Sikap berahsia dalam menentukan harga petrol mencurah minyak ke kemarahan rakyat

Oleh: Robin Stanley Augustin

minyak-naikSEKILAS PANDANG: Ada sesuatu yang tidak kena dengan pentadbiran “Rakyat Didahulukan” di negara ini.

Sikap berahsia seolah-olah menjadi panduan pada zaman ini, terutamanya dalam hal harga petrol.

Pada 30 Jun, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Hasan Malek mengumumkan bahawa pihak berkuasa tidak lagi akan memaklumkan orang ramai mengenai perubahan harga bahan api, dan hanya akan memberitahu peruncit pada tengah malam hari terakhir setiap bulan.

Beliau mewajarkan langkah ini dengan mengatakan bahawa perubahan harga petrol telah menjadi urusan rutin, berikutan pelaksanaan sistem apungan terurus bagi harga petrol dan diesel pada 1 Disember tahun lepas.

Kemudian, pada tengah malam, melalui kaedah pengiraan kerajaan yang misteri, harga RON 95 petrol dinaikkan sebanyak 10 sen seliter dan RON 97 dinaikkan sebanyak 20 sen seliter.

Satu laporan oleh The Rakyat Post menekankan bagaimana pengiraan ini telah menghairankan pemerhati-pemerhati, kerana harga minyak mentah global telah turun sedikit berbanding bulan sebelumnya.

Menurut laporan itu, harga jualan rasmi minyak mentah Malaysia untuk Jun telah dikira pada AS$66.89 (RM251.90) setong, turun AS$248 bulan sebelumnya.

Kerajaan masih belum mendedahkan bagaimana formula apungan harga pasaran bulanan yang digunakan bagi mendapatkan harga di pam, dikira.

Sementara itu dalam satu laporan Malaysiakini, ahli-ahli parlimen pembangkang berkata yang harga petrol sepatutnya turun kerana harga minyak mentah jatuh pada akhir bulan Jun daripada AS$66 setong kepada kira-kira AS$62 setong pada 30 Jun.

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli berkata yang harga RON95 sepatutnya jatuh hampir ke tahap RM1.70 seperti bulan Februari, apabila minyak mentah berharga AS$60 setong.

Ini telah disuarakan oleh Ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan Tantawi yang juga berkata bahawa harga ini perlu diturunkan.

“Ini sekali lagi membuktikan kerajaan tidak serius dalam melindungi rakyat, apatah lagi untuk mengambil langkah-langkah yang membina untuk mengurangkan beban mereka,” kata beliau sambil menambah bahawa ini akan membawa kepada kenaikan harga barangan dan meminta kerajaan untuk membatalkan kenaikan ini dengan segera.

#Nothing2Hide? Jangan buat kelakar.

Mengapakah kerajaan tidak memberitahu orang ramai mengenai cara ia mengira harga minyak? Apakah yang sedang ia sembunyikan?

Siapa yang meraih keuntungan terbanyak daripada harga minyak yang lebih tinggi, apabila logik menetapkan bahawa ia seharusnya lebih rendah disebabkan oleh harga minyak global?

Rakyat sedang bergelut dengan GST, ringgit yang semakin lemah dan kos sara hidup yang meningkat.

Keengganan kerajaan untuk mendedahkan kaedah pengiraan dan keengganannya untuk memaklumkan kenaikan atau penurunan harga minyak yang akan berlaku, mempercanggahi komitmennya terhadap ketelusan dan akauntabiliti.

Perkara-perkara seperti inilah yang mencurah minyak kepada rasa marah dan curiga rakyat terhadap kerajaan.

Jadi hairankah mengapa ramai dari kita tidak mempercayai pemimpin-pemimpin kita?

Jika kerajaan mahu mengubah Malaysia, ia perlu mengubah cara ia beroperasi terlebih dahulu.

Ini adalah zaman ketelusan.

Kerajaan perlu telus dalam menentukan sesuatu yang penting seperti harga petrol.

Sumber: http://bm.theantdaily.com/Terkini/Sikap-berahsia-dalam-menentukan-harga-petrol-mencurah-minyak-ke-kemarahan-rakyat#sthash.5xjU6orF.dpuf