Kontroversi Ucapan LKS Di Kota Bharu

Nota Wasap Khalid SamadSaya diberi teks ucapan Lim Kit Siang (LKS) yang disampaikan beliau pada 10 Mei sebelum mulanya sesi dialog saya di Hotel Habib Kota Bharu pada 14 Mei. Saya membacanya dan hingga sekarang masih merasa pelik mengapa ada yang begitu marah dengan ucapan beliau. Mereka menuduh LKS “menghina Islam, Hudud dan ummat Islam” dalam ucapannya. Sedangkan tidak terdapat kata-kata menghina yang saya dapati dalam teks ucapan tersebut.

Ayat dan kaedah yang digunakan mereka ini sama macam ayat dan kaedah PERKASA yang terkenal dengan usaha untuk mencetuskan perbalahan walau atas apa jua alasan. Sekiranya ada yang bukan Melayu bersin di depan Masjid pun mungkin boleh digunakan oleh PERKASA dan kumpulan ini sebagai bukti “tidak hormat kepada Islam”! Maka adakah pimpinan PAS telah turut mengikuti ‘tarbiyyah’ PERKASA kebelakangan ini? Harap-harap tidak serta bagi yang sibuk bergambar, hanya sekadar bergambar bersama sahaja dan tidak lebih dari itu.

ISI KANDUNGAN UCAPAN LKS

Saya ingin kemukakan di sini beberapa point utama dalam ucapan LKS untuk kita kongsi bersama dan boleh nilai sendiri transkrip ucapan Lim Kit Siang di ceramah ‘Kukuhkan Pakatan, Hancurkan Barisan’.

1. Peluang Keemasan Untuk PR Berkuasa

Merujuk kepada ucapan LKS, beliau menyebut mengenai perlunya PR bersatu dan mengambil peluang dan kesempatan ini untuk menjatuhkan BN dalam PRU akan datang. Menurut beliau peluang sebegini jarang sangat dijumpai dan oleh itu perlu dimanfaatkan sepenuhnya. Point ini LKS nyatakan di awal dan turut diulangi di penghujung ucapan beliau.

2. PR Bermasalah: Apa Masalah Sebenar?

LKS mengakui terdapat masalah dan perbalahan sesama parti PR.

LKS bertanya dalam ucapannya “Kenapa PR tidak boleh terus bersatu padu?” dan beliau menjawab soalannya sendiri. Jawapannya menarik dan perlu difahami ahli PAS. Jawapannya ialah:

“Masalah sebenarnya bukan hudud”!

Maka kalau hudud bukan masalahnya, apa masalahnya? Masalahnya, mengikut LKS adalah,

“Masalah ialah sama-sama parti PR boleh jujur dan ikhlas untuk mengotakan apa yang kita janjikan. Apabila ditubuh PR pada 2008, bahawa dipersejutui mengenai dasar bersama”. Dalam ertikata lain, LKS ingin menegaskan bahawa yang menyebabkan PR berkocak bukan persoalan hudud sepertimana yang cuba digembar-gemburkan. Masalahnya ialah ada yang telah semakin jauh dari dasar yang telah dipersetujui bersama dulu semasa PR ditubuhkan. Dengan itu yang dipersetujui bersama tidak lagi dikotakan.

3. DAP Tidak Anti-Islam Atau Anti-Hudud

Apabila dinyatakan bahawa hudud bukan masalahnya, LKS juga ingin menegaskan bahawa DAP tidak anti-hudud atau anti-Islam. Hujjah DAP tidak anti-hudud atau anti-Islam diperluaskan LKS dengan dikemukakan pengalaman jelajah DAP ke Timur Tengah. Diceritakan pengalaman mereka di Mesir dan Jordan di mana mereka menyaksikan hudud tidak dilaksanakan walaupun Mesir dan Jordan mempunyai penduduk Islam melebihi 90%.

Apabila disiasat mengapa tidak, maka dijelaskan kepada mereka bahawa ianya bukan kerana Mesir dan Jordan anti-hudud atau anti-Islam, tetapi syarat-syarat mewajibkan perlaksanaan hudud belum lagi dipenuhi maka ianya tidak boleh dilaksana. Disebut juga bahawa terdapat persoalan lain yang perlu diutamakan terlebih dahulu. Maka dirumuskan LKS bahawa sekiranya ada pihak menolak perlaksanaan hudud atas sebab syarat-syarat tertentu belum lagi dipenuhi, atau ada yang lain yang perlu diutamakan terlebih dahulu, maka ianya alasan yang boleh diterima dan tidak bererti mereka itu anti-hudud atau anti-Islam. Malahan syarat dan keutamaan itu sendiri adalah sebahagian dari ajaran Islam. Sempat juga LKS merujuk kepada tulisan Qaradhawi berhubung isu ini yang mungkin UMNO pun tidak rujuk.

Pada masa yang sama turut dijelaskan LKS bahawa dari sudut pandangan DAP sendiri, perlembagaan Malaysia bersifat sekular dan oleh itu undang-undang hudud tidak boleh dilaksanakan kerana bercanggah dengan perlembagaan. Itu menurut fahaman DAP. Maka persoalan anti-hudud tidak timbul. Persoalannya perlembagaan Malaysia.

Dalam menyampaikan kefahaman beliau terhadap persoalan ini, tiada LKS sentuh walaupun sekali berhubung usaha Kerajaan Kelantan untuk melaksanakan hudud. Dia kelihatan lebih memberi tumpuan untuk menegaskan bahawa DAP tidak anti-hudud atau anti-Islam.

RUMUSAN SAYA DARI UCAPAN LKS

Maka rumusan saya, sebenarnya LKS datang untuk menjelaskan sikapnya kepada rakyat Kelantan. Dalam menjelaskan sikap dan pendiriannya, beliau ingin menegaskan bahawa beliau bersama DAP tidak memusuhi Islam atau pun hudud seperti yang cuba digambarkan. Ianya satu usaha oleh LKS dan DAP untuk mencari perdamaian dan meredakan suasana dalam PR supaya kembali utuh. Dalam menjelaskan pendiriannya ini, tiada diperlekehkan rakyat Kelantan dan tidak juga dihina Islam atau ajarannya.

Kalau dikatakan ada, maka adalah amat diharapkan agar dikemukakan di perenggan mana dan ayat mana ianya dilakukan.

Bagi yang berpaksikan PERKASA dan UMNO, mungkin orang bukan Islam cakap mengenai Islam atau hukum Islam pun dianggap suatu penghinaan! Tetapi itu sekiranya menurut pemikiran PERKASA dan UMNO, sefaham saya dan bukan PAS. Ini kerana PAS sepatutnya berbangga apabila bukan Islam bercakap mengenai Islam dan sekiranya ada salah faham, maka ditegur dengan baik dan berhikmah. Lebih-lebih lagi apabila dilihat ianya atas sebab salah maklumat dan bukan bertujuan memperolok-olokkan.

Mungkin ada yang kita tidak setuju dengan kata-kata LKS, khususnya berhubung percanggahan dengan perlembagaan. Tetapi adakah perlu difitnahnya dengan menuduh beliau menghina Islam, ummat Islam dan hudud? Atau perkara ini dilakukan demi agenda tertentu tanpa menghiraukan dosa dan pahala. Perlu diingat bahawa fitnah tetap zalim dan berdosa walau pun terhadap yang bukan Islam.

PELUANG UNTUK MEMBUAT ‘TUDUHAN MELULU’?

Pada zaman kemunculan PAS Ekstrim, tuduhan melulu merupakan kebiasaan. Majlis ceramah yang diadakan pada 10 Mei merupakan peluang keemasan untuk membuat tuduhan ini. Maka dituduh yang hadir majlis ceramah itu ‘bersikap anti-hudud’ dan sebagainya. Yang menuduh didapati tidak pun hadir majlis tersebut dan mungkin tidak tahu pun hujung pangkal apa yang telah disampaikan. Hanya sekadar mendengar atas penilaian pihak lain.

Atau mungkin juga yang menuduh itu ingin mengambil kesempatan? Maklumlah tahun pemilihan. Mungkin boleh dijatuhkan orang-orang tertentu dan menangkan yang tertentu. Ingin jatuhkan Timbalan Presiden atau Ketua Dewan Muslimat? Atau cuba tunjuk kononnya ‘hero’ sanggup sanggah DAP.

Pengamal budaya ‘tuduhan melulu’ ni yang saya sebut sebagai “Islam tanpa akhlak”. Ianya jauh lebih teruk dari “Islam tanpa syariat”, yang kononnya diperjuangkan sebahagian pimpinan dalam PAS. Kononnya wujudnya golongan “Islam tanpa syariat” turut merupakan tuduhan melulu golongan “Islam tanpa akhlak”. Kalau akhlak yang asas pun tiada, jangan bersyarah mengenai syariat!

Dan mungkin juga nak capai matlamat PAS keluar PR dengan menanam kebencian terhadap DAP? Dan juga sekiranya boleh, terhadap PKR sekali! Kenapa tidak? Maka apabila PR berpecah PAS bersendirian, UMNO/BN berpesta keseronokan dan mungkin ada yang tumpang seronok sekali? Tidakkah mereka sedar bahawa melalui tuduhan “DAP anti-Islam” mereka menjadi bagaikan suara UMNO atau PERKASA dalam PAS? Mustahil tidak nampak implikasinya. Kecuali benar-benar buta politik!

KESIMPULAN

Sebenarnya keseluruhan teks ucapan LKS telah siap direkod, dicatit secara verbatim dan diviralkan. Videonya pun begitu. Masyarakat bermaklumat akan menilai sejauh mana kebenaran tuduhan sebahagian pimpinan PAS terhadap LKS. Jangan rosakkan imej PAS dan imej Islam oleh kerana mengejar matlamat politik murahan. Bersikap adil walaupun terhadap musuh, apatah lagi terhadap rakan persepakatan. Rakyat menilai dan lebih penting, Allah melihat dan tahu segala-galanya.

PAS selamat jika golongan tolol keluar? Siapa yang tolol sebenarnya?

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengakui terdapat bermacam-macam golongan di dalam parti itu, katanya, jika timbul perbezaan pendapat, mereka perlu bermesyuarat dan apabila keputusan dibuat, semua pihak mesti menerimanya supaya parti tidak berpecah, sambil melabelkan mereka yang berpecah itu sebagai golongan tolol.

Kenyataan ini bercanggah dengan tindakan beliau yang kebelakangan ini tidak menghormati banyak keputusan yang di buat di peringkat Jawatankuasa PAS Pusat sendiri. Contohnya seperti isu perlantikan Datin Sri Wan Azizah sebagai Menteri Besar Selangor yang beliau secara terang-terangan tidak bersetuju, bahkan mengkritik DSWA di luar mesyuarat. Sedangkan Mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat yang dipengerusikan beliau sebelum itu sebulat suara bersetuju melantik Datin Sri Wan Azizah (DSWA). Begitu juga dengan persetujuan yang di capai di muktamar-muktamar PAS yang lalu yang mahu memperkukuhkan PR. Di Muktamar PAS di Johor tahun lepas (2014) beliau telah menghentam dengan melabel dua orang ADUN PAS sebagai barua kerana bertindak menyokong DSWA untuk memperkukuh PR.

Mutakhir ini terutama setelah kematian Mursyidul Am PAS Tuan Guru Nik Aziz, tindakan-tindakan serta ucapan-ucapan pimpinan PAS terutama dari pimpinan Dewan Ulama dan beliau sendiri selaku Presiden telah membangkitkan semula hasrat ke arah mewujudkan kerajaan gabungan (UG) bersama UMNO. Selama ini PAS Pusat telah membuat ketetapan menolak saranan ke arah UG yang di anjurkan oleh Presiden PAS sendiri. Secara diam-diam selepas PRU 12 (2008) yang lalu beliau telah merintis kearah mewujudkan kerajaan gabungan PAS – UMNO di Perak dan Selangor, nasib baik usaha itu berjaya di gagalkan. Tindakan ini adalah merupakan suatu pengkhianatan kepada persefahaman yang di capai di dalam PR.

Dengan merujuk kepada senario-senario yang tersebut di atas, siapakah sebenarnya yang tolol di dalam PAS?

Komen asal oleh Admin Kejar.Org
Sumber asal: KiniTV, https://www.youtube.com/watch?t=176&v=P69rb-4D1pk

Harapan tinggi kepada PAS terhempas

pas pecahDemikian ramai pendukung PAS melihat dengan penuh kekecewaan akan wajah PAS masa kini. Ada yang sangat bimbang, malah marah.

Wajah parti Islam yang sudah berumur 61 tahun itu kelihatannya, tidak ceria, kusut masai, murung bagaikan pesakit kronik yang sukar sembuh dan penuh masalah yang tidak terselesaikan,

Sepatutnya parti itu dilihat teguh, meyakinkan kerana sudah begitu berpengalaman serta menempuh pelbagai cabaran yang hebat sepanjang sejarahnya.

Pendukung PAS berhak merasakan bimbang, kecewa, malah marah atas apa yang berlaku di dalam PAS yang akan bermuktamar ke-61 awal tahun depan. Mereka selama ini menggantungkan harapan tinggi kepada PAS sebagai sebuah parti politik Islam yang boleh membela ummah.

Malah golongan bukan Islam banyak memberi sokongan sejak Pilihan Raya Umum ke-12 dan 13 kerana konsep “PAS For All” yang didukung oleh PAS.

Tetapi kini, semua harapan mereka terhempas, justeru PAS dilanda krisis berat yang hingga kini belum ada sebarang usaha untuk memulihkannya. Konsep “PAS For All’ entah ke mana.

Dari jurang krisis itu tercetuslah label melabel, kata-kata seperti barua, Islam sekular, munafik haraki, malah syaitan serta umpat keji dan kata-kata kesat yang dahsyat

Ada pula tuduhan kononnya wujud golongan di dalam PAS yang berusaha untuk menyelewengkan dasar Islam, lari dari perjuangan asal PAS, konon hendak menjadikan PAS sebagai parti sekular dan pelbagai lagi tuduhan, malah fitnah yang tidak pernah kita fikirkan boleh tercetus di dalam jemaah PAS di mana pendukungnya melalui tarbiah – usrah, tamrin, mukhayyam, pelbagai kuliah mengenai pembentukan akhlak sejak puluhan tahun.

Ramai yang bertanya di mana menghilangnya nilai ukhuwah, persaudaraan Islam yang dibina sekian lama di dalam jemaah PAS yang selama ini menjadi nilai paling mulia di dalam warga PAS. Kini semuanya musnah. Ada ahli yang jujur menitiskan air mata mengenangkan hal ini.

Ada pihak yang mengumpamakan krisis di dalam PAS ini seperti kapal raksasa “Titanic British”, yang musnah di lautan Atlantik kerana terlanggar batu salji yang sangat besar ketika belayar di lautan itu.

Pembuat kapal itu dengan angkuhnya memberitahu, kononnya tidak ada satu pun makhluk di bumi ini yang boleh memusnahkan kapal hebat itu kerana ia dibina sedemikian rupa.

Kapten kapal itu pula, ketika dalam pelayaran, dengan angkuh tidak mahu mendengar nasihat beberapa pakar lautan di dalam kapal Titanic itu sendiri yang menasihatinya supaya mengubah laluan disebabkan laluan yang hendak ditempuh banyak batu besar salji yang sangat merbahaya, yang boleh memusnahkan kapal itu jika melanggarnya.

Akhirnya Titanic itu melanggar batu besar itu dan tenggelam, semuanya tidak dapat diselamatkan, termasuk ahli orkestra yang menghiburkan penumpang kapal itu.

Kini kapal Titanic yang hebat itu hanya menjadi sejarah. Tenggelam bersama keangkuhan manusia, kaptennya tidak mendengar nasihat dan menentang kehendak alam.

Jika krisis di dalam PAS ini tidak ditangani segera maka parti itu akan kehilangan haibah dan izzahnya sebagai parti Islam tersohor.

Perlulah dikenal pasti segera akan masalah yang ada di dalam PAS, Iaitu perpecahan yang dicetuskan oleh perbuatan label melabel, kata-kata seperti barua, Islam sekular, munafik haraki, malah syaitan serta umpat keji dan kata-kata nista yang sangat buruk, ditambah sikap berpuak-puak yang merebak hingga di peringkat cawangan dan kawasan.

Malah ada lagi fitnah besar yang menuduh konon ada golongan yang berpendapat bahawa ada pihak yang sanggup menggadaikan Islam demi “rakus” mengutamakan kemenangan terlebih dulu. Juga menuduh ada pihak yang berpendapat menang dulu, barulah kita fikir macam mana Islam. Ini sebuah kenyataan yang sangat naif.

Sejak bila golongan progresif di dalam PAS yang mereka musuhi ini hendak menyelewengkan dasar perjuangan PAS dan mengetepikan reda Allah. Ini tuduhan yang sangat dahsyat.

Apabila semua tuduhan ini hanya berdasarkan andaian, persepsi melulu dan tidak dapat dibuktikan maka ia menjadi fitnah dan inilah sumber utama yang menimbulkan krisis berat di dalam PAS.

Sikap golongan konservatif inilah yang menyebabkan tersingkirnya beberapa tokoh terbaik dalam PAS di mesyuarat PAS peringkat kawasan dan mungkin juga penyingkiran ini akan berlanjutan hingga ke pemilihan peringkat pusat di muktamar PAS awal Jun ini. Kemungkinan ini tidak mustahil.

Jika tokoh terbaik itu yang menunjukkan prestasi cemerlang mereka terhadap parti selama ini ditewaskan oleh golongan konservatif ini dalam pemilihan di muktamar nanti, maka apalah lagi yang tinggal di dalam PAS untuk melayari bahtera perjuangannya pada masa depan.

Yang tinggal di dalam PAS ketika itu hanya retorik, permusuhan, kebencian, mengumpul semakin ramai musuh, membuang kawan dan memandang sebelah mata akan golongan yang tidak sealiran dengan mereka dan mengucapkan selamat tinggal kepada Pakatan Rakyat. Berlegarlah PAS di sekitar kawasan Melayu dan kampung halamannya saja.

Kita ingin bertanya lagi sejak bila golongan yang dibenci ini menyeleweng dan tidak istiqamah dengan dasar perjuangan PAS. Pada hal terbukti dalam sejarahnya mereka yang dituduh inilah yang menabur bakti, berjuang dalam PAS dengan penuh istiqamah sejak zaman berzaman, pada ketika “ustaz muda” ini masih belajar di timur tengah.

Oleh itu, saya tertarik membaca buku “Melakar Agenda – Masa Depan Politik Islam di Malaysia” oleh Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa, yang menyebut mengenai simptom yang mencetuskan krisis berat di dalam PAS sekarang.

Antara lain, beliau menyebut bahawa kecelaruan sesetengah ahli PAS, khususnya yang baru mengenali erti organisasi dan perjuangan PAS, menimbulkan pelbagai kekecohan. Katanya, mereka mengangkat diri konon sebagai pejuang yang hendak mempertahankan PAS dari “unsur yang melarikan PAS jauh dari asalnya”.

Namun, katanya, selepas meneliti tindak tanduk mereka ini, khususnya yang pulang dari Mesir, serta menggelar diri mereka sebagai “ulama”, lebih banyak menimbulkan kekecohan dan kekeliruan daripada kejelasan.

Tindak tanduk mereka yang berlagak lebih tahu daripada kehendak roh dan semangat PAS itu sendiri, menyebabkan Dr Mujahid menulis buku tersebut untuk menjelaskan semula hasrat dan cita-cita PAS serta cuba memahamkan sikap dan kebijaksanaan parti terhadap pelbagai isu dalam kerangka negara berpandukan kepada semangat perlembagaan parti. – 12 Mei, 2015.

Pengarang: A Shukur Harun

Sumber: http://www.themalaysianinsider.com/opinion/a-shukur-harun/article/harapan-tinggi-kepada-pas-terhempas#sthash.NMUBarDe.dpuf

Hadi akui suka Najib diberi peluang

Hadi and NajibPresiden PAS berkata, beliau “suka” jika Datuk Seri Najib Razak dibiar menghabiskan tempoh mandatnya sebagai perdana menteri berbanding kecenderungan sesetengah pihak yang menuntut beliau meletak jawatan.

Bercakap kepada media di Kuala Terengganu hari ini, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata jika seseorang memiliki kelemahan, ia perlu dinyatakan dalam bentuk nasihat dan menyelesaikan masalah.

“Ya, saya suka (Najib) diberi peluang biar habis tempoh penggalnya,” katanya dipetik Harakahdaily.

Kata Ahli Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang itu, ketika BN dibebani dengan pelbagai masalah, PAS menyerahkan kepada rakyat untuk “menghukum parti pemerintah” kerana negara ini mengamalkan sistem demokrasi.

Tak mahu tuding jari

Kata Abdul Hadi semua perdana menteri sejak Tun Dr Mahathir Mohamad mempunyai masalah masing-masing.

Menurutnya, dia tidak mahu menuding jari kepada sesiapa.

“Biar rakyat menghukum parti, bukannya menghukum orang (individu),” katanya.

Sementara itu The Star Online melaporkan Abdul Hadi mahu Najib terus berkhidmat sebagai perdana menteri kerana beliau dipilih melalui sistem yang adil.

Katanya, Najib tidak harus tunduk pada tekanan dan harus diberi peluang menyelesaikan masalah dihadapi.

Abdul Hadi juga berkata Najib patut diberi peluang kedua untuk menghabiskan tugasnya sebagai pemimpin nombor satu negara sehingga cukup penggal perkhidmatan.

Anggota Parlimen Marang berkata tidak guna memberi tekanan kepada Najib susulan kontroversi sekitar 1MDB, syarikat pelaburan negara cetusan ilham perdana menteri.

Beliau juga dilaporkan berkata, memberi tekanan supaya Najib berundur tindakan memalukan kerana Malaysia mengamalkan sistem demokrasi.

Sumber: http://www.malaysiakini.com/news/298076

Darihal ulama dan walak dalam politik Islam

DinsmanSeolah-olah ia berlaku dalam sekelip mata. Sungguh memeranjatkan. Suatu perancangan yang rapi dan sangat efisien. Sesuatu yang tidak pernah diasosiasikan dengan gerakan Islam yang didominasi oleh golongan ulama dan diketuai juga oleh tokoh ulama.

Seolah-olah dalam sekelip mata cepatnya, tetapi tidaklah sekelip mata begitu – hanya untuk menggambarkan betapa cepatnya perubahan itu berlaku. Tiba-tiba saja, dan ia sudah merebak ke seluruhnya. Menunjukkan sebenarnya ia bukanlah satu perubahan yang baru terjadi secara tiba-tiba. Ia sebenarnya terjadi dengan cukup terancang. Belum pernah ia terjadi demikian dalam sejarah gerakan Islam yang kita kenal di negara ini.

Dan mereka mulai menyingkirkan golongan yang bukan ulama. Secara terang-terangan, secara agresif, melalui kempen yang diperhebat di seluruh negara. Tiga tahun lalu golongan ulama dan bukan ulama itu saling bergandingan bantu-membantu dalam satu sinergi yang sangat harmoni, dan serentak itu juga menarik golongan bukan Islam untuk turut serta membantu ke arah kemenangan tokoh-tokoh pimpinan Islam – ulama mahupun bukan ulama.

Kini segala-galanya sudah berubah. Tepatnya setelah berpindahnya Tok Guru Nik Aziz ke alam baqa, 12 Februari yang lalu. Rupa-rupanya mereka memang menunggu-nunggu saat itu, kerana selama ini adanya Nik Aziz itulah yang menghalang mereka daripada menzahirkan perancangan mereka itu.
Rupa-rupanya mereka memang sudah lama bergerak ke arah itu. Kalau kita masih ingat lagi langkah-langkah sumbang yang diusahakan oleh Hassan Ali dan Nasharuddin Md Isa itu. Kalau kita masih ingat lagi muktamar khas yang dipanggil Nik Aziz bagi membincangkan khusus isu tersebut.

Tentunya kita masih ingat episod sumbang dalam sejarah gerakan Islam di negara kita itu. Dan Nik Azizlah yang menjadi benteng mempertahankan kesucian Islam di dalam parti yang dikatakan dan dikenali sebagai parti Islam di negara kita itu.

Kini, ketiadaan Nik Aziz seorang – menyebabkan segala-galanya dalam pertubuhan “gerakan dakwah dan siasah” yang bernama PAS itu berubah, dan berubah dengan begitu drastik dan agresif sekali. Belum pernah ada hal yang demikian itu dalam sejarah agama mahupun politik di negara kita.

Saya katakan “segala-galanya” dalam gerakan yang bernama PAS itu berubah. Maksudnya ialah teras perjuangannya yang sangat penting, yang juga menjadi daya tarik utama mengapa golongan profesional dan bukan ulama serta bukan Islam, menjadi tertarik untuk menyertai atau menyokong PAS.

Soalnya ialah mengapa? Maksudnya mengapa golongan ulama itu tiba-tiba menjadi benci sangat kepada mereka yang bukan ulama, yang menjadi pemimpin peringkat pertengahan dan malah pemimpin nombor dua dan nombor tiga di dalam parti itu? Apakah kesalahan besar yang dilakukan tokoh pimpinan bukan ulama (tetapi) yang menerima kepemimpinan ulama dalam parti itu, hingga mereka perlu dan mesti disingkirkan?

Tidak pernah ada peristiwa yang menunjukkan tokoh pimpinan bukan ulama, ataupun mana-mana golongan bukan ulama dalam parti itu, menentang atau menolak dasar dan prinsip “kepemimpinan ulama”. Tidak pernah ada. Jadi apakah masalahnya? Dan apakah salahnya mereka?

Nampaknya tidak ada apa-apa salah mereka dan tidak ada apa-apa masalah pun. Kecuali satu! Ya, kecuali tokoh pimpinan golongan ulama itu hendak memilih untuk berpakat dengan Umno, dan berpisah dengan rakan dalam Pakatan Rakyat (PR), iaitu PKR dan DAP. Itu sajalah sebabnya.

Sudah beberapa kali mereka berusaha ke arah melaksanakan apa yang dipanggil Unity Government atau dikenali dengan sebutan UG itu. Sudah lama, dan sudah melalui 2 atau 3 muktamar tahunan yang menegaskan PAS tetap akan bersama dengan PR, dan jangan ada lagi cakap-cakap mengenai Unity Government.

Tetapi sekejap saja. Mereka hanya bersandiwara. Secara diam-diam, “di belakang tabir”, mereka terus menjalankan kempen mereka itu, tanpa mempedulikan keputusan dan arahan daripada muktamar tahunan berkenaan.

Dan secara diam-diam juga berlaku usaha memperkukuhkan hubungan mereka sesama golongan ulama, dan mereka yang taksub (walak) dengan pimpinan ulama. Tak mengapa walaupun mereka sendiri bukan ulama, asalkan walak’. Maka terdapatlah pemimpin peringkat pertengahan yang tiba-tiba sahaja bertukar uniform bertukar wajah menjadi ulama, sedangkan sebelumnya dia bukan ulama pun, dan tak ada latar belakang pendidikan agama yang melayakkan dia jadi ulama. Yang penting ialah walak.

Istilah walak pun – sebelum ini tidak pernah ia dijaja seperti sekarang dan setahun dua ini. Sekarang walak selalu benar disebut – seperti suatu istilah yang menjadi ciri utama yang ditekankan Islam dalam adab berjemaah.

Memang walak penting dalam adab berjemaah. Tetapi ia bukanlah sampai menjadi alat untuk mengekang jemaah daripada bersuara atau menyuarakan pandangan yang berbeza, hingga menimbulkan suasana kediktatoran dalam kepimpinan.

Ada semacam ‘ancaman’ dan ‘ugutan’ kepada ahli supaya memberikan taat setia yang tak berbelah bagi walau apa pun. Sampai ke peringkat mereka sanggup menganjurkan demonstrasi bagi menyatakan sokongan tak berbelah bagi itu, sambil membuat pelbagai tuduhan jahat bagi menjahatkan pihak dan individu pemimpin tertentu, yang dikatakan tidak walak kepada presiden.

Mengapa hal walak ini tidak pernah menjadi isu pada zaman kepemimpinan Ustaz Fadzil Nor Nik Aziz? Mengapa pada zaman Datuk Seri Abdul Hadi Awang walak menjadi isu penting? Ini perlu difikirkan!

Dan sehubungan dengan itu juga, hasil wujudnya golongan ulama dan bukan ulama itu, yang ditimbulkan golongan ulama (bukan ditimbulkan golongan bukan ulama), maka tersebarlah pula dengan meluasnya fenomena kata-mengata, umpat-mengumpat, tuduh-menuduh, fitnah-memfitnah secara berleluasa, di kalangan ahli parti. Dan ini sesuatu yang sangat pelik, kerana ia sangat bertentangan dengan asas dan dasar perjuangan Pas sendiri.

Kempen inisiatif golongan ulama muda di dalam parti itu menjadi suatu proses yang mahu mengeluarkan sebahagian daripada ahli partinya, termasuk beberapa pemimpin penting yang banyak berjasa kepada jemaah. Apakah tujuannya itu? Yang saya nampak tujuannya ialah supaya hanya orang golongan mereka saja yang berpeluang menjadi pemimpin, dan seterusnya berpeluang menikmati kuasa dan pelbagai nikmat kuasa itu, apabila menang nanti.

Apakah pandangan dan rumusan saya ini salah? Saya harap begitulah. Biarlah pandangan saya ini salah. Agar parti Islam yang pernah menjadi harapan saya dan ramai kawan saya itu masih mempunyai masa depannya yang cerah.

Namun, buat saat ini, hanya fikiran seperti di atas itulah yang dapat saya fikirkan. Ini adalah satu fenomena yang pelik, yang barangkali ia bukan inisiatif dalaman parti Islam itu sendiri. Ya, melihat pada cara dan proses ia berlaku, dengan begitu rapi terancang dan efisien, saya tidak percaya ia hanya kisah dan urusan dalaman saja.

Saya fikir ada cerita lain lagi di sebalik fenomena yang sangat pelik ini. – 9 Mei, 2015.

Pengarang: Dinsman
Sumber: http://www.themalaysianinsider.com/opinion/dinsman/article/darihal-ulama-dan-walak-dalam-politik-islam#sthash.Itingt0W.dpuf

Hadi ideolog agung PAS

amant_hadiGolongan progresif Islam akan gagal teruk dalam pemilihan parti PAS jika mereka tidak berani menegakkan alternatif kepada ideologi nasionalisme “Pan-Muslim Hadi Awang”.

Ramai pengkritik Datuk Seri Abdul Hadi Awang terutamanya mereka di luar parti dan golongan bukan Muslim melihat presiden PAS itu sebagai seorang pemimpin yang tidak matang, angkuh, destruktif, gilakan kuasa dan sebagainya, kerana PAS akan dibawa ke jalan buntu dengan gagasan “unity government” yang semakin nyata.

Saya tidak menolak analisa tentang bencana yang kemungkinan besar akan terjadi kepada PAS selepas Jun tetapi saya menolak penilaian kepimpinan Hadi semata-mata daripada strategi.

Selagi pengkritik dan pencabar Hadi tidak menyedari atau tidak bersedia untuk menghadapi hakikat ini, maka tipisnya peluang Hadi akan kalah atau berundur.

Strategi vs ideologi

Sememangnya Hadi bukan pengatur strategi agung. Tetapi, itu memangpun bukan peranan dan fungsi Hadi kepada PAS. Peranan atau fungsi Hadi dalam PAS ialah sebagai seorang pengatur ideologi atau ideolog (ideologue).

Strategi mementingkan perihal “bagaimana” manakala ideologi menjawab soalan “mengapa”. Ahli strategi merancang untuk kejayaan atau survival dalam kerangka pragmatisme manakala ideolog berfikir tentang makna kejayaan atau survival dalam kerangka purisme atau ketulenan.

Sebuah parti atau gerakan politik perlukan kedua-dua ahli strategi dan ideolog tetapi kepentingan ahli strategi dan ideolog berubah mengikut konteks.

Apabila sesebuah parti sedang mengembang, penuh keyakinan dan sedang membuka sempadan baru (new frontier) seperti ditugaskan untuk membangunkan ekonomi kerana sudah berkuasa atau beria-ia ingin berkuasa, maka ia akan lebih mementingkan pragmatisme dan mengikut ahli strategi.

Sebaliknya, apabila sesebuah parti itu menjadi teragak-agak tentang masa depannya (tidak pasti dengan kejayaan dan juga tidak pasti dengan kegagalan), rasa jati dirinya menjadi persoalan atau rasa terkepung, maka ia cenderung untuk lebih mementingkan purism dan mengikut ideolog.

Dalam pragmatisme, parti mencari jalan keluar. Dalam purisme (ketulenan), parti ingin kembali ke pangkal jalan.

Daripada apa yang saya perhatikan sebagai seorang luar yang sudah tentu kekurangan pengetahuan mendalam dan dengan hati yang rendah sedia diperbetulkan, lebih daripada pertembungan personaliti, pemilihan parti PAS yang akan datang ini adalah pertembungan antara purisme dan pragmatisme.

Pertembungan ini hampir pasti akan berakhir dengan kemenangan mutlak kepada purisme kerana kepedulian akar-umbi PAS lebih kepada “makna” perjuangan parti (soalan “mengapa”) daripada “prospek”nya (soalan “bagaimana”).

Semakin kuat suara golongan progresif membincangkan bahayanya kalau PAS keluar daripada Pakatan Rakyat (PR), maka semakin kuatlah sokongan hujah golongan konservatif PAS tidak boleh menggadaikan perjuangannya kerana semata-mata ingin kekal dalam PR.

Dalam kerangka purisme, tidak perlu fikir lagi kalau pilihan adalah di antara “pilihan raya akan datang” dan “akhirat”. Dan segala bencana yang menimpa kerana mementingkan akhirat menjadi dugaan dan ujian kepada ketekadan dan ketakwaan.

“Dunia dikejar, akhirat akan lari. Akhirat dikejar, dunia akan mari.”

Golongan progresif tidak ada peluang untuk menang kecuali perjuangan mereka untuk kekalkan kerjasama dalam PR itu boleh diungkapkan dalam bukan saja bahasa pragmatisme (demi pilihan raya akan datang) tetapi juga bahasa purisme (demi akhirat).

Islamisme sejagat vs nasionalisme Pan-Muslim

Ini sebenarnya soalan besar tentang “asas kewujudan” (raison d’etre) PAS.

Pesaing agung PAS, Umno, memerintah atas nama kepentingan orang Melayu.

Mengikut logik ini, Umno mesti memonopoli sokongan orang Melayu kerana kewujudan pelbagai parti bermaksud perpecahan politik orang Melayu yang akan diambil kesempatan oleh orang bukan Melayu. (Ini adalah asas ideologi untuk segala gagasan “unity government” yang menyatupadukan orang Melayu.)

Dalam kata lain, kewujudan mana-mana parti pembangkang yang berasaskan undi Melayu itu adalah merugikan orang Melayu.

PAS mencabar politik monopoli Umno itu dengan ideologi yang lain dalam era yang lain. Pada zaman Dr Burhanuddin Al-Helmy, PAS menolak Umno kerana ia pro-kapitalis dan pro-imperialis.

Pada masa zaman Asri Muda (ketika tidak dalam Barisan Nasional), PAS menolak Umno kerana ia tidak cukup etno-nasionalis dalam membantu orang Melayu.

Kebangkitan kepimpinan ulama dalam PAS pada 1982 membawa asas ideologi baru untuk menolak politik monopoli Umno: Islamisme.

Umno ditolak kerana ia mengamalkan fikiran assabiyah (perkauman). Tetapi apa yang bermaksud dengan “tidak assabiyah”?

Satu tafsiran ialah Islam untuk semua termasuk yang golongan bukan Muslim.

Apabila Islam diangkat, maka segala penganiayaan dan ketidakadilan akan dihapuskan. Dalam kata lain, dalam erti hak dan kebajikan, rakyat tidak harus didiskriminasikan, bukan saja tidak harus mengikut kaum, juga tidak harus mengikut agama.

Ini membawa kepada negara yang “tidak memihak” (impartial) dan kewarganegaraan yang sama rata, seperti di negara-negara liberal demokratik di Barat, Asia Timur dan Latin Amerika. Islam menyediakan asas untuk kesejagatan.

Tafsiran kedua ialah orang Islam harus meninggalkan ketaksuban kepada identiti etnis masing-masing dan angkat saja identiti Islam. Ini membawa kesamarataan antara semua orang Islam tetapi tidak kesamarataan di antara orang Islam dan orang bukan Islam.

Orang bukan Islam mungkin dilayan baik tetapi tidak boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan orang Islam. Kedudukan mereka mungkin adalah seperti “golongan dhimmi” iaitu golongan bukan Muslim yang bernaung di bawah atau menerima pemerintahan Islam selepas ditakluki.

Negara bersifat “memihak” (partial) dan warganegara tidak sama rata mengikut status agama.

Dilihat secara kritis, tafsiran kedua ini sebenarnya tidak menghapuskan fahaman “assabiyah” sepenuhnya tetapi cuma menggantikan asas assabiyahnya daripada “Melayu” kepada “Muslim”.

Untuk memudahkan perbincangan kita, kedua-dua jenis tafsiran ini mungkin boleh dilabelkan sebagai “Islamisme sejagat” dan “Nasionalisme Pan-Muslim”.

Amanat Hadi dan konsistensi politik Hadi

“Nasionalisme Pan-Muslim” ini cukup kuat tarikannya kepada orang Islam di Malaysia dalam dua konteks sejarah yang melihat Kuasa Islam ditewaskan.

Di peringkat dunia, ramai orang Islam masih rasa “trauma” kejatuhan Empayar Ottoman, kerajaan Khalifah terakhir dalam Perang Dunia Pertama yang bakal digantikan dengan negara-negara bangsa (nation-states) di bekas wilayahnya apabila penjajahan British, Perancis dan Itali berakhir.

Turki baru di bawah Kemal Ataturk menghampakan ramai orang Islam kerana ia bukan saja menghapuskan institusi Khalifah itu secara rasminya dihapuskan pada 1924 dan menafikan umat Islam sedunia simbol perpaduan politik mereka, tetapi juga mengamalkan sekularisme “keras” yang menekan amalan beragama.

Apa yang lebih menghampakan umat Islam ialah negara-negara bangsa yang menggantikan Empayar Ottoman dari Turki, Mesir, Jordan, Syria, Iraq sampai ke Saudi Arabia, sama ada yang sekular atau Islamis, tiada yang berjaya menandingi kekuatan empayar-empayar Islam pada zaman silam.

Penaklukan bumi Palestin oleh Israel adalah pengingatan yang pahit dan sentiasa membara api nasionalisme Pan-Muslim.

Dalam negara sendiri, ramai orang Melayu yang rasa hampa atau marah dengan kemunduran kaum sendiri dalam kedudukan sosio-ekonomi sungguhpun Dasar Ekonomi Baru bermula sejak 1971, menolak kewujudan masyarakat majmuk dan melihatnya sebagai peninggalan penjajahan Barat yang bermula pada 1511 dengan kejatuhan Kesultanan Melaka.

Daripada kaca nasionalisme ini, sekularisme seterusnya dilihat sebagai konsesi kepada golongan minoriti atau golongan ateis, dan bukan kepada perlindungan kebebasan agama yang akan memanfaatkan golongan majoriti.

Apabila pandangan dunia diwarnai oleh dua ketewasan kuasa Muslim ini, maka pengangkatan Islam mudah dimaksudkan dengan pengembalian kepada oder politik dan socio-ekonomi pra-penjajahan mengikut imaginasi masing-masing.

Ini sebabnya saya kira Hadi sebagai seorang ideolog agung untuk PAS.

Lihatlah “Amanat Hadi” yang dilahirkan pada 1981, kurang dibincangkan sekarang tetapi berpengaruh sekali dulunya:

“Kita menentang Umno, bukan kerana nama dia Umno. Kita menentang BN bukan kerana dia lama memerintah kerajaan. Kita menentang dia ialah kerana dia mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliah. Oleh kerana itulah kita menentang mereka. Oleh kerana itulah kita menghadapi mereka. Oleh itulah kita cuba berlawan dengan mereka.

Percayalah saudara-saudara sekalian,

Perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad. Bergantunglah kita kepada Allah dengan (menghadapi) puak-puak ini kerana kalau kita mati melawan puak-puak ini, mati kita adalah syahid. Mati kita adalah Islam. Kita tidak perlu masuk Buddha, Kita tidak perlu masuk Hindu, Kita tidak perlu masuk Kristian, Tapi kita menjadi kafir dengan mengamalkan ‘politik suku, agama suku’.”

Amanat ini bukan saja membawa kepada pendalaman identifikasi parti ahli-ahli PAS sehingga berlakunya amalan “kafir-mengkafir” antara orang PAS dan orang Umno, tetapi lebih penting lagi, ia menggariskan arah perjuangan untuk “politik pemulihan” (politics of restoration) untuk PAS.

Perjuangan muktamad PAS digariskan sebagai menolak “perlembagaan penjajah, undang-undang kafir, peraturan jahiliah” demi memulihkan oder pra-penjajahan yang diertikan dengan keagungan kuasa Islam.

Ini membawa kepada penekanan kepada negara Islam sehingga ketewasan teruknya PRU 2004 dan sekarang gelombang ketiga untuk melaksanakan hukum jenayah Syariah di Kelantan.

Dari segi ini, politik Hadi sebenarnya agak konsisten. Kalau dulunya PAS menolak Umno dan BN kerana mereka mengekalkan perlembagaan penjajah dan undang-undang kafir, tidak patutkah PAS bekerjasama dengan Umno jika Umno sekarang sudi menggantikan undang-undang kafir dengan undang-undang syariah?

Di mana Rashid al-Ghannushi PAS?

Hadi tidak mungkin ditewaskan dengan pragmatise. Golongan progresif PAS cuma ada peluang untuk menerajui parti itu jika mereka dapat mengemukakan doktrin baru yang dapat “meluputkan” nasionalisme Pan-Muslim yang diungkapkan dalam “Amanat Hadi” itu.

Daripada analisa pilihan raya berapa kerusi PAS akan kekal jika keluar PR, golongan progresif PAS lebih memerlukan suatu wacana baru yang benar-benar menyatukan Islamisme dengan demokrasi, yang secara jujur menerima kewujudan negara bangsa yang majmuk dan memperjuangkan Islam dalam kerangka ini, dan secara beraninya menolak politik pemulihan dan ketaksuban imaginasi pra-penjajahan.

Dalam kata lain, PAS perlukan seorang atau sekumpulan pemikir yang berupaya berdiri tegak seperti Rashid al-Ghannushi, perdana menteri Islamis di Tunsia yang meluluskan perlembagaan sekular dan menjadikan Tunisia satu-satunya negara yang menjadi lebih maju dan stabil selepas Musim Bunga Arab.

Persoalannya, wujudkah tokoh seperti Rashid al-Ghannushi dalam PAS? – 10 Mei, 2015.

Pengarang: Wong Chin Huat, Penang Institute.

Sumber: http://www.themalaysianinsider.com/opinion/wong-chin-huat/article/hadi-ideolog-agung-pas#sthash.Tu6Qg3oq.dpuf

Kenapa Ustaz Ahmad Awang dicalonkan

Ust Ahmad AwangRamai orang menyangka Ustas Ahmad Awang (UAA) sudah bersara, atau dah pencen daripada PAS apabila beliau pada Muktamar 2009, telah menolak pencalonan bagi sebarang jawatan parti, samada sebagai Naib Presiden maupun AJK Pusat biasa.

Malah, beliau secara baik telah menolak pelawaan presiden sendiri, Hj Hadi supaya beliau kekal sebagai PJ sepenggal lagi untuk berhadapan PRU 13.

Alasan UAA adalah kerana untuk memberi tumpuan mahu membina rumah anak yatim dan membina Maad Tahfiz Quran di tanah pusaka allahyarham ayahanda beliau di Semanggol. Disamping pada ketika itu beliau telah membina Pusat Markaz Dakwah yang diberkan nama Balai Kuliah Tasawwur Islam.

Jawatan terakhir UAA di peringkat pusat adalah sebagai salah seorang Naib Presiden Parti dan di peringkat negeri selaku Pesuruhjaya untuk selama 5 penggal.

Semasa kepimpinannya di Perak, beliau telah menggabungkan antara aktivis dan ulama’ atau ugamawan dan golongan professional. Beliau melantik timbalan satu dari kalangan ugamawan dan yang dua lagi dari kalangan professional.

Dan pada PRU 13, PAS telah berjaya memenangi 6 DUN hasil kerjasama bersepadu dua golongan tersebut ditambah dengan suasana dan keadaan ketika itu.

Beliau amat disenangi oleh rakan-rakan tahalluf siyasi, DAP dan PKR kerana keberanian dan ketegasan dalam mendokong Pakatan Rakyat. Beliau telah menolak tawaran bekerjasama dengan Umno/BN di Perak walaupun telah diminta berbuat demikian oleh pimpinan tinggi parti.

Tawaran jawatan sebagai MB dan 5 exco kepada PAS bukan mudah untuk diketepikan begitu sahaja.Tetapi kerana memikirkan demi perjuangan PAS di masa hadapan, tawaran tersebut telah ditolak oleh UAA.

Beliau tidak sanggup mengkhianati kehendak rakyat yang telah menolak Umno dan memilih wakil dari PAS. Betapa tiba-tiba bila dah menang, PAS buat u-turn pula untuk bersama dengan Umno!

Tentu rakyat akan membenci pegkhianatan yang sebegitu dan akan terus hilang kepercayaan kepada PAS di masa yang mendatang.

Lahirnya Kerajaan Pakatan Rakyat di Perak adalah berkat usaha dan ketegasan UAA dan beberapa lagi rakan yang melalui satu mesyuarat pada malam 08 Mac 2008 kira-kira jam 2.00 pagi telah membuat persetujuan untuk membentuk kerajaan gabungan bersama dua parti lain iaitu PKR dan DAP.

Itulah nostalgia yang kekal ada kepada kita semua, apatah lagi kepada UAA sendiri yang merupakan peneraju utama yang sekali gus telah menggagalkan gagasan UG untuk bersama Umno!

Keputusan yang telah diambil itu telah meletakan PAS dipersada politik Negara dimana PAS apabila berada dalam Pakatan Rakyat, maka ia tidak lagi hanya untuk orang-orang Melayu Islam, bukan hanya untuk orang di Pantai Timur tetapi ianya telah bersama parti lain di Pantai Barat bahkan di Sarawak dan Sabah.

Terus aktif di barisan belakang

Walaupun setelah sekian lama UAA tidak kelihatan dibarisan hadapan kepimpinan PAS, beliau tidak pernah ketinggalan dengan gerak kerja parti.

Beliau tetap turun bersama ke jalanraya. Samada Bersih 1 dan 3 atau mana-mana demonstrasi. Beliau juga turut terlibat dengan beberapa pilihanraya kecil kecuali di Cempaka dan Kelantan mutakhir ini kerana berada di tempat lain.

Jadi adalah tidak benar kalau ada tanggapan yang mengatakan UAA telah bersara di arena politik tanah air.

Namun kini UAA seolah-olah membuat ‘comeback’ apabila beliau mula vocal menyampaikan pandangan atau kritikan terhadap corak perjalanan PAS dan hadir dlm beberapa acara-acara penting politik tanah air saperti penamaan calon di Rompin, sewaktu majlis pengurusan jenazah ayah aktivis muda Adam Adli, kemudian yang terakhir bersama Demo bantah GST.

UAA ternyata kritikal dan kurang senang dengan perkembangan PAS mutakhir ini. Beliau telah menjelaskan pandangan beliau mengenai apa yang tidak betul mengenai pembawaan PAS hari ini.

Mengulas persoalan tersebut, UAA menyatakan beliau tidak berada di pentas mainstream parti adalah kerana sudah tidak memegang sebarang jawatan.

Beliau menjelaskan tetap masih bersama dgn PAS kerana rasa sayangnya terhadap PAS yang telah diceburinya sejak di peringkat sekolah lagi. Sebab itu beliau tetap bersama walaupun kini hanya berada di barisan belakang.

“Dalam perang Uhud pun Nabi pernah berpesan dan memastikan supaya pasukan pemanah dibahagian belakang mengawal supaya tidak ada musuh menyerang dari belakang bukit. Jadi tidak semua mesti di depan.” kata UAA.

Mengulas mengenai kemunculannya di majlis pengkebumian almarhum ayah kepada aktivis Adam Adli, UAA berkata itu adalah secara kebetulan.Oleh kerana penglibatannya yang berterusan, bila berada untuk PRK Permatang Pauh, walaupun calonnya dari PKR, beliau pergi ke sana atas semangat mendokong perjuangan Pakatan Rakyat.

Kebetulan pula ayah aktivis Adam Adli kemalangan dan meninggal dunia lalu beliau pergi untuk menziarahinya. Kehadirannya telah diambil kesempatan oleh wartawan-wartawan yang ada di situ lalu keluarlah gambar dan berita AAU dan dikaitkan pula dengan pencalonan beliau sebagai pencabar jawatan Presiden!

Kenapa UAA dicalonkan

Tetapi persoalannya ialah kenapa pula UAA dicalonkan untuk mencabar presiden? Mungkin kerana sosok tubuh UAA ini dilihat begitu kental dan anjal dengan perjuangan Pakatan Rakyat sebagaimana yang pernah sejarah Perak merakamkannya.

Apabila dilihat kecelaruan kepimpinan PAS yang semakin menggugat kewujudan Pakatan Rakyat, ramai yang mula mencari-cari seorang tokoh yang setanding untuk menggantikan presiden yang dilihat semakin kurang berkemampuan untuk menyelesaikan kekalutan dalaman parti hingga menggugat kestabilan Pakata Rakyat itu sendiri.

Diakhir-akhir kepimpinan Hj Hadi ini, penyokong dan pendokong parti melihat pengaruh PAS semakin merosot. PAS tercicir bukan sahaja di Perak, malah di Selangor, Kedah, Terengganu dan kedudukannya di Kelantan juga turut tergugat.

Ramai yang menganggap Hj Hadi cuba mempengaruhi hala tuju parti untuk bekerjasama dengan Umno/BN walaupun beliau cuba menafikannya. Namun komitmen Hj Hadi terhadap gerakerja Pakatan Rakyat yang tidak sepenuhnya menyebabkan ramai yang ragu-ragu dan tidak percayakannya lagi. Tambahan pula dengan U-Turn yang sering beliau lakukan sewaktu krisis MB Selangor.

Mereka yakin, UAA adalah satu-satunya tokoh yang mampu meletakan PAS dipersada politik tanah air semula sebagaimana yang pernah beliau lakukan di Perak sedikit masa lalu.Hanya UAA sahaja yang merupakan tokoh PAS yang berani membuat kenyataan-kenyataan yang tegas dan vocal dan kritikal terhadap kepimpinan PAS yang ada kini.

Ini mengingatkan kita kembali ketika beliau berkhidmat dalam kerajaan, beliau begitu vocal bercakap mengenai Islam dan memang selari dengan apa yang diperjuangkan oleh PAS ketika itu.

” Pada setiap bulan, pihak SB dari Bukit Aman mesti datang menemui saya di tempat saya bertugas ketika itu, di Jabatan Perdana Menteri,” ujar UAA, lantaran kelantangannya mengkritik kerajaan.

Ketika beliau memimpin Persatuan Ulama Malaysia (PUM), yang juga merupakan sayap kepada PAS, beliau sering berhadapan dengan Perdana Menteri ketika itu Dr Mahathir kerana Dr Mahathir merupakan pengkritik kuat PUM.

Kalau Mahathir yang begitu gagah dan ada kuasa sekali pun beliau berani hadapi, apalah sangat dengan Hj Hadi yang diajak untuk berdebat pun tidak berani!

Pengarang: Al Husseyn
Sumber: http://alhusseyn51.blogspot.com/

Bila Pakatan Rakyat Menang PRU – Satu Telahan

Sketsa Politik Malaya oleh Mat Jebon 007, penulis tamu Kejar.Org.

PAS & PRAkhirnya, selepas lama berjuang menentang BN, Pakatan Rakyat berjaya memenangi PRU ke 14. Susuana meriah muncul di seluruh negara. Ada yang bertakbir, ada yang menari-nari dan ada yang menangis. Ada pemimpin BN yang telah meninggalkan negara sebelum keputusan PRU ke 14 selesai diumumkan. Pegawai-pegawai kanan kerajaan yang sebelum ini menjadi instrumen penindasan ke atas pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat pun telah meninggalkan negara. Media massa mula beralih nada. TV3 mengumumkan bersyukur peralihan kuas berlaku dengan aman.

Namun, pada keesokan harinya suasana meriah berubah menjadi buntu. Pakatan Rakyat masih tidak dapat memutuskan siapa yang patut dilantik menjadi Perdana Menteri. Cadangan melantik Tengku Razaleigh Hamzah ditolak oleh PKR dan DAP. Rundingan menjadi tegang dengan pemimpin-pemimpin muda PR saling mengecam dan mengugut sesama sendiri. Walau pun ada ingin melihat Presiden PAS menjadi Perdana Menteri, saranan itu disambut dingin. Masih ramai yang tidak dapat melupakan kegagalannya pertahankan Terenggau yang dimenang PAS pada pilihanraya 1999. Demikian juga, kegagalannya menyelesaikan kemelut politik PAS Kedah sehingga menyebabkan Kedah kembali kepada BN meninggalkan parut yang mendalam. Tindak-tanduk dan sikap bebalnya semasa krisis MB Selangor juga membuatkan orang lain mencurigai semangat setiakawannya.

Walau pun PAS telah menjuarai pelaksanaan hudud, undang-undang berkenaan masih tidak dapat dilaksanakan. Usul bil persendirian yang dibawa Presiden PAS ke Parlimen berkali-kali ditangguh dan akhirnya lupus. Akhirnya, pergeseran yang berlaku di kalangan sesama PR dalam isu ini hanya merenggangkan hubungan di antara sesama PR. Walaupun nyata isu hudud sebenarnya muslihat UMNO untuk memecah-belahkan PR, Presiden PAS tidak dapat mengakuinya.

Selepas 5 hari berunding dan tiada penyelesaian dicapai, suasana semakin tegang. Ugut-mengugut dan ancaman semakin menjadi-jadi. Pemimpin-pemimpin gerakan Islam dari luar negara berusaha menasihati Presiden PAS supaya bertolak ansur. Mereka sedar ini bukan mudah dilakukan. Mereka pernah cuba menasihati beliau supaya tidak mengenengahkan isu hudud ketika bertemunya di Multaqa Ulama yang diadakan di Rhusila pada tahun 2015. Dia telah menolak nasihat mereka ketika itu.

Pada hari ketujuh masih tiada penyelesaian. Parlimen telah diarah bersidang pada hari kelapan selepas keputusan PRU keluar. Walau pun BN merupakan pihak minoriti di Parlimen ketika itu, pemimpin BN berjaya dilantik sebagai Perdana Menteri. Presiden PAS dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Wakil rakyat PAS bagi Pasir Mas dilantik sebagai Timbalan Menteri Kewangan menggantikan Ahmad Maslan. Murshid Am PAS dilantik sebagai duta ke Arab Saudi. Calon PAS untuk Parlimen Temerloh telah tewas tetapi telah dilantik menjadi senator dan seterusnya sebagai Timbalan Menteri Pelancongan. Menteri Pelancongan pula ialah Ketua Wanita MCA.

Sebulan selepas kabinet baru mengangkat sumpah, timbalan menteri kewangan baru mengumumkan GST dinaikkan ke 10 peratus. Peruntukan untuk pinjaman PTPN dikurangkan lagi. Menteri di Jabatan Perdana Menteri mengumumkan Isra Mikraj akan dijadikan cuti umum kebangsaan. Pakatan Rakyat sudah terungkai dan Barisan Nasional semakin kukuh. Rasuah dan pembaziran berterusan. Kadar penceraian, jangkitan AIDS dan penagihan dadah di kalangan orang Melayu terus meningkat dan kadar peningkatan paling tinggi ialah di Kelantan. Hudud hanya tinggal pindaan enakmen di atas kertas. Kejayaan kerajaan Kelantan meminda undang-undang negeri untuk membolehkan pelaksanaan hudud hanya ibarat menang sorak kampong tergadai.

Haji Hadi Awang dan UG

Umno-PasSetelah meneliti apa yang berlaku kepada Pas pada ketika ini, maka satu kesimpulan yang dapat kita buat ialah jelas apa yang ditulis oleh fanatik UG sangat dangkal dan tidak bersandarkan kepada fakta yang hakiki.

Mungkin mereka terlupa barangkali ataupun sengaja buat-buat lupa apabila penyokong UG secara konsisten mempertikaikan kewujudan UG serta menafikan bahawa ada segerombolan pemimpin-pemimpin Pas termasuk Presiden Pas sendiri yang mewujudkan terma UG ini.

Kerajaan Perpaduan atau pun UG (Unity Government) ini sebenarnya datang daripada idea Presiden Pas sendiri bukannya daripada idea Presiden UMNO mahu pun daripada kepala otak Mat Sabu mahupun daripada mana-mana pemimpin Pas yang keras terhadap Umno.

Hj Hadi Awang yang menawarkan konsep UG kepada UMNO dan cuba di yakinkan keperluannya kepada ahli/penyokong Pas. Itu fakta hakiki yang boleh kalian selidiki sendiri.

Beliau menawarkan konsep UG kepada UMNO setelah tersebarnya kabinet bayangan Anwar seandainya ‘Projek 16 Sept’ dulu menjadi kenyataan. Jelas dalam kabinet bayangan Anwar itu merunsingkan Hj Hadi Awang dan pemimpin UG.

Setelah idea UG dengan UMNO ditentang hebat oleh sebahagian besar ahli Pas terutamanya Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Hj Hadi Awang mula rasa tercabar serta hilang pengaruh lalu membuatkan beliau dan gerombolannya merasakan kedudukan mereka di dalam hirarki parti makin terancam.

Mulai saat itu, Hj Hadi Awang dan gerombolannya mula melancarkan perang dingin terhadap pemimpin Pas yang menentang dan menghentam idea UGnya itu.

Malah sikap Hj Hadi Awang terhadap Pakatan Rakyat (PR) juga semakin dingin dan kerap kali ponteng mesyuarat PR. Ini juga adalah fakta yang puak taasub UG lupa atau juga pura-pura buat lupa.

Satu lagi fakta yang harus tidak dilupakan, memang ada pertemuan-pertemuan sulit di antara gerombolan Hj Hadi Awang dengan pemimpin UMNO tanpa diketahui oleh ahli-ahli Pas yang lain seperti yang pernah di dedahkan oleh Tun Ahmad Badawi dan Nasaruddin Md Isa.

Kenapa ada pertemuan sulit dengan UMNO.? Ia adalah susulan daripada pembentangan kertas kerja di dalam MSU yang di bentangkan oleh Harun Din keperluan bertTahaluf Siyasi dengan Umno untuk saling melengkapi antara satu sama lain kerana Islam itu Melayu dan Melayu itu Islam. Sila rujuk pendedahan yang di buat Nasaruddin Md Isa.

Dalam kes ini kalian tidak boleh salahkan UMNO semata-mata. Bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi kerana yang tampil memberi idea UG ini adalah Presiden Pas sendiri bukannya daripada UMNO.

UMNO memang terdesak untuk berbaik-baik dengan Pas selepas menyedari hakikat sebenar realiti politik Malaysia kini berpihak kepada PR. Hayat serta masa depan Umno perlu di jaga.

Setelah berlakunya Tsunami politik pada PRU 12 dulu, UMNO mula menyedari yang mereka sebenarnya telah kehilangan undi dari pengundi Cina. Timbullah alasan dongeng dari pimpinan Umno bahawa kuasa politik Melayu Islam yang kian terhakis selepas PRU12.

Hasrat Hj Hadi Awang bagaikan orang yang mengantuk di sorongkan bantal kepada UMNO untuk terus menyambut baik idea UG daripada Presiden Pas itu.

Kini timbul pula hujah dangkal pimpinan UG agar ahli Pas bersikap tidak melarang atau menegur pemimpin hanya disebabkan pemimpin tersebut telah dilabelkan sebagai Ustaz ataupun Ulama. Kesemua elemen ini adalah sikap yang amat menjengkelkan dan boleh menyebabkan parti itu berada di dalam keadaan koma(tidak sedar) sepanjang masa.

Ustaz mahupun Ulama bukannya maksum atau bebas daripada sebarang kekhilafan dalam percaturan. Apatah lagi percaturan didalam politik. Hebat atau cemerlang di dalam bidang agama tidak semestinya cemerlang di dalam pentadbiran dan politik.

Oleh kerana itulah Islam turut mengiktiraf golongan UMARA’ bukan hanya mengiktiraf golongan Ulama semata-mata. Larangan menegur pemimpin yang alpa serta salah percaturan kerana alasan beliau adalah Ustaz dan Ulama amat dangkal. Maka lama kelamaan parti itu akan menjadi semakin lemah.

Apa yang jelas pada pandangan pemerhati politik, Hj Hadi Awang wajar berundur daripada jawatan Presiden untuk memberi laluan kepada muka baru yang lebih progresif seandainya Pas mahu menjadi parti yang dominan di dalam lanskap politik Malaysia.

Mengekalkan Hj Hadi Awang sebagai Presiden hanya akan menyebabkan Pas terus berkecamuk berantakan di dalam Pas mahupun di dalam Pakatan Rakyat.

TENTUNYA INILAH YANG UMNO MAHUKAN..!

Pengarang: Rakyat Bangkit (Akaun Facebook)
Sumber: https://www.facebook.com/permalink.php?story_fbid=353725534751949&id=202030633254774&substory_index=0