‘Kalau nak bergabung sangat, pergilah…’

Lim Guan EngSetiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata Datuk Seri Abdul Hadi Awang kini semakin berkelakuan seperti “pemimpin Umno” dengan memainkan sentimen perkauman sambil menyerang parti berkenaan.

Semakin lama, kata Lim, Abdul Hadi dilihat lebih sebagai pemimpin Umno berbanding Presiden PAS.

“Adakah ini kerana beliau nak (menjayakan) kerajaan perpaduan? Beliau tetap sokong perdana menteri walaupun Lembaga Tabung Haji ada masalah?” kata Lim dalam sidang media selepas menyampaikan ucapan di sebuah forum di Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang itu, jika Abdul Hadi benar-benar mahu membina kerajaan perpaduan dengan BN dan Umno, dia boleh melakukannya secara terang-terangan.

Semalam sebuah laman web melaporkan kenyataan Abdul Hadi mengenai kedudukan PAS dalam Pakatan Rakyat.

Kata Abdul Hadi, PAS bersedia memutuskan hubungannya dengan Pakatan ekoran isu kabinet bayangan.

Main sentimen kaum

Abdul Hadi juga berkata, DAP bertindak angkuh dan pelan mereka “tidak realistik” apabila kabinet bayangan yang dibentuk parti berkenaan gagal mempertimbangkan pelbagai isu dalam perlembagaan.

“Dia (DAP) nak putus, putuslah. Saya kena berpijak di bumi Malaysia, bumi Malaysia ini bumi masyarakat majmuk.

“Kita sudah ada dewan-dewan himpunan, NGO-NGO bukan Islam pun banyak,” katanya di Marang semalam.

Lim berkata, tindakan Abdul Hadi menyerang DAP mungkin sekadar usahanya mencari alasan untuk membentuk gabungan kerajaan bersama BN.

“Kalau nak gabung, pergilah. Jangan cari alasan macam ni. Jangan hilang akal macam ni. Sekarang dia (Abdul Hadi) main sentimen perkauman untuk serang DAP.

“DAP tak pernah cakap nak memerintah negara secara sendirian,” katanya.

Rahsia hati Abdul Hadi

Menganggap kenyataan Abdul Hadi sebagai fitnah, Lim juga menjelaskan sikap ditunjukkan Ahli Parlimen Marang itu bukanlah sifat seorang pemimpin PAS yang boleh disegani semua rakyat Malaysia.

Lim berkata, ‘kabinet bayangan’ yang dilaporkan media itu bukanlah usaha DAP untuk membentuk kerajaan secara sendirian.

Katanya, DAP hanya melantik 37 ahli parlimen parti itu untuk bertindak sebagai jurucakap kepada 18 kementerian yang ada.

Malah, katanya, ahli parlimen yang dilantik itu terdiri daripada pelbagai bangsa berbanding PAS yang hanya diwakili ahli parlimen satu bangsa saja.

“Jelas hati dia (Abdul Hadi) tak ada bersama Pakatan Rakyat lagi,” katanya.

Sumber: http://www.malaysiakini.com/news/299375