Cina dan jika ia memerintah, ia akan “menjual” Malaysia kepada orang Cina Singapura.

Jika ada sesiapa yang akan “menjual” Malaysia, ia adalah kerajaan Umno Baru. Sejumlah besar tanah, hartanah dan perniagaan telah dimiliki oleh Republik Rakyat China (PRC). Pasir kita dijual dan diseludup, ke Singapura, supaya rakyat Singapura boleh menambak tanah, yang merugikan kita. Tentera laut PRC telah melakukan latihan di atas beberapa pulau-pulau berbatu, 60 km dari pantai Sarawak tetapi ketua Angkatan Tentera Malaysia memberitahu kita supaya tidak bimbang.

Ahli-ahli politik dalam PKR, sebuah lagi komponen pakatan pembangkang itu, harus menangkis persepsi bahawa mereka merupakan sisa Umno Baru.

DAP sedang cuba menangkis imej mereka sebagai sebuah parti yang dikuasai kaum Cina, dengan ramai kaum muda Melayu. Apa yang UMNO Baru, sebuah parti yang berasaskan kaum semata-mata, sedang lakukan mengenai imejnya sebagai sebuah parti yang berkubang dalam rasuah, nepotisme, kronisme dan penyalahgunaan kuasa? Pertengkaran dalaman mengenai kontrak dan kawasan, memberi kesan kepada rakyat, memusnahkan keyakinan pelabur, dan ekonomi kita.

Kini terdapat peluang untuk membina semula Pakatan, menerusi dua buah parti komponen, dan bukannya dibebani dengan PAS, yang mana pemimpinnya menumpukan terhadap seks, hudud, seks luar nikah, hukuman ke atas orang-orang yang tidak menghadiri solat Jumaat, alam barzakh, daripada membincangkan rasuah, pembaziran BR1M, skandal 1MDB, kebajikan golongan miskin, pembalakan haram di Kelantan, yang hanya boleh berlaku disebabkan kerjasama pemimpin-pemimpin negeri.

Sebagai peserta dalam pakatan itu, PAS tidak memahami cara-caranya. Ketuanya memberi tumpuan terhadap usaha menjatuhkan parti-parti komponen lain. Hadi boleh membawa PAS menyertai Umno Baru, jika dia boleh nyenyak tidur malam lagi selepas melakukannya.

Sekarang sudah abad ke-21, di mana lelaki dan wanita sama taraf, di mana pelbagai kaum perlu hidup bersama-sama, di mana Internet menjadikan dunia semakin kecil, di mana begitu jelas sekali bahawa aspirasi golongan muda, terutamanya orang Melayu, tidak boleh dipenuhi di bawah pemerintahan PAS yang konservatif. Hidup Pakatan baru. Tinggalkan sahaja yang lapuk!

Sumber: http://bm.theantdaily.com/Terkini/Pakatan-belum-mati-hanya-PAS-yang-tandatangani-sijil-matinya#sthash.DxPA8I5x.dpuf