Muhyidin Perlu Segera Ambil Alih Negara

Muhyiddin_YassinNegara kini benar-benar berada dalam keadaan sangat kritikal pertama kali seumpamanya.

Ketika Perdana Menteri selaku ketua pengurus negara dilingkari tanda-tanda penyalahgunaan kuasa yang amat dahsyat, kemudi negara untuk membetulkan keadaan itu masih di tangan beliau sendiri.

Tidak mungkin pembetulan untuk meletakkan negara kembali ke landasan keluhuran undang-undang sebagai kunci perjalanan kerajaan di atas dasar jujur dan amanah serta menjamin keamanan dan kedaulatan negara dapat dilakukan.

Kenyataan berani dan terbuka Peguam Negara pada Sabtu lepas sebenarnya sudah cukup bagi seorang pemimpin yang bermaruah mengambil langkah mengundurkan diri. Segalanya telah tersimpul dalam kenyataan itu dan hingga petang ini, Isnin 6 Julai, empat hari selepas kenyataan itu, PM gagal mengeluarkan sebarang penjelasan terhadap kenyataan AG.

Ketika AG membuat kenyataan telah melihat sendiri dokumen-dokumen berkaitan dan mengarahkan serbuan dibuat ke atas syarikat berkaitan, negara kita sepatutnya telah pun diambil alih oleh seorang PM yang baru atau paling kurang Pemangku PM.

Ketiadaan sebarang reaksi dan tindakan ekoran kenyatan AG itu, hanya akan membuka jalan kepada penutupan jenayah dan pelbagai manipulasi politik.

Kenyataan oleh badan-badan mahasiswa UIA pada hari ini adalah sangat bermakna dalam situasi kritikal sekarang. Saya mengucapkan syabas kepada semua mahasiswa UIA khususnya pemimpin mereka Saudara Hanif Mahpa dan Ahmad Fadhli Umar Aminolhuda dan lain-lain.

Sesuatu mesti dilakukan oleh semua pihak dalam negara kita untuk memaksa PM melepaskan tanggung jawab dan kuasanya setidak-tidaknya untuk sementara waktu bagi membolehkan siasatan dan tindakan yang bebas dapat diambil.

Saya bersetuju TPM mesti mengambil inisiatif utama untuk meluruskan langkah pembetulan negara.

TPM sewajibnya menemui DYMM YDP Agung bersama AG untuk menyembah maklum keadaan yang ada dan seterusnya mencadangkan pelucutan jawatan PM.

Ahli Parlimen seluruhnya perlu menunjukkan sikap patriotik mereka termasuk memberikan sokongan kepada TPM untuk mengambil alih negara dari DS Najib sekalipun mereka adalah dari parti-parti di luar kerajaan.

Tan Sri Muhyiddin juga perlu menjamin suatu tindakan undang-undang diambil tanpa mengira kedudukan dan pangkat. Lebih banyak malapetaka akan berlaku jika tindakan segera tidak diambil.

Husam Musa
6 Julai 2015
19 Ramadhan 1436H

Terima kasih Haron Din kerana percaya saya, kata Najib

image

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini mengucapkan terima kasih kepada pihak yang tidak sewenang-wenangnya mempercayai laporan The Wall Street Journal (WSJ) berhubung dakwaan beliau menerima berbilion ringgit ke dalam akaun peribadinya, termasuk Mursyidul Am PAS, Datuk Haron Din.

Najib menegaskan, beliau tidak akan sesekali mengkhianati kepercayaan rakyat Malaysia, apatah lagi harta benda mereka.

“Saya juga menjadi mangsa serangan mereka secara bertubu-tubi yang kebelakang ini kononnya saya songlap duit yang besar masuk dalam akaun peribadi.

“Saya berterima kasih, ramai juga yang kata tidak percaya berita itu, termasuk Haron Din, dia kata tak masuk akal saya lakukan perkara seperti itu,” kata Najib ketika berucap dalam sebuah majlis berbuka puasa di Semenyih, Selangor petang tadi.

“Tentu sekali saya sebagai perdana menteri tidak akan mengkhianati rakyat Malaysia dan harta benda rakyat Malaysia,” katanya. – 5 Julai, 2015.

Sumber: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/terima-kasih-haron-din-kerana-percaya-saya-kata-najib#sthash.jdXdOGnv.dpuf

Harakah bela Najib isu 1MDB?

image

Pelik bin ajaib apabila Harakah mengeluarkan berita seolah-olah membela DS Najib dalam isu 1MDB. Seperti tidak sensitif dengan mood rakyat yang muak dengan kepimpinan beliau. Harakah dah jadi macam Utusan sekarang?

Sumber: Admin Kejar.Org

Sikap berahsia dalam menentukan harga petrol mencurah minyak ke kemarahan rakyat

Oleh: Robin Stanley Augustin

minyak-naikSEKILAS PANDANG: Ada sesuatu yang tidak kena dengan pentadbiran “Rakyat Didahulukan” di negara ini.

Sikap berahsia seolah-olah menjadi panduan pada zaman ini, terutamanya dalam hal harga petrol.

Pada 30 Jun, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Hasan Malek mengumumkan bahawa pihak berkuasa tidak lagi akan memaklumkan orang ramai mengenai perubahan harga bahan api, dan hanya akan memberitahu peruncit pada tengah malam hari terakhir setiap bulan.

Beliau mewajarkan langkah ini dengan mengatakan bahawa perubahan harga petrol telah menjadi urusan rutin, berikutan pelaksanaan sistem apungan terurus bagi harga petrol dan diesel pada 1 Disember tahun lepas.

Kemudian, pada tengah malam, melalui kaedah pengiraan kerajaan yang misteri, harga RON 95 petrol dinaikkan sebanyak 10 sen seliter dan RON 97 dinaikkan sebanyak 20 sen seliter.

Satu laporan oleh The Rakyat Post menekankan bagaimana pengiraan ini telah menghairankan pemerhati-pemerhati, kerana harga minyak mentah global telah turun sedikit berbanding bulan sebelumnya.

Menurut laporan itu, harga jualan rasmi minyak mentah Malaysia untuk Jun telah dikira pada AS$66.89 (RM251.90) setong, turun AS$248 bulan sebelumnya.

Kerajaan masih belum mendedahkan bagaimana formula apungan harga pasaran bulanan yang digunakan bagi mendapatkan harga di pam, dikira.

Sementara itu dalam satu laporan Malaysiakini, ahli-ahli parlimen pembangkang berkata yang harga petrol sepatutnya turun kerana harga minyak mentah jatuh pada akhir bulan Jun daripada AS$66 setong kepada kira-kira AS$62 setong pada 30 Jun.

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli berkata yang harga RON95 sepatutnya jatuh hampir ke tahap RM1.70 seperti bulan Februari, apabila minyak mentah berharga AS$60 setong.

Ini telah disuarakan oleh Ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan Tantawi yang juga berkata bahawa harga ini perlu diturunkan.

“Ini sekali lagi membuktikan kerajaan tidak serius dalam melindungi rakyat, apatah lagi untuk mengambil langkah-langkah yang membina untuk mengurangkan beban mereka,” kata beliau sambil menambah bahawa ini akan membawa kepada kenaikan harga barangan dan meminta kerajaan untuk membatalkan kenaikan ini dengan segera.

#Nothing2Hide? Jangan buat kelakar.

Mengapakah kerajaan tidak memberitahu orang ramai mengenai cara ia mengira harga minyak? Apakah yang sedang ia sembunyikan?

Siapa yang meraih keuntungan terbanyak daripada harga minyak yang lebih tinggi, apabila logik menetapkan bahawa ia seharusnya lebih rendah disebabkan oleh harga minyak global?

Rakyat sedang bergelut dengan GST, ringgit yang semakin lemah dan kos sara hidup yang meningkat.

Keengganan kerajaan untuk mendedahkan kaedah pengiraan dan keengganannya untuk memaklumkan kenaikan atau penurunan harga minyak yang akan berlaku, mempercanggahi komitmennya terhadap ketelusan dan akauntabiliti.

Perkara-perkara seperti inilah yang mencurah minyak kepada rasa marah dan curiga rakyat terhadap kerajaan.

Jadi hairankah mengapa ramai dari kita tidak mempercayai pemimpin-pemimpin kita?

Jika kerajaan mahu mengubah Malaysia, ia perlu mengubah cara ia beroperasi terlebih dahulu.

Ini adalah zaman ketelusan.

Kerajaan perlu telus dalam menentukan sesuatu yang penting seperti harga petrol.

Sumber: http://bm.theantdaily.com/Terkini/Sikap-berahsia-dalam-menentukan-harga-petrol-mencurah-minyak-ke-kemarahan-rakyat#sthash.5xjU6orF.dpuf

2 Video Ini Cukup Untuk Menerangkan Mengapa Berlaku Pepecahan di Dalam PAS Sekarang Ini

Sejak 2008, sudah ada usaha dari Majlis Syura Ulama (MSU) sendiri yang mahu melaksanakan agenda untuk mewujudkan kerajaan perpaduan (UG) di antara PAS-UMNO di Perak dan Selangor, dan mengkhianati kemenangan yang telah dicapai oleh gabungan PAS-DAP-PKR (pada ketika itu nama Pakatan Rakyat belum wujud). Malangnya ramai yang tidak mengetahui kerana usaha itu berjaya di rahsiakan oleh kepimpinan tertinggi PAS, iaitu di peringkat Presiden dan MSU. Perkara ini berjaya di sembunyikan sehinggakan Tok Guru Nik Aziz sendiri sebagai pengerusi MSU tidak tahu menahu mengenai hal ini. Siapakah di dalam MSU yang terlibat di dalam agenda Kerajaan Perpaduan (UG) selain dari Nasaruddin Mat Isa yang diarahkan untuk menjadi orang tengahnya? Tonton 2 video di bawah:

 

Perkara ini lah yang menjadi punca perbalahan di dalam PAS sehingga mewujudkan apa yang dipanggil Golongan Ulama dan Profesional atau sekarang lebih di kenali sebagai Kumpulan Konservatif dan Kumpulan Progresif di dalam PAS. Bukan kerana di dalam kedua-dua kumpulan ini tiada golongan ulama atau golongan profesional yang menyokong mereka, tetapi kerana perbezaan aliran pemikiran inilah yang menyebabkan berlakunya perpecahan di dalam PAS terutamanya kerana keengganan kumpulan progresif untuk bersama membentuk kerjasama politik dengan UMNO dan mengkhianati majoriti aspirasi rakyat yang mahu menumbangkan UMNO Barisan Nasional melalui Pakatan Rakyat.

Di dalam video di atas juga di paparkan bagaimana kumpulan progresif ini digelar dengan pelbagai gelaran contohnya Anwarinas (yang turut di popularkan oleh Utusan Malaysia), Parasit, Jebon dan sebagainya. Seterusnya bagaimana perancangan telah di buat untuk menyingkirkan kesemua pimpinan kumpulan progresif di dalam PAS dan digantikan dengan kumpulan konservatif yang mesra UMNO. Sehingga ketahap ini UMNO telah berjaya di dalam usaha mereka untuk memerangkap PAS dan memecah-belahkan sesama ahli mereka dan seterusnya memecah-belahkan perpaduan di dalam Pakatan Rakyat.

Hasil dari itu wujudlah gerakan harapan baru sekarang ini yang tujuan asalnya adalah untuk meneruskan semula perjuangan asal PAS yang dibawa oleh arwah Ust. Haji Fadzil Mohd Noor dan Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang mahukan mengekalkan perpaduan di kalangan ahli-ahli PAS yang mahu menumbangkan UMNO BN dan mengekalkan serta memperkuatkan perpaduan di kalangan kesemua parti utama di dalam Pakatan Rakyat. Ini adalah kerana sehingga kini adalah dirasakan bahawa inilah platform terbaik yang ada untuk merealisasikan cita-cita tersebut.

Sumber: Artikel Asal Admin Kejar.Org.

Gagasan parti Islam baharu satu keperluan walaupun terlambat, kata aktivis pelajar

Fahmi Zainol
Fahmi Zainol

Gagasan sebuah parti baharu yang sedang hangat diperkatakan ketika ini merupakan satu keperluan, khususnya di kalangan anak muda yang berhaluan Islamik, kata aktivis pelajar Fahmi Zainol.

Bekas presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) itu berkata, parti yang sebegitu seharusnya ditubuhkan 5 hingga 10 tahun dahulu lagi.

“Ia satu keperluan, khususnya bagi kami anak-anak muda Islamik yang sudah mampu menilai setiap perkara,” katanya yang kini digantung pengajian dan akan kembali menyambung pelajarannya di UM pada Ogos ini.

“Namun apa boleh buat, orang-orang tua di atas sana baru sedar perlu adanya gagasan parti baharu yang bercorakkan parti Islam dengan ciri-ciri kontemporari dan semasa,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Fahmi mengulas cadangan penubuhan sebuah parti Islam baharu yang progresif dan inklusif oleh kumpulan G-18 yang terdiri daripada bekas pemimpin PAS yang tersingkir dari pucuk kepimpinan parti itu.

Pemimpin yang tewas dalam pemilihan PAS awal bulan ini menyifatkan kekalahan mereka secara blok pada Muktamar Tahunan ke-61 itu sebagai “rahmat yang terselindung” apabila ia membuka ruang membina sesuatu lebih kukuh untuk Malaysia selepas ini.

Pada pertemuan pertama mereka 16 Jun lalu di Muar, Johor, G18 membentuk jawatankuasa bertindak dengan bekas timbalan presiden Mohamad Sabu dipilih sebagai pengerusi, bekas naib presiden Salahudin Ayub sebagai timbalan pengerusi, Dr Dzulkefly Ahmad sebagai setiausaha dan bekas ketua Pemuda Suhaizan Kaiat sebagai penolong setiausaha.

Sehingga ini, cadangan penubuhan parti baharu ini mendapat dokongan pelbagai pihak termasuk PasMa, iaitu badan bukan kerajaan (NGO) yang pro Pakatan Rakyat (PR) dalam PAS, NGO Islam dan juga tokoh masyarakat.

Fahmi digantung pelajarannya selepas menganjurkan majlis untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim di kampus UM tahun lalu, di mana pelajar merempuh pintu pagar utama universiti itu untuk membolehkan mereka masuk.

UM memutuskan menggantung dan mendenda beliau dan seorang lagi mahasiswa yang menganjurkan program “40 Tahun Dari UM ke Penjara” Anwar pada Oktober lalu itu selepas hampir 12 jam prosiding tatatertib diadakan Disember tahun lalu.

Fahmi digantung pengajian selama 2 semester dan didenda sebanyak RM600 manakala Pengerusi Pro Mahasiswa (Pro M) Safwan Shamsuddin digantung selama satu semester dan didenda sebanyak RM300.

Prosiding tatatertib itu juga menyaksikan Abraham Au digugurkan pertuduhan dan Khairul Najib Hashim diberi amaran.

Walaupun digantung, Fahmi menjadi pemimpin pelajar yang dihormati di kalangan mahasiswa negara ini.

Beliau diberikan sambutan hangat oleh pelajar universiti seluruh negara dalam jelajah yang dibuatnya bersama rakan-rakan.

Program anjuran PPUM itu diadakan pada 27 Oktober, sehari sebelum berlangsungnya pendengaran rayuan terakhir bekas ketua pembangkang itu di Mahkamah Persekutuan Putrajaya terhadap sabitan kesalahan dan hukuman penjara yang dikenakan Mahkamah Rayuan pada Mac tahun lalu selepas mendapatinya bersalah meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan.  – 27 Jun, 2015.

Tujuh dalil mengapa Pakatan Rakyat tiada masa depan jika Hadi terus menerajui Pas.

Oleh Zairil Khir Johari

image

Persoalan masa depan Pakatan Rakyat kian menjadi perbincangan hangat berikutan tindakan Dewan Undangan Negeri Kelantan untuk meluluskan pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 pada 19 Mac lalu.

Tindakan secara unilateral itu bukan sahaja bercanggah dengan Dasar Bersama Pakatan Rakyat, malah tidak menghormati keputusan mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pada 8 Februari 2015 yang dihadiri Presiden Pas Dato’ Seri Abdul Hadi Awang sendiri.

Susulan daripada pindaan enakmen hudud yang diluluskan di Kelantan, Hadi sendiri melakukan tindakan yang lebih mengejutkan, iaitu dengan menghantar pemberitahuan kepada Setiausaha Dewan Rakyat untuk membentangkan rang undang-undang persendirian yang bertujuan untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 bagi membenarkan pelaksanaan enakmen hudud di Kelantan.

Justeru, tindakan Presiden Pas untuk mengemukakan rang undang-undang persendirian ini boleh dianggap sebagai satu pengkhianatan muafakat Pakatan Rakyat, lantas menimbulkan persoalan sama ada gabungan politik tiga parti ini boleh terus berkekalan.

Pada saya, jawapannya amat mudah. Tidak mungkin Pakatan Rakyat mempunyai masa depan sekiranya pucuk pimpinan Pas terus diterajui oleh Dato’ Seri Hadi Awang. Saya mengambil pendirian ini bukan hanya berdasarkan tindak tanduk Presiden Pas baru-baru ini, tetapi juga atas tujuh bukti atau dalil yang disenaraikan di bawah:

■ Parlimen Labuan

■ DUN Sungai Acheh (Pulau Pinang)

■ DUN Kota Damansara (Selangor)

■ DUN Panti (Johor)

■ DUN Kota Putera (Terengganu)

■ DUN Bukit Besi (Terengganu)

■ DUN Seberang Takir (Terengganu)

Di atas merupakan tujuh kerusi (enam DUN dan satu Parlimen) yang telah melihat pertandingan tiga-penjuru dalam Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu. Dalam ketujuh-tujuh kawasan tersebut, Pas telah meletakkan calon pada saat terakhir melalui watikah yang ditandatangani oleh presidennya.

Mengikut tatacara lazim, calon-calon Pas akan menerima watikah yang ditandatangani oleh Dato’ Mustafa Ali selaku Setiausaha Agung parti. Demikianlah bagi semua calon Pas yang bertanding dalam kerusi-kerusi yang telah dipersetujui dalam perbincangan dalaman Pakatan Rakyat.

Oleh itu, tindakan Pas untuk bertanding di tujuh kerusi yang sepatutnya ditandingi PKR itu merupakan khianat yang nyata dilakukan dengan restu Hadi sebagai presiden parti. Akhirnya, Barisan Nasional telah memenangi kesemua tujuh kerusi tersebut.

Justeru, mangsa pengkhianatan bukan sekadar PKR dan Pakatan Rakyat, tetapi semua rakyat Malaysia yang mahukan perubahan besar dalam politik negara.

Kemenangan undi popular dalam PRU13 jelas menunjukkan bahawa rakyat Malaysia menginginkan Pakatan Rakyat untuk mengambil alih tampuk kepimpinan negara. Saya yakin, pilihan rakyat telah dibuat setelah melihat kerjasama yang erat antara ketiga-tiga parti dalam pentadbiran kerajaan-kerajaan negeri seperti Pulau Pinang dan Selangor yang berjaya mencatat prestasi ekonomi yang cemerlang sambil memeliharakan kebajikan rakyat.

Saya percaya kebanyakan akar umbi Pas, sepertimana juga akar umbi DAP dan PKR, menginginkan perpaduan dan kerjasama yang berterusan di bawah payung Pakatan Rakyat. Oleh itu, saya melihat pengkhianatan yang dilakukan oleh sesetengah pimpinan Pas sejak PRU13 lagi sebagai agenda rakus dan jumud oleh puak tertentu yang ingin memecahbelahkan Pakatan Rakyat bagi kepentingan politik mereka.

Pada pendapat saya, selagi dalang-dalang pengkhianatan ini masih kekal berkuasa dalam Pas, tiadalah masa depan bagi Pakatan Rakyat.

Zairil Khir Johari
– Ahli Parlimen Bukit Bendera
– Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP
22 Mac 2015

Pesanan Mufti Perlis kepada Pimpinan PAS

Oleh: Dr. Maza (Mohd Asri Zainal Abidin)

image

Saya tidak mahu campur urusan PAS. Tapi saya mohon berbeza pendapat dalam hal ini jika PAS memerintah Malaysia.

Jika sekiranya kepimpinan itu tidak boleh dipersoalkan tindakan mereka, maka hancurlah demokrasi bagi sesebuah negara. Hari ini betapa banyak tindakan pimpinan negara ini dipertikai oleh rakyat termasuk PAS sendiri sering membantah dan mempersoalkan tindakan kerajaan. Mengapa dibolehkan pula?!

Andainya atas nama ulama yang memimpin jika PAS memerintah nanti maka tindakan kepimpanan negara masa itu tidak boleh dipertikaikan, maka ia sama dengan konsep ‘Wilayatul Faqih’ yang dipegang oleh Khomeini dan Syiah di Iran.

Maka jadilah Malaysia sebuah negara mullah yang hampir sama dengan sejarah kuasa Pope di Vatican dahulu yang telah menyebabkan tercetusnya sengketa dan perang saudara antara Katholik dan Protestan.

Segala impian rakyat untuk melihat negara yang telus, bertanggungjawab dan boleh dipersoalkan atas dasar kemaslahatan politik kenegaraan akan musnah.

Rasulullah s.a.w dan Khulafa Rasyidin sendiri sering ditanya dan dipersoalkan oleh rakyat tindakan politik dan strategi mereka, siapalah kita semua?!

Jika ini impian kenegaraan PAS, maaf saya antara yang tidak mampu mengundi mereka.

Kopi Susu yang sudah di keluarkan susu sudah jadi Kopi O, begitu juga dengan PR

PAS-PKR-DAP-cracked-L-600x360

Oleh: Khalid Samad

Polemik semasa adalah samada Pakatan Rakyat masih wujud atau sebaliknya. DAP dengan tegas menyatakan Pakatan Rakyat sudah terkubur. PKR melalui kenyataan Presidennya, DSWA, telah menyatakan kekecewaannya terhadap usul muktamar PAS dan kenyataan DAP sambil menyebut bahawa “Pakatan Rakyat tidak lagi berfungsi secara formalnya”.

PAS melalui kenyataan yang dibuat oleh Datuk Mustapha Ali, Pengarah Pilihanraya PAS Pusat yang baharu, menyatakan bahawa Pakatan Rakyat masih wujud tetapi ‘pengsan’. Pada pagi semalam, 20 Jun 2015, TGHH pula menyebut bahawa Pakatan itu tetap wujud selagimana ada dua parti yang terlibat.

Kesemua kenyataan yang ini, walaupun dilihat bercanggah, ada kebenarannya dan oleh itu tidak hairanlah apabila sebahagian besar masyarakat menganggap ianya mengelirukan. Ia menyebabkan persoalan asal, samada Pakatan Rakyat masih wujud kelihatan seolah-olah masih tidak dijawab!

KOPI SUSU

Untuk menjelaskan keadaan yang sedang wujud, biar saya berikan contoh yang mudah difahamai semua, iaitu contoh ‘Kopi Susu’.

Kopi susu adalah ‘Kopi susu’, selagimana campuran bahannya adalah kopi, susu dan gula. Apabila dikeluarkan susu, maka ianya menjadi Kopi ‘O’. Kalau dikeluarkan gula selepas itu, maka ia menjadi Kopi ‘O’ kosong. Walaupun ianya masih Kopi, tetapi 3 jenis Kopi itu tidak sama malah jauh berbeza. Hanya yang tidak berapa ‘betul’ akan cuba mengatakan bahawa ‘Kopi susu’ adalah sama sahaja dengan Kopi ‘O’!

Maka begitu jugalah dengan Pakatan Rakyat. Ianya gabungan 3 parti iaitu PAS, PKR dan DAP. Apabila salah satu parti dari tiga parti itu keluar, maka walaupun ianya masih lagi ‘Pakatan’, sepertimana yang ditegaskan oleh TGHH, pokoknya ianya bukan lagi ‘Pakatan Rakyat’. Sekiranya ianya di antara PAS dan PKR sahaja, ianya sudah menjadi satu Pakatan Baharu yang boleh dinamakan sebagai Pakatan PKR-PAS. Boleh juga diwujudkan Pakatan lain sekiranya PKR ‘menduakan’ PAS dengan mewujudkan ‘Pakatan PKR-DAP’.

PAKATAN RAKYAT SUDAH TIADA

Pokoknya, setiap parti sudah bebas dari ikatan Pakatan Rakyat apabila salah satu parti komponen mengisytiharkan Pakatan Rakyat tidak lagi wujud. Dengan erti kata lain, parti tersebut telah keluar dan dengan itu yang tinggal tidak lagi dinamakan sebagai Pakatan Rakyat. Maka dalam suasana itu, setiap parti bebas bergerak mengikut kehedaknya sendiri. Tiada lagi sebarang ikatan antara mereka kerana Pakatan Rakyat sudah tiada.

Dalam kenyataan Presiden PKR, beliau telah menyatakan bahawa PKR menyokong kerajaan Kelantan yang dipimpini PAS dan menyokong juga kerajaan Penang yang diketuai DAP. Ini merupakan pendirian PKR terhadap kerajaan PAS di Kelantan dan terhadap kerajaan Penang di bawah kepimpinan DAP.

Kenyataan ini perlu dibuat kerana pendirian DAP terhadap kerajaan Kelantan dan PAS terhadap kerajaan Penang adalah berbeza. DAP sudah tidak bersama PAS dan dengan itu tidak menyokong kerajaan Kelantan di bawah PAS. PAS pula, kecuali ingin melakukan U-turn, telah memutuskan hubungan dengan DAP dan dengan itu tidak lagi menyokong kerajaan Penang di bawah DAP.

Saya rasa tidak mungkin PAS melakukan U-turn dan kenyataan TGHH yang menyebut bahawa “dua parti memadai untuk mewujudkan Pakatan” adalah konsisten dengan keyakinan saya ini.

PAKATAN DI SELANGOR

Presiden PKR turut menyebut harapan beliau bahawa PAS dan DAP akan terus menyokong kerajaan Selangor di bawah kepimpinan YAB Azmin Ali. Walau apa sekalipun yang diputuskan oleh PAS dan DAP berhubung Selangor, yang nyata adalah Pakatan Rakyat sepertimana kita kenali selama ini sudah tidak wujud.

Yang boleh diwujudkan sekarang di Selangor adalah samada ‘Pakatan PKR-PAS’ dan ‘Pakatan PKR-DAP’ atau kedua-duanya secara serentak. Pakatan PKR-PAS boleh diwujudkan di Kelantan, atau sebaliknya PAS boleh bersendirian di situ. Pakatan PKR-DAP pula boleh diwujudkan untuk Pulau Pinang. Pakatan PKR-PAS dan Pakatan PKR-DAP boleh pula diwujudkan secara serentak di Selangor.

Mungkin untuk Selangor kewujudan Pakatan antara PAS, PKR dan DAP boleh dirundingkan kembali. Namun ianya merupakan sesuatu yang sukar apabila hubungan dan kerjasama antara PAS dan DAP diputuskan sepertimana yang dituntut dan didesak melalui usul DUPP. Oleh itu pendekatan dua Pakatan serentak untuk Selangor kelihatan sebagai satu-satunya pendekatan yang boleh diguna-pakai. Asas kedua-dua Pakatan perlu dirundingkan antara PKR dan PAS dan juga PKR dan DAP.

Namun bagaimana masalah ini ingin diurus perlu diserahkan kepada saff pimpinan untuk menyelesaikannya. Mereka telah berkerja keras untuk menjadi pimpinan, maka adalah diharapkan bahawa mereka akan mampu menanganinya dengan baik.

SIFAT PAKATAN RAKYAT

Pakatan Rakyat turut mempunyai sifatnya tersendiri dengan dasar ‘common policy framework’atau ‘kerangka dasar bersama’ yang bertujuan untuk menyelaras ketiga-tiga parti apabila mereka bergerak sebagai satu Pakatan.

Ia mempunyai mekanisme penggubalan dasar tersendiri iaitu ‘government by consensus’ atau ‘mentadbir berdasarkan persetujuan bersama’ yang telah turut merupakan salah satu ciri utama Pakatan Rakyat.

Ia turut mempunyai kaedah untuk menangani perbezaan yang disedari kewujudannya dari sejak asal, iaitu kaedah ‘agree to disagree’ atau ‘bersetuju untuk tidak bersetuju’.

Samada dasar-dasar itu akan terus dipegang oleh ketiga-tiga parti yang terlibat dan samada ianya akan diserapkan di dalam Pakatan PKR-PAS atau Pakatan PKR-DAP terpulang kepada perundingan yang bakal dilakukan. Sudah pasti Pakatan PKR-PAS tanpa adanya DAP akan berbeza berbanding Pakatan PKR-DAP tanpa PAS.

Dikhuatiri akhirnya akan didapati sama sahaja.

KESIMPULAN

Bagi saya kedudukan Pakatan Rakyat adalah jelas dan nyata. Pakatan Rakyat tidak lagi wujud. Istilah ‘pengsan’ atau komatose, tidak berfungsi secara formal atau sebagainya adalah hanya istilah-istilah yang mengaburi hakikat sebenar. Lebih awal diakui keadaan yang sebenar, maka adalah lebih mudah untuk mengusahakan pembaik-pulihan dan pembetulan sekiranya perlu. Tiada manafaat menipu diri dengan mengatakan kesemuanya baik dan OK sedangkan pada hakikatnya ianya sebaliknya.

Ada yang berkata bahawa seseorang itu hanya akan menghargai sesuatu apabila sudah kehilangannya. Mana tahu secara tiba-tiba selepas tiadanya Pakatan Rakyat, yang kuat menghentam Pakatan Rakyat siang malam tiba-tiba berubah dan mula menghargainya! Mungkin tiba-tiba akan disebut bahawa diperlukan Pakatan Rakyat untuk menjatuhkan BN yang sedang tenat.

Sekiranya itu berlaku; persoalannya, adakah ianya boleh dipercayai?

WaLlahu ‘Alam
KHALID SAMAD

Kita bekerjasama dengan semua parti yang tidak cauvinis – Hadi Awang

hadi2Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengulangi pendiriannya iaitu Pakatan Rakyat (PR) masih wujud dan menegaskan walaupun ia kini terdiri daripada 2 parti – PAS dan PKR, tanpa DAP tetapi ia tetap satu pakatan.

Keyakinan beliau itu dinyatakannya hari ini memandangkan tiada sebarang pendirian yang dikeluarkan PKR berhubung masa depan PR.

“Selagi PKR tidak buat keputusan, maksudnya ia masih bersama (PR). Apa makna ‘pakatan’? ‘Pakatan sekurang-kurangnya perlu ada 2 (parti). Kalau satu jadi pakatan tak? Tidak boleh.

“Ini saya berjalan.. Saya masih hidup (PR masih hidup),” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan di bazaar Ramadan Jalan Raja Alang di Kampung Baru, Kuala Lumpur hari ini.

PAS meluluskan tanpa bahas usul Dewan Ulama memutuskan tahaluf siyasi dengan DAP pada muktamar tahunannya ke-61 awal bulan ini. Susulan itu, DAP mengumumkan PR bubar secara rasminya.

Bagaimanapun, Hadi baru-baru ini membuat kenyataan menyatakan PR masih belum berkubur.

Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pula tidak menjelaskan pendiriannya, sebaliknya hanya menyatakan PR kini tidak lagi berfungsi secara rasmi.

Ditanya adakah keputusan PAS untuk bekerjasama dengan PKR kerana ingin mengekalkan kedudukan mereka di Selangor, Hadi menegaskan parti Islam itu akan bekerjasama dengan sesiapa saja kecuali golongan yang dianggap “cauvinis”.

“Kita bekerjasama dengan semua parti yang tidak cauvinis,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Hadi turut ditanya mengenai bekas calon presiden yang dikalahkan semasa pemilihan lalu, Ahmad Awang, yang dilaporkan bakal menyaman beliau atas kenyataannya semasa muktamar lalu.

Ahmad berkata semalam, Hadi mendakwa beliau merupakan calon DAP.

Hadi dengan ringkas menjawab hari ini, beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan begitu.

“Tidak saya tidak ada kata begitu.. tidak ada cakap apa-apa,” katanya.

Menjelang pemilihan pada muktamar itu, Hadi dalam satu kenyataannya yang disebarkan melalui video mendakwa, pertandingan itu antara calon pilihan DAP dan calon pilihan PAS.

“Boleh pilihlah antara yang DAP hendak atau yang kita (PAS) hendak,” katanya dalam rakaman video yang disebarkan secara meluas melalui media sosial khasnya di kalangan perwakilan muktamar itu.

Ahmad memberitahu The Malaysian Insider semalam, beliau sedang mengkaji tindakan undang-undang ke atas pihak yang memfitnah beliau sepanjang kempen pemilihan itu, termasuk Hadi.

“Saya sedang kaji tindakan itu (saman), termasuk presiden yang menuduh saya sebagai calon DAP,” katanya.

“Ini (fitnah) saya tidak boleh terima dan saya akan bersihkan nama baik saya,” katanya yang tewas dalam pemilihan itu apabila hanya mendapat kira-kira 25% sahaja dari keseluruhan jumlah undi. – 21 Jun, 2015.

Sumber: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/pakatan-masih-hidup-walaupun-dengan-2-parti-kata-hadi#sthash.GP8F6SYu.dpbs