Cabaran untuk Hadi Awang – Rozhan Othman

PAS & PRKini Pakatan Rakyat (PR) akhirnya mengambil pendirian bersama dalam isu menteri besar Selangor. PAS akhirnya menyokong pendirian PKR dan DAP. Namun, kecam mengecam dan tikam menikam masih berterusan di kalangan watak-watak dalam PAS.

Walau pun keputusan mendokong pendirian PR adalah keputusan kepimpinan pusat PAS, mereka yang dianggap sebagai golongan profesional menjadi serangan pelbagai kecaman. Presiden PAS kelihatan diam dalam menghadapi polarisasi dalaman PAS.

Walau pun pendirian yang diambil PAS akhirnya dikatakan kerana semangat setiakawan, mungkin juga PAS menyedari ia berhadapan dengan satu fait accompli bila dua Adun PAS mengambil pendirian sama-sama menyokong pendirian PKR dan DAP.

PAS menyedari ia sebenarnya tiada pilihan lagi. Demikian juga, nama Sultan mula digunakan untuk menjustifikasi penolakan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon MB. Jika benar inilah sebabnya, kenapa lagi perlu bermesyuarat untuk membincangkan mengenai kepimpinan Dr Wan Azizah.

Mungkin kita tidak akan tahu sama ada baginda memang tidak dapat menerima Dr Wan Azizah sebagai MB atau hanya mengatakan jika wujud seorang calon wanita dan calon lelaki, baginda akan memilih calon lelaki. Yang nyata, keputusan yang sepatutnya meredakan ketegangan tidak pula meredakan ketegangan dalam PAS.

Rentetan peristiwa yang berlaku sepanjang krisis ini juga mendedahkan polarisasi yang wujud dalam PAS di antara golongan ulama dan golongan profesional. Kecaman, serangan dan bahasa kesat yang dilemparkan terhadap golongan profesional jelas menunjukkan masalah yang wujud bukan sekadar perbezaan pendapat dan pendekatan.

Sebaliknya, sikap bengis yang ditunjukkan sebahagian watak ulama mendedahkan kebencian dan permusuhan yang ketara terhadap golongan professional. Anehnya, golongan profesional ini menunjukkan tidak-tanduk yang lebih selari dengan sahsiah Islam jika dibandingkan dengan watak ulama yang nyata gasar dalam kata-kata mereka.

Satu pencapaian utama allahyarham Datuk Fadzil Noor sebagai presiden PAS ialah kejayaannya mengandingkan tenaga ulama dan profesional. Namun, sejak Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjadi presiden PAS gandingan ini kelihatan semakin rapuh.

Krisis MB Selangor menunjukkan sebahagian watak ulama berpandangan golongan profesional sebagai tidak setia dan harus disaring keluar PAS. Golongan profesional dikatakan menyebabkan PAS menyimpang daripada “perjuangan asalnya”.

Walau pun kecaman ini bertujuan melondehkan golongan profesional, di mata umum watak ulama ini yang sebenarnya yang terlondeh. Mereka dilihat sebagi tidak menghormati adab berikhtilaf, tidak menghormati sesama kawan dan sangat gasar tindak-tanduk mereka.

Ada yang juga yang mabuk publisiti bila kenyataan mereka mendapat liputan media. Ada di antara watak ulama yang lantang bersuara dan mengecam golongan profesional memaparkan diri mereka sebagai “orang presiden”. Kurang pasti sama ada mereka ini adalah jurubicara tidak rasmi Hadi atau hanya cuba menumpang nama presiden untuk kepentingan diri mereka.

Sebenarnya pembahagian golongan ulama dan profesional adalah suatu yang artificial. Mereka yang mendapat pendidikan dalam bidang agama atau menyokong kuat mereka yang mendapat pendidikan agama digolongkan sebagai pro-ulama. Mereka yang mendapat pendidikan dalam bidang bukan agama pula dianggap golongan profesional.

Daripada segi keilmuan, ada di antara mereka yang mendapat pendidikan agama hanya mengkhusus dalam bidang loghah (bahasa) dan bukan syariah atau pengajian Al-Quran dan Hadith. Namun, mereka ini tetap dikategorikan sebagai ulama.

Ada di kalangan mereka yang tergolong dalam golongan profesional yang sebenarnya mempunyai ilmu Islam yang mendalam. Malah, ada dia ntara mereka ini yang menerbitkan pelbagai karya dan buku mengenai Islam. Mereka ini boleh berhujah dan mengupas isu-isu mengenai Islam dengan baik dan terperinci. Namun, mereka tidak dianggap sebagai ulama.

Di universiti, untuk seseorang ahli akademik layak dilantik sebagai profesor dia perlu memberi sumbangan dengan menghasilkan ilmu baharu. Sumbangan ini perlu diiktiraf di peringkat antarabangsa. Di antara cara ini diukur ialah jumlah penerbitan aslinya dan sejauh mana kajiannya dirujuk penyelidik lain.

Untuk mengelarkan diri ulama, seseorang haruslah menunjukkan tahap keilmuan yang sama. Kalau sekadar pandai baca kitab, itu baru setaraf dengan guru sekolah. Anehnya, ada di antara mereka yang tergolong dalam golongan profesional yang menerbitkan jauh lebih banyak karya mengenai Islam daripada mereka yang menganggap diri sebagai ulama.

Klasifikasi yang digunakan untuk membezakan golongan ulama dan profesional hari ini lebih hampir kepada sistem kasta yang menggolongkan seseorang kepada kasta Brahmin, Kesatria dan sebagainya. Apabila seseorang berada di dalam sesuatu kasta dia tidak boleh berpindah ke kasta lain.

Setelah melalui saat yang getir dan penuh ketegangan, cabaran utama yang perlu dihadapi presiden PAS ialah bagaimana meredakan polarisasi dan ketegangan yang wujud antara golongan ulama dan profesional. Memang ada yang mempersoalkan kewibawaan Hadi kerana apa yang dianggap sebagai kegagalannya sebagai MB Terengganu dan kegagalannya menyelesaikan kemelut dalaman PAS di Kedah.

Namun, ini semua berlalu dan tidak lagi dapat diubah. Sebagai seorang pemimpin, Hadi perlu memandang ke hadapan dan meredakan persengketaan dalaman PAS sendiri. Jika Fadzil dilihat sebagai pemimpin yang berjaya menggandingkan golongan ulama dan professional, Hadi sudah tentu tidak mahu dirinya diingati sebagai presiden yang merungkaikan warisan ini. Sebagai presiden parti, Hadi ialah pemimpin kepada semua ahli. Jika dia tidak dapat menyatukan kembali kelompok dalam PAS, bagaimanakah dia ingin meyakinkan rakyat Malaysia PAS mampu memimpin dan menyatukan rakyat Malaysia yang jauh lebih pelbagai dan ramai?

Hijrah menunjukkan Islam berkembang dengan pendekatan yang akomodatif. Mereka yang berhijrah ke Madinah berganding dengan golongan Ansar. Walau pun puak Aus dan Khazraj bersengketa dan berperang di antara mereka, kedua-duanya akhirnya bersatu sebagai golongan Ansar. Rasulullah turut mewujudkan perjanjian dengan golongan bukan Islam di Madinah, termasuklah dengan suku-suku Yahudi. Polarisasi di antara golongan ulama dan professional tidaklah seteruk permusuhan di antara Aus dan Khazraj. Barangkali ada pengajaran yang perlu dimanfaatkan ulama daripada peristiwa hijrah.

Sebagai presiden PAS, Hadi hendaklah menunjukkan kematangan dan hikmah seperti yang ditunjuk oleh Rasulullah. Beliau perlu membina kembali asas kekuatan dalam PAS. Perjuangan PAS perlu seimbang dengan mengimbangkan siasah Islam dan syakhsiah Islam.

PAS juga perlu meneliti adakah ia rela sikap dan pendiriannya diwarnai oleh sentimen perkauman yang sebelum ini lebih dikaitkan dengan Isma dan Perkasa. Isu sebegini boleh mengelirukan PAS dan kawan-kawannya sama ada PAS membawa fikrah Islam atau fikrah Isma.

Sekiranya persengketaan dan polarisasi yang wujud dalam PAS berterusan, ia mungkin satu hari akan menyebabkan PAS terbelah dua. Golongan profesional akan disisihkan dan PAS akhirnya akan menjadi parti eksklusif ulama. Akhirnya, PAS akan menjadi entiti seperti Vatican.

Memang lebih mudah untuk mengeruhkan lagi keadaan dengan menyemarakkan lagi kebencian dan berdendam di antara satu sama lain. Jika ini berlaku, ia akan hanya membuktikan kepimpinan ulama gagal. Pemimpin yang bijak ialah pemimpin yang mampu mengatasi masalah dan membina sesuatu yang lebih kukuh.

Toleransi diperlukan bila berurusan dengan mereka yang berbeza pendapat dengan kita.

Toleransi tidak diperlukan bila bersama mereka yang bersependapat dengan kita. Mampukah watak-watak ulama menunjukkan sikap toleran dan matang? Dapatkah kita melihat kepada mereka sebagai tauladan adab berikhtilaf? Dapatkah mereka menunjukkan mereka mempunai hikmah politik (political wisdom) sebagaimana yang ditunjuk Rasulullah?

Hanya presiden PAS yang mendapat menjawab persoalan ini. Jika beliau memilih untuk berpihak dalam polarisasi yang berlaku dan menyisih golongan profesional, maka tidak banyaklah perbezaan di antara gaya kepimpinannya dan gaya kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pendirian Hadi akan menentukan sama ada generasi akan datang akan mengingatinya sebagai presiden yang menggabungkan kembali golongan dalam PAS menjadi satu bunyanun marsus (bangunan yang kukuh) atau presiden yang meruntuhkan bangunan itu. Allah yahdina. – 20 Ogos, 2014.

Pengarang: Rozhan Othman

Sumber: http://www.themalaysianinsider.com/rencana/article/cabaran-untuk-hadi-awang-rozhan-othman#sthash.1LelznmQ.dpuf