Gagasan parti Islam baharu satu keperluan walaupun terlambat, kata aktivis pelajar

Fahmi Zainol
Fahmi Zainol

Gagasan sebuah parti baharu yang sedang hangat diperkatakan ketika ini merupakan satu keperluan, khususnya di kalangan anak muda yang berhaluan Islamik, kata aktivis pelajar Fahmi Zainol.

Bekas presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) itu berkata, parti yang sebegitu seharusnya ditubuhkan 5 hingga 10 tahun dahulu lagi.

“Ia satu keperluan, khususnya bagi kami anak-anak muda Islamik yang sudah mampu menilai setiap perkara,” katanya yang kini digantung pengajian dan akan kembali menyambung pelajarannya di UM pada Ogos ini.

“Namun apa boleh buat, orang-orang tua di atas sana baru sedar perlu adanya gagasan parti baharu yang bercorakkan parti Islam dengan ciri-ciri kontemporari dan semasa,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Fahmi mengulas cadangan penubuhan sebuah parti Islam baharu yang progresif dan inklusif oleh kumpulan G-18 yang terdiri daripada bekas pemimpin PAS yang tersingkir dari pucuk kepimpinan parti itu.

Pemimpin yang tewas dalam pemilihan PAS awal bulan ini menyifatkan kekalahan mereka secara blok pada Muktamar Tahunan ke-61 itu sebagai “rahmat yang terselindung” apabila ia membuka ruang membina sesuatu lebih kukuh untuk Malaysia selepas ini.

Pada pertemuan pertama mereka 16 Jun lalu di Muar, Johor, G18 membentuk jawatankuasa bertindak dengan bekas timbalan presiden Mohamad Sabu dipilih sebagai pengerusi, bekas naib presiden Salahudin Ayub sebagai timbalan pengerusi, Dr Dzulkefly Ahmad sebagai setiausaha dan bekas ketua Pemuda Suhaizan Kaiat sebagai penolong setiausaha.

Sehingga ini, cadangan penubuhan parti baharu ini mendapat dokongan pelbagai pihak termasuk PasMa, iaitu badan bukan kerajaan (NGO) yang pro Pakatan Rakyat (PR) dalam PAS, NGO Islam dan juga tokoh masyarakat.

Fahmi digantung pelajarannya selepas menganjurkan majlis untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim di kampus UM tahun lalu, di mana pelajar merempuh pintu pagar utama universiti itu untuk membolehkan mereka masuk.

UM memutuskan menggantung dan mendenda beliau dan seorang lagi mahasiswa yang menganjurkan program “40 Tahun Dari UM ke Penjara” Anwar pada Oktober lalu itu selepas hampir 12 jam prosiding tatatertib diadakan Disember tahun lalu.

Fahmi digantung pengajian selama 2 semester dan didenda sebanyak RM600 manakala Pengerusi Pro Mahasiswa (Pro M) Safwan Shamsuddin digantung selama satu semester dan didenda sebanyak RM300.

Prosiding tatatertib itu juga menyaksikan Abraham Au digugurkan pertuduhan dan Khairul Najib Hashim diberi amaran.

Walaupun digantung, Fahmi menjadi pemimpin pelajar yang dihormati di kalangan mahasiswa negara ini.

Beliau diberikan sambutan hangat oleh pelajar universiti seluruh negara dalam jelajah yang dibuatnya bersama rakan-rakan.

Program anjuran PPUM itu diadakan pada 27 Oktober, sehari sebelum berlangsungnya pendengaran rayuan terakhir bekas ketua pembangkang itu di Mahkamah Persekutuan Putrajaya terhadap sabitan kesalahan dan hukuman penjara yang dikenakan Mahkamah Rayuan pada Mac tahun lalu selepas mendapatinya bersalah meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan.  – 27 Jun, 2015.

Tujuh dalil mengapa Pakatan Rakyat tiada masa depan jika Hadi terus menerajui Pas.

Oleh Zairil Khir Johari

image

Persoalan masa depan Pakatan Rakyat kian menjadi perbincangan hangat berikutan tindakan Dewan Undangan Negeri Kelantan untuk meluluskan pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 pada 19 Mac lalu.

Tindakan secara unilateral itu bukan sahaja bercanggah dengan Dasar Bersama Pakatan Rakyat, malah tidak menghormati keputusan mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pada 8 Februari 2015 yang dihadiri Presiden Pas Dato’ Seri Abdul Hadi Awang sendiri.

Susulan daripada pindaan enakmen hudud yang diluluskan di Kelantan, Hadi sendiri melakukan tindakan yang lebih mengejutkan, iaitu dengan menghantar pemberitahuan kepada Setiausaha Dewan Rakyat untuk membentangkan rang undang-undang persendirian yang bertujuan untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 bagi membenarkan pelaksanaan enakmen hudud di Kelantan.

Justeru, tindakan Presiden Pas untuk mengemukakan rang undang-undang persendirian ini boleh dianggap sebagai satu pengkhianatan muafakat Pakatan Rakyat, lantas menimbulkan persoalan sama ada gabungan politik tiga parti ini boleh terus berkekalan.

Pada saya, jawapannya amat mudah. Tidak mungkin Pakatan Rakyat mempunyai masa depan sekiranya pucuk pimpinan Pas terus diterajui oleh Dato’ Seri Hadi Awang. Saya mengambil pendirian ini bukan hanya berdasarkan tindak tanduk Presiden Pas baru-baru ini, tetapi juga atas tujuh bukti atau dalil yang disenaraikan di bawah:

■ Parlimen Labuan

■ DUN Sungai Acheh (Pulau Pinang)

■ DUN Kota Damansara (Selangor)

■ DUN Panti (Johor)

■ DUN Kota Putera (Terengganu)

■ DUN Bukit Besi (Terengganu)

■ DUN Seberang Takir (Terengganu)

Di atas merupakan tujuh kerusi (enam DUN dan satu Parlimen) yang telah melihat pertandingan tiga-penjuru dalam Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu. Dalam ketujuh-tujuh kawasan tersebut, Pas telah meletakkan calon pada saat terakhir melalui watikah yang ditandatangani oleh presidennya.

Mengikut tatacara lazim, calon-calon Pas akan menerima watikah yang ditandatangani oleh Dato’ Mustafa Ali selaku Setiausaha Agung parti. Demikianlah bagi semua calon Pas yang bertanding dalam kerusi-kerusi yang telah dipersetujui dalam perbincangan dalaman Pakatan Rakyat.

Oleh itu, tindakan Pas untuk bertanding di tujuh kerusi yang sepatutnya ditandingi PKR itu merupakan khianat yang nyata dilakukan dengan restu Hadi sebagai presiden parti. Akhirnya, Barisan Nasional telah memenangi kesemua tujuh kerusi tersebut.

Justeru, mangsa pengkhianatan bukan sekadar PKR dan Pakatan Rakyat, tetapi semua rakyat Malaysia yang mahukan perubahan besar dalam politik negara.

Kemenangan undi popular dalam PRU13 jelas menunjukkan bahawa rakyat Malaysia menginginkan Pakatan Rakyat untuk mengambil alih tampuk kepimpinan negara. Saya yakin, pilihan rakyat telah dibuat setelah melihat kerjasama yang erat antara ketiga-tiga parti dalam pentadbiran kerajaan-kerajaan negeri seperti Pulau Pinang dan Selangor yang berjaya mencatat prestasi ekonomi yang cemerlang sambil memeliharakan kebajikan rakyat.

Saya percaya kebanyakan akar umbi Pas, sepertimana juga akar umbi DAP dan PKR, menginginkan perpaduan dan kerjasama yang berterusan di bawah payung Pakatan Rakyat. Oleh itu, saya melihat pengkhianatan yang dilakukan oleh sesetengah pimpinan Pas sejak PRU13 lagi sebagai agenda rakus dan jumud oleh puak tertentu yang ingin memecahbelahkan Pakatan Rakyat bagi kepentingan politik mereka.

Pada pendapat saya, selagi dalang-dalang pengkhianatan ini masih kekal berkuasa dalam Pas, tiadalah masa depan bagi Pakatan Rakyat.

Zairil Khir Johari
– Ahli Parlimen Bukit Bendera
– Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP
22 Mac 2015

Pesanan Mufti Perlis kepada Pimpinan PAS

Oleh: Dr. Maza (Mohd Asri Zainal Abidin)

image

Saya tidak mahu campur urusan PAS. Tapi saya mohon berbeza pendapat dalam hal ini jika PAS memerintah Malaysia.

Jika sekiranya kepimpinan itu tidak boleh dipersoalkan tindakan mereka, maka hancurlah demokrasi bagi sesebuah negara. Hari ini betapa banyak tindakan pimpinan negara ini dipertikai oleh rakyat termasuk PAS sendiri sering membantah dan mempersoalkan tindakan kerajaan. Mengapa dibolehkan pula?!

Andainya atas nama ulama yang memimpin jika PAS memerintah nanti maka tindakan kepimpanan negara masa itu tidak boleh dipertikaikan, maka ia sama dengan konsep ‘Wilayatul Faqih’ yang dipegang oleh Khomeini dan Syiah di Iran.

Maka jadilah Malaysia sebuah negara mullah yang hampir sama dengan sejarah kuasa Pope di Vatican dahulu yang telah menyebabkan tercetusnya sengketa dan perang saudara antara Katholik dan Protestan.

Segala impian rakyat untuk melihat negara yang telus, bertanggungjawab dan boleh dipersoalkan atas dasar kemaslahatan politik kenegaraan akan musnah.

Rasulullah s.a.w dan Khulafa Rasyidin sendiri sering ditanya dan dipersoalkan oleh rakyat tindakan politik dan strategi mereka, siapalah kita semua?!

Jika ini impian kenegaraan PAS, maaf saya antara yang tidak mampu mengundi mereka.

Kopi Susu yang sudah di keluarkan susu sudah jadi Kopi O, begitu juga dengan PR

PAS-PKR-DAP-cracked-L-600x360

Oleh: Khalid Samad

Polemik semasa adalah samada Pakatan Rakyat masih wujud atau sebaliknya. DAP dengan tegas menyatakan Pakatan Rakyat sudah terkubur. PKR melalui kenyataan Presidennya, DSWA, telah menyatakan kekecewaannya terhadap usul muktamar PAS dan kenyataan DAP sambil menyebut bahawa “Pakatan Rakyat tidak lagi berfungsi secara formalnya”.

PAS melalui kenyataan yang dibuat oleh Datuk Mustapha Ali, Pengarah Pilihanraya PAS Pusat yang baharu, menyatakan bahawa Pakatan Rakyat masih wujud tetapi ‘pengsan’. Pada pagi semalam, 20 Jun 2015, TGHH pula menyebut bahawa Pakatan itu tetap wujud selagimana ada dua parti yang terlibat.

Kesemua kenyataan yang ini, walaupun dilihat bercanggah, ada kebenarannya dan oleh itu tidak hairanlah apabila sebahagian besar masyarakat menganggap ianya mengelirukan. Ia menyebabkan persoalan asal, samada Pakatan Rakyat masih wujud kelihatan seolah-olah masih tidak dijawab!

KOPI SUSU

Untuk menjelaskan keadaan yang sedang wujud, biar saya berikan contoh yang mudah difahamai semua, iaitu contoh ‘Kopi Susu’.

Kopi susu adalah ‘Kopi susu’, selagimana campuran bahannya adalah kopi, susu dan gula. Apabila dikeluarkan susu, maka ianya menjadi Kopi ‘O’. Kalau dikeluarkan gula selepas itu, maka ia menjadi Kopi ‘O’ kosong. Walaupun ianya masih Kopi, tetapi 3 jenis Kopi itu tidak sama malah jauh berbeza. Hanya yang tidak berapa ‘betul’ akan cuba mengatakan bahawa ‘Kopi susu’ adalah sama sahaja dengan Kopi ‘O’!

Maka begitu jugalah dengan Pakatan Rakyat. Ianya gabungan 3 parti iaitu PAS, PKR dan DAP. Apabila salah satu parti dari tiga parti itu keluar, maka walaupun ianya masih lagi ‘Pakatan’, sepertimana yang ditegaskan oleh TGHH, pokoknya ianya bukan lagi ‘Pakatan Rakyat’. Sekiranya ianya di antara PAS dan PKR sahaja, ianya sudah menjadi satu Pakatan Baharu yang boleh dinamakan sebagai Pakatan PKR-PAS. Boleh juga diwujudkan Pakatan lain sekiranya PKR ‘menduakan’ PAS dengan mewujudkan ‘Pakatan PKR-DAP’.

PAKATAN RAKYAT SUDAH TIADA

Pokoknya, setiap parti sudah bebas dari ikatan Pakatan Rakyat apabila salah satu parti komponen mengisytiharkan Pakatan Rakyat tidak lagi wujud. Dengan erti kata lain, parti tersebut telah keluar dan dengan itu yang tinggal tidak lagi dinamakan sebagai Pakatan Rakyat. Maka dalam suasana itu, setiap parti bebas bergerak mengikut kehedaknya sendiri. Tiada lagi sebarang ikatan antara mereka kerana Pakatan Rakyat sudah tiada.

Dalam kenyataan Presiden PKR, beliau telah menyatakan bahawa PKR menyokong kerajaan Kelantan yang dipimpini PAS dan menyokong juga kerajaan Penang yang diketuai DAP. Ini merupakan pendirian PKR terhadap kerajaan PAS di Kelantan dan terhadap kerajaan Penang di bawah kepimpinan DAP.

Kenyataan ini perlu dibuat kerana pendirian DAP terhadap kerajaan Kelantan dan PAS terhadap kerajaan Penang adalah berbeza. DAP sudah tidak bersama PAS dan dengan itu tidak menyokong kerajaan Kelantan di bawah PAS. PAS pula, kecuali ingin melakukan U-turn, telah memutuskan hubungan dengan DAP dan dengan itu tidak lagi menyokong kerajaan Penang di bawah DAP.

Saya rasa tidak mungkin PAS melakukan U-turn dan kenyataan TGHH yang menyebut bahawa “dua parti memadai untuk mewujudkan Pakatan” adalah konsisten dengan keyakinan saya ini.

PAKATAN DI SELANGOR

Presiden PKR turut menyebut harapan beliau bahawa PAS dan DAP akan terus menyokong kerajaan Selangor di bawah kepimpinan YAB Azmin Ali. Walau apa sekalipun yang diputuskan oleh PAS dan DAP berhubung Selangor, yang nyata adalah Pakatan Rakyat sepertimana kita kenali selama ini sudah tidak wujud.

Yang boleh diwujudkan sekarang di Selangor adalah samada ‘Pakatan PKR-PAS’ dan ‘Pakatan PKR-DAP’ atau kedua-duanya secara serentak. Pakatan PKR-PAS boleh diwujudkan di Kelantan, atau sebaliknya PAS boleh bersendirian di situ. Pakatan PKR-DAP pula boleh diwujudkan untuk Pulau Pinang. Pakatan PKR-PAS dan Pakatan PKR-DAP boleh pula diwujudkan secara serentak di Selangor.

Mungkin untuk Selangor kewujudan Pakatan antara PAS, PKR dan DAP boleh dirundingkan kembali. Namun ianya merupakan sesuatu yang sukar apabila hubungan dan kerjasama antara PAS dan DAP diputuskan sepertimana yang dituntut dan didesak melalui usul DUPP. Oleh itu pendekatan dua Pakatan serentak untuk Selangor kelihatan sebagai satu-satunya pendekatan yang boleh diguna-pakai. Asas kedua-dua Pakatan perlu dirundingkan antara PKR dan PAS dan juga PKR dan DAP.

Namun bagaimana masalah ini ingin diurus perlu diserahkan kepada saff pimpinan untuk menyelesaikannya. Mereka telah berkerja keras untuk menjadi pimpinan, maka adalah diharapkan bahawa mereka akan mampu menanganinya dengan baik.

SIFAT PAKATAN RAKYAT

Pakatan Rakyat turut mempunyai sifatnya tersendiri dengan dasar ‘common policy framework’atau ‘kerangka dasar bersama’ yang bertujuan untuk menyelaras ketiga-tiga parti apabila mereka bergerak sebagai satu Pakatan.

Ia mempunyai mekanisme penggubalan dasar tersendiri iaitu ‘government by consensus’ atau ‘mentadbir berdasarkan persetujuan bersama’ yang telah turut merupakan salah satu ciri utama Pakatan Rakyat.

Ia turut mempunyai kaedah untuk menangani perbezaan yang disedari kewujudannya dari sejak asal, iaitu kaedah ‘agree to disagree’ atau ‘bersetuju untuk tidak bersetuju’.

Samada dasar-dasar itu akan terus dipegang oleh ketiga-tiga parti yang terlibat dan samada ianya akan diserapkan di dalam Pakatan PKR-PAS atau Pakatan PKR-DAP terpulang kepada perundingan yang bakal dilakukan. Sudah pasti Pakatan PKR-PAS tanpa adanya DAP akan berbeza berbanding Pakatan PKR-DAP tanpa PAS.

Dikhuatiri akhirnya akan didapati sama sahaja.

KESIMPULAN

Bagi saya kedudukan Pakatan Rakyat adalah jelas dan nyata. Pakatan Rakyat tidak lagi wujud. Istilah ‘pengsan’ atau komatose, tidak berfungsi secara formal atau sebagainya adalah hanya istilah-istilah yang mengaburi hakikat sebenar. Lebih awal diakui keadaan yang sebenar, maka adalah lebih mudah untuk mengusahakan pembaik-pulihan dan pembetulan sekiranya perlu. Tiada manafaat menipu diri dengan mengatakan kesemuanya baik dan OK sedangkan pada hakikatnya ianya sebaliknya.

Ada yang berkata bahawa seseorang itu hanya akan menghargai sesuatu apabila sudah kehilangannya. Mana tahu secara tiba-tiba selepas tiadanya Pakatan Rakyat, yang kuat menghentam Pakatan Rakyat siang malam tiba-tiba berubah dan mula menghargainya! Mungkin tiba-tiba akan disebut bahawa diperlukan Pakatan Rakyat untuk menjatuhkan BN yang sedang tenat.

Sekiranya itu berlaku; persoalannya, adakah ianya boleh dipercayai?

WaLlahu ‘Alam
KHALID SAMAD

Kita bekerjasama dengan semua parti yang tidak cauvinis – Hadi Awang

hadi2Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengulangi pendiriannya iaitu Pakatan Rakyat (PR) masih wujud dan menegaskan walaupun ia kini terdiri daripada 2 parti – PAS dan PKR, tanpa DAP tetapi ia tetap satu pakatan.

Keyakinan beliau itu dinyatakannya hari ini memandangkan tiada sebarang pendirian yang dikeluarkan PKR berhubung masa depan PR.

“Selagi PKR tidak buat keputusan, maksudnya ia masih bersama (PR). Apa makna ‘pakatan’? ‘Pakatan sekurang-kurangnya perlu ada 2 (parti). Kalau satu jadi pakatan tak? Tidak boleh.

“Ini saya berjalan.. Saya masih hidup (PR masih hidup),” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan di bazaar Ramadan Jalan Raja Alang di Kampung Baru, Kuala Lumpur hari ini.

PAS meluluskan tanpa bahas usul Dewan Ulama memutuskan tahaluf siyasi dengan DAP pada muktamar tahunannya ke-61 awal bulan ini. Susulan itu, DAP mengumumkan PR bubar secara rasminya.

Bagaimanapun, Hadi baru-baru ini membuat kenyataan menyatakan PR masih belum berkubur.

Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pula tidak menjelaskan pendiriannya, sebaliknya hanya menyatakan PR kini tidak lagi berfungsi secara rasmi.

Ditanya adakah keputusan PAS untuk bekerjasama dengan PKR kerana ingin mengekalkan kedudukan mereka di Selangor, Hadi menegaskan parti Islam itu akan bekerjasama dengan sesiapa saja kecuali golongan yang dianggap “cauvinis”.

“Kita bekerjasama dengan semua parti yang tidak cauvinis,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Hadi turut ditanya mengenai bekas calon presiden yang dikalahkan semasa pemilihan lalu, Ahmad Awang, yang dilaporkan bakal menyaman beliau atas kenyataannya semasa muktamar lalu.

Ahmad berkata semalam, Hadi mendakwa beliau merupakan calon DAP.

Hadi dengan ringkas menjawab hari ini, beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan begitu.

“Tidak saya tidak ada kata begitu.. tidak ada cakap apa-apa,” katanya.

Menjelang pemilihan pada muktamar itu, Hadi dalam satu kenyataannya yang disebarkan melalui video mendakwa, pertandingan itu antara calon pilihan DAP dan calon pilihan PAS.

“Boleh pilihlah antara yang DAP hendak atau yang kita (PAS) hendak,” katanya dalam rakaman video yang disebarkan secara meluas melalui media sosial khasnya di kalangan perwakilan muktamar itu.

Ahmad memberitahu The Malaysian Insider semalam, beliau sedang mengkaji tindakan undang-undang ke atas pihak yang memfitnah beliau sepanjang kempen pemilihan itu, termasuk Hadi.

“Saya sedang kaji tindakan itu (saman), termasuk presiden yang menuduh saya sebagai calon DAP,” katanya.

“Ini (fitnah) saya tidak boleh terima dan saya akan bersihkan nama baik saya,” katanya yang tewas dalam pemilihan itu apabila hanya mendapat kira-kira 25% sahaja dari keseluruhan jumlah undi. – 21 Jun, 2015.

Sumber: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/pakatan-masih-hidup-walaupun-dengan-2-parti-kata-hadi#sthash.GP8F6SYu.dpbs

Mengapa tiba-tiba PAS berubah sikap sokong Anwar & PKR?

Oleh: VETERAN PAS

image

Memang pelik dengan sikap dan pendirian pemimpin PAS, terutama kumpulan konservatif yang menang besar baru-baru ini. Semasa krisis MB Selangor dulu, apa yang mereka tak kata pada Anwar Ibrahim dan Wan Azizah. Pelbagai tohmahan di lemparkan kepada Anwar dan Azizah sehingga ada di kalangan orang PAS yang sanggup mengatakan Anwar sejak dari MCKK lagi telah melakukan kerja maksiat liwat itu, tuduhan yang langsung tidak bertanggungjawab tanpa sebarang bukti dan berniat jahat.

Wibawa Azizah diperlekehkan secara terbuka. Anwar digelar Ketum, dengan nada menghina. Presiden Pas, Haji Hadi Awang di depan umum mempersoalkan keupayaan Azizah, yang dicadang Pakatan Rakyat menggantikan Khalid Ibrahim.

Khalid Ibrahim disokong dan disanjung seolah-olah PKR tidak tahu menguruskan hal dalaman parti mereka sendiri. Apabila mereka menjatuhkan hukuman kepada Khalid Ibrahim sudah tentulah mereka mempunyai sebab musabab yang sahih jika tidak mengapa mahu bersusah payah mahu tukar MB? Jika mereka boleh begitu bertegas dalam isu lembu Shahrizat mengapa pula dalam isu Khalid Ibrahim mereka hendak tutup mata?

Juak-juak Presiden Pas, khususnya Dr Zuhdi Marzuki sudah tidak ada rasa hormat lagi dengan Anwar. Direka pelbagai teori karut-marut, terutama berkaitan survival bangsa Melayu, untuk menjahanamkan reputasi Anwar dan PKR.

Anwar dipaparkan seolah-olah pengkhianat umat Melayu dan perosak agama Islam. Hanya Pas yang suci dan bersih, itupun pemimpin yang dikira bersama Haji Hadi dan geng ulamak sahaja.

Jika diukur dari segi pengorbanan terhadap agama dan negara, pengorbanan Anwar adalah jauh lebih besar. Beliau sanggup mengorbankan kedudukan sebagai bakal Perdana Menteri dan sanggup memilih untuk meringkuk dalam penjara atas kesalahan yang tidak dilakukan demi menjaga perjuangan. Apakah pimpinan PAS yang ada sekarang pernah mengalami cabaran seperti itu dan boleh mengharunginya seperti Anwar?

Ramai yang dengar cerita bagaimana layanan buruk Haji Hadi kepada Anwar, yang datang ke Rusila untuk membincangkan hal MB Selangor. Anwar sebagai tetamu yang datang dari jauh langsung tidak dirai. Hilang nilai sebuah persahabatan.

Bila Anwar ditimpa malang buat kali kedua, dan dihantar ke penjara, cuba kita kenang balik, bagaimana reaksi pemimpin PAS geng ulamak ini. Mereka sanggup berbuat seperti sekarang sedangkan sahabat lama mereka itu sedang dipenjarakan sekali lagi dan kini berada di dalam kesihatan yang membimbangkan.

Cuba kita lihat keadaan hari ini bila PAS sudah putuskan hubungan dengan DAP. Pakatan Rakyat sudah musnah, ahli-ahli PAS berantakan sesama sendiri dan Haji Hadi hanya membiarkan perkara itu berlaku tanpa melakukan apa-apa tindakan pencegahan sehingga wakil Dewan Himpunan Penyokong PAS yang merupakan seorang India menegur kepimpinan ulama PAS dengan bertanyakan kepada mereka inikah Islam? Suatu aib yang tidak di rasakan apa-apa barangkali oleh puak ekstremis PAS ini.

Sepanjang berpakat di dalam Pakatan Rakyat, PAS adalah parti yang paling banyak membawa masalah, PAS is the ‘bad boy’. Bermula dari tahun 2008 mereka mahu mewujudkan Unity Government dengan UMNO, mencuri bertanding di tujuh kawasan PKR dan DAP pada PRU13, isu Langkah Kajang, isu hudud dan sekarang isu usul muktamar perwakilan chai PAS pula. Begitu samsengnya PAS yang kononnya nak jadi abang sulung yang tak mahu dibuli PKR dan DAP.

PAS nak tunjuk lagak dia juga ada siku dan lutut, bukan jadi kuda tunggangan DAP dan budak suruhan Anwar. Mahu tunjuk ego sebagai ketua, seperti Umno ke atas BN, walaupun kerusinya di Parlimen adalah yang paling sedikit.

Namun sekarang apabila Dewan Ulama sudah meluluskan usul tanpa bahas di muktamar dan mereka mula merasakan kepentingan pemimpin-pemimpin mereka mulai tergugat, terutama di Selangor, PAS mula berubah sikap dengan PKR. Parti yang selalu dikutuknya dulu, kini menjadi taruhan untuk terus berkuasa… PAS mendakwa Pakatan masih ada kerana PKR belum keluar. Harapan hanya dengan PKR dan Anwar, pihak yang dibelasah habis-habisan dulu. Tak tahu malu!

Adaptasi dari: http://muktamarpas61.blogspot.com/2015/06/kenapa-pas-berubah-sikap-terhadap-anwar.html?m=1

Pakatan sebenarnya boleh berpecah lebih awal jika menang PRU13 dengan sikap Hadi

image

Pakatan Rakyat mungkin berpecah lebih awal jika gabungan pembangkang itu menang dalam pilihan raya umum ke-13, kata tokoh parlimen DAP Lim Kit Siang.

Dalam kenyataannya, beliau berkata ini kerana Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak pernah menyokong Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri.

“Krisis Pakatan mungkin berlaku lebih awal jika Pakatan Rakyat berjaya menguasai majoriti kerusi parlimen dalam pilihan raya umum ke-13 dua tahun lalu, kerana Hadi tidak pernah menerima Anwar sebagai calon Pakatan menjadi perdana menteri,” kata Lim.

Tahun lalu, Setiausaha Agung Rafizi Ramli mendedahkan bawa PAS bawah Hadi menolak pencalonan Anwar sebagai perdana menteri sebaliknya menyebelahi pemimpin veteran Umno Kelantan Tengku Razaleigh Hamzah.

Minggu lepas DAP mengumumkan bahawa Pakatan Rakyat sudah tidak wujud lagi, manakala PAS masih bertegas Pakatan masih lagi kekal.

Bagaimanapun, Lim berkata gabungan pembangkang itu sebenarnya telah mati sekurang-kurangnya setahun yang lalu, dan hanya wujud sekadar pada nama sahaja.

“Sejak setahun lalu Pakatan wujud hanya pada nama, bukan secara hakikatnya disebabkan Hadi melanggar dua prinsip asas Pakatan, rangka kerjasa dasar bersama Pakatan.

“(Hadi juga melanggar) prinsip konsensus operasi bahawa persetujuan ketiga-tiga parti komponen Pakatan diperlukan bagi melaksanakan mana-mana cadangan Pakatan,” kata Lim lagi.

Sumber: https://mmy.malaysiakini.com/news/302566

Pemikiran pemimpin PAS bahaya kepada parti, negara, kata Mat Sabu

Oleh: LOOI SUE-CHERN

image

Bekas timbalan presiden PAS Muhamad Sabu ketika ditemu ramah The Malaysian Insider di Butterworth, Pulau Pinang pada 17 Jun, 2015. – Gambar The Malaysian Insider oleh Hasnoor Hussain, 20 Jun, 2015.
Bekas timbalan presiden PAS Muhamad Sabu ketika ditemu ramah The Malaysian Insider di Butterworth, Pulau Pinang pada 17 Jun, 2015. – Gambar The Malaysian Insider oleh Hasnoor Hussain, 20 Jun, 2015.

Dalam bahagian terakhir temu bual kami dengan Mohamad Sabu, seorang pemimpin PAS popular, beliau memberitahu The Malaysian Insider mengenai kebimbangannya terhadap pemikiran pemimpin dalam parti Islam itu, dan memberi amaran ia boleh membahayakan negara.

PAS kini mula mengikut trend “bahaya” di mana fokus diberikan kepada menghukum mereka yang tidak bersetuju dengan kepimpinan Islamik, kata Mohamad Sabu, salah seorang pemimpin “progresif” dalam parti itu yang digulingkan.

Bekas timbalan presiden parti popular itu dikenali sebagai Mat Sabu, yang kalah dalam pemilihan baru-baru ini berkata, kecenderungan itu dalam amalan Islam hari ini bermula di Timur Tengah, dan PAS menyertai gerakan “takfiri” itu (umat Islam menuduh saudara Islam lain murtad) ketika berdepan dengan mereka yang tidak bersetuju dengan mereka.

“Kamu tidak bersetuju dengan kami, maka kamu tidak bersama kami. Kamu kafir, liberal, munafik.

“Ini berlaku di Syria, Iraq, Mesir, Somalia, Algeria dan Pakistan. Ia sangat bahaya dan pelajar yang melanjutkan pelajaran di Timur Tengah, membawanya pulang bersama mereka,” katanya ketika ditemu bual The Malaysian Insider.

Mat Sabu turut memberi gambaran kesan lebih besar kepada Malaysia jika cara pemikiran seumpama itu berterusan.

“Apa yang sedang berlaku berbahaya kepada parti dan pada masa depan, ia juga akan membahayakan negara.

“Persaingan di Timur Tengah mungkin akan ambil masa lebih panjang daripada 20 atau 30 tahun untuk berakhir. Di Malaysia, ia belum bermula lagi, tetapi benihnya sudah mula ditanam dan kuntumnya tidak lama lagi akan berbunga,” katanya.

Kesannya ialah beberapa pemimpin dan ahli PAS jadi lebih fokus terhadap sama ada seseorang itu berada di pihak mereka atau tidak, bukannya bergantung pada rekod kecemerlangan seseorang dalam berkhidmat kepada parti, katanya.

Merujuk kisahnya sendiri, Mat Sabu berkata, tidak kisahlah jika beliau pernah dipenjarakan 2 kali mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri, dan keluar masuk balai polis mempertahankan perjuangan PAS dan isu berkaitan rakyat Malaysia.

“Apa yang mereka bincang hanyalah sama ada Abang Mat berada di pihak mereka atau tidak. Mereka tidak peduli selama ini kamu berpenat lelah untuk parti dan hanya balik rumah beberapa hari saja dalam sebulan.

“Mereka lihat Hanipa dan label dia liberal dan kata dia mesti ditolak. Tidak peduli berapa hebat dia berbahas di Dewan Rakyat atau mahkamah, mempertahankan rakyat. Kerjanya tidak ada nilai kerana dia dilabel liberal,” katanya merujuk kepada peguam Mohamed Hanipa Maidin, yang turut gagal mempertahankan jawatannya dalam Jawatankuasa PAS Pusat.

“Inilah aliran pemikiran dunia Islam hari ini… dan PAS pun sedang berdepan penyakit ini,” kata Mat Sabu.

Beliau dan Hanipa adalah antara bekas pemimpin parti yang dikatakan progresif kerana pendirian mereka yang lebih terbuka terhadap bukan Islam dan mereka percaya perjanjian persefahaman di bawah Pakatan Rakyat (PR) yang kini tidak berfungsi lagi, sepatutnya dihormati.

Mereka juga bersifat kritis terhadap kepimpinan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berikutan beliau sering mengingkari keputusan sebulat suara yang dibuat kepimpinan PR berhubung beberapa isu.

Mat Sabu, ahli PAS selama 37 tahun dan pernah menjadi ahli Parlimen selama 3 penggal di bawah tiket parti itu berkata, patah hatinya melihat PAS berubah hala tuju, walaupun beliau tidak berkata akan keluar parti.

“Sudah tentu saya kecewa. Ini parti saya, darah daging saya… terlalu banyak yang diusahakan untuk parti. Bukan mudah untuk meninggalkan parti, walaupun ini satu keadaan yang ganjil,” katanya.

Pengakhiran PR bermula dengan usul yang diterima dalam muktamar tahunan PAS awal bulan ini, yang hasilnya memutuskan hubungan dengan DAP, pihak yang bertelingkah dengan Hadi dan beberapa pemimpin konservatif lain.

Kini ada kemungkinan pemimpin progresif PAS yang digulingkan membentuk parti mereka sendiri, tetapi Mat Sabu berkata masih terlalu awal untuk bercakap lebih banyak mengenai idea itu.

“Kita perlu berbincang lagi sama ada kita akan perlukan parti baharu atau kita boleh cari cara untuk memulihkan ahli PAS… baik pulih semuanya.

“Walau apa pun, parti itu perlu berasaskan Islam kerana hanya dengan itu kita boleh menarik umat Islam untuk menyokongnya,” katanya, sambil menambah, parti dengan asas Islam tidak akan ditolak bukan Islam.

Ini kerana PAS berjaya menawan sokongan bukan Islam dengan slogan “PAS untuk semua” yang digunakan pada pilihan raya umum 2013. Konsep negara berkebajikan juga menerima sokongan daripada bukan Islam, kata Mohamad.

“PAS diterima masyarakat Cina. Kita pernah nampak orang Cina pakai kemeja T dengan logo PAS pada masa itu.

“Islam bukan masalah. Masalahnya ialah cara pemikiran pemimpin (PAS),” katanya.

Jika satu parti baharu dibentuk barisan pemimpin sepertinya yang tersingkir daripada kepimpinan PAS, Mat Sabu berkata ia akan meneruskan cita-cita yang kini diabaikan parti Islam itu.

Cita-cita itu ialah untuk memperjuangkan nilai seperti keharmonian pelbagai bangsa, tadbir urus yang baik dan kerajaan yang bersih.

“Lihat ahli Parlimen di Dewan Rakyat. Mereka yang bercakap mengenai rasuah, tadbir urus kerajaan yang baik dan nilai adalah orang seperti (Ahli Parlimen Parit Buntar) Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, (Ahli Parlimen Shah Alam) Khalid Samad, (Ahli Parlimen Sepang) Hanipa dan beberapa lagi yang seperti mereka,” katanya.

Semua nama disebutkan itu turut kalah dalam pemilihan parti.

“Tadbir urus kerajaan yang baik, memerangi rasuah, menepati masa, memastikan bandar kita bersih, semua itu Islamik. Tetapi mereka yang kononnya ulama kelihatan lemah dalam mengendalikan perkara seumpama itu.

“Nilai dan amalan itu bukan keutamaan pemimpin PAS sekarang. Semua itu menggambarkan cara pemikiran mereka,” katanya. – 20 Jun, 2015.

Umno tidak seburuk ‘Firaun’, kata presiden PAS

Oleh: Hasbullah Awang Chik

Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini menyelar pihak tertentu yang memandang negatif pertemuan yang diadakan PAS bersama Umno kerana katanya, pandangan serupa itu tidak menjadi pendekatan parti Islam itu.

Presiden PAS itu berkata, walaupun ada pihak yang mencemburui pertemuan di antara dua parti itu, beliau menegaskan, parti Melayu itu tidaklah seburuk Firaun yang digambarkan dalam Al-Quran.

“Malangnya ada yang cemburu. Macam isteri yang tak benarkan suaminya ke pasar, tak boleh berjumpa dengan perempuan. Asal jumpa dengan Umno tak boleh, diharamkan. Itu bukan pendekatan kita.
“Dengan bahasa yang dinasihati Allah, berhubunglah, pergi bercakap, walaupun dengan Firaun. Tak kan kita nak cakap Umno setaraf dengan Firaun yang disebut dalam Al-Quran.

“Jangan sampai begitu. Tak boleh bertindak melebihi ajaran Al-Quran. Kita menganggap kaum kita ditenggelam oleh kejahilan, yang memerlukan kita menyelamatkannya,” katanya.

Hadi berkata demikian dalam ucapan penangguhannya pada hari terakhir Muktamar Tahunan PAS ke-61 di Kuala Selangor hari ini.

Katanya, dalam menjalinkan kerjasama politik bersama Pakatan Rakyat (PR), PAS adalah parti yang berdisiplin dan beradab berbanding parti lain yang membawa pelbagai kerenah.

Katanya, senario itu terbukti apabila ada parti dalam PR yang cuba mempersoalkan pendirian PAS, malah ada yang cuba ‘mencuri’ wakil rakyat parti Islam itu.

“Kita mengamalkan tahaluf ini sejak PAS ditubuhkan. Kita menghadapi liku-liku yang mencabar, tahaluf terkini dalam sejarahnya.

“Alhamdulillah PAS menunjukkan ia parti yang berdisiplin dalam bertahaluf. PAS beradab kerana tahaluf sefahaman dalam titik persamaan.

“Masing-masing walau berbeza ideologi tidak ganggu akidah,” katanya.

Sebaliknya, katanya, rakan dalam PR ada yang menyentuh perkara yang berkaitan akidah, disiplin, pelaksanaan syariat, isu kepimpinan parti.

“Ini urusan dalam PAS, kita tak kempen pemilihan parti lain, orang tolong kempen pemilihan kita,” kata Hadi.

DAP pada hujung bulan lalu berkata, ia tidak akan berhenti menyoal Hadi walaupun PAS akan melalui pemilihan, sambil menegaskan parti itu tidak pernah masuk campur pemilihan mana-mana parti politik.

Setiausaha agungnya Lim Guan Eng berkata, DAP tidak akan dibisukan oleh pemilihan PAS itu daripada memperkatakan kebenaran.

Katanya, walaupun Hadi mengumumkan beliau “masih bersama PR”, pemimpin nombor satu PAS itu perlu menjawab beberapa soalan berhubung tindakannya sepanjang setahun yang lalu.

“Kenapa Hadi memungkiri komitmen PAS kepada Dasar Bersama PR dan jaminan peribadinya kepada pimpinan PR?

“Kenapa Hadi menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di tengah kemelut skandal RM42 bilion 1Malaysia Development Berhad (1MDB)?

“Kenapa Hadi mahu mewujudkan ‘kerajaan perpaduan’ bersama Umno?” soal Lim dalam kenyataannya sebelum ini. – 6 Jun, 2015.

Sumber: https://www.youtube.com/watch?v=wplchMqrWL0

Message for Malaysians

message-tmjOf late, I just voiced out my opinion and a reminder that people who has been entrusted with the responsibility to not blame the people for losing trust and confidence in them, but think of why the people no longer have the confidence and trust in them. Apparently my gentle reminder has been met with a rather hostile response from a minister. If I got such a reply, then what chances does the rest of the rakyat have?

You are a minister, not a God from the heavens who lord above everybody. Do not think the people of this country exist to provide you with position and wealth, but the position exists for you to serve the people. When I voice out, I do it as the leader of my rakyat, on behalf of Johoreans and Malaysians. All I did is to remind the leaders of the country that they have a responsibility to serve the people, and for this, I am attacked.

In the new world order, I envision a future that every person has a right to voice their opinions. However, that is not the case in Malaysia today, where ministers think they are untouchable. I am willing to be cursed for standing up for what is right, rather than be loved for defending what is wrong.

I am not a politician. I am only answerable to Allah, my Sultan and the people of Johor. I do not do the bidding of some puppet-master who pulls the strings. Johor only has place for those who want to serve the people, not for those who want to garner votes for their own interests.

There will come a time, when the Johorean people must decide what is best for us and our future generations. Decide and unite we will, as Bangsa Johor, to forge our future. United we stand strong, divided we fall. I stand for my rakyat, not to joust for power, not to topple the government, but to ensure the well-being of my people.

I never told anybody to step down or resign, only to remind politicians of their roles and responsibilities. If you cannot deal with that, it just shows your arrogance to the people. Alhamdulillah, I have been blessed with a comfortable life, and I can just live my own life and be oblivious to the worries of my people, but here I am, standing firm by their side. So for those wanting to tarnish my image and make me public enemy number one, the people are smarter than that, and they can think for themselves.

Do not use me to divert the attention from national issues. This country needs politicians who are clean and transparent, who carry out their duties with sincerity and integrity.

-HRH Brigadier General Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, The Crown Prince of Johor.

Source: http://johorsoutherntigers.com.my/2015/06/message-for-malaysians/