Cabaran untuk Hadi Awang – Rozhan Othman

PAS & PRKini Pakatan Rakyat (PR) akhirnya mengambil pendirian bersama dalam isu menteri besar Selangor. PAS akhirnya menyokong pendirian PKR dan DAP. Namun, kecam mengecam dan tikam menikam masih berterusan di kalangan watak-watak dalam PAS.

Walau pun keputusan mendokong pendirian PR adalah keputusan kepimpinan pusat PAS, mereka yang dianggap sebagai golongan profesional menjadi serangan pelbagai kecaman. Presiden PAS kelihatan diam dalam menghadapi polarisasi dalaman PAS.

Walau pun pendirian yang diambil PAS akhirnya dikatakan kerana semangat setiakawan, mungkin juga PAS menyedari ia berhadapan dengan satu fait accompli bila dua Adun PAS mengambil pendirian sama-sama menyokong pendirian PKR dan DAP.

PAS menyedari ia sebenarnya tiada pilihan lagi. Demikian juga, nama Sultan mula digunakan untuk menjustifikasi penolakan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon MB. Jika benar inilah sebabnya, kenapa lagi perlu bermesyuarat untuk membincangkan mengenai kepimpinan Dr Wan Azizah.

Mungkin kita tidak akan tahu sama ada baginda memang tidak dapat menerima Dr Wan Azizah sebagai MB atau hanya mengatakan jika wujud seorang calon wanita dan calon lelaki, baginda akan memilih calon lelaki. Yang nyata, keputusan yang sepatutnya meredakan ketegangan tidak pula meredakan ketegangan dalam PAS.

Rentetan peristiwa yang berlaku sepanjang krisis ini juga mendedahkan polarisasi yang wujud dalam PAS di antara golongan ulama dan golongan profesional. Kecaman, serangan dan bahasa kesat yang dilemparkan terhadap golongan profesional jelas menunjukkan masalah yang wujud bukan sekadar perbezaan pendapat dan pendekatan.

Sebaliknya, sikap bengis yang ditunjukkan sebahagian watak ulama mendedahkan kebencian dan permusuhan yang ketara terhadap golongan professional. Anehnya, golongan profesional ini menunjukkan tidak-tanduk yang lebih selari dengan sahsiah Islam jika dibandingkan dengan watak ulama yang nyata gasar dalam kata-kata mereka.

Satu pencapaian utama allahyarham Datuk Fadzil Noor sebagai presiden PAS ialah kejayaannya mengandingkan tenaga ulama dan profesional. Namun, sejak Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjadi presiden PAS gandingan ini kelihatan semakin rapuh.

Krisis MB Selangor menunjukkan sebahagian watak ulama berpandangan golongan profesional sebagai tidak setia dan harus disaring keluar PAS. Golongan profesional dikatakan menyebabkan PAS menyimpang daripada “perjuangan asalnya”.

Walau pun kecaman ini bertujuan melondehkan golongan profesional, di mata umum watak ulama ini yang sebenarnya yang terlondeh. Mereka dilihat sebagi tidak menghormati adab berikhtilaf, tidak menghormati sesama kawan dan sangat gasar tindak-tanduk mereka.

Ada yang juga yang mabuk publisiti bila kenyataan mereka mendapat liputan media. Ada di antara watak ulama yang lantang bersuara dan mengecam golongan profesional memaparkan diri mereka sebagai “orang presiden”. Kurang pasti sama ada mereka ini adalah jurubicara tidak rasmi Hadi atau hanya cuba menumpang nama presiden untuk kepentingan diri mereka.

Sebenarnya pembahagian golongan ulama dan profesional adalah suatu yang artificial. Mereka yang mendapat pendidikan dalam bidang agama atau menyokong kuat mereka yang mendapat pendidikan agama digolongkan sebagai pro-ulama. Mereka yang mendapat pendidikan dalam bidang bukan agama pula dianggap golongan profesional.

Daripada segi keilmuan, ada di antara mereka yang mendapat pendidikan agama hanya mengkhusus dalam bidang loghah (bahasa) dan bukan syariah atau pengajian Al-Quran dan Hadith. Namun, mereka ini tetap dikategorikan sebagai ulama.

Ada di kalangan mereka yang tergolong dalam golongan profesional yang sebenarnya mempunyai ilmu Islam yang mendalam. Malah, ada dia ntara mereka ini yang menerbitkan pelbagai karya dan buku mengenai Islam. Mereka ini boleh berhujah dan mengupas isu-isu mengenai Islam dengan baik dan terperinci. Namun, mereka tidak dianggap sebagai ulama.

Di universiti, untuk seseorang ahli akademik layak dilantik sebagai profesor dia perlu memberi sumbangan dengan menghasilkan ilmu baharu. Sumbangan ini perlu diiktiraf di peringkat antarabangsa. Di antara cara ini diukur ialah jumlah penerbitan aslinya dan sejauh mana kajiannya dirujuk penyelidik lain.

Untuk mengelarkan diri ulama, seseorang haruslah menunjukkan tahap keilmuan yang sama. Kalau sekadar pandai baca kitab, itu baru setaraf dengan guru sekolah. Anehnya, ada di antara mereka yang tergolong dalam golongan profesional yang menerbitkan jauh lebih banyak karya mengenai Islam daripada mereka yang menganggap diri sebagai ulama.

Klasifikasi yang digunakan untuk membezakan golongan ulama dan profesional hari ini lebih hampir kepada sistem kasta yang menggolongkan seseorang kepada kasta Brahmin, Kesatria dan sebagainya. Apabila seseorang berada di dalam sesuatu kasta dia tidak boleh berpindah ke kasta lain.

Setelah melalui saat yang getir dan penuh ketegangan, cabaran utama yang perlu dihadapi presiden PAS ialah bagaimana meredakan polarisasi dan ketegangan yang wujud antara golongan ulama dan profesional. Memang ada yang mempersoalkan kewibawaan Hadi kerana apa yang dianggap sebagai kegagalannya sebagai MB Terengganu dan kegagalannya menyelesaikan kemelut dalaman PAS di Kedah.

Namun, ini semua berlalu dan tidak lagi dapat diubah. Sebagai seorang pemimpin, Hadi perlu memandang ke hadapan dan meredakan persengketaan dalaman PAS sendiri. Jika Fadzil dilihat sebagai pemimpin yang berjaya menggandingkan golongan ulama dan professional, Hadi sudah tentu tidak mahu dirinya diingati sebagai presiden yang merungkaikan warisan ini. Sebagai presiden parti, Hadi ialah pemimpin kepada semua ahli. Jika dia tidak dapat menyatukan kembali kelompok dalam PAS, bagaimanakah dia ingin meyakinkan rakyat Malaysia PAS mampu memimpin dan menyatukan rakyat Malaysia yang jauh lebih pelbagai dan ramai?

Hijrah menunjukkan Islam berkembang dengan pendekatan yang akomodatif. Mereka yang berhijrah ke Madinah berganding dengan golongan Ansar. Walau pun puak Aus dan Khazraj bersengketa dan berperang di antara mereka, kedua-duanya akhirnya bersatu sebagai golongan Ansar. Rasulullah turut mewujudkan perjanjian dengan golongan bukan Islam di Madinah, termasuklah dengan suku-suku Yahudi. Polarisasi di antara golongan ulama dan professional tidaklah seteruk permusuhan di antara Aus dan Khazraj. Barangkali ada pengajaran yang perlu dimanfaatkan ulama daripada peristiwa hijrah.

Sebagai presiden PAS, Hadi hendaklah menunjukkan kematangan dan hikmah seperti yang ditunjuk oleh Rasulullah. Beliau perlu membina kembali asas kekuatan dalam PAS. Perjuangan PAS perlu seimbang dengan mengimbangkan siasah Islam dan syakhsiah Islam.

PAS juga perlu meneliti adakah ia rela sikap dan pendiriannya diwarnai oleh sentimen perkauman yang sebelum ini lebih dikaitkan dengan Isma dan Perkasa. Isu sebegini boleh mengelirukan PAS dan kawan-kawannya sama ada PAS membawa fikrah Islam atau fikrah Isma.

Sekiranya persengketaan dan polarisasi yang wujud dalam PAS berterusan, ia mungkin satu hari akan menyebabkan PAS terbelah dua. Golongan profesional akan disisihkan dan PAS akhirnya akan menjadi parti eksklusif ulama. Akhirnya, PAS akan menjadi entiti seperti Vatican.

Memang lebih mudah untuk mengeruhkan lagi keadaan dengan menyemarakkan lagi kebencian dan berdendam di antara satu sama lain. Jika ini berlaku, ia akan hanya membuktikan kepimpinan ulama gagal. Pemimpin yang bijak ialah pemimpin yang mampu mengatasi masalah dan membina sesuatu yang lebih kukuh.

Toleransi diperlukan bila berurusan dengan mereka yang berbeza pendapat dengan kita.

Toleransi tidak diperlukan bila bersama mereka yang bersependapat dengan kita. Mampukah watak-watak ulama menunjukkan sikap toleran dan matang? Dapatkah kita melihat kepada mereka sebagai tauladan adab berikhtilaf? Dapatkah mereka menunjukkan mereka mempunai hikmah politik (political wisdom) sebagaimana yang ditunjuk Rasulullah?

Hanya presiden PAS yang mendapat menjawab persoalan ini. Jika beliau memilih untuk berpihak dalam polarisasi yang berlaku dan menyisih golongan profesional, maka tidak banyaklah perbezaan di antara gaya kepimpinannya dan gaya kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pendirian Hadi akan menentukan sama ada generasi akan datang akan mengingatinya sebagai presiden yang menggabungkan kembali golongan dalam PAS menjadi satu bunyanun marsus (bangunan yang kukuh) atau presiden yang meruntuhkan bangunan itu. Allah yahdina. – 20 Ogos, 2014.

Pengarang: Rozhan Othman

Sumber: http://www.themalaysianinsider.com/rencana/article/cabaran-untuk-hadi-awang-rozhan-othman#sthash.1LelznmQ.dpuf

Kurangkan Musuh Politik – Sheikh Ghanoushi

Kurangkan_musuh_politik_-_Sheikh_GhanoushiGERAKAN Islam di serata Dunia kini sedang menghadapi cabaran yang amat besar dan berat. Oleh itu ia mesti sentiasa releven dan besedia berada dipersada politik di setiap negara. Ia tidak boleh terpisah dengan realiti politik semasa lebih-lebih apabila berhadapan dengan cabaran yang amat kritikal kini.

Demikian saranan Sheikh Rachid Ghanoushi, pengasas dan pimpinan gerakan Islam an-Nahdah ketika saya mengadakan pertemuan dengan beliau di Tunis pada Khamis lepas. Turut serta di dalam pertemuan tersebut adalah Dr. Said Ferjani serta Dr. Rafik Abd Sallam yang juga merupakan bekas Menteri Luar Tunisia.

Parti an-Nahdah yang kini menjadi parti pembangkang terbesar di Tunisia juga merupakan gerakan Islam yang tertua di Tunisia. Ia terlibat dalam proses politik dan pilihan raya secara demokratik walaupun ia pernah diharamkan sebelum berlakunya revolusi kebangkitan rakyat di kemuncak ‘Arab Spring’ yang telah menggulingkan Presiden Zein Abiden beberapa tahun lepas.

Dalam pertemuan tersebut, beliau telah menggariskan beberapa perkara asas penting dan nasihat kepada gerakan Islam termasuk PAS di Malaysia;

Pertamanya, gerakan Islam sentiasa bersifat semasa dan bersedia berubah apabila menghadapi cabaran khususnya apabila berhadapan dengan Kuasa-kuasa besar di arena politik dunia kini.

Keduanya, gerakan Islam mesti meramaikan kawan dan teman dalam demokrasi temasuk dari golongan kiri dan sekular walaupun jauh berbeza fahaman yang mereka anuti. Musuh politik mesti di kurangkan dalam proses penglibatan demokrasi.

Ketiganya; Gerakan Islam tidak boleh bersifat rigid dan dilihat anti perubahan oleh masyarakat kerana cabaran semasa adalah amat mencabar dan sentiasa berubah serta perlu kepada kebijaksanaan di dalam menghadapi cabaran semasa ini.

Keempat, diwaktu dunia Islam seperti di Syria, Iraq, Libya dan Yemen sedang di uji ini, gerakan Islam hendaklah menumpukan persoalan ummah dan bukannya isu remeh temeh serta masalah dalaman dalam gerakan Islam masing-masing sehinggakan mengabaikan persoalan ummah sebenar yang sedang menghadapi ujian besar ini. Tumpukan kepada musuh dan bukanya sesama sendiri.

Kelima, pemikiran dan sikap berbahaya yang merosakkan Islam dan dakwah seperti yang di bawa oleh golongan ISIL mesti dibanteras habis-habisan oleh setiap gerakan Islam. Mereka ini dengan mudah membawa pemikiran ‘takfiri’ dan ‘fatwa’ yang dangkal dengan menghukum dan mengkafirkan sesiapa sahaja yang tidak sehaluan dengan mereka. Ini juga merosakkan imej Islam yang bersifat ‘rahmat kepada seluruh alam’.

Akhirnya, Sheikh Rached Ghanoushi memberi saranan khusus kepada pimpinan dan setiap ahli PAS agar sentiasa menjaga keharmonian di dalam parti dengan akhlaq Islam dan bersedia berlapang dada sekiranya ada perbezaan.

PAS juga mestilah sentiasa bersifat relevan dengan perubahan yang berlaku didalam masyarakat lebih-lebih lagi seperti Malaysia yang berbilang kaum, kepelbagaian agama dan budaya.

Pengarang: Dr. Syed Azman Syed Ahmad, Pengerusi Hal Ehwal Antarabangsa PAS
Sumber: http://www.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/35074-kurangkan-musuh-politik-sheikh-ghanoushi

Ulama PAS tak boleh di tegur?

Dr. MazaSaya tidak mahu campur urusan PAS. Tapi saya mohon berbeza pendapat dalam hal ini jika PAS memerintah Malaysia. Jika sekiranya kepimpinan itu tidak boleh dipersoalkan tindakan mereka, maka hancurlah demokrasi bagi sesebuah negara.

Hari ini betapa banyak tindakan pimpinan negara ini dipertikai oleh rakyat termasuk PAS sendiri sering membantah dan mempersoalkan tindakan kerajaan. Mengapa dibolehkan pula?

Andainya atas nama ulama yang memimpin jika PAS memerintah nanti maka tindakan kepimpanan negara masa itu tidak boleh dipertikaikan, maka ia sama dengan konsep ‘Wilayatul Faqih’ yang dipegang oleh Khomeini dan Syiah di Iran.

Maka jadilah Malaysia sebuah negara mullah yang hampir sama dengan sejarah kuasa Pope di Vatican dahulu yang telah menyebabkan tercetusnya sengketa dan perang saudara antara Katholik dan Protestan.

Segala impian rakyat untuk melihat negara yang telus, bertanggungjawab dan boleh dipersoalkan atas dasar kemaslahatan politik kenegaraan akan musnah.

Rasulullah s.a.w dan Khulafa Rasyidin sendiri sering ditanya dan dipersoalkan oleh rakyat tindakan politik dan strategi mereka, siapalah kita semua?

Jika ini impian kenegaraan PAS, maaf saya antara yang tidak mampu mengundi mereka.

Pengarang: Dato’ Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

Sumber: http://muktamarpas61.blogspot.com/2015/04/ulama-pas-tidak-boleh-di-tegur.html

Percaturan Yang Menghancurkan PAS

Dr. MujahidPengarang: Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa | 22 April 2015.

1. SUASANA sukar yang dilalui oleh PAS hari ini adalah merupakan antara ujian paling getir yang pernah dilaluinya. Suasana PAS dalam keadaan sekarang tidak meninggalkan kita banyak pilihan ia hanya dua iaitu antara PAS undur ke belakang atau PAS maju ke hadapan.

2. Pencapaian PAS tidak pernah difikirkan oleh pemimpin PAS sebelum ini apabila dengan izin Allah adanya Pakatan Rakyat telah membolehkan PAS berada pada tahapnya hari ini. Di Pulau Pinang walaupun berbekalkan hanya satu kerusi PAS dapat berperanan sebagai kerajaan berbanding dengan Johor yang ada empat kerusi PAS namun peranannya adalah sebagai pembangkang sahaja.

3. Pencapaian PAS dalam memecahkan tembok perkauman dipermudahkan dengan adanya PR di mana telah terbukti di tempat yang kerusi campuran PAS berjaya menembusi dengan sokongan pengundi Cina dan India. Sentimen pengundi Cina dan India banyak dipengaruhi oleh asakan PR dan manisfesto yang dibawa. PAS telah berjaya memanfaatkan sokongan ini apabila ia bersama PR dan berjaya mendapat sokongan pengundi bukan Melayu.

UMNO KECEWA

4. Perkembangan dan pencapaian PAS sangat menyakiti Umno, sebab itulah sejak pasca 2008 lagi, Umno cuba melemahkan kebangkitan PAS. Taktik Umno menggunakan umpan “perpaduan Melayu” bagi melemahkan kemaraan PAS. Usaha sejak 2008 tanpa henti kononnya Melayu perlu bersatu-padu dan mengharapkan PAS dan Umno dapat melakukannya. Digerakkan slogan palsu ini bukan kerana Melayu perlu bersatu tetapi supaya PAS menjadi lemah dan memecahbelahkan kekuatan PR.

5. Slogan “perpaduan Melayu” naik satu tahap lagi dengan mempertaruhkan Islam sebagai umpan untuk PAS. Maka bermulalah episod isu Islam untuk menggoda PAS supaya PAS dipisahkan dari PR. Mereka membawa isu sentimen Islam dengan mempromosikan PKR sebagai liberal Islamnya manakala DAP adalah anti-Islam.

6. Serangan media ini bermula sejak 2008 hingga kini namun PAS tidak berganjak menyatakan komitmen kepada PR. Isu perpaduan Melayu dan Islam hanyalah usaha untuk melemahkan kemaraan PAS dan tanda kekecewaan Umno, tidak lebih dan tidak kurang.

USAHA PECAHKAN SAF PAS

7. Salah satu taktik Umno melemahkan PAS ialah menyokong dari dalam PAS mereka yang sedia mengambil jalur keras untuk membawa Islam. Hujah yang selama ini dibawa oleh ISMA dan PERKASA sudah menyusup dalam PAS kononnya untuk memelihara dasar parti, PR tidak menguntungkan Islam dan mara ke Putrajaya hanya untuk memenuhi kehendak Anwar dan PAS menjadi kuda tunggangan DAP.

8. Begitu juga isu keputusan Tahaluf Siyasi PAS dituntut beberapa kali oleh Multaqa Ulama PAS untuk dibuat penilaian semula walaupun PAS berpegang dengan tahalufnya.

9. Percaturan kali ini bukan aturan dan aturcara yang ditetapkan oleh PAS dalam mencari penyelesaian. Kalau hendak dikatakan PAS tidak pernah berkonflik itu satu pembohongan tetapi PAS ada caranya sendiri, namun kali ini ‘orang luar’ yang mencaturkan PAS dan penyelesaiannya adalah mengikut skrip yang tamat ceritanya ialah “lemahkan PAS dan kemudian hancurkannya!”

MEMBENTUK KELOMPOK

10. Walaupun selama ini isu kelompok memang tidak dapat dielakkan dalam PAS tetapi ia hanya perbezaan pendapat yang masih di bawah kawalan. Namun semenjak kebelakangan ini usaha memecahkan lebih berstruktur dan canggih.

11. Taktik musuh PAS cuba membahagikan dua kelompok antara yang mempertahankan keberlangsungan PR yang mereka gelar “Anwarinas” dan kelompok yang kononnya mempertahankan dasar PAS iaitu “ulama”. Umno tahu selagi kelompok yang mahu melihat PAS maju ke hadapan melalui PR menguasai parti maka amat sukar strategi Umno melemahkan PAS dari dalam.

12. Taktik pecah seterusnya ialah menanamkan kebencian kepada kelompok yang mahu bersama PR dengan tohmahan dan fitnah seolah kelompok ini lebih pentingkan kuasa dan sedia menggadaikan perjuangan PAS demi bersama PR.

13. Kelompok ini difitnah sebagai mengamal Islam liberal, tunduk kepada Lim Guan Eng dan menjadi barua kepada parti lain malah hilang wala’ kepada parti. Taktik ini berjaya didoktrinkan sehingga perpecahan dalam PAS bukan lagi perbezaan pendapat biasa tetapi perpecahan yang menguntungkan strategi musuh yang sudah merekrut unsur dalam PAS sendiri.

14. Alat paling berkesan ialah sosial media yang menjadi rujukan utama doktrin pemisahan kelompok oleh musuh. Anasir dalam PAS digunakan untuk mengapikan lagi kebencian sehinggakan tidak ada lagi perasaan hormat menghormati malah ramai yang menjadi mangsa doktrin ini tanpa disedari.

GRAND DESIGN DAN END GAME

15. Trend memisahkan kelompok dalam PAS ini sejak 2008 adalah untuk membina momentum bagi MAT (Mesyuarat Agung Tahunan) parti di mana ia adalah usaha penghapusan satu kelompok dalam PAS untuk membuka jalan supaya PAS akan lebih mesra Umno dan seterusnya meninggalkan PR.

16. Ini adalah “Grand Design” dan “End Game” yang ingin dicapai oleh elemen Umno dalam PAS. Para konspirator melontarkan isu hudud, isu persempadanan semula dan isu anti Islam sebagai umpan menarik PAS lebih jauh ke dalam perangkap jahat mereka.

17. Pencapaian objektif strategi mereka ialah pecahkan PAS supaya PAS tiada lagi dalam PR dan kerana itu lebih mudah untuk Umno menguasai PAS dan sekaligus melemahkan PAS yang sudah jauh ke hadapan kini.

SERUAN SAYA

18. Mari kita secara jujur dan ikhlas serta dengan mendapat petunjuk Allah untuk berfikir sejenak kegilaan apakah yang telah menimpa PAS hari ini. Ulama, wala’ dan dasar parti cuba dipertaruhkan bagi tujuan kelompok kecil yang bekerja untuk tuan-tuan besar di luar PAS yang mahu melihat PAS lemah dan kemuncaknya hancur.

19. Ketahuilah bahawa ia bukan soal ada “Anwarinas”, “liberal”, “anti hudud” atau “broker dan barua” dalam PAS seperti yang cuba dimomok-momokkan, ia adalah tentang satu konspirasi jahat dan para konspirator ada di kalangan ahli PAS dan pimpinan PAS sendiri di semua sektor parti. Tentera setia mereka ialah di kalangan facebookers hantu, bloggers upahan dan pengadu domba yang cap jarinya menyertai PAS belum pun kering lagi.

20. Pesan saya, jaga dan selamatkanlah PAS daripada para konspirator dan PAS pada saat ini memerlukan kepimpinan yang tegas dan kembali kepada landasan perjuangan yang betul, berhemah dan berperinsip.

21. Lebih utama PAS memerlukan ahlinya yang bijak membaca gerak geri para konspirator, umpama pepatah, “sekilas ikan di air sudah ku tahu jantan betina”.

Sumber: HARAKAHDAILY 22/4/2015, http://www.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/35036-percaturan-menghancurkan-pas

Kerjasama PAS-UMNO, umpama pelanduk lupakan jerat

ZAIRIL_KHIR_JOHARI_SYMPOSIUM_270914_TMIAFIFRAIEZAL_03KUALA LUMPUR, : DAP menasihatkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang supaya jangan pernah lupa bahawa partinya pernah berkali-kali ditipu UMNO dan tidak seharusnya menjalinkan apa jua kerjasama dengan mereka.

Ahli Parlimen Bukit Bendera berkata, sebagai orang lama dalam kancah politik negara, Hadi seharusnya faham bahawa UMNO cuma lunak kepada PAS ketika mereka terdesak.

“Mengapa Hadi begitu terburu-buru untuk mewajibkan kerjasama dengan UMNO setelah acap kali dikhianati mereka?

“Apakah (isu) hudud ini sahaja yang dikira mampu menyelamatkan beliau dalam Muktamar akan datang, memandangkan tidak ada lagi kejayaan lain mampu disandarkan?

“Adalah amat malang bagi PAS dan rakyat Malaysia yang inginkan perubahan besar sekiranya kepimpinan parti hanya terdaya untuk bergantung kepada musuh politik bagi mengekalkan kepentingan mereka.

“Setelah berkali-kali ditipu oleh UMNO, PAS seharusnya sedar dan tidak menjadi pelanduk yang lupakan jerat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Zairil berkata demikian sebagai respon kepada kenyataan Hadi yang dilaporkan Mingguan Malaysia baru-baru ini bahawa PAS wajib berunding dengan UMNO demi memastikan pelaksanaan hukum hudud di Kelantan.

Hadi juga mendakwa, pemimpin dan ahli PAS tidak sewajarnya mempersoalkan keikhlasan UMNO menyokong pelaksanaan hukum itu, khususnya apabila rang undang-undang persendirian berkaitan hudud dibentangkan di Dewan Rakyat kelak.

Zairil yang juga Penolong Setiausaha Publisiti DAP menegaskan, Hadi seharusnya maklum bagaimana UMNO telah menipu dan hampir melenyapkan PAS pada tahun 70-an melalui penyertaan mereka dalam kerajaan campuran UG pertama iaitu Barisan Nasional.

Jelasnya, ekoran pembentukan gabungan besar itu, UMNO-BN mendapat kejayaan besar pada Pilihanraya Umum (PRU) 1974, namun jasa PAS dibayar tiga tahun kemudian apabila mereka disingkirkan melalui helah ‘darurat’ di Kelantan.

“Akibatnya, PAS bukan saja kehilangan Kelantan, malah hampir terkorban apabila parti tersebut dilanda perpecahan dan krisis kepimpinan. Apakah peristiwa hitam ini sudah dilupai?

“Lebih penting lagi, apakah Hadi tidak mempersoalkan mengapa UMNO sanggup membantu PAS melaksanakan hudud di Kelantan, sedangkan mereka langsung tidak menunjukkan minat dan membentangkannya di negeri yang mereka kuasai dengan majoriti dua pertiga?

“Presiden UMNO (Datuk Seri Najib Razak) sendiri terus mengelak daripada menyatakan pendiriannya berkenaan hudud, sementara terdapat menteri UMNO yang terang-terang menolak pelaksanaan hukum tersebut,” tegasnya.

Sumber: http://roketkini.com

Foto: The Malaysian Insider

Siapa Buat Risalah Hentam Mat Sabu, Hatta, Nizar, Hanipa ?

Pengarang: Mohd Sayuti Omar

risalah kutuk pemimpin pas
Dalam facebook riuh randah dengan kemunculan sebuah risalah yang mengecam dan mengutuk beberapa orang pemimpin Pas.

Antara pemimpin Pas yang menjadi serangan dan kutukan risalah tanpa penanggungjawab berkenaan ialah Mohamad Sabu, Dr Mohd Hatta Ramli, Nizar Jamaluddin, Hanipa Maidin dan Phahrorazli Mohd Zawawi. Mungkin ada beberapa nama lain lagi?

Tidak pasti bila ia mula disebarkan dan berpusat di mana. Ia mula tersebar sejak minggu lalu. Katanya teruk juga kecaman dalam risalah berkenaan. Pemimpin Pas itu digelar sebagai “parasit”.

Kemarahan risalah berkenaan kepada pemimpin Pas itu ialah kononnya mereka hendak menjatuhkan presiden Pas, Abdul Hadi Awang.

Sepanjang sejarah Pas lebih 60 tahun dan berhadapan dengan beberapa kali pertandingan merebut jawatan, belum ada risalah seumpama itu diterbit atau disebarkan sebagai bahan kempen. Apa yang berlaku itu adalah satu fenomena baru yang ditetaskan oleh generasi baru kini. Sejauh manakah ia memberi keuntungan kepada perjuangan agama dibawa Pas, walhaualam.

Tidak dapat dipastikan siapa yang bertanggungjawab ke atas penerbitan risalah berkenaan kerana ia tidak dinyatakan identitinya. Bolehlah disifatkan ia diterbitkan oleh jembalang dan mereka yang memusuhi Pas yang menjadi gunting dalam lipatan.

Saya tidak fikir ia adalah kerja orang yang mencintai perjuangan Pas dan juga mencintai Abdul Hadi Awang sendiri. Sebagai seorang ulama besar Abdul Hadi sama sekali tidak merestui kegiatan seperti itu.

Siapa pun tidak akan berfikir dan bersetuju kalau ada orang beranggapan risalah sebegitu disukai oleh Abdul Hadi kalaupun ia membantunya. Jiwa agama yang ada kepada Hadi masih lagi menolak hal-hal sebegitu seperti mana Tuan Ibrahim Tuan Man yang melarang dan mengarah agar akaun facebook tidak bernama ditutup.

Seburuk-buruk ahli Pas mereka tidak berdendam antara satu sama lain dan tetap masih menggunakan kata-kata yang sopan dan tidak tergamak dicerca dan hina antara satu sama lain di tempat terbuka.

Kehebatan Pas selama ini ialah berjaya menutupkan perbalahan mereka dari dunia luar. Umno menjadi hilang akal untuk mengsksploitasikan krisis dalaman Pas kerana ia tidak dibawa ke luar.

Mereka yang menerbitkan risalah itu juga sebagai dayus dan pengecut. Tidak bertanggungjawab dan ia lebih kejam daripada kerja Iblis dan syaitan. Bahkan Ibalis lebih bertanggungjawab dan baik daripada mereka kerana mereka berani berdepan dengan Tuhan, mengistyharkan perang terhadap manusia.

Tindakan sedemikian menyebabkan orang akan pertikaikan apakah dakwaan mereka terhadap para pemimpin Pas yang menjadi mangsa itu benar atau tidak. Kalau mereka bertanggungjawab mereka tampil ke hadapan untuk bersemuka. Kalaupun tuduhan ke atas kelima pemimpin itu benar, tetapi dengan tanpa nama disertakan menyebabkan orang meragui kebenarannya serta niatnya.

Kerana sifat risalah itu demikian busuk dan tidak bertanggungjawab, ahli Pas tidak perlu melayaninya. Bahkan tidak pun wajar memperpanjangkan copy page ke dalam facebook atau dikirmkan kepada rakan sebagai bahan berita. Perbuatan begitu seperti menyalai daging yang tidak disembeleh.

Jangan pedulikan kepada risalah itu dimana niatnya jelas bagi memecah belahkan ahli-ahli Pas.

Risalah itu membawa keburukkan kepada Pas. Mungkin pemimpin seperti Mohamad Sabu dan yang lain itu boleh bersabar dan menerima seadanya, mereka sudah masak dengan kerenah perjuangan, tetapi mungkin tidak dengan pengikut mereka. Pengikut akan kesal dan marah dengan apa yang berlaku sehinggakan timbul rasa ingin membalasnya.

Bila pengikut tidak dapat menerima situasi itu saat inilah akan berlaku perpecahan. Apa yang perlu difikirkan kalau berlaku perpecahan siapa yang untung. Semua tidak laba dengan perpecahan melainkan pihak musuh. Perpecahan membawa masalah kepada puak yang disokong dan kepada puak yang dikhianati.

IMG-20150416-WA0012Kepada pemimpin Pas yang dikecam dan diburukkan itu hendaklah bersabar dan tidak mempedulikan semua itu. Tidak wajar bagi anda melayan kertas-kertas busuk begitu. Dan ahli Pas dibawah pula harus merasakan sayang kepada mereka dan seisapa sahaja. Sepatutnya semua ahli Pas merasa sayang dan tidak tergamak untuk memburuk-burukan ahli Pas kerana mereka adalah saudara separti.

Lantaran itu bagi saya mereka yang menerbitkan risalah secara hantu itu adalah musuh Pas yang sejati, tidak kira siapa dan apa tujuannya. Dan musuh Pas tidak kira siapa, mereka harus ditentang sampai ke liang lahad. Kalau kebetulan yang terlibat itu mereka merupakan ahli Pas, bertaubatlah dan hentikan kerja-kerja tidak menguntungkan itu. Pas tidak suka dengan perbuatan anda.

Manakala kalau ianya adalah kerja musuh Pas atau mereka yang kecewa dengan Pas kerana gagal mengapai sesuatu yang dihajati wajarlah mereka berbuat demikian, kerana orang kecewa sememangnya tidak ada kekuatan dalam perjuangan melainkan melakukan pengkhianatan demi pengkhiatan dalam gelap.

Sumber: http://msomelayu.blogspot.com

Awas wajah baharu PAS selepas muktamar, kata Khalid Samad

Khalid_Samad_PARLIAMENTPC_181114_TMIAFIF_009Sikap yang ditunjukkan Pemuda PAS Pulau Pinang dan kawasan Permatang Pauh dalam menghadapi pilihan raya kecil (PRK) Permatang Pauh adalah wajah baharu parti Islam itu sekiranya kumpulan tertentu dipilih dalam muktamar Jun nanti, kata Khalid Samad.

“Inilah wajah baharu PAS dalam konteks hubungan dengan Pakatan Rakyat jika kumpulan baharu dipilih sebagai Jawatankuasa PAS Pusat dalam muktamar PAS ke 61 Jun nanti.

“Merekalah yang akan menggantikan wajah-wajah seperti Dr Dzulkefly Ahmad, Hanipa Maidin, Mujahid Yusof Rawa dan pimpinan lain yang digelar ‘Jebon’ dan ‘Parasit’,” kata ahli jawatankuasa PAS Pusat itu kepada The Malaysian Insider.

Pemuda Pulau Pinang pimpinan Yusni Mat Piah dan kawasan Permatang Pauh pimpinan Omar Osman mengambil sikap tidak memberikan kerjasama kepada PKR dalam menghadapi PRK akan datang, walaupun PAS Pusat memutuskan akan memberikan sokongan sepenuhnya kepada calon PKR di situ.

Sokongan kepada PKR untuk memilih calon mereka dinyatakan Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Yang Dipertua PAS Permatang Pauh, Omar Hassan memberi kata dua sehingga hari penamaan calon, 25 April supaya PKR memohon maaf secara terbuka berhubung isu enakmen jenayah syariah Kelantan.

“Jika bersetuju, kami PAS kawasan Permatang Pauh akan meneruskan kerjasama PAS-PKR dalam pilihan raya kecil ini.

“Jika mereka masih berkeras tidak mahu menarik balik kenyataan itu kita tengoklah macam mana nanti,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat PAS kawasan itu.

Kenyataan dikeluarkan Yusni sebelum ini juga menuntut PKR memohon maaf mengenainya.

Pengarah Pilihan raya PAS PRK Permatang Pauh, Datuk Dr Mujahid Yusof berkata sokongan kepada calon PKR dalam PRK ini adalah tanpa syarat.

Bagi Khalid yang juga ahli Parlimen Shah Alam, apa yang berlaku di Permatang Pauh juga akan berlaku di peringkat pusat jika “wajah-wajah baharu PAS” ini mengambil alih parti Islam itu di peringkat pusat.

“Saya yakin inilah sikap yang akan diambil oleh orang-orang yang selama ini memburuk-burukkan kami sebagai liberal, Anwarinas dan berwala’ pada Pakatan Rakyat (PR) jika mereka terpilih dalam muktamar PAS nanti sebagai AJK PAS Pusat,” kata Khalid.

“Sikap mereka keras dan tidak berhemah. Tiada unsur ingin berkawan dan tiada kebijaksanaan berpolitik. PAS akan kembali bersendirian, terpinggir dari politik arus perdana,” kata Khalid yang pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1987.

Bagi Khalid, sikap ditunjukkan PAS Permatang Pauh dan Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang adalah wajah “ekstrem” yang mula wujud selepas muktamar pada 2011 lalu.

“Ia tanpa sifat keterbukaan dan menggunakan pendekatan paksa dan ugut,” kata Khalid dan menambah, “Ianya PAS Ekstrem”.

Beliau mempersoalkan sama ada pendekatan itu membolehkan PR terus wujud.

“Bolehkah PR survive dengan dipilihnya PAS Ekstrem? Cakap lain buat lain? Nak PR tetapi asyik gaduh? Syadid,” kata Khalid yang turut menyebutnya melalui Twitter beliau.

Beliau berharap, semua ahli PAS dapat melihat nasib parti Islam itu nanti dengan apa yang sedang berlaku di Permatang Pauh sekarang.

“Hala tuju PAS, masa depan PAS. Permatang Pauh sebagai saksinya,” kata Khalid.

Sehingga kini, sekurang-kurangnya tiga nama besar PAS dijatuhkan oleh kawasan masing-masing dalam pemilihan kali ini.

Bekas menteri besar Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin dijatuhkan di Kampar, Pesuruhjaya PAS Melaka Adly Zahari dijatuhkan di Alor Gajah dan yang terbaharu, bekas pesuruhjaya PAS Selangor Dr Rani Osman dijatuhkan di Kapar, Selangor sebagai yang dipertua PAS kawasan masing-masing.

Pengarang: The Malaysian Insider
Sumber: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/awas-wajah-baharu-pas-selepas-muktamar-kata-khalid-samad#sthash.e7osUmjT.dpuf
Photo: The Malaysian Insider.

Adakah PAS pun mudah lupa?

PAS angkat tanganPAS berada di kedudukan politik terkuat dalam sejarah jatuh-bangun perjuangannya selepas mencatatkan prestasi terbaik pada pilihan raya umum (PRU) ke-10 lalu dengan memenangi 27 daripada 63 kerusi parlimen yang ditandingi.

Dua negeri – Kelantan dan Terengganu – ditadbir oleh pemimpin PAS, manakala presiden ketika itu, Datuk Fadzil Noor dilantik sebagai Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia.

Memang benar PAS gagal mengatasi prestasi terbaiknya dalam PRU ke-12 dan ke-13 apabila memenangi 23 kerusi pada 2008 dan 21 daripada 73 kerusi ditandingi pada 2013.

Kedah berjaya ditawan dalam PRU ke-12 walaupun negeri itu akhirnya hilang daripada genggaman kira-kira lima tahun kemudian.
Namun, mengapakah penulis tetap mengatakan PAS berada pada kedudukan terkuat ketika ini?

Kekuatan sesebuah parti politik perlu diukur dari pelbagai dimensi dan bukan semata-mata melihat kepada jumlah kerusi di parlimen. Tambahan pula jika kemenangan itu disebabkan faktor-faktor situasi luaran.

Kemenangan PAS dalam PRU ke-10 disebabkan berlaku “tsunami Melayu” menolak Umno-Barisan Nasional kesan daripada pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tun M mencabar PAS

Malangnya kemenangan itu tidak dapat bertahan lebih lama. Ya, sebaik saja sesi parlimen ke-10 (1999-2004) bermula, PAS mula kehilangan hilang apabila ada pimpinan mula mendakwa parti itu berjaya kerana orang Melayu mahukan negara Islam.

Tun Dr Mahathir Mohamad lantas mencabar PAS.

Akibatnya, Memorandum Rakyat yang menjadi legasi Almarhum Datuk Fadzil Noor sebagai reaksi kepada cabaran Dr Mahathir mula mengalami perubahan kepada Dokumen Negara Islam.

Pesanan Fadzil kepada penulis dan rakan-rakan pemikir parti supaya dokumen itu ditajukkan “Penghayatan Sebuah Pemerintahan Abad 15H/21Masehi”, tenggelam dan hilang dalam hiruk-pikuk polemik tentang negara Islam.

Penulis dan anggota think-tank yang terlibat terpaksa akur.
Gabungan pembangkang di bawah Barisan Alternatif (BA) ketika itu terus berantakan. DAP keluar daripada BA pada September 2001.

Parti Keadilan Nasional (kini Parti Keadilan Rakyat – PKR) merenggang daripada PAS dan membawa haluan sendiri. Ketika itu BA hanya wujud pada nama, lambang dan cogan kata, tetapi tidak pada gerak kerja.

Akibat ‘terlupa’ mengurus kekuatan barunya, PAS dihukum teruk dalam PRU-ke11 (2004). Daripada 27 kerusi, PAS hanya menang enam kerusi parlimen, gagal mempertahankan kerajaan Terengganu dan hampir kalah di Kelantan apabila menguasai dewan undangan negeri dengan majoriti satu kerusi.

Jawatankuasa Post-Mortem PAS Pusat yang mengkaji keputusan PRU ke-11 megenal pasti pelbagai faktor luaran (penipuan dan media) dan dalaman (jentera) sebagai penyumbang utama kekalahan PAS dalam pilihan raya itu.

Namun faktor paling dominan ialah pelancaran Dokumen Negara Islam. Kajian menunjukkan pembentangan itu “gagal mengurus penerangan dan pencerahan” sehingga menimbulkan pelbagai persepsi negatif daripada masyarakat. PAS juga menjadi sasaran jahat media lawan.

Lawan politik tersenyum

Pada masa sama, PAS gagal menangkis tohmahan serta serangan seterunya. Kekuatan PAS kembali kepada kedudukan lama atau bergantung hanya kepada penyokong tegar dan asal.

Lawan politik PAS pula tersenyum lebar kerana taktik pecah dan perintah berjaya memporak-perandakan BA.

Berbeza PRU ke-10, kejayaan PAS pada PRU ke-12 dan ke-13 adalah hasil pelebaran tapak sokongan baru. PAS berjaya membina kekuatan secara sedar dan terancang. PAS bukan lagi sekadar ‘menumpang tuah’ daripada nasib malang Anwar dan kesan undi protes seperti PRU ke-10.

Kekuatan baru itu dibina dengan meruntuhkan tembok pengundi bukan Melayu dan bukan Islam. Hasilnya pengundi terbabit mula memberikan kepercayaan kepada PAS dan memenangkan calon-calon PAS.

Untuk menjayakan strateginya, PAS tegas membuat ijtihad menampilkan tawaran “Negara Berkebajikan” berserta slogan “PAS Untuk Semua” dalam manifesto PRU ke-12.

Perubahan itu diistilahkan Profesor Tariq Ramadan sebagai satu anjakan generasi (generational shift) seperti yang berlaku dalam dunia Islam semasa. Namun, benarkah PAS benar-benar komited kepada agenda ini?

Secara ringkas, PAS terus menggarap isu-isu besar dalam negara dengan pedekatan inklusif dan menyerlahkan makna slogan PAS Untuk Semua serta mendukungi prinsip “Rahmat untuk Semua”.

PAS juga terus menangani isu-isu kritikal yang menajamkan pertentangan kaum dan membakar pertembungan agama. Isu kalimah Allah misalnya, ditangani PAS secara konsisten dan berlandaskan syariat yang mendamaikan.

Sama ada bersama rakan Pakatan dalam Dasar Bersama atau pun bersendirian, PAS berjaya menyerlahkan erti penghayatan Islam sebagai sistem hidup untuk memberikan jaminan “Keadilan Untuk Semua”.

Di samping itu, PAS tegas menyanggah polisi bersifat perkauman dan memangsakan pihak tertentu, terutama golongan miskin atau berpendapaan rendah.

PAS boleh menambah kerusi

Mengambil kira keseluruhan perkembangan inilah, penulis menyatakan, PAS sedang menduduki posisi politik terkuat dan paling mantap. Tidak keterlaluan kalau penulis terus menganggap PAS berada dalam satu unjuran untuk menempa kejayaan lebih baik – tentunya bersama rakan tahalufnya.

Berdasar unjuran yang sederhana, PAS berada pada keluk menambah 13 lagi kerusi di parlimen (menjadi 34 kerusi) jika gandingan Pakatan berlangsung secara mantap dalam PRU akan datang.

Namun semua kejayaan PAS yang tertera di atas bakal terencat atau mengalami kemunduran akibat pergolakan yang berlaku mutakhir ini. Soalnya, apakah PAS mula mengalami fenomena “berpatah balik” (retrogression)?

Gejolak parti – sama ada bersifat dalaman atau luaran – mengakibatkan pemerhati politik khuatir dan cemas. Lebih gusar lagi adalah pendukung dan aktivis parti di akar umbinya yang menanggung kesan secara langsung, terutama di negeri pantai barat.

Elok diingatkan, PAS tidak memiliki sebarang kerusi di dewan undangan negeri di Selangor, Johor, Perak, Negeri Sembilan dan Melaka pada 2004.

Justeru, cadangan seperti bersedia bertanding bersendirian atau keluar daripada Pakatan tidak wajar diucapkan pemimpin kecuali percaturan mereka itu hanya mengambil kira keperluan negeri mereka sendiri semata-mata.

Begitu juga sikap sesetengah ahli dan pemimpin yang menyuruh ahli keluar parti ketika wujud perbezaan atau ikhltiaf. Pimpinan yang matang, tidak gelojoh serta bebas daripada unsur ekstremisme pasti faham apakah yang dimaksudkan dengan amalan mengurus ikhtilaf dalam sebuah organisasi besar yang semakin kompleks.

Sementara itu, dalam mengurus isu hudud pula, seteru tradisi PAS sedang menggoda dengan pelbagai cara. Musuh tetap musuh, meskipun mereka tampak ikhlas. Sayugia diingatkan tuntutan Allah supaya kita hazar (berwaspada) setiasa.

Jangan diipatuk ular lagi

Begitu juga pesanan Rasulullah yang mahu umat baginda mengelak daripada dipatuk ular pada kali kedua dari lubang sama. Almarhum Tok Guru Nik Abdul Aziz dan Fadzil Noor acap kali mengingatkan kita tentang ini.

Jika PAS terus kehilangan arah sekali lagi, dikhuatiri parti ini akan kehilangan sokongan barunya di kalangan Melayu-Islam bandar dan pinggir bandar, dan tentunya gagal mengekalkan kepercayaan pengundi bukan Melayu dan bukan Islamnya.

Setiap kali PAS berasakan parti dan jenteranya kuat, Allah mengajar kita dengan keputusan yang menginsafkan. Di samping pengalaman 2004, pegalaman PRU ke-7 (1986) juga sepatutnya menyedarkan kita. Ketika itu PAS hanya bertahan di parlimen dengan kerusi Pengkalan Chepa walaupun meletakkan calon di 98 kerusi.

Perlu diingatkan, ia adalah catatan rekod penyertaan tertinggi PAS dalam pilihan raya umum

Apakah kepimpinan PAS dari peringkat pusat hingga bawahan akan mengizinkan nasib buruk ini kembali lagi, khususnya di ambang pemilihan akan datang?

Mampukah PAS mengelakkan kesilapan silamnya? Berjayakah PAS mengawal suara emosi supaya tidak mengatasi suara ilmu? Berjayakah PAS menggembeling seluruh tenaga kepimpinan dan kepakaran serta segala kepelbagai kekuatan partinya?

Jawapan kepada pertanyaan ini ada pada setiap ahli, khasnya pada setiap perwakilan muktamar ini.

DR DZULKEFLY AHMAD Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS

PAS bakal mengundang kegagalannya?

Dr DzulkeflyPenulis berpandangan PAS kini berada di kedudukan politik terkuat dalam sejarah jatuh-bangun perjuangannya. Sekali pandang, pernyataan ini semacam mudah disanggah pemerhati politik.

Benar, PAS merekodkan prestasi pilihan raya terbaiknya pada Pilihan Raya Umum ke 10 (PRU 10) pada tahun 1999. PAS menang 43% (27 daripada 63) kerusi Parlimen yang ditandinginya sekaligus presidennya diangkat sebagai ketua pembangkang Parlimen Malaysia. PAS memerintah dua negeri, Kelantan dan Terengganu. Jumlah kerusi Parlimen ketika itu ialah 193.

Juga benar, PAS tidak dapat mengatasi prestasi terbaiknya ini dalam kedua-dua PRU ke-12 (2008) dan ke-13 (2013) yang lepas.

Pada PRU ke-12, PAS menang 34% kerusi Parlimen yang ditandingi (menang 23 daripada 67 kerusi) dan mengalami penurunan ke paras 28% (menang 21 daripada 73) pada 2013. PAS menawan Kedah pada PRU-12 namun hilang negeri tersebut pada PRU ke-13 lalu. Jumlah kerusi Parlimen terkini ialah 222.

Kalau begitu, mengapakah penulis tetap mengatakan PAS berada pada sisi terkuat dewasa ini?

Kekuatan sesebuah parti politik tentunya perlu diukur dari pelbagai sisi dan dimensi. Lebih sukar atau juga tersasar kalau mengukur kekuatan politik hanya dengan jumlah kerusi di Parlimen. Tambahan kalau kemenangan itu disebabkan faktor situasi luaran.

Kekuatan PAS pada PRU 10 tidak syak lagi disebabkan “tsunami Melayu” yang menolak Umno-Barisan Nasional (UBN) akibat kezaliman mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ke atas timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim. PAS meraih laba politik paling besar dalam PRU 1999, dan tidak langsung mendapat sokongan kaum bukan-Melayu.

Malangnya, kekuatan tersebut tidak dapat lama bertahan. Ya, sebaik sahaja mula sesi parlimen ke-10 (1999-2004), PAS mula hilang arah cerita atau “lost the plot”. Bahkan ada pimpinan yang mula menyebut PAS menang kerana orang Melayu mahukan PAS perjuangkan Negara Islam. PAS, malangnya juga mudah lupa.

“Memorandum Rakyat”, sebuah peninggalan legasi Al-Marhum Datuk Fadzil Noor sebagai respons cabaran Dr Mahathir, segera mengalami pertukaran kepada judul “Dokumen Negara Islam”.

Pesanan Al-Marhum kepada penulis dan rakan-rakan think-tank parti lain, supaya memorandum tersebut ditajukkan sebagai “Penghayatan Sebuah Pemerintahan Abad 15H/21Masehi”, hilang dalam hiruk-pikuk polemik tentang dokumen yang perlu dibentangkan kepada rakyat ketika itu. Penulis dan think-tank parti lain terpaksa akur.

Barisan Alternatif (BA) terus berkeberentakan sehingga menyaksikan DAP keluar gabungan pada September 2001. Gabungan BA, baru berumur 2 tahun. PKR (dulunya PKN) terus renggang daripada PAS, masing-masing membawa haluan perjuangan sendiri, meskipun BA wujud pada nama, lambang dan cogan kata, tetapi tidak lagi pada gerak kerja.

Akibatnya, daripada kepimpinan PAS yang “terlupa” menguruskan “kekuatan baharunya”, mereka dihukum dan dipukul teruk dalam PRU ke-11 pada 2004.

Dari 27 kerusi, PAS hanya tinggal 6 kerusi Parlimen. PAS kecundang untuk pertahan pentadbiranya di Terengganu dan hampir-hampir kehilangan Kelantan.

Ketika Jawatankuasa Post-Mortem PAS Pusat PRU ke-11 (2004) membentangkan dapatan mereka, pelbagai faktor luaran (penipuan dan media) dan dalaman (jentera) dikenal pasti sebagai penyumbang utama terhadap kekalahan PAS dalam pilihan raya tersebut.

Namun faktor kekalahan paling dominan yang sangat mustahak dan signifikan yang wajar diulangi di sini ialah pelancaran “Dokumen Negara Islam”. PAS membentangkan dokumen tersebut akan tetapi dikenal pasti dalam post-mortem, “gagal mengurus penerangan dan pencerahan kepada semua segmen pengundi”.

Pelbagai persepsi negatif dan tanggapan buruk pelbagai segmen rakyat serta pengundi menjadikan PAS sasaran jahat media lawan.

PAS gagal menangkis tohmahan serta serangan seterunya. Kekuatan dan mandat baharunya musnah dan kembali kepada kedudukan lama atau sokongan “tegar dan asal”. Lawan politik tersenyum berbisa, taktik berjaya, gabungan BA punah dan PAS lalu tersungkur. Begitulah lebih kurang naratif atau kisahnya.

Sebaliknya, kekuatan PAS dalam PRU ke-12 dan seterusnya PRU ke-13 adalah hasil pelebaran tapak sokongan baharu.

PAS membina kekuatan itu secara sedar dan terancang. Ia bukan disebabkan PAS “menumpang tui” nasib malang Anwar serta mendapat laba undi protes seperti PRU ke-10.

Tegasnya, PAS membina asas kekuatan baharu dengan cara meruntuhkan prejudis serta tembok halangan golongan pengundi bukan-Melayu dan bukan-Islam. Juga golongan pengundi Melayu Islam bandar dan pinggir Melayu, mula memberi kepercayaan kepada PAS dan memenangkan calon PAS.

Bagi menjayakan pelebaran dan pengukuhan tapak sokongan baharu, PAS melalui satu anjakan besar di segi mesej politiknya.

Daripada menawarkan konsep “Negara Islam” yang telah disalahertikan pelbagai pihak, PAS secara tegas membuat ijtihad beraninya, dalam menampilkan tawaran “Negara Berkebajikan” berserta dengan slogan “PAS Untuk Semua” atau “PAS For All” dalam Manifesto PRU ke-12. PAS mengulangi tema dan tawaran sama dalam PRU ke-13, kali itu bersama koalisi baharunya, Pakatan Rakyat (PR).

Perubahan besar ini berkebetulan diistilahkan Profesor Tariq Ramadan, pemikir kontemporari Islam, sebagai satu eksperimen di seluruh dunia Islam, yang diberi jolokan sebagai “anjakan generasi” atau “generational shift”. PAS dan gerakan Islam memasuki era baharu dalam pengalaman “political Islam” di persada persaingan demokrasi atau “democratic contestation”.

Meringkaskan cerita, PAS terus menggarap isu besar dalam negara dengan pedekatan inklusif dan menyerlahkan erti dan makna slogan seperti “PAS For All”.

Makna prinsip Islam sebagai “rahmat untuk semua” atau “mercy unto all”, lebih dirasai daripada sekadar diulangi secara laungan retorik.

PAS terus menangani isu krtikal yang menajamkan pertentangan etnik dan membakar pertembungan agama. Isu kalimah “Allah” termasuk pelbagai polemik kaum yang diungkap dengan kepentingan agama secara sempit, ditangani PAS secara konsisten dan berlandaskan syariat yang mensejahterakan dan mendamaikan.

Samada bersama rakan PR dalam “Dasar-Dasar Bersama” atau pun bersendirian, PAS berjaya menyerlahkan erti dan penghayatan Islam sebagai sistem hidup untuk memberikan jaminan “Keadilan Untuk Semua” atau “Justice for All”.

Di samping itu, PAS tegas dalam membentaras polisi yang bersifat perkauman dan yang memangsakan dan meminggirkan sesetengah rakyat, terutama golongan miskin dan berpendapaan rendah. Begitu juga ketegasan PAS menentang rasuah, salah guna kuasa, pembaziran serta pembolotan kekayaan negara oleh segelintir penguasa politik bersama kroni mereka.

Mengambil keseluruhan kemajuan inilah, penulis menyatakan bahawa PAS sedang menduduki posisi politik yang paling kuat dan mantap. Tidak keterlaluan kalau penulis terus menyongsong bahawa PAS berada dalam satu unjuran (trajectory) menempah kejayaan yang lebih baik, tentunya bersama rakan-rakan tahalufnya.

Berdasarkan unjuran yang modest, PAS adalah dalam keluk menambah 13 kerusi (berjumlah 34 kerusi) seandainya PR terus bergandingan secara mantap dan serasi dalam PRU ke-14 akan datang. Unjuran ini adalah sangat munasabah, dengan izin Allah.

Namun, meringkaskan pergolakannya mutakhir ini, kesemua kejayaan PAS yang tertera di atas bakal terencat atau mengalami setback yang mengecewakan.

Permasalahan parti ini, samada yang bersifat keberentakan dalaman mahu pun yang bersabit dengan masalah hubungan di antara rakan komponen PR, mengakibatkan pemerhati politik khuatir dan cemas.

Lebih gusar lagi adalah pendukung dan aktivis parti di akar umbinya, yang secara langsung bakal menanggung kesan serta akibat konflik tersebut, khasnya di negeri pantai barat: Selangor, Kuala Lumpur, Perak serta Melaka-Negeri Sembilan-Johor.

Sebagai contoh, cadangan untuk bersedia bertanding bersendirian atau keluar daripada PR atau menyuruh sesetengah ahli dan kepimpinan keluar parti, adalah tidak harus dilayani atau disokong.

Pimpinan yang matang dan tidak gelojoh serta “ekstrem” tahu akan erti “mengurus ikhtilaf” atau perbezaan dan kepelbagaian dalam sebuah organisasi dan koalisi yang semakin kompleks.

Sementara dalam mengurus isu hudud pula, seteru tradisi PAS sedang menggoda dengan pelbagai cara. Musuh tetap musuh, meskipun tampak “ikhlas”.

Sayugia dingatkan tuntutan Allah supaya kita hazar (berwaspada) dan pesanan Nabi bagi mengelak dipatuk dua kali dari lubang yang sama. Al-Marhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan Ustaz Fadzil Noor acap mengingatkan kita.

Seandainya PAS terus terjerumus akibat kehilangan “jalan cerita” atau “losing the plot” sekali lagi, maka kita bakal mengulangi nasib yang sama seperti pengalaman PRU ke-11 (2004).

PAS dikhuatiri akan kehilangan sokongan baharunya di kalangan Melayu-Islam di bandar dan pinggir bandar, dan tentunya tidak dapat bertahan mengekalkan kepercayaan pengundi bukan Melayu dan bukan Islam.

Seterunya sangat mahukan natijah ini bagi menggagalkan PAS dan menghancurkan PR. Minta Allah jauhkan!

Setiap kali PAS merasakan parti dan jenteranya “kuat”, Allah mengajar kita dengan keputusan yang menginsafkan kita. Di samping pengalaman 2004, pengalaman PRU ke-7 (1986) juga menyedarkan kita. PAS hanya tinggal kerusi tunggalnya, Pengkalan Chepa, di Parlimen dalam pilihan raya yang menyaksikan PAS meletakkan seramai 98 calon, paling tinggi dalam sejarahnya (jumlah kerusi Parlimen 177).

Apakah kepimpinan PAS di peringkat pusat serta di peringkat akar-umbi, khasnya di ambang Muktamar ke-61 ini, akan mengizinkan PAS mengundang nasib buruk ini sekali lagi?

Mampukah PAS kini mengelak kesilapan lamanya?

Berjayakah PAS mengawal suara emosi (‘atifi) supaya jangan mengatasi suara ilmu, kekuatan informasi dan panduan pengalaman (tajribah)?

Penulis akan terus berkongsi pengamatannya dalam artikel seterusnya yang berjudul “Selamatkan PAS”.

Pengarang: Dr. Dzulkefly Ahmad. Beliau adalah merupakan ahli J/K PAS Pusat dan bekas ahli parlimen Kuala Selangor.
Sumber: http://www.themalaysianinsider.com/opinion/dzulkefly-ahmad/article/pas-bakal-mengundang-kegagalannya#sthash.HOi0EwJX.dpuf