Siasat siapakah gerangan promoter Nik Abduh ?

Suwardi dan Nik AbduhTERSEBAR sudah sekeping gambar menunjukkan bertapa akrabnya calon Ketua Pemuda Pas, Ustaz Nik Muhammad Abduh bersama seorang individu yang dikenali dengan nama Suwardi Yaakub. Walaupun ramai yg tak mengenalinya di dalam politik, Suwardi sebenarnya sangat istimewa kerana ia mempunyai hubungan rapat dengan ramai VIP dan VVIP. Beliau di katakan biasa berhubung dengan menteri-menteri termasuklah Tan Sri Muhyiddin Yassin, Dato’ Jamil Khir dan lain-lain VIP dan ada ketika bermain golf bersama mereka.

Suwardi merupakan pegawai khas Dato’ Dr Hasan Ali pada masa beliau menjadi exco Kerajaan Selangor. Pernah dilapurkan bahawa dia adalah di antara individu yan menjadi orang tengah di dalam mengatur pertemuan-pertemuan antara pemimpin PAS dan pemimpin UMNO semasa percubaan membentuk kerajaan kerjasama Umno – PAS di Selangor pada 2008.

Gambar di atas tersebar dan melalui maklumat disebut pertemuan itu dibuat di Perlis. Walaupun salah seorang lagi individu yang berada dalam gambar itu adalah Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub namun umum dan ahli Pas tahu Salahuddin hanya jemputan ke program bersama ahli dan kepimpinan Pas di Perlis.

Persoalannya bagaimana individu tersebut yang sebelum ini dikaitkan dengan sebuah parti lawan boleh berada bersama Nik Abduh untuk ke program itu. Biarpun pihak tersebut berasal dari Perlis namun penglibatannya dengan Nik Abduh menjadi tanda tanya.

Andainya isu dan gambar itu adalah fitnah, ahli-ahli terutama pimpinan Pemuda Pas Malaysia mengharapkan Nik Abduh menjawabnya di pentas wacana bersama seorang lagi calon Ketua Pemuda, Suhaizan Kaiat yang juga penyandang jawatan.

Ramai ahli-ahli Pas mahu melihat calon Ketua Pemuda duduk sepentas untuk berkempen secara sihat mengemuka hujah dan aspirasi membawa Pemuda ke mercu jaya bukannya duduk bersama mereka yang boleh menimbulkan keraguan kepada perwakilan untuk menilai.

Artikel asal dari http://muktamarpas61.blogspot.com/2015/05/siasat-siapakah-gerangan-promoter-nik.html

Rakyat akan tumbangkan BN meskipun PAS tinggal Pakatan, kata Mat Sabu

mat-sabu-548x320PAS tidak perlu angkuh dengan sokongan yang dinikmatinya pada ketika ini kerana ia hasil bersama Pakatan Rakyat (PR), kata Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu.

Mohamad berkata, keazaman rakyat menukar kerajaan tetap akan diteruskan tanpa mengira sama ada parti Islam itu kekal bersama PR atau tidak.

“Rakyat akan pergi (tukar pemerintah) sama ada PAS ada atau tiada. Di sinilah kita beritahu PAS, jangan ‘eksyen’ (berlagak) sangat.

“Tanpa PAS, rakyat akan pergi juga untuk tukar pemerintahan,” katanya yang dikenali sebagai Mat Sabu di Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur semalam.
Katanya, trend itu dapat dilihat menerusi peningkatan undi majoriti diperoleh PKR dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh dan jumlah peserta himpunan #KitaLawan baru-baru ini.

Beliau berkata, undi majoriti Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tetap meningkat walaupun terdapat pelbagai “fatwa” dikeluarkan sewaktu kempen berlangsung.

Katanya, himpunan #KitaLawan di Kuala Lumpur tetap menggamit kehadiran ramai orang walaupun ia tidak didokong secara rasmi oleh briged sukarelawan PAS, Unit Amal.

Mohamad yang pernah menjadi ahli Parlimen selama 3 penggal itu berkata, kehadiran rakyat di jalan raya kini didorong kumpulan “kuasa ketiga” yang diketuai personaliti seperti Pengerusi Gerakan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) Maria Chin Abdullah dan aktivis mahasiswa Adam Adli Abd Halim.

“Kumpulan ini semakin membesar dan semakin berdikari,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir sebagai tetamu dalam pembentangan tesis ijazah lanjutan oleh sarjana UM, Mohd Ikhwaniata Taib.

Ikhwaniata membentangkan tesis bertajuk “Perjuangan Mohamad Sabu dalam PAS 1978-2013” di Fakulti Seni dan Sains Sosial, UM.

Mohamad dalam ucapannya juga mengulangi kenyataan beliau kesal dengan sesetengah pihak yang dilihat seperti bersedia membantu Umno dan Barisan Nasional (BN) supaya kekal berkuasa di Putrajaya atas nama ‘pengislahan’ (reformasi).

Katanya, berdasarkan keputusan PRK Rompin dan Permatang Pauh awal bulan ini, sokongan kepada BN jatuh menyebabkan keadaan politik sekarang adalah yang terbaik untuk menukar kerajaan.

“Sebab itu kita tengok Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan gelisah.

“Tetapi dalam keadaan gelisah begitu ada yang pergi bubuh tongkat pula. Ini yang saya rasa pelik.

“Keluar kenyataan kita berpolitik bukan untuk ambil alih kerajaan, tetapi untuk buat pengislahan.

“(Katanya) kalau Najib sanggup buat pengislahan, kita tak payah tukar kerajaan. Bagi kita, tak wujud pengislahan tanpa tukar kerajaan,” katanya.

Walaupun tidak menamakan sesiapa secara khusus, beliau dipercayai merujuk kepada kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah sebelum ini.

Amar sebelum ini dilaporkan berkata, PAS sedia melupakan hasrat menawan Putrajaya asalkan impiannya melaksanakan hudud tercapai.

Sebelum kenyataan itu dikeluarkan, usul PAS meminda beberapa bahagian dalam rang undang-undang hudud di Dewan Undangan Negeri Kelantan mendapat sokongan penuh semua wakil rakyat Umno Kelantan dan beberapa pemimpin Umno peringkat nasional. – 26 Mei, 2015.

Pengarang: KC Nazari

Sumber: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/rakyat-akan-tumbang-bn-meskipun-pas-tinggalkan-pakatan-kata-mat-sabu#sthash.dimaKj7s.idwDJc5F.dpuf

Tiba-tiba Hadi Awang ‘puji’ RMK11

Hadi AwangPresiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberikan pujian kepada Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) yang dibentangkan Perdana Menteri di parlimen tempohari.

Kata Abdul Hadi, ada perkara positif dalam rancangan kerajaan itu walaupun pada masa sama, ada yang negatif. Begitulah mesranya Abdul Hadi dengan UMNO sekarang ini. Satu perubahan drastik yang amat berbeza dengan pendiriannya dahulu yang bersikap keras terhadap UMNO dan kerajaan BN (UBN).

Sikap keras beliau terhadap UBN sekarang ini di halakan pula kepada rakan-rakan dalam parti beliau sendiri dan Pakatan Rakyat (PR). Pelbagai gelaran baru seperti barua, broker dan tolol telah diberikan kepada ahli-ahli PAS yang tidak sealiran dengan beliau di samping sikap keras beliau terhadap pemimpin-pemimpin parti-parti di dalam PR.

Ramai di kalangan aktivis PR sekarang ini menyebut kepimpinan PAS khususnya Abdul Hadi dan penasihat-penasihat kepimpinan beliau yang terdiri dari kumpulan ustaz-ustaz muda kelihatan seolah-seolah mahu bermusuhan dengan semua pihak sekarang kecuali pihak UBN.

Walaupun sering di nafikan secara lisan bahawa parti itu hendak bergabung dengan UMNO tetapi dari tindak-tanduk dan perbuatan menunjukkan beliau cenderung kearah itu dengan banyaknya bukti-bukti jelas yang boleh diperolehi dengan mudah terutama secara online. Tidak cukup sekadar itu Abdul Hadi sudah mula ‘menyanyi’ kan semula lagu-lagu kerajaan perpaduan (UG) bersama UMNO setelah kematian Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz, mantan Mursyidul Am PAS.

Merujuk semula kepada isu RM11 di atas, Harakahdaily melaporkan Abdul Hadi sebagai berkata, antara perkara positif di dalam RMK11 pada pandangan Ahli Parlimen  Marang itu ialah “kemudahan yang sudah ada.” Suatu jawapan yang sangat simplistik dan tidak menggambarkan beliau sebagai pemimpin pembangkang.

Dalam kenyataan sama, Abdul Hadi juga menyatakan pendirian PAS untuk “memberi peluang kepada kerajaan untuk membetulkan semua kelemahan itu.” Kenyataan ini menimbulkan pelbagai persoalan. Ungkapan memberi peluang tersebut boleh di tafsirkan sebagai mahu kepimpinan sedia meneruskan pemerintahan sedangkan sepatutnya sebagai pemimpin pembangkang beliau sepatutnya mengatakan bahawa kepimpinan yang ada sekarang tidak mampu lagi untuk menyelesaikan masalah rakyat. Contohnya seperti skandal 1MDB yang nampaknya tidak mampu di selesaikan oleh Perdana Menteri yang rata-rata dikritik oleh pihak luar dan dalam kerajaan sekarang ini termasuk Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yasin.

Pengarang: Admin Kejar.Org

Sumber gambar: MalaysiaKini, http://www.malaysiakini.com/news/299326

 

Mat Taib: Ada yang tak kena pada PAS

muhammad-taib-april22“Kalau rasa masuk PAS hanya untuk mendapatkan keredaan Allah, Putrajaya tak penting, saya rasa ada yang tak kena dengan dia,” kata Tan Sri Muhammad Muhammad Taib hari ini.

Kenyataan itu dibuat sebagai mengulas kemunculan kumpulan ulama tertentu dalam PAS yang bermati-matian mempertahankan presiden mereka dan menolak bekerjasama dengan Pakatan Rakyat untuk mengalahkan kerajaan.

Bagaimanapun bekas Naib Presiden UMNO itu tidak menyebut sebarang nama dalam kenyataan berkenaan.

Menurut Muhammad PAS kini kekurangan pemimpin muda yang boleh diketengahkan sebagai pemimpin dalam negara.

“Walaupun ada tokoh muda yang baik dan alim menyetai PAS, mereka tidak memiliki kualiti sebagai pemimpin nasional,” katanya.

Kumpulan itu, katanya, mungkin mahir menjadi imam dalam solat atau acara keagamaan namun gagal memahami isu semasa seperti skandal 1MDB, cukai barangan dan perkhidmatan (GST) serta hubungan antarabangsa.

Itu pun tak tahu

“Boleh baca ayat al-Quran, hafal ini itu (di luar negara), balik jadi pemimpin. Tapi golongan muda ni kalau mintak terangkan 1MDB, tak tahu. Pasal GST tak berani. Pasal hubungan antarabangsa tak faham.

“Kenapa Turki hantar kapal perang nak bantu pelarian Rohingya pun tak tau,” katanya.

Menurut Muhammad, kalau seseorang itu menjadi ketua hanya kerana tahu membaca al-Quran dan hadis semata-mata tanpa memahami realiti, ia tidak memadai untuk diangkat sebagai pemimpin.

Sementara itu Muhammad juga menyatakan rasa kecewa terhadap pertelingkahan dalam Pakatan kerana gabungan itu sepatutnya menjadi alternatif terbaik menggantikan BN.

Katanya, dengan berpecah-belah, Pakatan terlepas peluang berkenaan.

“Bagus kalau ada sistem dua parti – Pakatan dan BN.

“Mana-mana yang mampu memberikan yang terbaik wajar mentadbir negara,” katanya.

Sumber: http://www.malaysiakini.com/news/299402

Gambar: http://media.themalaysianinsider.com/images/uploads/mugshots/muhammad-taib-april22.jpg

 

‘Kalau nak bergabung sangat, pergilah…’

Lim Guan EngSetiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata Datuk Seri Abdul Hadi Awang kini semakin berkelakuan seperti “pemimpin Umno” dengan memainkan sentimen perkauman sambil menyerang parti berkenaan.

Semakin lama, kata Lim, Abdul Hadi dilihat lebih sebagai pemimpin Umno berbanding Presiden PAS.

“Adakah ini kerana beliau nak (menjayakan) kerajaan perpaduan? Beliau tetap sokong perdana menteri walaupun Lembaga Tabung Haji ada masalah?” kata Lim dalam sidang media selepas menyampaikan ucapan di sebuah forum di Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang itu, jika Abdul Hadi benar-benar mahu membina kerajaan perpaduan dengan BN dan Umno, dia boleh melakukannya secara terang-terangan.

Semalam sebuah laman web melaporkan kenyataan Abdul Hadi mengenai kedudukan PAS dalam Pakatan Rakyat.

Kata Abdul Hadi, PAS bersedia memutuskan hubungannya dengan Pakatan ekoran isu kabinet bayangan.

Main sentimen kaum

Abdul Hadi juga berkata, DAP bertindak angkuh dan pelan mereka “tidak realistik” apabila kabinet bayangan yang dibentuk parti berkenaan gagal mempertimbangkan pelbagai isu dalam perlembagaan.

“Dia (DAP) nak putus, putuslah. Saya kena berpijak di bumi Malaysia, bumi Malaysia ini bumi masyarakat majmuk.

“Kita sudah ada dewan-dewan himpunan, NGO-NGO bukan Islam pun banyak,” katanya di Marang semalam.

Lim berkata, tindakan Abdul Hadi menyerang DAP mungkin sekadar usahanya mencari alasan untuk membentuk gabungan kerajaan bersama BN.

“Kalau nak gabung, pergilah. Jangan cari alasan macam ni. Jangan hilang akal macam ni. Sekarang dia (Abdul Hadi) main sentimen perkauman untuk serang DAP.

“DAP tak pernah cakap nak memerintah negara secara sendirian,” katanya.

Rahsia hati Abdul Hadi

Menganggap kenyataan Abdul Hadi sebagai fitnah, Lim juga menjelaskan sikap ditunjukkan Ahli Parlimen Marang itu bukanlah sifat seorang pemimpin PAS yang boleh disegani semua rakyat Malaysia.

Lim berkata, ‘kabinet bayangan’ yang dilaporkan media itu bukanlah usaha DAP untuk membentuk kerajaan secara sendirian.

Katanya, DAP hanya melantik 37 ahli parlimen parti itu untuk bertindak sebagai jurucakap kepada 18 kementerian yang ada.

Malah, katanya, ahli parlimen yang dilantik itu terdiri daripada pelbagai bangsa berbanding PAS yang hanya diwakili ahli parlimen satu bangsa saja.

“Jelas hati dia (Abdul Hadi) tak ada bersama Pakatan Rakyat lagi,” katanya.

Sumber: http://www.malaysiakini.com/news/299375

Keluhan Aishah Dengan Perkembangan PAS

aisyah_penyanyiBerikut adalah petikan dari posting Facebook Saudara Kamal Koh mengenai kenyataan bekas selebriti Aishah yang juga merupakan calon PAS bagi PRU 13 di Negeri Sembilan:

Masa saya mula-mula masuk PAS saya sangat impress kerana PAS telah melangkah dari parti Pak Lebai ke parti yang lebih terbuka kepada jemaah berbagai bidang.

Bagi saya kalau PAS betul-betul nak memerintah Malaysia satu hari nanti, ini satu langkah yang mesti (di ambil).

Tapi sekarang tidak lagi begitu. “PAS For All” has become a bit of a joke. Sebagai orang baru saya terkejut dgn penggunaan bahasa setengah-setengah orang yang dipanggil faqih dlm agama.

Rasanya dalam industri yang orang anggap jahil pun masih ada sikap toleransi dan hormat. Sekarang maki hamunnya (di dalam PAS agak memeranjatkan).

Saya tidak kecewa dengan perjuangan Islam tetapi saya kecewa dgn apa yg berlaku dlm PAS yg kononnya perjuangkan Islam. Ini ke akhlak yang nak kita tunjukkan kepada non muslims bila sesama jemaah pun berantakan. Respect has to be earned not commanded from!

Komen Admin: Tunggulah muktamar yang akan datang nanti. Mungkinkah akan ada lagi kejutan-kejutan bahasa yang bakal berlaku oleh golongan faqih di dalam PAS?

Hadi akui suka Najib diberi peluang

Hadi and NajibPresiden PAS berkata, beliau “suka” jika Datuk Seri Najib Razak dibiar menghabiskan tempoh mandatnya sebagai perdana menteri berbanding kecenderungan sesetengah pihak yang menuntut beliau meletak jawatan.

Bercakap kepada media di Kuala Terengganu hari ini, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata jika seseorang memiliki kelemahan, ia perlu dinyatakan dalam bentuk nasihat dan menyelesaikan masalah.

“Ya, saya suka (Najib) diberi peluang biar habis tempoh penggalnya,” katanya dipetik Harakahdaily.

Kata Ahli Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang itu, ketika BN dibebani dengan pelbagai masalah, PAS menyerahkan kepada rakyat untuk “menghukum parti pemerintah” kerana negara ini mengamalkan sistem demokrasi.

Tak mahu tuding jari

Kata Abdul Hadi semua perdana menteri sejak Tun Dr Mahathir Mohamad mempunyai masalah masing-masing.

Menurutnya, dia tidak mahu menuding jari kepada sesiapa.

“Biar rakyat menghukum parti, bukannya menghukum orang (individu),” katanya.

Sementara itu The Star Online melaporkan Abdul Hadi mahu Najib terus berkhidmat sebagai perdana menteri kerana beliau dipilih melalui sistem yang adil.

Katanya, Najib tidak harus tunduk pada tekanan dan harus diberi peluang menyelesaikan masalah dihadapi.

Abdul Hadi juga berkata Najib patut diberi peluang kedua untuk menghabiskan tugasnya sebagai pemimpin nombor satu negara sehingga cukup penggal perkhidmatan.

Anggota Parlimen Marang berkata tidak guna memberi tekanan kepada Najib susulan kontroversi sekitar 1MDB, syarikat pelaburan negara cetusan ilham perdana menteri.

Beliau juga dilaporkan berkata, memberi tekanan supaya Najib berundur tindakan memalukan kerana Malaysia mengamalkan sistem demokrasi.

Sumber: http://www.malaysiakini.com/news/298076

Ketika PAS Pusat sokong PKR di Permatang Pauh, Hadi ambil sikap berkecuali

Hadi-1Walaupun pemimpin PAS Pusat termasuk calon timbalan presiden paling popular, Naik Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkali-kali membuat kenyataan menyokong calon PKR di Permatang Pauh, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang nampaknya enggan menyatakan pendiriannya dengan jelas.

Hadi kelihatan ‘tersepit’ pada Rabu ketika diajukan soalan mengenai sikapnya terhadap PAS Permatang Pauh yang seperti mahu memboikot kempen PKR di sana susulan tidak setuju dengan pendirian presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Kita masih dalam PR. Kita menghormati akar umbi Permatang Pauh. Saya menghormati penyokong PAS di Permatang Pauh,” kata Hadi ketika itu, mengulas kenyataan Yang Dipertua PAS Permatang Pauh Omar Hassan.

Omar sebelum ini menegaskan PKR hanya akan memperoleh sokongan mereka selepas menarik balik kenyataan menolak hudud, menggesa Dr Wan Azizah menarik balik kenyataannya dan memohon maaf secara terbuka.
Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang Yusni Mat Piah juga memberikan amaran yang sama kepada PKR.

Malah, Ketua Urusan Ulama PAS Permatang Pauh Badrul Abdul Rahman mengatakan, ‘hukumnya haram dan berdosa mengundi calon yang menolak hudud’, merujuk kepada Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh yang akan diadakan 7 Mei ini.

Di satu pihak, Hadi perlu berkempen untuk mendapat sokongan kepada hudud yang diperjuangkan PAS, tetapi di satu pihak lagi, terpaksa menghadapi rakannya dalam PKR yang tidak menyokong hudud dilaksanakan sekarang.

Kenyataan Hadi itu bagaimanapun berbeza dengan Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali pada 20 April yang menjelaskan PAS Pusat muktamad menyokong pencalonan PKR di Permatang Pauh dan sebarang keputusan di peringkat atas mengatasi keputusan yang dibuat di peringkat akar umbi.

Tuan Ibrahim juga menyeru semua ahli PAS yang berdaftar sebagai pengundi di Permatang Pauh memberi undi mereka kepada calon PKR.

Beliau yang juga ahli Majlis Syura Ulama berkata keputusan memberi kerjasama dalam PRK Permatang Pauh ialah keputusan yang turut melibatkan hukum syarak.

Beliau malah mengatakan PAS menerima penjelasan PKR berhubung Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan yang dipertikaikan dan memahami pendirian mereka bukannya menolak syariat Allah tetapi hanya berbeza pendapat dan pendekatan.

Selain perlu menyatakan sokongan kepada PKR atas dasar rakan sekutu dalam Pakatan Rakyat (PR), PAS juga akan menghadapi PRK Rompin pada 5 Mei di mana calon PAS akan menentang calon Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun, kenyataan Hadi semalam memberikan pelbagai mesej kepada ahli PAS menjelang Muktamar PAS ke-61 awal Jun ini di Kuala Selangor.

Ini kerana, selain kenyataan yang menjauhkan PAS daripada rakannya dalam PKR itu, Hadi juga dilihat mahu merapati Umno, dengan membuat kenyataan parti Islam itu perlu percaya kepada musuh tradisi PAS itu apabila ia menyatakan kesediaannya menyokong hudud.

“Umno kata hendak sokong hudud – dalam Islam kita diajar menerima ucapan zahir daripada sesiapa sahaja termasuklah mereka yang munafik sekalipun.

“Jadi, dengan cara ini yang munafik pun akhirnya bertaubat,” kata Hadi pada forum yang sama.

Kenyataan sebegini sudah tentu menghantar mesej yang pelbagai kepada PAS.

Sebelum ini, kenyataan beliau pernah mengakibatkan seorang ahli PAS, Tamrin Abdul Ghafar mengumumkan keluar parti Islam itu.

Sebagaimana Tamrin, Leman Raja Lawak, seorang selebriti yang mendekati PAS menjelang pilihan raya 2013 lalu juga nampaknya terasa dengan kenyataan Hadi itu.

“Haram lawan Umno kat Rompin sebab Umno sokong hudud dah! Haram undi PKR kat Permatang Pauh sebab PKR tolak hudud… Haram kesemua,” tulisnya di laman Facebook.

Leman juga jelas kesal dengan kenyataan yang dibuat Badrul.

“Buat kenyataan media haram tak wala’ kat pimpinan PAS Pusat! Kita dok tarik pengundi, depa dok bagi lari pengundi,” tulis Leman menjawab persoalan itu.

Pandangan Leman dan tindakan Tamrin sebelum ini dibimbangi menjadi trend dalam PAS ketika Hadi mengumumkan pertambahan ahli parti itu secara mendadak bulan lalu kepada 1,004,000 orang kini.

Bertindak balas kepada Badrul, Tuan Ibrahim mengeluarkan kenyataan meminta pimpinan parti di semua peringkat tidak mengeluarkan kenyataan kontroversi sama ada melibatkan hubungan dengan PR atau hukum.

“Isu kontroversi yang melibatkan hukum mesti dirujuk kepada pendirian rasmi Majlis Syura Ulama dan pendirian rasmi Dewan Ulama kerana ia mempunyai implikasi besar.

“Ia boleh mendedahkan mudarat yang lebih besar kepada rakyat sekiranya Umno-BN terus berkuasa,” kata Tuan Ibrahim.

Sumber: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/ketika-pas-pusat-sokong-pkr-di-permatang-pauh-hadi-ambil-sikap-berkecuali#sthash.j88R8zae.dpuf

Awas wajah baharu PAS selepas muktamar, kata Khalid Samad

Khalid_Samad_PARLIAMENTPC_181114_TMIAFIF_009Sikap yang ditunjukkan Pemuda PAS Pulau Pinang dan kawasan Permatang Pauh dalam menghadapi pilihan raya kecil (PRK) Permatang Pauh adalah wajah baharu parti Islam itu sekiranya kumpulan tertentu dipilih dalam muktamar Jun nanti, kata Khalid Samad.

“Inilah wajah baharu PAS dalam konteks hubungan dengan Pakatan Rakyat jika kumpulan baharu dipilih sebagai Jawatankuasa PAS Pusat dalam muktamar PAS ke 61 Jun nanti.

“Merekalah yang akan menggantikan wajah-wajah seperti Dr Dzulkefly Ahmad, Hanipa Maidin, Mujahid Yusof Rawa dan pimpinan lain yang digelar ‘Jebon’ dan ‘Parasit’,” kata ahli jawatankuasa PAS Pusat itu kepada The Malaysian Insider.

Pemuda Pulau Pinang pimpinan Yusni Mat Piah dan kawasan Permatang Pauh pimpinan Omar Osman mengambil sikap tidak memberikan kerjasama kepada PKR dalam menghadapi PRK akan datang, walaupun PAS Pusat memutuskan akan memberikan sokongan sepenuhnya kepada calon PKR di situ.

Sokongan kepada PKR untuk memilih calon mereka dinyatakan Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Yang Dipertua PAS Permatang Pauh, Omar Hassan memberi kata dua sehingga hari penamaan calon, 25 April supaya PKR memohon maaf secara terbuka berhubung isu enakmen jenayah syariah Kelantan.

“Jika bersetuju, kami PAS kawasan Permatang Pauh akan meneruskan kerjasama PAS-PKR dalam pilihan raya kecil ini.

“Jika mereka masih berkeras tidak mahu menarik balik kenyataan itu kita tengoklah macam mana nanti,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat PAS kawasan itu.

Kenyataan dikeluarkan Yusni sebelum ini juga menuntut PKR memohon maaf mengenainya.

Pengarah Pilihan raya PAS PRK Permatang Pauh, Datuk Dr Mujahid Yusof berkata sokongan kepada calon PKR dalam PRK ini adalah tanpa syarat.

Bagi Khalid yang juga ahli Parlimen Shah Alam, apa yang berlaku di Permatang Pauh juga akan berlaku di peringkat pusat jika “wajah-wajah baharu PAS” ini mengambil alih parti Islam itu di peringkat pusat.

“Saya yakin inilah sikap yang akan diambil oleh orang-orang yang selama ini memburuk-burukkan kami sebagai liberal, Anwarinas dan berwala’ pada Pakatan Rakyat (PR) jika mereka terpilih dalam muktamar PAS nanti sebagai AJK PAS Pusat,” kata Khalid.

“Sikap mereka keras dan tidak berhemah. Tiada unsur ingin berkawan dan tiada kebijaksanaan berpolitik. PAS akan kembali bersendirian, terpinggir dari politik arus perdana,” kata Khalid yang pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1987.

Bagi Khalid, sikap ditunjukkan PAS Permatang Pauh dan Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang adalah wajah “ekstrem” yang mula wujud selepas muktamar pada 2011 lalu.

“Ia tanpa sifat keterbukaan dan menggunakan pendekatan paksa dan ugut,” kata Khalid dan menambah, “Ianya PAS Ekstrem”.

Beliau mempersoalkan sama ada pendekatan itu membolehkan PR terus wujud.

“Bolehkah PR survive dengan dipilihnya PAS Ekstrem? Cakap lain buat lain? Nak PR tetapi asyik gaduh? Syadid,” kata Khalid yang turut menyebutnya melalui Twitter beliau.

Beliau berharap, semua ahli PAS dapat melihat nasib parti Islam itu nanti dengan apa yang sedang berlaku di Permatang Pauh sekarang.

“Hala tuju PAS, masa depan PAS. Permatang Pauh sebagai saksinya,” kata Khalid.

Sehingga kini, sekurang-kurangnya tiga nama besar PAS dijatuhkan oleh kawasan masing-masing dalam pemilihan kali ini.

Bekas menteri besar Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin dijatuhkan di Kampar, Pesuruhjaya PAS Melaka Adly Zahari dijatuhkan di Alor Gajah dan yang terbaharu, bekas pesuruhjaya PAS Selangor Dr Rani Osman dijatuhkan di Kapar, Selangor sebagai yang dipertua PAS kawasan masing-masing.

Pengarang: The Malaysian Insider
Sumber: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/awas-wajah-baharu-pas-selepas-muktamar-kata-khalid-samad#sthash.e7osUmjT.dpuf
Photo: The Malaysian Insider.

AJK: Kempen kotor cemari pemilihan PAS

perwakilan1

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS, Asmuni Awi berkata, kempen kotor dalam pemilihan parti itu bukan lagi rahsia, namun di sebalik pengakuan itu beliau tidak menolak kemungkinan ia didalangi pihak luar yang ingin mengambil kesempatan.
 
“Cerita label melabel sesama ahli PAS memang sudah lama berlaku. Bukan ketika pemilihan kali ini saja. Sebelum pemilihan pun ini sudah berlaku.
 
“Ada individu dilabel liberal, menolak hudud, sebagai begitu, sebagai begini. Ia memang berlaku,” katanya kepada Malaysiakini.
 
Kelmarin, bekas Naib Presiden PAS, Ahmad Awang, mengakui sukar untuk mencabar Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai presiden walaupun beliau mendapat pencalonan minimum seperti disyaratkan perlembagaan parti itu.
 
Ahmad yang pernah berkhidmat sebagai Ketua Pengarah Pusat Islam dan Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia antara 1981 hingga 1999 berkata, pemilihan jawatan dalam PAS kali ini dicemari kempen kotor dan amalan berat sebelah.
 
Antara tokoh yang dikaitkan sebagai mangsa kempen kotor itu ialah bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin, yang kalah dalam perebutan jawatan Yang Dipertua Kawasan Kampar.
 
Pemilihan jawatan tertinggi PAS pusat dijadual diadakan Jun ini.
 
Asmuni berkata, apa yang didedahkan Ahmad itu memang ada kebenarannya.
 
Katanya, antara tokoh dalam PAS yang menjadi mangsa kempen kotor itu ialah Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, yang pernah dituduh mahu menjatuhkan kepimpinan ulama dua tahun lalu.
 
Tidak ketinggalan, Ahli Parlimen Sepang Hanipa Maidin dan Pengarah Pilihan Raya PAS yang juga Ahli Parimen Kuala Krai, Dr Hatta Ramli.
 
Asmuni menambah, pihaknya akan menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengatasi amalan itu dan berjanji akan mengambil tindakan tegas jika ada bukti kukuh mengenainya.
 
“Kalau melibatkan ahli, tindakan yang boleh diambil ialah membawa mereka ke lembaga disiplin parti.
 
“Jika calon sendiri terbabit, mereka mungkin digugurkan daripada bertanding,” katanya.
 
Sementara itu, mengulas mengenai risalah memburuk-burukkan Nizar sebagai “tali barut DAP” Asmuni berkata, ia bukanlah amalan yang wajar untuk PAS.
 
“Sekiranya ada pihak tidak berpuas hati, mereka boleh berdebat atau memberi penerangan, bukannya menyebarkan risalah seolah-olah membaling batu sembunyi tangan.
 
“Itu bukan akhlak Islam,” katanya.
 
Pengarang: Malaysiakini
Sumber: AJK: Kempen kotor cemari pemilihan PAS