Mengapa tiba-tiba PAS berubah sikap sokong Anwar & PKR?

Oleh: VETERAN PAS

image

Memang pelik dengan sikap dan pendirian pemimpin PAS, terutama kumpulan konservatif yang menang besar baru-baru ini. Semasa krisis MB Selangor dulu, apa yang mereka tak kata pada Anwar Ibrahim dan Wan Azizah. Pelbagai tohmahan di lemparkan kepada Anwar dan Azizah sehingga ada di kalangan orang PAS yang sanggup mengatakan Anwar sejak dari MCKK lagi telah melakukan kerja maksiat liwat itu, tuduhan yang langsung tidak bertanggungjawab tanpa sebarang bukti dan berniat jahat.

Wibawa Azizah diperlekehkan secara terbuka. Anwar digelar Ketum, dengan nada menghina. Presiden Pas, Haji Hadi Awang di depan umum mempersoalkan keupayaan Azizah, yang dicadang Pakatan Rakyat menggantikan Khalid Ibrahim.

Khalid Ibrahim disokong dan disanjung seolah-olah PKR tidak tahu menguruskan hal dalaman parti mereka sendiri. Apabila mereka menjatuhkan hukuman kepada Khalid Ibrahim sudah tentulah mereka mempunyai sebab musabab yang sahih jika tidak mengapa mahu bersusah payah mahu tukar MB? Jika mereka boleh begitu bertegas dalam isu lembu Shahrizat mengapa pula dalam isu Khalid Ibrahim mereka hendak tutup mata?

Juak-juak Presiden Pas, khususnya Dr Zuhdi Marzuki sudah tidak ada rasa hormat lagi dengan Anwar. Direka pelbagai teori karut-marut, terutama berkaitan survival bangsa Melayu, untuk menjahanamkan reputasi Anwar dan PKR.

Anwar dipaparkan seolah-olah pengkhianat umat Melayu dan perosak agama Islam. Hanya Pas yang suci dan bersih, itupun pemimpin yang dikira bersama Haji Hadi dan geng ulamak sahaja.

Jika diukur dari segi pengorbanan terhadap agama dan negara, pengorbanan Anwar adalah jauh lebih besar. Beliau sanggup mengorbankan kedudukan sebagai bakal Perdana Menteri dan sanggup memilih untuk meringkuk dalam penjara atas kesalahan yang tidak dilakukan demi menjaga perjuangan. Apakah pimpinan PAS yang ada sekarang pernah mengalami cabaran seperti itu dan boleh mengharunginya seperti Anwar?

Ramai yang dengar cerita bagaimana layanan buruk Haji Hadi kepada Anwar, yang datang ke Rusila untuk membincangkan hal MB Selangor. Anwar sebagai tetamu yang datang dari jauh langsung tidak dirai. Hilang nilai sebuah persahabatan.

Bila Anwar ditimpa malang buat kali kedua, dan dihantar ke penjara, cuba kita kenang balik, bagaimana reaksi pemimpin PAS geng ulamak ini. Mereka sanggup berbuat seperti sekarang sedangkan sahabat lama mereka itu sedang dipenjarakan sekali lagi dan kini berada di dalam kesihatan yang membimbangkan.

Cuba kita lihat keadaan hari ini bila PAS sudah putuskan hubungan dengan DAP. Pakatan Rakyat sudah musnah, ahli-ahli PAS berantakan sesama sendiri dan Haji Hadi hanya membiarkan perkara itu berlaku tanpa melakukan apa-apa tindakan pencegahan sehingga wakil Dewan Himpunan Penyokong PAS yang merupakan seorang India menegur kepimpinan ulama PAS dengan bertanyakan kepada mereka inikah Islam? Suatu aib yang tidak di rasakan apa-apa barangkali oleh puak ekstremis PAS ini.

Sepanjang berpakat di dalam Pakatan Rakyat, PAS adalah parti yang paling banyak membawa masalah, PAS is the ‘bad boy’. Bermula dari tahun 2008 mereka mahu mewujudkan Unity Government dengan UMNO, mencuri bertanding di tujuh kawasan PKR dan DAP pada PRU13, isu Langkah Kajang, isu hudud dan sekarang isu usul muktamar perwakilan chai PAS pula. Begitu samsengnya PAS yang kononnya nak jadi abang sulung yang tak mahu dibuli PKR dan DAP.

PAS nak tunjuk lagak dia juga ada siku dan lutut, bukan jadi kuda tunggangan DAP dan budak suruhan Anwar. Mahu tunjuk ego sebagai ketua, seperti Umno ke atas BN, walaupun kerusinya di Parlimen adalah yang paling sedikit.

Namun sekarang apabila Dewan Ulama sudah meluluskan usul tanpa bahas di muktamar dan mereka mula merasakan kepentingan pemimpin-pemimpin mereka mulai tergugat, terutama di Selangor, PAS mula berubah sikap dengan PKR. Parti yang selalu dikutuknya dulu, kini menjadi taruhan untuk terus berkuasa… PAS mendakwa Pakatan masih ada kerana PKR belum keluar. Harapan hanya dengan PKR dan Anwar, pihak yang dibelasah habis-habisan dulu. Tak tahu malu!

Adaptasi dari: http://muktamarpas61.blogspot.com/2015/06/kenapa-pas-berubah-sikap-terhadap-anwar.html?m=1