Hudud bukan alasan untuk berpecah belah

Oleh: Zairil Khir Johari

Pada Sabtu, 30 Mei 2015, Penang Institute menganjurkan forum peringatan bagi mengenang jasa dan legasi seorang tokoh besar dalam politik Malaysia, Allahyarham Datuk Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, atau lebih dikenali dengan panggilan Tok Guru.

Forum yang bertempat di The Light Hotel, Seberang Jaya ini menampilkan MP Kluang YB Liew Chin Tong, MP Parit Buntar Datuk Mujahid Yusoff Rawa dan Nik Omar Nik Abdul Aziz, pengetua Maahad Darul Anuar dan juga anakanda kepada Tok Guru. Forum telah dikendalikan oleh saya selaku moderator.

Topik yang diwacanakan dalam forum itu adalah ‘Islam dan kepelbagaian’ dan perbincangan malam itu telah mengupas dengan lebih mendalam keperibadian Tok Guru.

Ia scara khususnya membincangkan berkenaan persoalan hubungan kaum dan agama serta hubungan parti politik dalam dan luar Pakatan Rakyat.

Tok Guru di akhir hayatnya tidak meninggalkan apa-apa wasiat khusus, baik kepada ahli keluarga atau parti politik yang pernah dipimpinnya, mahupun rakyat secara keseluruhan.

Sebagaimana yang ditegaskan oleh Nik Omar, wasiat yang ditinggalkan oleh Tok Guru adalah keseluruhan kehidupan dan perjuangannya, dan hal ini perlu diteladani oleh semua pihak.

Sifat istiqamah yang ada pada diri Tok Guru merupakan iktibar yang penting untuk dicontohi dalam sesebuah perjuangan.

Pendirian Tok Guru dalam dalam isu penting seperti isu pelaksanaan hukum hudud, royalti minyak Kelantan dan kebebasan media, sangat jelas.

Allahyarham tidak pernah menukar pendiriannya.

Selain dakwah agama, Tok Guru juga penuh beristiqamah dalam perjuangan politik, khususnya melalui Pakatan Rakyat yang dianggap sangat penting kepadanya.

Malah, Nik Omar telah menceritakan bahawa ketika Tok Guru terlantar di hospital pada akhir hayatnya, sayangnya terhadap Pakatan Rakyat masih kukuh.

Menurut Nik Omar, Tok Guru amat menitikberatkan Pakatan Rakyat sebagai wadah yang paling sesuai untuk mencapai objektif politik Pas serta membawa keharmonian dan kesejahteraan kepada rakyat dan negara.

Walaupun setiap parti mempunyai pendirian yang berbeza dalam sesetengah isu, namun matlamat bersama lebih banyak dan harus menjadi dasar kerjasama.

Begitulah besarnya kecintaan Tok Guru terhadap hubungan parti-parti politik dalam Pakatan Rakyat yang telah terjalin lama.

Kesederhanaan pemikiran Tok Guru dapat dilihat dengan jelas dalam isu perlaksanaan hukum hudud di negeri Kelantan. Sebagai seorang pemimpin politik dan agama, Tok Guru memiliki pandangan bahawa undang-undang syariah adalah sebahagian daripada Islam.

Allahyarham berpendirian bahawa undang-undang itu perlu dilasanakan sebagai salah satu kaedah dalam menangani masalah jenayah yang makin berleluasa.

Rang Undang-Undang Hudud telah dibentang dan diluluskan di Dewan Undangan Negeri Kelantan sejak tahun 1993 walau bagaimanapun tidak dapat dilaksanakan berikutan terdapatnya halangan teknikal.

Namun demikian, Tok Guru jelas sekali tidak mengambil sikap berkeras dalam hal ini. Sebaliknya jelas Nik Omar, Tok Guru lebih gemar mengambil sikap “menerangkan” daripada mengambil sikap “menyerang.”

Untuk menyelesaikan permasalahan seputar persoalan hudud ini, maka perlunya kepada perbincangan dan dialog yang berterusan, baik dalam kalangan orang Islam mahupun dialog antara penganut agama yang berbeza.

Bagi Nik Omar, Pakatan Rakyat adalah wadah yang paling sesuai untuk perbincangan dan dialog disuburkan. Isu hudud tidak boleh dijadikan isu yang mampu untuk memecah-belahkan hubungan baik yang telah terjalin di dalam Pakatan Rakyat.

Tok Guru dalam hal ini sentiasa memberi komitmen yang tinggi untuk memastikan Pakatan Rakyat terus kukuh.

Tok Guru juga adalah tokoh yang meraikan kepelbagaian dan tidak pernah berpegang kepada idea perkauman. Hal ini dimanifestasikan di dalam kepimpinannya yang sentiasa menjaga hubungan baik dengan masyarakat yang pelbagai.

Lantaran itu, Tok Guru sangat disenangi oleh masyarakat Kelantan secara khusus dan rakyat Malaysia secara amnya, baik Muslim dan bukan Muslim.

ZAIRIIL KHIR JOHARI MP Bukit Bendera dan pengarah eksekutif Penang Institute.

Sumber: https://mmy.malaysiakini.com/news/300453