Tujuh dalil mengapa Pakatan Rakyat tiada masa depan jika Hadi terus menerajui Pas.

Oleh Zairil Khir Johari

image

Persoalan masa depan Pakatan Rakyat kian menjadi perbincangan hangat berikutan tindakan Dewan Undangan Negeri Kelantan untuk meluluskan pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 pada 19 Mac lalu.

Tindakan secara unilateral itu bukan sahaja bercanggah dengan Dasar Bersama Pakatan Rakyat, malah tidak menghormati keputusan mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pada 8 Februari 2015 yang dihadiri Presiden Pas Dato’ Seri Abdul Hadi Awang sendiri.

Susulan daripada pindaan enakmen hudud yang diluluskan di Kelantan, Hadi sendiri melakukan tindakan yang lebih mengejutkan, iaitu dengan menghantar pemberitahuan kepada Setiausaha Dewan Rakyat untuk membentangkan rang undang-undang persendirian yang bertujuan untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 bagi membenarkan pelaksanaan enakmen hudud di Kelantan.

Justeru, tindakan Presiden Pas untuk mengemukakan rang undang-undang persendirian ini boleh dianggap sebagai satu pengkhianatan muafakat Pakatan Rakyat, lantas menimbulkan persoalan sama ada gabungan politik tiga parti ini boleh terus berkekalan.

Pada saya, jawapannya amat mudah. Tidak mungkin Pakatan Rakyat mempunyai masa depan sekiranya pucuk pimpinan Pas terus diterajui oleh Dato’ Seri Hadi Awang. Saya mengambil pendirian ini bukan hanya berdasarkan tindak tanduk Presiden Pas baru-baru ini, tetapi juga atas tujuh bukti atau dalil yang disenaraikan di bawah:

■ Parlimen Labuan

■ DUN Sungai Acheh (Pulau Pinang)

■ DUN Kota Damansara (Selangor)

■ DUN Panti (Johor)

■ DUN Kota Putera (Terengganu)

■ DUN Bukit Besi (Terengganu)

■ DUN Seberang Takir (Terengganu)

Di atas merupakan tujuh kerusi (enam DUN dan satu Parlimen) yang telah melihat pertandingan tiga-penjuru dalam Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu. Dalam ketujuh-tujuh kawasan tersebut, Pas telah meletakkan calon pada saat terakhir melalui watikah yang ditandatangani oleh presidennya.

Mengikut tatacara lazim, calon-calon Pas akan menerima watikah yang ditandatangani oleh Dato’ Mustafa Ali selaku Setiausaha Agung parti. Demikianlah bagi semua calon Pas yang bertanding dalam kerusi-kerusi yang telah dipersetujui dalam perbincangan dalaman Pakatan Rakyat.

Oleh itu, tindakan Pas untuk bertanding di tujuh kerusi yang sepatutnya ditandingi PKR itu merupakan khianat yang nyata dilakukan dengan restu Hadi sebagai presiden parti. Akhirnya, Barisan Nasional telah memenangi kesemua tujuh kerusi tersebut.

Justeru, mangsa pengkhianatan bukan sekadar PKR dan Pakatan Rakyat, tetapi semua rakyat Malaysia yang mahukan perubahan besar dalam politik negara.

Kemenangan undi popular dalam PRU13 jelas menunjukkan bahawa rakyat Malaysia menginginkan Pakatan Rakyat untuk mengambil alih tampuk kepimpinan negara. Saya yakin, pilihan rakyat telah dibuat setelah melihat kerjasama yang erat antara ketiga-tiga parti dalam pentadbiran kerajaan-kerajaan negeri seperti Pulau Pinang dan Selangor yang berjaya mencatat prestasi ekonomi yang cemerlang sambil memeliharakan kebajikan rakyat.

Saya percaya kebanyakan akar umbi Pas, sepertimana juga akar umbi DAP dan PKR, menginginkan perpaduan dan kerjasama yang berterusan di bawah payung Pakatan Rakyat. Oleh itu, saya melihat pengkhianatan yang dilakukan oleh sesetengah pimpinan Pas sejak PRU13 lagi sebagai agenda rakus dan jumud oleh puak tertentu yang ingin memecahbelahkan Pakatan Rakyat bagi kepentingan politik mereka.

Pada pendapat saya, selagi dalang-dalang pengkhianatan ini masih kekal berkuasa dalam Pas, tiadalah masa depan bagi Pakatan Rakyat.

Zairil Khir Johari
– Ahli Parlimen Bukit Bendera
– Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP
22 Mac 2015