Asabiyah Melayu – Nasi Basi Dikatakan Tapai

Oleh: Rozhan Othman

assabiyyahSejak kebelakangan ini muncul golongan yang mempelopori idea asabiyah Melayu. Golongan ini menggunakan karya Ibn Khaldun Muqaddimah sebagai hujjah mereka. Namun, tindakan indakan mereka ini ibarat mengatakan nasi basi itu tapai. Sekiranya Ibn Khaldun masih hidup ketika ini, sudah tentu dia akan kecewa dengan tindakan ini.

Satu-satunya hujah yang dikemukakan golongan yang mempelopori Asabiyah Melayu ialah karya Ibn Khaldun Muqaddimah. Dalam buku ini, Ibn Khaldun telah menerangkan tentang peranan asabiyah dalam kebangkitan dinasti-dinasti. Namun, karya Ibn Khaldun ialah kajian sejarah yang bersifat deskriptif. Dia menghuraikan fenomena yang diperhatikannya pada sekitar kurun keempat belas dan sebelumnya. Dari pemerhatian ini dia membuat beberapa kesimpulan mengenainya. Ini tidak bermakna dia mengambil pendirian bahawa asabiyah adalah bentuk penyatuan yang terbaik. Dan kajiannya adalah mengenai evolusi masyarakat feudal yang jauh berbeza dari masyarakat moden. Adalah menjadi kesilapan besar untuk menyimpulkan perkara-perkara yang diperhatikan Ibn Khaldun dalam masyarakat feudal masih terpakai untuk masyarakat moden. Bolehkah naluri primitif-feudal asabiyah membina sebuah masyarakat moden, demokratik dan adil?

Golongan yang menggunakan Ibn Khaldun sebagai hujah untuk mempertahankan asabiyah juga kemungkinan besar tidak membaca karyanya sepenuhnya. Ibn Khaldun telah membincangkan mengenai asabiyah ketika menghuraikan mengenai kebangkitan dan kemerosotan dinasti. Memang benar asabiyah memainkan peranan penting dalam kebangkitan dinasti masyarakat feudal. Tetapi Ibn Khaldun juga menerangkan bahawa dinasti yang dibangkitkan melalui asabiyah ini tidak stabil. Pemerintah dinasti akhirnya menjadi insular dan tidak bertanggungjawab kepada rakyat kerana mereka hanya perlu bergantung pada suku mereka.

Ini menjadikan mereka mula mementingkan diri, bertindak zalim dan akhirnya mengenepikan suku mereka sendiri. Mereka hanya mementingkan keluarga dan penyokong terdekat mereka sahaja (kroni dalam bahawa moden). Akhirnya ia melemahkan ikatan asabiyah dan membawa kepada kejatuhan dinasti. Bagi mereka yang berminat mendapat gambaran yang tepat mengenai pandangan Ibn Khaldun bolehlah membaca karyanya Muqaddimah atau kertas kerja yang ditulis penulis ini berjudul “A Comparison of Ibn Khaldun’s Muqaddimah with Contemporary Management Concepts: Convergence or Divergence?” yang dibentangkan di 5th Conference on Accounting, Finance and Commerce: An Islamic Perspective, Brisbane, pada tahun 2004. Analisis yang hanya mengguna sebahagian dari pandangan Ibn Khaldun dan mengenepikan sebahagian lagi ialah ibarat seseorang yang hanya membaca beberapa muka surat buku mengenai salat dan menyangka salat itu sudah lengkap dengan berniat sahaja.

Pendirian Islam dalam isu asabiyah amat jelas. Terdapat banyak hadith yang jelas yang diriwayatkan Abu Daud, AnNasaai, Muslim dan Bukhari di mana Rasulullah s.a.w. menegahkan pengikutnya dari menyeru kepada asabiyah dan mengistiharkan bahawa mereka yang menyeru kepada asabiyah bukan dari ummatnya. Imam Ibnu al-Atsir menyifatkan asabiyah sebagai orang yang marah kerana kaumnya, dan sikap asabiyah ini menyebabkannya melindungi mereka. Imam Ibnu Taimiyyah pula menerangkan bahwa dalil-dalil dari hadith menunjukkan bahawa sikap fanatik seorang kepada suatu kelompok, secara mutlak, adalah perbuatan kaum jahiliyyah yang harus dijauhi dan dicela. Asabiyah ialah satu naluri primitif dan bertentangan dengan risalah kesejagatan manusia yang dibawa Islam.

Tindakan golongan yang mengenenggahkan asabiyah Melayu ini ibarat orang yang menjual jus kurma tetapi menamakan jus ini “Arak Kurma”. Sebagai orang Islam kita patut merasa tidak selesa menggunakan istilah “Arak”. Demikian juga, kita juga harus tidak selesa menggunakan istilah asabiyah yang sentiasa disebut Rasulullah s.a.w. sebagai suatu yang negatif dan patut dihindari. Dalam perbankan Islam kita tidak menyebut perbankan berdasarkan syariah sebagai “riba halal” atau “riba Islamik”. Ini kerana istilah riba yang disebut dalam Al Quran mempunyai pengertian yang dikaitkan dengan kebatilan dan kezaliman. Demikian juga, isitilah asabiyah telah ditakrifkan dalam hadith. Menggunakan istilah sebegini akan hanya menodai kemurnian dan kesucian Islam. Anehnya, mereka yang mempelopori asabiyah juga merupakan golongan yang menentang penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama lain di atas alasan ia boleh menimbulkan kekeliruan. Oleh itu, kenapakah mereka ingin menggunakan konsep dan istilah asabiyah yang merupakan amalan yang ditegah Islam. Bukankah ini juga boleh menimbulkan kekeliruan?

Golongan yang mempelopori asabiyah Melayu juga merupakan golongan menjadikan menjaja kebencian dan permusuhan serta menggunakan setereotaip perkauman yang sempit dan negative sebagai wasilah perjuangan mereka. Modus operandi berhujah mereka ialah dengan menggunakan cercaan, cemuhan dan kecaman. Islam menganjurkan li taarafu (saling mengenali) di antara berbilang kaum tetapi golongan ini menganjurkan persengketaan. Ini sangat bertentangan dengan sifat universal Islam.
Mereka yang mempelopori asabaiyah Melayu cuba menggunakan topeng Islam tetapi hakikanya menganjurkan idea-idea yang jelek pada Islam. Nyata sekali mereka ini keliru dan terpesong. Nasi basi mereka sangkakan tapai. Dan adalah aneh pada ketika masyarakat ingin maju ke hadapan sebagai masyarakat yang moden dan adil, ada golongan yang ingin berpaut pada naluri primitif-feudal. Ia adalah ibarat mengajak orang Melayu kembali menunggang kereta lembu untuk menjadi lebih maju dan moden.

* Penulis ialah seorang professor di sebuah universiti tempatan.
Sumber: Artikel asal dari Kejar.Org