Bersyukur dan Manfaatkan Pakatan Rakyat Sebagai Pertolongan Allah

Ramai sahabat-sahabat yang menyatakan perasaan kecewa dan sedih mereka kepada saya, melihat gelagat beberapa pimpinan PAS yang menunjukkan sikap tidak menghargai dan bersyukur atas kewujudan Pakatan Rakyat.

Samaada mereka mempunyai wawasan masa depan politik yang begitu terbantut atau agenda tersendiri yang masih belum didedahkan hanya Allah yang Mengetahui.

Kata-kata seperti “PAS mampu bersendirian”, “Putrajaya bukan matlamat kami”, “Sokongan bukan Islam tak penting” dan sebagainya adalah sangat-sangat bercanggah dengan wawasan pimpinan terdahulu.

Kenangan zaman dahulu

Saya masih ingat pada tahun-tahun 80an semasa PAS mempunyai kekuatan hanya di pantai Timur, khususnya di Kelantan dan Terengganu, pada ketika itu, semua pimpinan berusaha memikirkan kaedah untuk memperluaskan pengaruh PAS supaya melangkaui kawasan pantai timur ini.

Pada ketika itu PAS sebagai parti yang tersisih dari politik arus perdana negara dan dianggap parti yang mempunyai sokongan hanya di kawasan Pantai Timur dan kawasan terhad di Kedah dan Perak. Maka pimpinan dan keseluruhan ahli-ahli PAS berusaha sambil berdoa agar ruang pengaruh PAS dapat diperluaskan.

Didoakan semoga Allah bantu PAS supaya dapat maju ke depan, memperluaskan ruang pengaruh dan sokongannya, bukan sekadar di Pantai Timur sahaja tetapi juga di Pantai Barat. Begitu juga, bukan sekdar di kampung-kampung tetapi juga di bandar raya dan bukan sekadar di kalangan orang Islam sahaja tetapi juga di kalangan yang bukan Islam.

Pada ketika itu, pimpinan di semua peringkat bertungkus lumus berusaha mengatasi prejudis dan gambaran negatif yang tersebar luas terhadap PAS di kalangan masyarakat, khususnya yang bukan Islam. Maka diusahakan pembentukan “Chinese Consultative Council” atau “CCC”.

Nak cari orang Cina yang sanggup hadir program PAS pada ketika itu cukup sukar walau pun bersama CCC. Pada masa itu beberapa orang suadara baru dari kaum Cina ikut mendekatkan PAS dengan masyarakat Cina. Di antara mereka yang saya masih ingat ialah Kamal Koh, Ridzuan Daniel Onn dan Ali Abdullah.

Kemudian semasa PAS menubuhkan lajnah antara kaum pada tahun 90an seorang saudara baru yang sangat kuat membantu saya di Perak semasa menjadi PJ ialah Faizal Tan(Allahyarham) dan kemudian datang lagi seorang saudara baru membantu saya di pusat semasa saya menjadi ketua penerangan ialah saudara Ann Wang Seng Abdullah.

Datangnya pertolongan Allah?

Saya yakin, dengan doa dan usaha ahli dan pimpinan, yang merupakan gandingan ulama, profesional dan aktivis, Allah hasilkan perpecahan Umno pada 1987 dan Semangat 46 terbentuk. Pimpinan PAS bertindak bijaksana, menyedari ianya bantuan dari Allah, mengadakan Tahaluf dengan S46 dalam Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dan pada pilihan raya 1990, Kelantan dimenangi kembali selepas 14 tahun di bawah Barisan Nasional.

Sepuluh tahun kemudian, pada 1998 Allah memberi pertolongan kepada  PAS sekali lagi dengan perpecahan Umno buat kali kedua. Barisan Alternatif (BA ) terbentuk dan Terengganu pula dimenangi PAS sambil Kelantan tetap berjaya dipertahankan pada PRU 1999. Pada ketika itu, imej PAS yang bekerjasama rapat dengan DAP dan Keadilan mula berjaya diperbaiki di kalangan “mayarakat selain dari ahli PAS”. PAS dilihat adil membela semua golongan yang dizalimi.

Malangnya pada 2004, atas sebab Umno/BN bersatu kembali melalui kepimpinan barunya ia itu Tun Abdullah Ahmad Badawi dan DAP meninggalkan BA maka Terengganu terlepas kembali kepada BN dan PAS hilang kembali kerusi-kerusi yang dimenangi di Selangor dan Perak. PAS pun dapat bertahan di Kelantan dengan majoriti kerusi yang minima. Namun, kemenangan cemerlang Umno/BN yang dicapai pada 2004 hanya sementara.

Perpecahan Umno diteruskan

Hasil perpecahan Umno yang berterusan, dan pendekatan serta strategi bijaksana PAS, dengan diperkenalkan cogan-kata “PAS for all”, dan kegagalan Pak Lah untuk melaksanakan apa yang dijanjikannya melalui slogan Islam Hadharinya maka PAS, PKR dan DAP terus mara di arena politik tanah air. PR terbentuk selepas PRU 2008 hasil pencapaian cemerlang dalam pilihan raya tersebut dan Kedah, Selangor, Perak, Pulau Pinang dapat dirampas dari BN sambil Kelantan terus berjaya dipertahankan dengan cemerlangnya.

Kejayaan demi kejayaan yang diperolehi PAS, melalui pilihan raya yang disertainya selama ini, adalah hasil dari doa dan usaha gigih pimpinan dan ahlinya, serta kemampuan mereka untuk mengenali dan memanfaatkan bantuan yang Allah berikan sepanjang perjuangan mereka.

Maka PAS mencapai apa yang diinginkan dan diusahakan selama ini. PAS menjadi sebuah parti politik yang dilihat releven semua kaum, berada di tengah-tengah arus perdana politik negara, membicarakan masalah rakyat dan ummah sambil membela semua yang teraniaya, samada Islam atau bukan Islam.

PAS menjadi parti yang punyai daya penarik terhadap seluruh rakyat dan tidak lagi dilihat sebagai parti terpencil dan tidak releven. Kebersamaan PAS dengan rakyat dalam usaha menangani masalah rakyat semakin menonjol tanpa mengabaikan persoalan-persoalan Islam dan ummah yang menjadi dasar perjuangannya.

Justeru itu, bagi saya, pembentukan PR adalah sebenarnya satu pertolongan dari Allah yang jelas dan nyata. Ianya terhasil dari perpecahan yang Allah cetuskan di kalangan pimpinan Umno dan BN. Ianya satu gabungan yang suatu ketika dahulu dianggap tidak masuk akal tetapi tetap dijayakan Allah juga hasil kebijaksanaan dan usaha gigih serta doa pimpinan dan ahli-ahli PAS. Ianya juga hasil dari doa rakyat jelata yang ingin terlepas dari kesempitan yang dihasilkan kezaliman Umno.

Perubahan sikap secara mengejut

Malangnya secara tiba-tiba saya dan ramai pendokong PAS melihat ada pihak yang tidak menghargai dan mensyukuri pertolongan yang Allah berikan ini walaupun kebaikannya dizahirkan Allah melalui keputusan PRU, penerimaan orang bukan Islam terhadap PAS, pembentukan dan pengukuhan DHPP, pembentukan kerajaan PR di beberapa negeri dan bermacam-macam lagi.

Mereka bagaikan tidak mengenalinya sebagai pertolongan dari Allah dan sebaliknya mendakwa ianya pengkhianatan terhadap perjuangan Islam! Segala pencapaian yang disasarkan dan dicapai melalui PR tiba-tiba dilihat sebagai tidak berharga dan bernilai dan dianggap sebagai kelemahan yang membawa kerosakan aqidah.

Perlu wahyu mengesahkan?

Tiada wahyu yang akan turun untuk menyelamatkan PAS dari kesimpulan yang negatif ini sepertimana turunnya wahyu membetulkan sikap beberapa sahabat selepas ditanda-tangani perjanjian Hudaibiyyah. Dan sebenarnya wahyu baru tidak diperlukan lagi kerana Al-Quran lengkap dan sempurna.

Hanya yang diperlukan adalah untuk dibuka mata untuk melihat dan dibuka minda untuk berfikir dan dibuka hati untuk bersikap adil dan ikhlas. Jangan ada di antara kita yang menjadi seperti golongan Bani Israel yang diturunkan Al-manna was-Salwa kepada mereka tetapi mereka meminta pula diberikan kepada mereka tumbuhan-tumbuhan dari bumi seperti bawang, gandum, sayur-sayuran dan sebagainya!

Jangan kita bersikap seperti kaum Bani Israel yang Allah kisahkan itu yang inginkan bantuan dalam bentuk yang mereka inginkan sahaja, sambil kufur dan engkar terhadap cara yang Allah berikan.

Amat meleset sekali kalau kita bersikap, PR adalah satu kesilapan dan penyelewengan dari dasar PAS. Ini membawa erti kita menafikan usaha-usaha serta ijtihad pimpinan terdahulu. Sambil itu kita tidak bersyukur ke atas pertolongan yang Allah berikan sehingga PAS mencapai status sepertimana yang tercapai hari ini. Sebaliknya kita wajar teruskan dan bina di atas apa yang dibina mereka yang terdahulu dari kita.

PAS mula diterima semua

Kepercayaan rakyat jelata termasuk yang bukan Islam terhadap PAS bertambah tahun demi tahun sejak 1998 dan memuncak pada 2012. Imej almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai pemimpin untuk seluruh rakyat semakin kukuh dan beliau dipuji semua kecuali BN (yang hanya memberi pujian setelah beliau kembali mengadap Allah). Adakah ianya kerana TGNA “tunduk pada DAP”? Sudah pasti tidak!

Pada masa yang sama, hubungan di antara PAS dan DAP menjadi begitu rapat sehingga DAP sanggup menggunakan lambang PAS sekiranya perlu pada PRU 2013 ia itu sekiranya parti DAP digantung atau dibatalkan pendaftarannya sebelum PRU ke 13.

Ke mana perginya hubungan yang sebegitu rapat pada masa ini? Adakah PAS pernah menggugurkan dasar perjuangannya demi mencapai hubungan sebegitu akrab? Sudah pasti tidak pernah! Namun kepercayaan dan hubungan itu dibina dengan pendekatan yang berhemah dan bijaksana pimpinan terdahulu.

Retak menunggu belah

Tiada siapa yang menjangka, dalam tempoh hanya 2 tahun hubungan PAS dan DAP menjadi bagaikan “retak menunggu belah”. Lebih-lebih lagi setelah mencapai keputusan yang agak cemerlang semasa PRU 13. Keputusan cemerlang ini sepatutnya mengukuhkan lagi hubungan ini dan bukan sebaliknya. Tetapi anehnya, sekarang PR seperti berada di ambang perpecahan dan berantakkan. Di mana silapnya?

Imej PAS turut tercalar, menyebabkan kepercayaan bukan Islam terhadapnya semakin terhakis. Dituduh khianat dan tidak amanah rakan segabungannya. Dilihat PAS membawa perjuangan yang eksklusif hanya untuk orang Islam sambil bagaikan kurang berminat terhadap penderitaan rakyat.

Isu 1MDB, GST dan pemenjaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan lain-lainnya seolah-olah tenggelam di bawah perbahasan mengenai perlaksanaan Enakman Kanun Jenayah Syariah II (EKJS) yang di kenal dengan Undang-Undang Hudud negeri Kelantan.

Saya melihat isu hudud ini menjadi besar setelah ianya diwar-warkan kerajaan pusat yang di ketuai Umno memberi sokongan untuk melaksanakan undang-undang hudud negeri Kelantan dengan syarat ianya dibawa ke Parlimen untuk di luluskan.

Namun apa yang sebenarnya yang terkandung dalam Rang Undang-undang Persendirian yang di bawa TGHH (MP Marang) adalah hanya mengenai Pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah(Bidangkuasa Jenayah 1965) yang dikenali dengan Akta 355 .

Pindaan itu bertujuan bagi menaikkan kadar hukuman yang boleh dijatuhkan Mahkamah Syariah dalam kes-kes jenayah dalam bidangkuasa Mahkamah Syariah iaitu kesalahan zina, minum arak, menuduh zina yang selama ini hukuman sebatan hanya boleh dilaksanakan sebanyak tidak lebih dari enam sebatan sahaja. Maka dengan kelulusan Rang Undang-undang Persendirian itu Mahkamah Syariah bolehlah melaksanakan hukuman sebatan mengikut yang dituntut syariah.

Ada pun hukuman rejam sampai mati, hukuman potong tangan, hukuman potong tangan dan kaki dan hukuman bunuh atas jenayah murtad dan jenayah qisas seperti yang terkandung dalam EKJS Kelantan itu tidak dapat dilaksanakan kerana tidak termasuk dalam Pindaan Akta 355.

Perkara seperti ini tidak difahami masyarakat umum termasuk sebahagian pimpinan PAS sendiri. Sebagai contoh ketika menulis artikel ini saya terbaca kenyataan PJ Perak yang dengan tegas menyebutkan, Private Bill yang dibawa PAS ke Parliman ialah EKJS yang diluluskan DUN Kelantan baru-baru ini. Hal ini bertambah menjadi perbahasan apabila digambarkan, PAS amat bergatung dengan pihak Umno yang diwar-warkan bersetuju dengan perlaksanaan undang-undang hudud Kelantan.

Perkara ini bertambah merancakkan perbahasan apabila ada beberapa pemimpin PAS Kelantan membangkitkan kononya TGNA (Allahyarham) memberi amanat supaya berbaik-baik dengan Umno bagi melaksanakan undang-undang hudud.

Campur tangan Umno?

Sedih, namun itulah keadaan yang berjaya diwujudkan sekarang ini. Semestinya mereka yang terlibat dalam merencanakan perkembangan ini amat di sukai Umno/BN. Sudah pasti ini semua terhasil bukan secara kebetulan tetapi diusahakan pihak-pihak tertentu mengikut perancangan mereka.

Melalui berbagai usaha, termasuk permainan Umno yang menggunakan isu hudud sebagai wasilah mereka yang berjaya menghasilkan suasana ini. PAS dan DAP lebih sibuk bergaduh sesama sendiri dari menyentuh Umno. Malahan ada di kalangan ahli PAS yang beranggapan, menyerang DAP dan PKR adalah “lebih afdhal” dari menyerang Umno. Dan itulah yang golongan ini lakukan sejak tahun-tahun kebelakangan ini.

Kesimpulan

Keadaan ini semua adalah hasil kepimpinan yang dilihat kurang berkesan dengan wawasan yang bercelaru. Sebelah kakinya di dalam perahu PR dan sebelah lagi bagaikan di luar perahu . Walaupun disebut berkali-kali “kukuhkan PR”, “PAS terus bersama PR”, “PAS tidak akan keluar PR”, namun tindakan bercanggah dengan kata-kata. Tambahan pula terdapat golongan ulama pelapis muda yang baru dapat amanat kepimpinan sering membuat kenyataan, PAS lebih senang berjuang bersendirian.

Sudah tiba masanya kita kembalikan PAS kepada landasan yang dipersetujui dan diputuskan bersama, dengan kepimpinan yang jelas wawasan serta manhaj dan uslubnya. Sama sama kita kembalikan keyakinan rakyat, yang Islam dan bukan Islam, terhadap PAS.

Kita ingin ke Putrajaya dengan PR dan tidak redha Umno/BN terus bertakhta lebih lama. PRU 14 tumpuan kita, dengan gandingan yang kukuh dan mantap bersama PR. PAS sebagai rakan setia yang jujur dan boleh diyakini kata-kata dan janji nya. – 9 April, 2015.

Pengarang: Ust Ahmad Awang

Penulis ialah bekas pesuruhjaya PAS Perak.

Sumber: http://www.themalaysianinsider.com/rencana/article/bersyukur-menfaatkan-pakatan-sebagai-pertolongan-allah-ahmad-awang

Mohamad Sabu Berdiri Di Situ

Haji Mohamad Sabu bukan seorang “khalifah”, tetapi dia seorang jeneral perang. Daripada itu jangan diapa-apakan dia.

Ini kata-kata penulis veteran Subky Latif dalam sebuah tulisannya baru-baru ini dan saya bersetuju benar dengan pandangannya itu.

Subky adalah tokoh yang sangat kenal Mohamad Sabu atau Mat Sabu sejak puluhan tahun. Mereka sama-sama berjuang sejak zaman muda lagi. Kedua-duanyalah – bersama pimpinan Pemuda PAS yang lain – mencetuskan idea supaya PAS di bawah kepimpinan ulama. Tiba-tiba sekarang keadaan ini dijungkirbalikkan. Ini adalah perihal yang berlaku yang sangat aneh.

Sementara menunggu pemilihan di Muktamar Tahunan PAS bulan Jun depan Mohamad kini masih memegang jawatan timbalan presiden. Nasibnya selepas itu Allah saja yang tahu.

Maknanya selepas muktamar kali ini, kedudukan Mohamad tidak diketahui, sama ada beliau akan kekal sebagi timbalan presiden atau dinyahkan oleh perwakilan yang mahukan seorang ulama menggantikan beliau memegang jawatan itu.

Bagaimanapun saya yakin Mat Sabu akan mempertahankan jawatannya sama ada kalah atau menang nanti dan beliau akan terus berdiri di situ.

Saya juga percaya Mat Sabu akan tetap jika ditakdirkan dia “dikalahkan” dalam pemilihan itu nanti. Justeru, sudah kedengaran riuh rendah di kalangan sesetengah pendukung PAS tokoh nombor dua dalam PAS ini mestilah bergelar ulama juga, kalau tidak kononnya bersimpang siurlah perjuangan PAS.

“Kelemahan” atau “kekurangan” Mat Sabu, menurut mereka ialah kerana beliau bukan ulama. Oleh kerana beliau tidak bertitle “ulama” dikira tidak layak berada di situ. Begitulah perkiraan mereka ulama perlu memegang jawatan penting parti.

Bagi sesetengah golongan, tidak perlulah difikirkan sangat pengorbanan Mat Sabu. Meskipun beliau sering naik mahkamah turun mahkamah, dibuang daerah dua tahun di Kuala Pilah, ditahan di bawah ISA, tenaga dan namanya digerakkan untuk mengumpul pelbagai dana parti. Undang saja Mat Sabu berceramah maka orang akan ramai datang dan menderma untuk PAS.

Arahkan sajalah beliau ke mana saja dan tugas apa pun diberi akan dilakukannya dengan sungguh-sungguh siang dan malam demi parti, walau di tengah hujan dan guruh petir dan betapa sukarnya. Bagi Mat Sabu, PAS adalah segala-galanya.

Namun nilai pengorbanan itu semua, menurut pandangan sesetengah ahli PAS sendiri, tidak sama nilai yang dimiliki oleh orang yang bergelar ulama. Justeru, gelar ulama itu adalah segala-galanya. Malang sungguh di situlah “kelemahan” Mat Sabu kerana tidak bergelar ulama.

Seperti dikatakan, muktamar tahunan PAS nanti, akan diketahuilah “nasib” beliau sama ada ditewaskan atau tidak di mana jawatan timbalan presiden itu sedang diberikan perhatian luar biasa oleh warga PAS.

Di dalam Facebook, Whatsapp, Twitter dan pelbagai lagi, kedudukan Mat Sabu diperkatakan dengan luas, malah ada yang membayangkan kononnya beliau memang tidak layak menjadi orang nombor dua dalam PAS, sekali lagi kerana beliau bukan ulama. Bagaimanapun ada juga yang mempertahankannya.

Kita tentu sekali masih ingat dalam muktamar PAS di Johor tahun lalu, berlaku pelbagai peristiwa yang sangat menghinanya iaitu daripada sesetengah pihak yang sangat bencikannya dan kebencian itu menghapuskan semua jasa dan pengorbanannya selama ini.

Kita ingat lagi bagaimana segelintir Pemuda PAS berjaket hitam bertindak keluar dewan Muktamar Pemuda ketika Mat Sabu menyampaikan ucapan merasmikan Muktamar Dewan Pemuda di Kota Tinggi itu kerana Pemuda ini bencikan tokoh itu

Mujurlah ada yang membela beliau apabila seorang perwakilan dari Kuala Krai, Kelantan, Zulkifli Mohamad bangkit mempertahankan tokoh ini dengan berkata, setiap lapisan kepimpinan seharusnya dihormati oleh ahli PAS, bukan pemimpin tertentu saja.

Perwakilan itu berkata, insiden di Muktamar Pemuda itu perlu disiasat oleh Jawatankuasa Disiplin PAS dan jika didapati salah, tindakan tegas perlu diambil.

“Hormatlah beliau. Banyak jasanya. Siapa kamu jika hendak dibandingkan dengan Mohamad Sabu?” tanyanya dan menambah, “tanpa mengira kedudukan, semua kepimpinan PAS seharusnya dihormati.” Ucapan Zulkifli disambut dengan takbir oleh muktamirin. Rupanya masih ada kewarasan di situ.

Demikian juga bagaimana beliau begitu tenang apabila mendengar ucapan berbentuk doa daripada wakil Wilayah Persekutuan di muktamar itu, yang menghentam pemimpin yang tidak disukainya. Wakil Wilayah yang menyampaikan doa mencaci itu adalah seorang ustaz. Memang tidak ada yang aneh.

Itulah apa yang terjadi dalam muktamar tahun lalu. Tidak ada jaminan kekecohan di muktamar tahun lalu itu tidak akan berulang lagi, hingga menyebabkan kini ada di kalangan sesetengah ahli membayangkan “kengerian” mereka untuk menghadiri lagi muktamar bulan Jun ini.

Bagaimanapun sama ada orang benci atau suka kepadanya, Mat Sabu adalah sebuah nama yang mempunyai tempatnya tersendiri dalam arena politik tanah air, boleh berdiri sendiri atas kekuatan nama dan pengorbanannya.

Saya yakin masih ramai pendukung PAS, terutama perwakilan, yang mampu menilai dengan jujur tokoh bernama Mat Sabu.

Beliau terkenal bukan saja kerana ia seorang ahli pidato yang evergreen, tetapi juga kerana kelincahannya, keberaniannya menghadapi pelbagai risiko apabila bergerak dalam politik, menjadi penghubung partinya dengan orang di luar PAS terutama dalam Pakatan Rakyat, walaupun sesetengah pihak memandang sinis.

Menurut beberapa pemimpin NGO kepada saya, “Haji Mohamad Sabu adalah sumber ilham yang menyemarakkan semangat kami setiap kali berhimpun. Dialah yang berada di depan sekali, dialah yang menaikkan semangat, dialah yang menimbulkan semangat daya juang kami.”

Benarlah, kata Subky, Mat Sabu adalah panglima perang, bukan khalifah. Saya juga berpendapat, beliau hanya berminat berada di barisan depan menentang musuh. Itulah peranan yang dilaksanakannya selama ini dengan sebaik-baiknya.

Tetapi jika masih ada orang yang tidak mahu dia berada di tempat nombor dua dalam parti dan mahu digantikan dengan ulama, apalah yang boleh dikatakan. Namun Haji Mohamad Sabu tetap berada di tengah medan perjuangan, seperti kata Khalid Ibn Walid, “Aku berjuang bukan kerana Umar, tetapi kerana Islam.” – 31 Mac, 2015.

Sumber: http://www.themalaysianinsider.com/opinion/a-shukur-harun/article/mohamad-sabu-berdiri-di-situ

PAS, Ingatlah Fadzil Noor

Ada seorang Pemuda PAS bertanya kepadaku, mengapakah aku kelihatannya rimas dengan Abdul Hadi Awang, memandangkan Hadi banyak membela Syiah dalam kuliah-kuliahnya. Aku menjawab, “Kerana dia meruntuhkan apa yang dibina arwah ustaz Fadzil.”

Sebagai orang muda yang tidak pernah merasai kenikmatan menemui dan belajar daripada arwah Fadzil Noor, dia memang terpinga-pinga. Dia tidak pernah bertemu Ustaz Fadzil.

Untuk penggerak dan peneraju gerakan Islam di Malaysia, siri kuliah ‘Akidah dan Perjuangan’ oleh almarhum Ustaz Fadzil Noor (13 Mac 1937 – 23 Jun 2002) yang kemudian dibukukan oleh Dewan Pemuda PAS adalah satu monumen; seakan-akan manifesto perjuangan yang mesti dibaca.

Almarhum Ustaz Fadzil atau Ali bin Mohd Noor dilahirkan pada 13 Mac 1937 di Kampung Seberang Pumpung, Alor Setar, Kedah. Moyang arwah adalah Tuan Guru Hj Idris yang lebih dikenali sebagai Tuan Syeikh Idris Al-Jarumi yang merupakan seorang ulama terkenal di Kedah asal Patani.

Ustaz Fadzil Noor pernah menjadi Setiausaha Persatuan Ulama Malaysia (1974-1976), Setiausaha Penerangan ABIM (1973-1974) dan Timbalan Presiden ABIM (1974-1978). Pada tahun 1974 ustaz Fadzil turut terlibat dalam demonstrasi membela rakyat miskin di Baling, Kedah.

Beliau menonjol dalam bidang kepimpinan ketika Anwar Ibrahim ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri di Kamunting dari tahun 1974 hingga 1976, ketika itu Ustaz Fadzil Noor diamanah menjadi pemangku presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Ustaz Fadzil Noor pernah ditahan dua kali oleh pihak polis. Kalau tidak silap aku, pada hujung tahun 1970-an, ketika beliau sedang berucap dalam suatu majlis ceramah di Kampung Seberang Takir, Terengganu, pihak polis telah mengumumkan bahawa ceramah tersebut adalah perhimpunan haram.

Turut hadir dalam ceramah itu adalah arwah Ustaz Fadhullah Shuaib. Tanpa menghiraukan amaran tersebut, Ustaz Fadzil Noor meneruskan ceramahnya. Oleh kerana kedegilan ustaz itu polis telah menahannya berserta penceramah lain. Mereka bermalam di lokap.

Penangkapan itu telah meledakkan kemarahan orang di Kuala Terengganu. Kira-kira 15,000 orang ahli dan penyokong PAS telah berkumpul di luar kawasan balai polis Kuala Terengganu bagi mendesak pemimpin mereka dibebaskan segera.

Hasil perundingan dengan pihak polis, Ustaz Fadzil Noor dan pemimpin yang ditahan dalam lokap tersebut dibebaskan tanpa sebarang tindakan. Kemudian, beliau juga ditahan oleh pihak polis dalam satu ceramah di Jerlun, Kedah.

Seingatku ia berlaku ketika peristiwa pertelingkahan antara pimpinan PAS dan Umno mengenai Muassasah Darul Ulum. Ustaz Fadzil Noor telah ditahan semasa berceramah bersama-sama yang dipertua (YDP) PAS kawasan Jerlun pada waktu itu, dan dikenakan ikat jamin.

Kes tersebut dibawa ke mahkamah tetapi digugurkan setengah jalan.

Apakah yang telah dibina oleh almarhum Fadzil Noor dan diruntuhkan oleh Hadi Awang? Ada empat tunjang yang ditegakkan oleh gemulah ustaz Fadzil dan kini menjadi tebusan.

Dahulukan rakyat semua kaum

Pertama, tatkala Tuan Guru Yusof Rawa uzur dan terpaksa melepaskan jawatan Yang Dipertua PAS, Ustaz Fadzil Noor telah memikul beban PAS paling besar. Beliau perlu mara ke hadapan untuk mengambil alih kepimpinan di tengah-tengah tragedi Memali.

Sebagai antara pembantu Profesor Zulkifli Muhammad beliau sudah pun secara terbuka menerima idea PAS bersekutu dengan bukan Islam. Profesor Zulkifli adalah pemimpin PAS pertama yang mencadangkan agar PAS menerima kaum Cina dan orang bukan Islam sebagai ahli bersekutu PAS.

Dengan idea dan wawasan ustaz Fadzillah maka beliau menggerakkan pakatan Majlis Perundingan Cina (CCC), di mana PAS mulai berjinak-jinak dengan kaum bukan Islam.

Politik melampaui zaman

Kedua, idea tahaluf siyasi adalah suatu kebijaksanaan politik yang dikemukakan oleh ustaz Fadzil Noor di mana beliau menunjukkan contoh dengan mewujudkan pakatan bersama Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah dalam Angkatan Perpaduan Ummah.

Kalau tidak kerana tahaluf siyasi ini, hampir sukar untuk PAS memerintah Kelantan pada tahun 1990 dan terus menguasainya sehingga hari ini. Kebijaksanaan politik beliau jugalah yang membolehkan gejala reformasi ekoran pemecatan Anwar Ibrahim dicetuskan.

Jika pemimpin PAS tidak campur tangan serta terlibat “membantu” Anwar Ibrahim, sukar untuk Anwar mendapat momentum reformasi yang terus ditunggangnya sehingga 2008.

Tanpa mengendahkan suara-suara bantahan dalam PAS yang resah, bimbang, dan gerun dengan hubungan akrab Anwar dengan ‘Amerika Syarikat’, ustaz Fadzil melakukan tindakan nekad, iaitu melihat masa depan dari konteks tempatan.

Beliau adalah orang yang menubuhkan Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK), dan dengan GERAK itulah beliau merintis penubuhan Barisan Alternatif yang merupakan satu tahaluf siyasi ke arah pembentukan Malaysia Baru.

Waktu itu, Anwar sudah berada di dalam penjara. Ketika Wan Azizah Wan Ismail ‘terkontang-kanting’ untuk menjaga momentum reformasi yang makin merosot menjelang turunnya Mahathir Mohamad, ustaz Fadzil merintis kerjasama ini.

Pendek kata Ustaz Fadzil menyelamatkan Parti Keadilan Nasional dari hanyut dan berkubur. Di bawah kepimpinan Ustaz Fadzil Noor, GERAK dilancarkan pada 27 September 1998 di Markaz Tarbiah, Taman Melewar.

Puluhan ribu rakyat dan ratusan wartawan dari dalam dan luar negara hadir ke majlis pelancaran tersebut.

Dalam Muktamar PAS ke-45 pada Mei 1999, Ustaz Fadzil Noor menegaskan:

“Kejayaan PAS menggabungkan parti politik dan NGO dalam satu gerakan yang disebut Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia atau GERAK, cukup untuk membuktikan keupayaan kepimpinan PAS menerajui kebangkitan rakyat di negara ini”.

Kerjasama Parti Keadilan dan PAS, membawa hasil yang begitu besar kepada PAS dalam pilihan raya 1999. Kebijaksanaan tersebut membolehkan PAS mengekalkan kuasa di Kelantan dan berjaya menubuhkan kerajaan di Terengganu.

Lain daripada itu, kebijaksanaan ustaz Fadzil telah melunakkan imej Islam sehinggakan YB Tian Chua yang ketika itu merupakan Naib Pengerusi Keadilan, yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Kamunting pernah berkata pada tahun 2001 bahawa tidak akan adanya ISA dalam sebuah negara Islam.

Ia sekali gus menyarankan bahawa negara Islam adalah serasi sepenuhnya dengan demokrasi, kemajmukan, hak asasi manusia, hak wanita, kepelbagaian budaya, pembangunan dan pemodenan.

Tak lupa sejarah

Ketiga, kepintaran almarhum bermain dengan tahaluf siyasi itu sebenarnya tidak terbit dari vakum. Ia adalah kerana kepimpinan terbuka dan sederhana Tuan Guru Yusof Rawa, pimpinan sebelumnya.

Tiada siapa dapat menafikan Tuan Guru Yusof Rawa adalah pemimpin yang bertanggungjawab membuka ruang bagi pemimpin pelapis PAS dengan gagasan ‘pakatan politik untuk memenangkan dakwah dan politik Islam’ ini.

Idea persekutuan dengan kaum Cina sehingga tertubuhnya CCC adalah hasil sokongan Tuan Guru Yusof Rawa.

Mengambil kira itu, Ustaz Fadzil Noor seorang pimpinan yang merenung sejarah dengan tekun di mana beliau tahu bahawa PAS adalah berakar umbi daripada perjuangan Hizbul Muslimin di Gunung Semanggol.

Hizbul Muslimin adalah usaha Ustaz Abu Bakar Al-Baqir. Ustaz Fadzil tahu keberanian dan sikap terbuka Ustaz Abu Bakar Al-Baqir yang bertanggungjawab merintis pelbagai tahaluf siyasi menerusi PEPERMAS, MATA, LEPIR dan seumpamanya mampu dijadikan model baharu bagi perjuangan PAS.

Ustaz Fadzil juga sedar beliau harus meminjam keberanian Dr Burhanuddin Al-Helmy yang berjaya menggabungkan lebih 80 buah parti dan persatuan Melayu dalam sebuah gerakan bernama PUTERA. Gerakan PUTERA ini berusaha menuntut kemerdekaan daripada penjajah.

Aku berpandangan idea PUTERA inilah yang memberi ilham kepada Ustaz Fadzil Noor untuk mewujudkan gabungan lebih 80 buah parti politik dan NGO melalui GMI untuk mendesak kerajaan memansuhkan undang-undang warisan penjajah, iaitu ISA.

Poros Islam

Empat, kemasukan Anwar Ibrahim ke dalam Umno satu masa dahulu menjadi luka buat penyokong gerakan Islam. Peranan mengetengahkan Islam itu terpaksa diambil alih oleh Ustaz Fadzil Noor.

Menyedari itu, PAS bawah ustaz Fadzil juga menyedari bahawa untuk menjadikan Islam relevan di dalam masyarakat majmuk, inti pati Islamlah yang perlu diketengahkan. Falsafah dan bumbu Islam yang universal dan sentiasa munasabah sepanjang zaman perlu dijunjung.

Ustaz Fadzil adalah insan yang bertanggungjawab meminggirkan suara-suara Islam legalitas yang gila syariah. Beliau, dengan penuh bijak bangkit menjuarai Islam aktual yang berteraskan waqi atau keadaan setempat.

Beliau telah bertanggungjawab untuk bersetuju dengan Manifesto Bersama Barisan Alternatif dalam pilihanraya tahun 1999.

Untuk itu PAS bersetuju menggugurkan idealisme penubuhan negara Islam dalam konteks pakatan Barisan Alternatif kerana:

(a) Tidak berbangkit soal negara Islam dalam Manifesto; (b) Tidak boleh memaksa ideologi PAS ke atas rakan dalam pakatan; (c) Dalam komposisi rakyat negara ini, tidak ada parti boleh memerintah secara bersendirian; dan (d) PAS perlu bekerjasama dengan rakan pakatan BA atas perkara- perkara yang sudah dipersetujui.

PAS dengan itu telah bersetuju untuk memberi tumpuan kepada isu-isu yang membabitkan soal keadilan, demokrasi, kebebasan, penyelewengan kuasa, rasuah dan sebagainya sebagai agenda utama untuk perjuangan pakatan Barisan Alternatif.

Kesimpulan; tidak ada kebijaksanaan dan keberanian Datuk Fadzil Noor yang dapat ditandingi oleh pemimpin PAS hari ini. Beliau telah melihat dengan bijak bahawa retorik dan cogan kata tidak penting tetapi ‘isi’ yang menjadi keutamaan.

Hari ini PAS bergelut untuk menentukan sikap dan kedudukan politiknya. Syariah telah mengatasi keadilan. Dan fikah mengatasi akhlak. Peri perjuangan Rasulullah SAW iaitu untuk menyempurnakan akhlak telah berakhir.

Adalah menyedihkan, apa yang pernah dibina oleh arwah Fadzil Noor itu diruntuhkan sekelip mata oleh Hadi Awang (seorang alumni Saudi).

Hari ini PAS mendahulukan hudud dari rakyat Malaysia berbilang kaum. PAS mengundur zaman. Bahkan PAS sama sekali mengenepikan sejarah penubuhan dan kebijaksanaan pimpinan terdahulu.

PAS malah tidak lagi komited dengan idea-idea murni dalam Manifesto Bersama Barisan Alternatif seperti dikemukakan ketika pilihan raya tahun 1999.

Lebih menyayat hati PAS kini dikenal orang bukan Islam bukan lagi sebagai parti Islam, tetapi sebagai parti khianat dan lebai mungkir janji.

Pengarang: Faisal Tehrani

Sumber: http://www.malaysiakini.com/columns/292977

Imej: http://ohmacamitu.com/blog/wp-content/uploads/2013/07/15.jpg

Ulama PAS akui 2 Adun gagalkan usaha kerjasama dengan Umno

Dr-Mohd-Khairuddin-Aman-Razali-at-TakiriKetua Penerangan Dewan Ulama PAS Datuk Dr Mohd Khairudin Aman Razali mengakui tindakan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) parti itu menyokong pencalonan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar Selangor menggagalkan usaha mereka untuk mengekalkan Tan Sri Khalid Ibrahim melalui kerjasama dengan Umno.

Melalui satu tulisannya yang disiarkan dalam laman Facebook rasmi PAS (dan di laman web rasmi PAS sendiri), Khairudin yang juga ahli Parlimen Kuala Nerus berkata tindakan dua Adun itu secara teknikalnya menyebabkan Khalid tidak boleh lagi dikekalkan sebagai menteri besar kerana bilangan majoriti Adun tidak memihak kepadanya.

“PKR dan DAP yang hanya mempunyai 28 Adun menyokong bertambah menjadi 30 Adun, hasil sokongan 2 Adun PAS.

“Secara teknikalnya Khalid hanya mempunyai sokongan 26 Adun termasuk 13 Adun PAS dan 12 Adun Umno yang menyokong tanpa syarat. Beliau tidak boleh lagi dikekalkan sebagai MB dalam situasi dan realiti ini.

“Ia mentafsirkan kenapa mesyuarat jawatankuasa PAS Pusat memutuskan untuk menghantar 2 nama sebagai calon MB menggantikan Khalid,” tulis beliau yang lebih dikenali dengan nama Takiri, sempena tempat kelahirannya di Seberang Takir, Kuala Terengganu.

Pengakuan Khairudin ini selari dengan apa yang dilaporkan The Malaysian Insider sebelum ini terdapat usaha daripada PAS untuk bekerjasama dengan Adun Umno bagi membentuk kerajaan di Selangor.

Dalam laporan itu, menurut seorang Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS, Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri mengaku berbincang dengan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali untuk membentuk kerajaan bersama 12 Adun Umno di Selangor.

Namun Setiausaha Politik Presiden PAS Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menafikan berita itu dan berkata tidak pernah ada usaha sebagaimana yang dilaporkan.

Semalam, Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa berkata, Umno sedang memancing PAS untuk bekerjasama dengannya di Selangor dan sasaran akhir mereka adalah untuk mendapatkan majoriti dua pertiga dalam Dewan Rakyat bagi membolehkan persempadanan semula kawasan pilihan raya diluluskan atas nama kepentingan Melayu.

Dua Adun PAS Saari Sungib (Hulu Klang) dan Hasnul Baharuddin (Morib) menandatangani akuan berkanun (SD) bagi menyokong pencalonan Dr Wan Azizah sebagai menteri besar Selangor.

Dalam tulisannya bertajuk “Ke mana PAS mahu dibawa” ini, Khairudin berkata, isu dua Adun PAS yang menyokong PKR dan DAP berkenaan isu menteri besar Selangor sejak kebelakangan ini benar-benar menjolok kesabaran ahli parti yang prihatin dengan adab berjemaah anjuran Islam.

Katanya, keputusan Majlis Syura Ulama yang bersidang pada 6 Ogos 2014 yang mengambil ketetapan untuk mengekalkan Khalid sebagai menteri besar Selangor selagi tidak berlaku pelanggaran amanah sewenang-wenangnya dilanggar secara terang-terangan dua Adun tersebut.

“Lebih menjengkelkan apabila dilihat beberapa pimpinan kanan dalam jawatankuasa kerja PAS Pusat membuat kenyataan terbuka menyokong tindakan mereka berdua.

“Lebih jauh lagi, ada pula di kalangan pimpinan PAS Pusat ini yang mengandaikan mereka berdua bakal dianggap sebagai hero atau wira oleh orang terkemudian kerana bertindak kononnya menyelamatkan Pakatan Rakyat,” kata Khairudin.

Khairudin berkata, tindakan pimpinan pusat ini menyokong Adun yang bersikap tidak mempedulikan keputusan Majlis Syura Ulama itu jelas satu lagi tindakan membelakangkan keputusan Majlis Syura Ulama PAS oleh kepimpinan tertinggi parti.

“Ia menjadi satu panduan dan ikutan buruk untuk ahli bawahan juga bertindak dengan cara yang sama,” katanya.

Sehingga kini, katanya, berpuluh aduan dan usul dikemuka dan diluluskan pelbagai pihak dalam PAS sama ada mesyuarat agong kawasan, muktamar dewan dan mesyuarat badan perhubungan negeri mendesak tindakan tegas terhadap mereka.

“Namun, sangat jelas beberapa pimpinan ini sememangnya secara terang-terangan membela mereka berdua. Bertindak di belakang tabir? Menikam Tuan Guru Presiden dari belakang?” katanya.

Lebih mengejutkan lagi, Khairudin mendakwa ada perkhabaran yang bersedia untuk dibuktikan berkenaan tindakan kedua-dua Adun itu adalah arahan dan restu pimpinan kanan dalam jawatankuasa PAS Pusat.

“Ini sudah tersangat serius dan di luar jangkauan akal manusia yang waras,” katanya.

Katanya, dalam keadaan itu, tiba-tiba ada pimpinan kanan cuba mengalih perhatian ahli dengan membangkitkan isu kononnya ada usaha ke arah kerjasama PAS dan Umno.

“Kononnya ada institusi tertentu cuba dikuasai ‘team’ Umno. Fitnah apa yang sedang dimainkan ini?” soal Khairudin yang dipercayai ditujukan kepada kenyataan Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa.

Dalam kenyataan semalam, Husam mendakwa, beliau tahu ada usaha terancang daripada setengah kalangan Umno untuk menyerapkan agenda mereka ke dalam PAS, khususnya pasukan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Pasukan ini berpendapat, dengan menguasai institusi tertentu dalam PAS, PAS akan bergerak mengikut kehendak mereka. Mereka gagal memahami PAS adalah parti yang berbeza dengan Umno,” dakwa Husam dalam tulisan itu.

Dalam tulisannya, Khairudin juga menyerang pimpinan tertinggi PAS apabila mereka berkata kenyataan Hadi parti Islam itu menyokong Khalid sebelum mesyuarat Pusat adalah kenyataan peribadi.

“Maka tidak menghairankan apabila ada pula pimpinan tertinggi yang menyifatkan kenyataan presiden dalam isu MB Selangor sebagai kenyataan peribadi.

“Walhal presiden menegaskan keputusan PAS sebelumnya pada Januari 2014 iaitu isu jawatan MB Selangor tidak berbangkit apabila PRK Kajang dipaksa berlaku oleh PKR,” katanya.

Selepas PKR mengumumkan pencalonan Dr Wan Azizah sebagai menteri besar, Hadi berkata, PAS tetap akan menyokong Khalid sebagaimana sikap Pesuruhjaya PAS Selangor Iskandar Samad sebelum itu.

Susulan itu, sekurang-kurangnya dua pemimpin PAS iaitu Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dan Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, “ia kenyataan pribadi” kerana PAS hanya akan bermesyuarat selepas itu bagi membincangkannya.

Dalam mesyuarat selepas itu iaitu 17 Ogos lalu, mesyuarat Jawatankuasa PAS memutuskan untuk mencalonkan 2 nama untuk jawatan itu iaitu Dr Wan Azizah dan Azmin. – 3 September, 2014.

Sumber:

http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/ulama-pas-akui-2-adun-gagalkan-usaha-kerjasama-dengan-umno-khalid#sthash.OSPyRI0D.EtcRGSHS.dpuf

http://pas.org.my/v2/index.php/artikel/lain-lain-kenyataan/2643-ke-mana-pas-mahu-dibawa